*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sebelum Rahman menjual pula nama Syeikh Ibnul Hajar
Al-Asqalani, di sini saya sertakan kisah-kisah Nabi
Khidir yg merupakan terjemahan dari kitab karangan
beliau.

Dipetik dari laman Darul Nuqman
http://www.darulnuman.com/coretan/coretan24.htm

Walaupun ada hadis yg didhaifkan, tetapi itu tidak
bermakna bahawa Nabi Khidir telah wafat. Sebab itu,
saya telah katakan terlebih dahulu, bahawa soal Nabi
Khidir masih hidup atau telah wafat bukan soal pokok
ASWJ. [Tak tahulah kalau mazhab Wahabi menjadikannya
soal pokok yg boleh merosakkan aqidah seseorg].

So, kalau nak kata Nabi Khidir telah wafat pun tak
apa. Setiap manusia akan merasai mati. 
Sesiapa yg nak katakan bahawa baginda masih hidup pun
tak mengapa. Banyak kisah spt dibawah yg menyokongnya.

YG TAK BOLEH IALAH MENIDAKKAN SESUATU YG TIDAK
MUSTAHIL DGN CARA EGO, SERTA DGN CARA MEMBUAT
TUDUHAN-TUDUHAN CELUPAR YG PENUH KELENTONG SPT YG
DILAKUKAN OLEH SI RAHMAN.

---KatakanTidakPadaWahabi---

Kisah Nabi Khidir
=================
Takziah kepada keluarga Rasulullah SAW
======================================
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim dalam kitab Tafsir:
“Bercerita kepadaku ayahku, yang didengarnya dari
Abdul Aziz Al-Ausiy, dari Ali bin Abu Ali, dari Jakfar
bin Muhammad bin Ali bin Husain, dari ayahnya, katanya
Ali bin Abi Talib berkata: 
“Ketika wafat Rasulullah SAW, datanglah ucapan
takziah. Datang kepada mereka (keluarga Nabi SAW)
orang yang memberi takziah. Mereka mendengar orang
memberi takziah tetapi tidak melihat orangnya. Bunyi
suara itu begini: ‘Assalamu Alaikum Ahlal Bait
Warahmatullahi Wabarakatuh. Setiap yang bernyawa akan
merasakan mati. Hanyasanya disempurnakan pahala kamu
pada hari kiamat. Sesungguhnya dalam agama Allah ada
pemberi takziah bagi setiap musibah, bagi Allah ada
pengganti setiap ada yang binasa, begitu juga
menemukan bagi setiap yang hilang. Kepada Allah-lah
kamu berpegang dan kepada-Nya mengharap. Sesungguhnya
orang yang diberi musibah adalah yang diberi ganjaran
pahala.” 
 
Berkata Jakfar: “Bercerita kepadaku ayahku bahawa Ali
bin Abi Talib ada berkata: 
“Tahukah kamu siapa ini? Ini adalah suara Nabi
Khidir.”
Berkata Muhammad bin Jakfar: “Adalah ayahku, iaitu
Jakfar bin Muhammad, menyebutkan tentang riwayat dari
ayahnya, dari datuknya, dari Ali bin Abi Talib bahawa
datang ke rumahnya satu rombongan kaum Quraisy
kemudian dia berkata kepada mereka: “Mahukah kamu aku
ceritakan kepada kamu tentang Abul Qasim (Muhammad
SAW)?” 
Kaum Quraisy itu menjawab: “Tentu sahaja mahu.” 

Ali bin Abi Talib berkata: “Jibril Alaihis salam
pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Selamat
sejahtera ke atas kamu wahai Ahmad. Inilah akhir
watanku (negeriku) di bumi. Sesungguhnya hanya
engkaulah hajatku di dunia.” Maka tatkala Rasulullah
SAW wafat, datanglah orang yang memberi takziah,
mereka mendengarnya tetapi tidak melihat orangnya.
Orang yang memberi takziah itu berkata: “Selamat
sejahtera ke atas kamu wahai ahli bait. Sesungguhnya
pada agama Allah ada pemberi takziah setiap terjadi
musibah, dan bagi Allah ada yang menggantikan setiap
ada yang binasa. Maka kepada Allah-lah kamu berpegang
dan kepada-Nya mengharap. Sesungguhnya orang yang
diberi musibah adalah yang diberi ganjaran pahala.”
Mendengar yang demikian Ali bin Abi Talib berkata:
“Tahukah kamu siapa yang datang itu? Itu adalah
Khidir.” 

    Berkata Saif bin Amr At-Tamimi dalam kitabnya
Ar-Riddah, yang diterimanya dari Sa’id bin Abdullah,
dari Ibnu Umar mengatakan: “Ketika wafat Rasulullah
SAW, datanglah Abu Bakar ke rumah Rasulullah. Ketika
beliau melihat jenazah Rasulullah SAW, beliau berkata:
“Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun.” Kemudian beliau
bersama sahabat-sahabat yang lain menyembahyangkan
jenazah Rasulullah SAW. Pada waktu mereka
menyembahyangkan jenazah Rasulullah SAW, mereka
mendengar suara ajaib. Selesai solat dan mereka pun
semuanya sudah diam, mereka mendengar suara orang di
pintu mengatakan: “Selamat sejahtera ke atas kamu
wahai Ahli Bait. Setiap yang bernyawa akan merasakan
kematian. Hanyasanya disempurnakan pahala kamu pada
hari kiamat. Sesungguhnya pada agama Allah ada
pengganti setiap ada yang binasa dan ada kelepasan
dari segala yang menakutkan. Kepada Allah-lah kamu
mengharap dan dengan-Nya berpegang. Orang yang diberi
musibah akan diberi ganjaran. Dengarlah itu dan
hentikan kamu menangis itu." 

    Mereka melihat ke arah suara itu tetapi tidak
melihat orangnya. Kerana sedihnya mereka menangis
lagi. Tiba-tiba terdengar lagi suara yang lain
mengatakan: “Wahai Ahli Bait, ingatlah kepada Allah
dan pujilah Dia dalam segala hal, maka jadilah kamu
golongan orang mukhlisin. Sesungguhnya dalam agama
Allah ada pemberi takziah setiap terjadi musibah, dan
ada pengganti setiap ada yang binasa. Maka kepada
Allah-lah kamu berpegang dan kepada-Nya taat.
Sesungguhnya orang yang diberi musibah adalah orang
yang diberi pahala.” Mendengar yang demikian itu
berkata Abu Bakar: “Ini adalah Khidir dan Ilyas.
Mereka datang atas kematian Rasulullah SAW.” 

    Berkata Ibnu Abu Dunia, yang didengarnya dari
Kamil bin Talhah, dari Ubad bin Abdul Samad, dari Anas
bin Malik, mengatakan: “Sewaktu Rasulullah SAW
meninggal dunia, berkumpullah sahabat-sahabat beliau
di sekeliling jenazahnya menangisi kematian beliau.
Tiba-tiba datang kepada mereka seorang lelaki yang
bertubuh tinggi memakai kain panjang. Dia datang dari
pintu dalam keadaan menangis. Lelaki itu menghadap
kepada sahabat-sahabat dan berkata: “Sesungguhnya
dalam agama Allah ada pemberi takziah setiap terjadi
musibah, ada  pengganti setiap ada yang hilang.
Bersabarlah kamu kerana sesungguhnya orang yang diberi
musibah itu akan diberi ganjaran.” 

    Kemudian lelaki itu pun menghilang daripada
pandangan para sahabat. Abu Bakar berkata: “Datang ke
sini lelaki yang memberi takziah.” Mereka memandang ke
kiri dan kanan tetapi lelaki itu tidak nampak lagi.
Abu Bakar berkata: “Barangkali yang datang itu adalah
Khidir, saudara nabi kita. Beliau datang memberi
takziah atas kematian Rasulullah SAW.” 

    Dari tadi sudah banyak kita lihat ucapan-ucapan
takziah yang hampir sama kata-katanya. Ada yang
mengatakan hadis ini daif. Ubad yang meriwayatkan
hadis ini tidak diiktiraf oleh Imam Bukhari. 

    Berkata Ibnu Syahin dalam kitabnya Al-Jana’iz:
“Bercerita kepada kami Ibnu Abu Daud, dari Ahmad bin
Amr, dari Ibnu Wahab, dari Muhammad bin Ajlan, dari
Muhammad bin Mukandar, berkata: “Pernah pada suatu
hari Umar bin Khattab menyembahyangkan jenazah,
tiba-tiba beliau mendengar suara di belakangnya: “Ala,
janganlah duluan dari kami mengerjakan solat jenazah
ini. Tunggulah sudah sempurna dan cukup orang di
belakang baru memulakan takbir.” Kemudian lelaki itu
berkata lagi: “Kalau engkau seksa dia ya Allah, maka
sesungguhnya dia telah derhaka kepada-Mu. Tetapi kalau
Engkau mahu mengampuni dia, maka dia betul-betul
mengharap keampunan daripada-Mu.” Umar bersama
sahabat-sahabat yang lain sempat juga melihat lelaki
itu. Tatkala mayat itu sudah dikuburkan, lelaki itu
masih meratakan tanah itu sambil berkata:
“Beruntunglah engkau wahai orang yang dikuburkan di
sini.” 

    Umar bin Khattab berkata: “Tolong bawa ke sini
lelaki yang bercakap itu supaya kita tanya tentang
solatnya dan maksud kata-katanya itu.” Tiba-tiba
lelaki itu pun sudah menghilang dari pandangan mereka.
Mereka mencari ke arah suaranya tadi tiba-tiba mereka
melihat bekas telapak kakinya yang cukup besar. Umar
bin Khattab berkata: “Barangkali yang datang itu
adalah Khidir yang pernah diceritakan oleh Nabi kita
Muhammad SAW.” 
Ada juga yang mengatakan hadis ini tidak sahih. Kata
Ibnu al-Jauzi hadis ini majhul (tidak dikenal) dan
dalam sanadnya ada yang terputus di antara Ibnul
Mukandar dengan Umar. 
 
Khidir datang menegur peniaga
=============================
    Berkata Ibnu Abu Dunia: “Bercerita kepadaku
ayahku, yang didengarnya dari Ali bin Syaqiq, dari
Ibnu Al-Mubarak, dari Umar bin Muhammad bin
Al-Mukandar, berkata: “Ada seorang peniaga yang banyak
memuji-muji barangnya dan banyak bersumpah untuk
meyakinkan orang lain (pembeli). Tiba-tiba datang
kepadanya seorang tua dan berkata: “Wahai peniaga,
juallah barangmu tetapi jangan banyak bersumpah.”
Peniaga itu masih banyak bercakap dan bersumpah, yang
menyebabkan orang tua itu berkata lagi: “Wahai
pedagang, berniagalah secara jujur dan jangan banyak
bersumpah.” Bahkan orang tua itu berkata lagi:
“Berniagalah secara yang patut sahaja.” Peniaga itu
berkata: “Inilah yang patut saya lakukan.” Kemudian
orang tua itu berkata: “Utamakanlah kejujuran walaupun
berat melakukannya dan tinggalkan berbohong walaupun
ia akan membawa keuntungan.” 
    Akhirnya peniaga itu berkata: “Kalau begitu
tuliskanlah semua apa yang engkau sebutkan ini. “Orang
tua itu berkata: “Kalau ditakdirkan sesuatu itu maka
adalah ia.” Menurut mereka yang datang menegur itu
adalah Nabi Khidir. 
Diriwayatkan oleh Abu Amr, dari Yahya bin Abi Talib,
dari Ali bin Ashim, dari Abdullah, berkata: “Pernah
Ibnu Umar duduk-duduk di satu tempat, sedangkan
seorang lelaki (tidak berapa jauh dari tempatnya)
sudah mula membuka jualannya. Peniaga itu banyak
bersumpah untuk melariskan jualannya. Tiba-tiba datang
kepadanya seorang lelaki dan berkata: “Takutlah kepada
Allah dan jangan berbohong. Hendaklah engkau berkata
jujur walaupun berat melakukannya dan jauhilah
berdusta walaupun ia membawa manfaat. Dan jangan
tambah-tambah dari cerita orang lain (apa yang ada).” 

    Ibnu Umar yang mendengar teguran orang tua itu
berkata kepada peniaga itu: “Pergi ikuti dia dan suruh
supaya dia tulis apa yang disebutkannya tadi.” Peniaga
itu pergi mengikutinya dan meminta supaya menuliskan
apa yang disebutkannya tadi tetapi orang tua itu hanya
berkata: “Kalau sesuatu itu sudah ditentukan Allah,
maka adalah ia.” Kemudian orang tua itu pun tiba-tiba
sahaja menghilang. Peniaga itu kembali menjumpai Ibnu
Umar serta menceritakan apa jawapan orang tua itu.
Ibnu Umar berkata: “Yang datang itu adalah Nabi
Khidir.” 

    Tetapi kata Ibnu Al-Jauzi hadis-hadis yang
diriwayatkan oleh Ali bin Ahsim daif. Bahkan katanya
Ali bin Ashim itu lemah ingatannya. 

    Ada juga riwayat yang hampir sama dengan ini
menyebutkan: “Ada dua orang lelaki yang berjualan
tidak berapa jauh dari Abdullah bin Umar. Salah
seorang dari peniaga itu banyak bersumpah untuk
melariskan barang-barang jualannya. Ketika ghairah
bercerita mempromosikan jualannya, tiba-tiba datang
seorang lelaki kemudian berkata kepada peniaga yang
banyak bersumpah itu: “Wahai hamba Allah, takutlah
kepada Allah dan jangan banyak bersumpah. Sesungguhnya
tidak akan bertambah rezekimu jika engkau banyak
bersumpah. Dan sebaliknya, tidak akan mengurangkan
kepada rezekimu jika engkau tidak bersumpah. Oleh itu
bercakaplah yang wajar-wajar sahaja.” 

Peniaga itu menjawab: “Inilah yang saya anggap wajar.”


    Lelaki tua itu mengulang nasihatnya lagi. Dan
ketika dia sudah mahu pergi, dia berkata lagi:
“Ketahuilah bahawa termasuk daripada iman ialah
mengutamakan kejujuran walaupun berat melaksanakannya
dan meninggalkan pembohongan walaupun dianggap membawa
keuntungan.” 

    Setelah memberi nasihat atau teguran, lelaki itu
pun pergi. Ibnu Umar berkata kepada peniaga itu:
“Kejar dia dan minta supaya ditulisnya apa yang
disebutkannya tadi.” Peniaga itu pergi mengejarnya dan
berkata kepadanya: “Wahai hamba Allah, tuliskanlah apa
yang engkau sebutkan tadi supaya tuan dirahmati
Allah.” Lelaki itu tidak ada menulisnya tetapi
mengulangi apa yang disebutkannya tadi. Jadi, menurut
Ibnu Umar yang datang itu adalah Nabi Khidir. 
 

Kisah Khidir dan Abu Mahjan
===========================
    Diriwayatkan oleh Saif dalam kitab Al-Futuh,
bahawa satu jemaah berada bersama Saad bin Abi Waqqas,
maka mereka melihat Abu Mahjan berperang, maka yang
meriwayatkan ini pun menceritakan kisah Abu Mahjan
secara panjang lebar. Dari kesimpulan cerita-cerita
mereka mengatakan bahawa Nabi Khidir masih hidup pada
zaman itu. 
    Berkata Abu Abdullah bin Battah: “Bercerita kepada
kami Syuaib bin Ahmad, yang didengarnya dari ayahnya,
dari Ibrahim, bin Abdul Hamid, dari Ghalib bin
Abdullah, dari Hasan Basri berkata: “Seorang lelaki
berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah berlainan pendapat
dan berhujah dengan seorang lelaki bukan Ahli Sunnah.
Mereka berdebat mengkaji masalah qadar. Mereka
berdebat di tengah-tengah perjalanan. Masing-masing
mereka mempertahankan pendapatnya dan berbantah dengan
suara yang kuat tetapi akhirnya sepakat siapa yang
duluan datang ke tempat mereka berhujah itu akan
diangkat sebagai pemutus di antara mereka. 

    Tidak lama kemudian, muncullah seorang lelaki
memikul bungkusan sedangkan rambut dan pakaiannya
sudah berabu dan jalannya menunjukkan seolah-olah
sudah kepenatan. Mereka berkata kepada lelaki itu:
“Tadi kami berdebat tentang qadar dan masing-masing di
antara kami memberikan hujah dan dalilnya tetapi tidak
tahu siapa di antara kami yang benar. Kami sudah
sama-sama setuju bahawa siapa orang yang mula-mula
datang ke tempat ini akan kami angkat sebagai hakim.
Maka sekarang kami minta tolong kepada tuan untuk
menghakimi kami.” 

    Lelaki itu meletakkan bungkusannya kemudian duduk.
Setelah berehat sebentar dan nafasnya sudah mulai
tenang, dia berkata: “Kalau begitu duduklah kamu
disini.” Kemudian lelaki itu menghakimi mereka secara
bijaksana.” Menurut Hasan Basri lelaki yang mengadili
mereka itu adalah Nabi Khidir. 
 

Nabi Khidir memberi pengajaran
==============================
    Diriwayatkan oleh Hammad bin Umar, dari A-Sara bin
Khalid, dari Jakfar bin Muhammad, dari ayahnya, dari
datuknya Ali bin Husain, katanya pembantu mereka pergi
berlayar menaiki kapal. Ketika dia mahu mendarat
tiba-tiba dia melihat di atas pantai duduk seorang
lelaki yang sedang menerima hidangan makanan dari
langit. Makanan itu diletakkan di hadapannya kemudian
dia pun memakannya. Setelah dia kenyang, makanan itu
diangkat semula ke langit. Pembantu yang merasa hairan
itu memberanikan dirinya mendekati orang itu sambil
berkata kepadanya: “Hamba Allah yang manakah engkau
ini?” Lelaki itu berkata: “Aku adalah Khidir yang
barangkali engkau sudah pernah mendengar nama itu.”
Pembantu itu bertanya lagi: “Dengan (amalan) apakah
didatangkan kepadamu makanan dan minuman ini?” 
Lelaki itu menjawab: “Dengan nama Allah yang Maha
Agung.” 

    Diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitab Al-Zuhdi, yang
diterima dari Hammad bin Usamah, dari Mas’ar, dari
Maan bin Abdul Rahman, dari Aun bin Abdullah, dari
Utbah, dari Ibnu Mas’ud, mengatakan: “Ada seorang
lelaki di Mesir sedang bercucuk tanam di kebunnya.
Ketika itu dia sedang gelisah dan dia tunduk
mengerjakan ladangnya. Ketika dia mengangkat
kepalanya, tiba-tiba di melihat di hadapannya ada
seorang lelaki sedang berdiri memperhatikan apa yang
dilakukannya dan memandangi wajahnya. Lelaki itu
berkata kepadanya: “Kuperhatikan dari tadi engkau
murung dan gelisah, mengapa begitu?” Lelaki yang
bercucuk tanam itu berkata: “Tidak ada apa-apa.” 

    Kemudian lelaki yang datang tadi berkata: “Dunia
adalah kesenangan yang sedikit dan masanya amat
terhad, dan kesenangan itu dinikmati oleh orang baik
dan orang jahat. Sedangkan akhirat kesenangan yang
hakiki dan abadi.” 
Mendengar yang demikian lelaki yang bercucuk tanam itu
berkata: “Sebenarnya saya sedih memikirkan keadaan
kaum muslimin sekarang ini. Orang yang datang itu
berkata: “Allah SWT akan membebaskanmu dari kesusahan
kerana engkau ambil-berat terhadap nasib kaum
Muslimin. Cuba tanya siapakah orangnya yang meminta
kepada Allah kemudian Allah tidak memenuhi
permintaannya, siapakah orang yang doanya tidak
terkabul? Siapakah yang berserah kepada Allah lalu
Allah tidak melindunginya?” Mus’ir berkata: “Menurut
mereka orang yang memberi pengajaran itu adalah
Khidir.” 

Nabi Khidir datang ke Baitul Haram
==================================
    Berkata Abu Naim dalam kitab Al-Hilyah: “Bercerita
kepada kami Ubaidullah bin Muhammad, dari Muhammad bin
Yahya, dari Ahmad bin Mansur, dari Ahmad bin Jamil,
katanya berkata Sufyan bin Ainah: “Pada waktu saya
tawaf di Baitullah, tiba-tiba saya melihat seorang
yang sedang memimpin satu kumpulan manusia mengerjakan
tawaf. Saya bersama orang yang berdiri di sekelilingku
memperhatikan lelaki itu. Ada di antara mereka yang
berkata: “Lelaki yang memimpin kumpulan yang tawaf itu
nampaknya seorang yang ikhlas dan berilmu.” Kami amati
dia bahkan kami ikuti ke mana dia pergi. Lelaki itu
pergi ke maqam kemudian mengerjakan solat di situ.
Selesai solat dia menadahkan kedua tangannya dan
berdoa. Setelah itu dia melihat ke arah kami dan
berkata: “Tahukah kamu apa kata Tuhan kamu?” 
    Kami jawab: “Tidak.” Dia berkata: “Tuhan kamu
berkata: “Aku adalah raja. Kamu mendakwa diri kamu
sebagai raja.” Kemudian dia memalingkan wajahnya ke
arah kiblat, menadahkan tangannya sebagai tanda berdoa
kemudian berpaling kepada kami dan berkata: “Tahukah
kamu apa kata Tuhan kamu?” Kami jawab: “Tidak.” Dia
berkata: “Tuhan kamu berkata: “Akulah yang hidup dan
tidak akan mati untuk selamanya. Kamu mendakwa diri
kamu hidup dan tidak akan mati." 

    Setelah itu dia menghadap ke arah kiblat dan
mendoa. Selesai berdoa berpaling kepada kami sambil
berkata: “Tahukah kamu apa kata Tuhan kamu?” Kami
jawab: “Tidak.” Dia berkata: “Tuhan kamu berkata:
“Akulah Tuhan yang apabila menghendaki sesuatu akan
ada ia. Ada di antara kamu yang mengaku apabila
menginginkan sesuatu akan ada.” 

    Kata Ibnu Ainah lagi: “Kemudian dia pun pergi dan
kami tidak melihatnya lagi. Setelah itu saya berjumpa
dengan Sufyan As-Tsauri dan dia berkata: “Barangkali
lelaki itu adalah Khidir atau wali Allah yang lain.” 

    Ada diceritakan ketika Hasan Basri berceramah di
hadapan jemaahnya, tiba-tiba datang seseorang yang
matanya kehijau-hijauan. Melihat yang demikian Hasan
Basri bertanya kepadanya: “Apakah memang begini engkau
dilahirkan oleh ibumu atau ini sebagai tanda?” Orang
yang baru datang itu berkata: “Apakah sememangnya
engkau kenal kepadaku wahai Abu Said?” Hasan Basri
berkata: “Siapa engkau sebenarnya?” Lelaki itu
memperkenalkan dirinya sehingga jelas bagi semua
jemaah yang ada di tempat itu. Hasan Basri berkata
lagi: “Tolong ceritakan bagaimana kisahmu.” 

    Lelaki itu berkata: “Pernah pada suatu hari dahulu
aku mengangkut semua barang-barangku ke dalam kapal.
Aku pun berlayar menuju Cina. Ketika berlayar
mengharungi lautan yang dalam, tiba-tiba angin bertiup
kencang. Terjadi ombak yang begitu hebat dan kapal
yang saya naiki pun terbalik. Rupanya ajalku belum
tiba, aku dibawa oleh ombak ke pantai. Aku terdampar
di satu pulau yang tidak didiami oleh manusia. Empat
bulan lamanya aku keseorangan di pulau itu. Makanan
tidak ada kecuali daun-daunan dan batang kayu yang
lapuk. Bahkan minuman pun tidak ada kecuali air mata
yang sentiasa mengalir kerana sedihnya. 

    Tidak terdaya lagi menahankan hidup seperti itu
sehingga aku sudah bermaksud berenang menyeberangi
lautan yang luas itu. Ketika berjalan mendekati laut
yang ombaknya melambai-lambai itu, tiba-tiba di
hadapanku sudah ada istana yang pintunya seperti
perak. Kubuka pintunya rupanya di dalam ada
bilik-bilik dan beberapa ruang tamu yang lengkap
dengan perhiasan. Di dalam istana itu juga ada
beberapa buah peti yang dihiasi dengan permata. Aku
buka salah satu peti itu. Aku dekati peti itu kemudian
terasalah semerbak yang cukup harum. Aku buka
perlahan-lahan, rupanya di dalam ada mayat yang masih
segar seperti orang tidur. Aku tutup semula peti itu
kemudian aku keluar dari istana itu. 

    Sebaik sahaja turun dari tangga istana, aku
berjumpa dengan dua orang pemuda kacak dan nampak
ramah. 
Mereka bertanya siapa aku dan aku pun memberikan
butir-butir peribadiku. Mereka berkata: “Pergilah ke
pohon sana. Di bawah pohon itu ada taman yang indah.
Dan di situ nanti ada orang tua yang sedang
mengerjakan solat. Dia itu baik orangnya. Ceritakan
dirimu dan keadaanmu kepadanya kemudian nanti dia akan
menunjukkan jalan kepadamu.” 

    Aku pun pergi ke pohon yang mereka tunjukkan itu.
Memang benar, di bawahnya ada seorang lelaki tua
sedang duduk berzikir. Aku ucapkan salam kepadanya
kemudian dia pun menjawabnya. Dia tanya siapa diriku
kemudian aku pun menerangkannya. Dia tanya mengapa aku
sampai di tempat itu kemudian aku ceritakan semuanya.
Lelaki itu terdiam sejenak merenungkannya. Dia tanya
mengapa aku sampai di tempat itu kemudian aku
ceritakan semuanya. 

    Lelaki itu terdiam sejenak merenungkan
perjalananku dan macam-macam yang aku lihat
sebelumnya. Dia tanya lagi di mana kampungku kemudian
aku ceritakan. Kemudian lelaki itu berkata: “Kalau
begitu duduklah dahulu.” 
Aku duduk sahaja memperhatikan lelaki itu. Tidak lama
kemudian datanglah tumpukan awan mendekati beliau. 

Anehnya awan itu sanggup berkata seperti manusia
dengan ucapan: “Assalamu Alaikum ya wali Allah.”
Beliau menjawab salam awan itu kemudian awan itu pun
berhenti di hadapan beliau. 

    Beliau bertanya kepada awan itu: “Ke mana engkau
mahu pergi?” Awan itu menjawab: “Aku mahu pergi ke
kampung ini dan kampung ini.” Kemudian awan itu pun
pergi seperti ditiup angin. Datang lagi awan-awan yang
lain dan kesemuanya berhenti di depan beliau. Beliau
bertanya lagi kepada awan yang datang kemudian: “Ke
mana engkau mau pergi?” Awan itu menjawab: “Saya mahu
pergi ke Basrah.” Beliau berkata: “Kalau begitu turun
dahulu.” Awan itu turun dan berhenti di hadapan
beliau. Beliau berkata: “Bawa orang ini ke depan
rumahnya dengan selamat.” 

    Nampaknya awan itu sudah siap untuk mengangkut
saya. Sebelum berangkat, saya bertanya kepada orang
tua itu: “Demi Tuhan yang telah memuliakan engkau,
tolong ceritakan kepadaku apa itu istana tadi, siapa
dua orang pemuda itu dan siapa engkau.” 

    Orang tua itu berkata: “Istana yang engkau lihat
tadi adalah tempat para syuhada yang gugur di laut.
Orang-orang yang mati syahid di laut telah diangkut
oleh malaikat. Mayat para syuhada itu mereka masukkan
ke dalam peti yang dihiasi dengan emas dan permata,
disembur dengan wangi-wangian dan mereka masukkan
(simpan) di dalam istana seperti yang engkau lihat
tadi. Dua orang pemuda tampan yang engkau jumpai tadi
adalah malaikat yang disuruh Allah untuk menguruskan
mereka pada waktu pagi dan petang. Sedangkan aku ini
adalah Khidir. Aku dahulu ada memohon kepada Allah
supaya mengumpulkan atau menggabungkan aku dengan umat
nabi kamu Muhammad SAW.” 

Lelaki yang dibawa awan dan datang menjumpai Hasan
Basri itu berkata lagi: “Sewaktu terbang bersama awan,
aku terperanjat kerana melihat sesuatu yang
mengejutkan. Dan itulah sebabnya mataku seperti yang
engkau lihat ini.” 

Mendengar yang demikian Hasan Basri berkata: “Sungguh
mengagumkan pengalaman hidupmu.” 

    Menurut satu riwayat, Raja Sulaiman bin Abdul
Malik telah menyuruh menterinya menangkap seorang
lelaki yang sangat dikehendaki untuk dibunuh. Sebaik
sahaja mengetahui perintah raja itu, lelaki yang
dicari tadi segera melarikan diri. Lelaki itu lari ke
kampung lain. Di kampung itu dia mendengar berita
hangat bahawa orang bernama ini disuruh tangkap untuk
dibunuh. Dia semakin ketakutan kemudian lari lagi ke
kampung lain. Di kampung itu pun rupanya sudah gempar
berita itu yang menyebabkan dia lari lagi ke kampung
lain. Begitulah yang dia dengar setiap pergi ke satu
kampung. Akhirnya dia terfikir untuk lari ke negeri di
luar kekuasaan Sulaiman bin Abdul Malik. 

    Sekarang dia sudah sampai di satu padang pasir
yang amat luas, yakni di tempat itu tidak ada pokok
yang tumbuh, tidak ada air dan makanan apapun, bahkan
nampaknya tempat itu adalah tanah yang tidak pernah
diinjak oleh manusia. 

    Di situ dia melihat seorang lelaki tengah
mengerjakan solat. Dia pandang  di sekeliling orang
yang solat itu, ternyata tidak ada tunggangan, tidak
ada bekalan dan sebagainya. Dia begitu hairan melihat
lelaki itu mengapa berada seorang diri di tempat itu.
Dia ingin mendekati lelaki itu tetapi tidak jadi
kerana ketakutan. Hatinya bertanya: “Ini manusia atau
jin ini.” Dia beranikan dirinya untuk mendekati lelaki
itu. Kemudian lelaki itu memandang ke arahnya dan
berkata: “Barangkali Sulaiman bin Abdul Malik yang
membuatmu ketakutan sehingga tersesat ke tempat ini.”
Dia berkata: “Betul tuan.” Lelaki itu berkata:
“Mengapa tidak engkau buat pendinding dirimu?” Dia
bertanya: “Pendinding apa maksudnya?” Lelaki itu
berkata: “Bacalah zikir seperti ini (yang maksudnya): 

Maha Suci (Tuhan) Yang Maha Esa yang tidak ada Tuhan
selain-Nya. 
Maha Suci (Tuhan) Yang Maha terdahulu dan tidak ada
yang menjadikan-Nya. 
Maha Suci (Tuhan) Yang Maha Kekal dan tidak akan
binasa. 
Maha Suci (Tuhan) Yang Dia setiap hari dalam
kesibukan. 
Maha Suci (Tuhan) Yang Maha Menghidupkan dan Maha
Mematikan. 
Maha Suci (Tuhan) yang telah menciptakan apa yang
dilihat dan tidak kelihatan. 
Maha Suci (Tuhan) yang mengajari segala sesuatu tanpa
pengajaran secara langsung.
    Dalam zikir di atas ada dikatakan bahawa Allah
setiap hari atau waktu berada dalam kesibukan. Ini
sebenarnya ada dijumpai di dalam Quran, iaitu ayat
yang mengatakan: 
Setiap waktu Dia (Allah) dalam kesibukan.
(Al-Rahman: 29)
    Maksudnya Allah SWT sentiasa dalam keadaan
menciptakan, menghidupkan, mematikan, memelihara,
memberi rezeki kepada semua makhluk dan sebagainya. 
    Orang itu berkata: “Bacalah zikir ini.” Lelaki itu
berkata: “Maka saya pun menghafal zikir itu dan
membacanya. Tiba-tiba lelaki itu sudah menghilang dan
tidak nampak lagi. Tetapi berkat amalan itu, perasaan
takut sudah hilang dari diriku. Aku sudah bermaksud
pulang ke kampungku menjumpai keluargaku, bahkan aku
ingin pergi menjumpai Sulaiman bin Abdul Malik. 

    Pada suatu hari, yang mana rakyat jelata
dibolehkan berjumpa dengannya, saya pun masuk ke
istananya. Sebaik sahaja saya masuk ke ruang tamunya,
dia memandangiku seakan ada sesuatu yang ingin
dikatakannya. Dia mendekati aku kemudian berkata:
“Engkau telah menyihir aku.” Saya jawab dengan tenang:
“Wahai Amirul Mukminin, saya tidak ada mengguna-guna
tuan. Saya tidak pernah belajar ilmu sihir dan saya
tidak ada menyihir tuan.” 

    Sulaiman bin Abdul Malik menerangkan apa yang ada
dalam hatinya secara jujur: “Dulu aku begitu marah
melihat engkau. Aku sudah bertekad akan membunuh
engkau. Rasanya kerajaanku ini tidak sempurna kalau
tidak membunuh engkau. Tetapi setelah melihat wajahmu
tadi, aku begitu sayang kepada engkau. Sekarang
ceritakan secara jujur apa yang engkau amalkan itu.
Dia pun menyebutkan zikir tadi. Mendengar yang
demikian Sulaiman bin Abdul Malik berkata: “Demi Allah
Khidirlah yang mengajarkan amalan itu kepadamu.”
Akhirnya raja memaafkan segala kesalahannya dan
menyayanginya. 

Amalan yang paling disukai Allah
================================
    Dari Raja’, beliau berkata: “Pernah pada suatu
hari ketika saya berada di samping Sulaiman bin Abdul
Malik, tiba-tiba datang seorang lelaki tampan. Lelaki
itu memberi salam kemudian kami jawab. Kemudian dia
berkata: “Wahai Raja’, sesungguhnya telah diuji
keimananmu ketika engkau dekat dengan lelaki ini (Raja
Sulaiman). Kalau engkau dekat dengan dia, maka engkau
akan celaka. Wahai Raja’, engkau mesti sentiasa
berbuat baik dan menolong orang-orang lemah.
Ketahuilah wahai Raja’, sesiapa yang mempunyai
kedudukan di kerajaan sultan, lalu dia mengangkat
hajat orang-orang lemah yang mereka tidak sanggup
menyampaikannya, maka orang yang mengangkat atau
menyampaikan itu akan menjumpai Allah pada hari kiamat
dalam keadaan kedua tumitnya tetap ketika berhisab.
Ketahuilah wahai Raja’ bahawa sesiapa yang menunaikan
hajat saudaranya sesama muslim maka Allah akan
menunaikan hajatnya. Dan ketahuilah wahai Raja’ bahawa
amalan yang paling disukai Allah ialah amalan
menyenangkan hati orang mukmin.” 
    Setelah memberikan pengajaran yang bernas itu,
tiba-tiba lelaki itu sudah menghilang. Ramai yang
berpendapat bahawa yang datang memberikan pengajaran
itu ialah Nabi Khidir. 

    Mas’ab bin Thabit bin Abdullah bin Zubair adalah
seorang yang rajin beribadat. Dia selalu berpuasa dan
mengerjakan solat tidak kurang dari seribu rakaat
sehari semalam. Dia ada berkata: “Pernah ketika aku
berada di dalam masjid sedangkan orang semuanya sudah
pulang, ke rumah masing-masing, tiba-tiba datang
seorang lelaki yang tidak saya kenal. Lelaki itu
menyandarkan badannya ke dinding masjid sambil
berkata: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau tahu bahawa
aku berpuasa sejak kelmarin. Sampai sekarang pun aku
masih berpuasa. Aku tidak mendapatkan makanan dan
minuman dan aku menginginkan al-Tharid (nama makanan).
Berikanlah kepadaku ya Allah makanan dari sisi
Engkau.” 

“Tiba-tiba saya melihat seorang pelayan datang membawa
hidangan. Pelayan itu nampaknya tidak seperti orang
biasa. Orangnya tampan, bersih dan pakaiannya kemas.
Dia berjalan ke arah lelaki yang berdoa tadi sambil
meletakkan hidangan itu di hadapannya. Lelaki itu pun
membetulkan duduknya menghadap hidangan itu. Sebelum
mencicipi makanan itu dia memandang saya dan mengajak
saya supaya ikut makan bersamanya. Hatiku berkata:
“Syukur dia mengajak saya makan bersama.” Ketika itu
saya yakin makanan itu didatangkan dari syurga
sehingga saya pun ingin betul mencuba. Baru sedikit
saya cuba tahulah saya bahawa makanan itu bukan
makanan yang biasa di dunia ini. 

    Sebenarnya saya merasa segan dan malu kepada orang
yang tidak saya kenal itu. Belum lagi kenyang rasa
perutku saya sudah mengucapkan terima kasih dan pergi
ke tempatku semula tadi. Tetapi saya masih terus
memperhatikan lelaki itu. Setelah dia selesai makan,
datang lagi pelayan tadi mengambil hidangan itu. Dia
pergi lagi ke arah tempat datang tadi. Lelaki yang
baru selesai makan itu pun sudah berdiri dan nampak
pergi. Aku kejar dia kerana ingin tahu siapa dia
sebenarnya. Tetapi malangnya dia tiba-tiba saja
menghilang dan saya tidak tahu ke mana perginya. Besar
kemungkinan lelaki itu adalah Nabi Khidir.” 

    Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir, dari Ibrahim bin
Abdullah bin Al-Mughirah, dari Abdullah, berkata:
“Telah bercerita kepadaku ayahku bahawa pengurus
sebuah masjid berkata kepada Walid bin Abdul Malik:
“Sesungguhnya Nabi Khidir sembahyang setiap malam di
masjid.” 

    Dari Daud bin Yahya, katanya bercerita seorang
lelaki yang selalu berada di Baitul Maqdis: “Pada
waktu saya berjalan di salah satu lembah di Jordan,
saya melihat di lembah bukit itu ada orang yang sedang
mengerjakan solat. Saya lihat di atasnya ada awan yang
melindunginya daripada panas matahari. Menurut
tekaanku lelaki itu adalah Nabi Ilyas. Saya dekati dia
kemudian kuucapkan salam kepadanya. Dia berpaling
kepadaku sambil menjawab salamku. Aku tanya: “Siapa
anda sebenarnya wahai orang yang dirahmati Allah?” Dia
diam sahaja dan tidak menjawab soalanku. Kutanya lagi
seperti soalan pertama kemudian dia menjawab: “Aku
adalah Ilyas An-Nabi.” 

    Tiba-tiba sahaja merinding bulu romaku. Aku
gementar, dan yang paling kutakutkan dia menghilang
sebelum saya sempat menanyakan itu dan ini. Aku
berkata kepadanya: “Tolong doakan supaya Allah
menghilangkan penyakitku ini." Dia pun berdoa.
Tiba-tiba penyakitku terasa sudah sembuh. 

Aku tanya lagi: “Kepada siapa tuan diutus?” Beliau
menjawab: “Aku diutus kepada penduduk Baklabakka.”
Kutanya lagi: “Apakah sekarang ini tuan masih ada
menerima wahyu?” Beliau menjawab: “Bukankah sudah
diutus Muhammad sebagai nabi penutup? Aku tidak ada
menerima wahyu lagi.” 

Katanya lagi: “Kalau begitu berapa lagi nabi yang
masih hidup sekarang ini?” Beliau menjawab: “Sekarang
ada empat orang lagi nabi yang masih hidup, iaitu saya
sendiri (Ilyas), Khidir di bumi (darat), dan Nabi
Idris bersama nabi Isa di langit.” 

Kutanya lagi: “Apakah tuan pernah berjumpa dengan Nabi
Khidir?” Beliau menjawab” “Ya, setiap tahun kami
berjumpa di padang Arafah, yakni pada musim haji.” 

Kutanya: “Apa yang kamu lakukan jika berjumpa di
sana?” Beliau menjawab: “Aku ambil rambutnya kemudian
dia pun mengambil (mencukur rambutku).” 

Kutanya lagi: “Berapa orang lagi Al-Abdal (Wali Allah
yang lain)?” Beliau menjawab: “Ada 60 orang lelaki. 50
orang berada di kawasan Mesir sampai pantai Furat, 2
orang di Masisah, 1 orang di Antokiah dan 7 orang di
pelbagai penjuru dunia. Merekalah yang mengatur hujan
dan mereka yang menolong untuk mengalahkan musuh
Allah, bahkan di tangan mereka berdirinya dunia ini,
dia matikan mereka semua supaya dunia ini pun hancur.”
Ini menurut satu pendapat sangat tidak sahih. 

Nabi Khidir mengubati dengan Asmaul Husna
=========================================
    Berkata Abul Hasan bin Al-Munadi: “Bercerita
kepada kami Ahmad bin Mulaib, dari Yahya bin Said,
dari Abu Jakfar Al-Kufi, dari Abu Umar Al-Nasibiy,
berkata: “Aku pergi mencari Maslamah bin Masqalah di
Syam. Ramai yang mengatakan Maslamah termasuk wali
Allah juga. Setelah berusaha mencarinya, saya
menjumpainya di salah satu lembah di Jordan. 
    Beliau berkata kepadaku: “Mahukah engkau
kuceritakan kepadamu tentang apa yang kulihat tadi di
lembah bukit ini?” Kujawab: “Tentu aku ingin
mendengarnya.” Beliau berkata: “Ketika saya datang
tadi ke lembah ini, saya melihat seorang syekh yang
sedang mengerjakan solat di bawah pokok itu. Besar
kemungkinan lelaki itu adalah Nabi Ilyas. Aku berjalan
mendekatinya kemudian memberi salam kepadanya
sekalipun dia sedang mengerjakan solat. Saya lihat dia
rukuk, kemudian iktidal, dan kemudian sujud.Selesai
solat dia memandang ke arah suaraku datang kemudian
menjawab salamku setelah melihat aku berdiri di situ. 

Aku tanya dia: “Siapakah engkau wahai orang yang
dirahmati Allah.” Dia menjawab : “Aku adalah Ilyas
Al-Nabi.” 

    Aku begitu gugup mendengar kata-katanya itu.Dia
datang mendekati aku. Dia letakkan tangannya di dadaku
sehingga aku merasakan kesejukan tangannya. 

    Aku berkata kepadanya: “Wahai nabi Allah,
doakanlah supaya Allah menghilangkan  penyakitku ini.”
Kemudian beliau pun berdoa dengan menggunakan nama
Allah, lima di antaranya dalam bahasa Arab dan tiga
lagi dalam bahasa Siryani. Beliau membaca: “Ya Wahid,
Ya Ahad, Ya Somad, Ya Fardun, Ya Witrun. Beliau
menyebut tiga potong perkataan lagi yang saya sendiri
tidak tahu maknanya. Kemudian beliau menarik tanganku
sambil mendudukkan aku.Ketika itu rasanya penyakitku
sudah hilang. 

    Aku bertanya kepadanya: “Wahai nabi Allah,
Bagaimana pendapatmu tentang orang ini (saya sebutkan
Mirwan bin Muhammad), yang ketika itu menahan beberapa
orang ulama. Beliau berkata: “Bagaimana hubungan kamu
?” Aku menjawab “Wahai nabi Allah kalau aku berjumpa
dengannya dia berpaling. Dia tidak memberi sebarang
komen. 
Aku bertanya lagi: “Wahai nabi Allah,apakah sekarang
ini masih ada di dunia ini Al-Abdal. (wali-wali
Allah)?Beliau menjawab:”Ada” Mereka semua ada sebanyak
60 orang. 50 orang di kawasan Mesir sampai pantai
Furat, 3 orang di Masisah, 1 orang di Antokiah dan
yang lainnya di daerah Arab lainnya.” 

    Aku bertanya lagi:”Wahai nabi Allah, Apakah tuan
ada berjumpa dengan nabi Khidir?” Beliau menjawab “Ya
setiap musim haji kami berjumpa di Mina.” Aku
bertanya: Apa yang kamu lakukan jika berjumpa?” Beliau
menjawab: “Aku mengambil rambutnya dan dia pun
mengambil rambutku.” 

    Aku berkata kepadanya: “Wahai nabi Allah.
sebenarnya saya ini adalah orang yang hidup sebatang
kara, tidak mempunyai isteri dan anak. Kalau tuan
bersetuju biarlah saya ikut bersama tuan  ke mana
sahaja tuan pergi.” Beliau menjawab: Engkau tidak
sanggup berteman denganku.” 

    Ketika bercerita dengan beliau tiba-tiba aku
melihat satu hidangan makanan keluar dari akar pohon
itu kemudian diletakkan di hadapan beliau. Sementara
orang yang mengangkatnya tidak kelihatan. Dalam
hidangan itu ada tiga ketul roti. Beliau sudah
menghulurkan tangannya untuk makan makanan itu. Tetapi
tiba-tiba beliau belum jadi memakannya dan beliau
mengajak aku supaya sama-sama makan. 

    Saya duduk di sebelah beliau, kemudian beliau
berkata kepadaku: “Mulailah dengan Bismillah dan
ambilah dari yang terdekat kepadamu “Kami pun
memakannya bersama-sama. Selepas makan saya lihat
jelas dulang itu diangkat lagi tetapi tidak kelihatan
orang yang mengangkatnya. Kemudian didatangkan lagi
kepada beliau minuman tetapi tidak kelihatan orang
yang membawanya. Beliau membagi dua minuman itu,
separuh beliau minum dan separuh lagi beliau serahkan
kepadaku. Saya cuba minuman itu, oh rasanya cukup
lazat. Minuman itu lebih putih daripada susu dan lebih
manis daripada madu. Selesai minum saya letakkan
tempatnya. Tiba-tiba saya lihat terangkat lagi tetapi
tidak tahu siapa mengangkatnya. 

    Kemudian beliau memandang ke bawah (tempat yang
lebih rendah lagi), rupanya di situ sudah ada binatang
menunggu yang lengkap dengan tempat duduknya. Binatang
itu lebih besar dari keldai dan tidak sampai sebesar
baghal. Beliau berjalan ke arah tunggangan itu. Aku
kejar beliau dan aku minta supaya ikut bersamanya.
Tetapi beliau berkata: “Bukankah sudah aku katakan
bahawa engkau tidak sanggup mengikuti perjalananku?”
Saya merasa kecewa dan hanya mampu berkata: “ Kalau
begitu bagaimana caranya supaya saya berjumpa lagi
dengan tuan?” Beliau menjawab: “ Kalau betul-betul
ingin berjumpa denganku, kita akan berjumpa lagi
nanti.” Tambah beliau lagi: “Semoga engkau dapat
menjumpai aku lagi nanti pada bulan Ramadhan di Baitul
Maqdis dalam keadaan iktikaf.” Beliau pergi ke bawah
pohon dan aku ikuti dari belakang tetapi tiba-tiba
beliau menghilang.”  

Dipetik Dari Buku: Kisah Nabi Khidir a.s.  
Oleh: Al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalaniy 


> -----Original Message-----
> From:    Sani Norku [EMAIL PROTECTED]
> Sent:    Fri, 5 May 2000 02:36:07 -0700 (PDT)
> To:      [EMAIL PROTECTED], [EMAIL PROTECTED]
> Subject: Re: H-Net* Nabi Khidir dan Klentong Si
> Rahman
> 
> 
> ADAKAH NABI KHIDIR MASIH HIDUP ATAU TELAH WAFAT?
> 
> Jawapannya, wallahua'lam.
> 
> Namun itu bukan soal pokok dlm i'tiqad ASWJ.
> Kewafatan atau masih hidupnya baginda mungkin tiada
> dlm nas.
> Mungkin ada, tapi kita belum jumpa. Ilmu saya dan
> anda pun bukannya banyak sangat. Jadi kalau anda
> kata baginda telah wafat, tidak mengapa. Sebaliknya
> jika
> anda pula nak katakan bahawa baginda masih hidup pun
> tidak mengapa.
> 
> Tapi bila ia dikaitkan pula dgn org Sufi, maka
> tergerak pula saya utk menjawabnya.
> 
> Pertama, pada kali ini Rahman 'MENJUAL' nama Imam
> Bukhari dan Imam Muslim utk menyokong pendapatnya.
> Apakah benar kedua-dua Imam tersebut berpendapat
> begitu pun kita tak tahu. Yg penting, Rahman tak
> sertakan buktinya.[Ikut bahasa dia ... Rahman tidak
> menunjukkan keSAHIHannya].
> 
> Namun ingin saya bawakan sebuah hadis Nabi saw:
> Dari Abu Said Al Khudri ra katanya:
> "Rasulullah saw menceritakan kpd kami suatu cerita
> yg panjang mengenai dajjal. Antara lain baginda
> menceritakan: Dajjal itu datang, dia terlarang masuk
> ke Madinah. Kerana itu dia berhenti di sebuah kebun
> di pinggir kota. Pada hari itu datang kpdnya seorg
> lelaki dari golongan manusia yg baik. 
> Kata lelaki itu, "Aku dapat pastikan bahawa engkau
> adalah dajjal yg diceritakan oleh Rasulullah saw kpd
> kami."
> Kata dajjal kpd para pengikutnya, "Bagaimana
> pendapat kalian, jika kubunuh org ini, aku mampu
> menghidupkan kembali. Adakah kalian ragu akan hal
> itu?"
> Jawab pengikutnya, "Tidak!"
> Maka dibunuhnya lelaki itu, kemudiannya
> dihidupkannya kembali.Setelah hidup kembali, lelaki
> itu berkata kpd dajjal, "Demi Allah! sekarang aku
> lebih yakin bahawa engkau sesungguhnya dajjal"
> Dajjal hendak membunuhnya kembali, tetapi dia tidak
> berupaya melakukannya.
> Kata Abu Ishaq, "Lelaki itu ialah NABI KHIDIR
> ALAIHISSALAM". - Sahih Muslim
> 
> NAH! SEKARANG RAHMAN 'MENJUAL' PULA IMAM BUKHARI DAN
> IMAM MUSLIM DLM HUJAH DUSTANYA.
> 
> Jadi netters sekelian, 
> Tidak salah jika ada pihak yg mengatakan bahawa Nabi
> Khidir masih hidup. Dan tidak salah jika ada
> wali-wali yg dapat berjumpa dgn Nabi Khidir a.s.
> Malah bukan jin ataupun syaitan spt yg didakwa ole
> Si Rahman.
> 
> MALANGNYA RAHMAN DGN WAHABI-WAHABINYA, MUNGKIN
> DISEBABKAN KECELUPARAN MULUTNYA, MAKA MEREKA PUN TAK
> DAPATLAH ILHAM, KASYAF, MIMPI MUBASYIROH, YAQAZAH
> DLL.ALLAH TAK BAGI ILHAM DAN KASYAF. NABI PULA TAK
> DATANG DLM MIMPI MEREKA. NABI KHIDIR PUN TAK SUDI
> MENGUNJUNGINYA. LANTAS ... SEBAB IRI HATI, MAKA
> DIKATAKANLAH SEMUA ITU SEBAGAI BID'AH, SESAT DAN
> TIADA DLM NAS. DIJUALLAH NAMA ULAMA' MUKTABAR ZAMAN
> SALAFUSSOLEH TERMASUKLAH IMAM BUKHARI DAN MUSLIM.
> NAK TONJOLKAN DIRILAH KONON SBGI PAKAR HADIS.
> RUPANYA SAHIH BUKHARI DAN SAHIH MUSLIM PUN TAK
> KHATAM LAGI.
> TAK SEDAR BAHAWA ORG SELAMA INI CUMA MENYINDIRNYA
> SAJA, RUPANYA DIA TERPERASAN BETUL-BETUL SBGI PAKAR
> HADIS. KESIAN ...
> 
> ---KeranaPulutSantanBinasa----
> 
> 
> 
> 
> --- Abdul Rahman <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
> >    Assalamualaikum,
> > 
> >     Ramai orang, terutamanya orang Sufi, sering
> > mendakwa yang wali2 mereka BIASA berjumpa dan     
>  
> > bercerita dengan Nabi Khidir.  Adakah pendapat
> > ini BENAR???
> > 
> >     Mengikut Imam Bukhari dan Muslim, sekiranya
> Nabi
> > KHIDIR masih hidup sekarang ini, maka baginda     
>  
> > seharusnya telah KELUAR dan bersama2 dengan Nabi
> SAW
> > di PERANG BADAR untuk mempertahankan Islam kerana
> di
> > saat itu FARDHU AIN jihad.
> > 
> >     Ertinya dengan tidak keluarnya Nabi Khidir
> pada
> > waktu itu menandakan KEWAFATAN Baginda.
> > 
> >     Jadi, tak betullah pengalaman orang berjumpa
> > dengan Nabi Khidir.
> > Mungkin yang dijumpai itu adalah JIN atau SYAITAN.



__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com/

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Sani Norku <[EMAIL PROTECTED]>

Reply via email to