*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM yang dikasihi


              WALI ALLAH
       Berapa banyak keramatnya?


MEREKA dikatakan boleh berada di dua tempat pada suatu masa, berjalan di 
atas air, mempunyai pandangan kasyaf, malah bersemuka dengan Rasulullah SAW.

Mereka juga digambarkan hebat dalam ilmu agama dan kuat beramal ibadat. 
Amalan mereka lebih daripada insan biasa. Mereka istimewa, bukan sahaja di 
kalangan manusia tetapi Tuhannya.

Merekalah dikatakan Wali-wali Allah, manusia-manusia yang sering dilukiskan 
sebagai berkaramah, berkemampuan luar biasa, alim, lagi wara'.

Walikah mereka dalam maksud sebenar?

Wali yang berasal daripada perkataan "wilayah" bermaksud suatu kedudukan 
yang besar serta mulia dalam agama, dan ia hanya dapat dicapai oleh mereka 
yang melaksanakan agama zahir dan batin. Wilayah atau kedudukan mulia itu 
pula dapat dilihat daripada dua aspek. Pertama daripada seorang hamba atau 
Wali itu melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap Allah SWT.

Dia bukan sahaja menunaikan yang wajib dan meninggalkan yang haram, tetapi 
mengamalkan yang sunat serta menjauhi yang makruh.

Dalam hal-hal yang harus pula, dia bersikap berhati-hati. Perkara harus yang 
mencacatkan hubungan dengan Allah SWT juga akan ditinggalkannya.

Kedua, Allah SWT akan mengasihi orang itu dengan memberi pertolongan dan 
menetapkannya dalam istiqamah.

Perkara-perkara luar biasa atau karamah yang sering dikaitkan dengan 
seseorang, bukanlah syarat seorang Wali. Malah ia adalah perkara sampingan 
berupa pemberian Allah kepadanya.

Karamah bermakna kemuliaan. Ia dikurniakan sebagai tanda kemuliaan itu. 
Namun seorang Wali tidak semestinya memiliki karamah, dan keWalian seseorang 
tidak diukur dengan banyak atau sedikitnya kekeramatan.

Malah seorang Wali tidak perlukan karamah, kerana Wali hanyalah seorang yang 
melaksanakan perintah-perintah Allah SWT.

Dalam konteks ini, selepas Nabi Muhammad SAW, golongan yang melaksanakan 
perintah-perintah Allah ialah "khulafa ur-Rasyidin". Merekalah para Wali 
atau Aulia' dalam erti kata yang sebenar, sama ada ibadah khusus atau 
pelaksanaan syariat Islam.

Secara perbandingan, orang yang lebih taqarrub dengan Allah SWT, ialah para 
Sahabat bukan Tabi'in. Bagaimanapun Tabi'in lebih banyak dikurniakan karamah 
daripada para Sahabat.

Aulia' seperti para Sahabat tidak memerlukan perkara-perkara luar biasa 
kerana Iman mereka tebal, kuat dan mantap. Sebaliknya, orang-orang 
terkemudian dikurniai karamah untuk memantapkan Iman mereka.

Malang sekali, masyarakat kita tidak melihat mereka sebagai para Wali kerana 
terlalu mementingkan aspek kekeramatan Aulia'.

Sebab itu, Syeikh Abdul Qadir Jailani yang terkenal dengan amalan tariqat 
dan tasauf, lebih dikenali sebagai Wali berbanding "khulafa ur-Rasyidin".

Aspek karamah atau kebolehan-kebolehan luar biasa amat dititikberatkan oleh 
golongan Tasauf. Tetapi ada kalanya orang bukan Islam atau orang Islam yang 
tidak taat kepada Allah SWT juga mempunyai kebolehan-kebolehan tersebut.

Ia tidak dikatakan karamah dan mereka juga tidak tergolong sebagai Wali 
kerana jelas, Wali di sisi Allah SWT ialah mereka yang berIman dan bertaqwa 
kepada-Nya.

Karamah juga tidak berlaku mengikut kehendak seseorang. Sebagai contoh, 
tubuhnya tidak lut dimakan senjata kerana keinginannya menjadi kebal. 
Karamah pada Wali berlaku atas kehendak Allah SWT, dan bukan sesuatu yang 
dipelajari seperti ilmu kebal.


· Sifat Wali

Sifat-sifat keramat, iaitu mukmin dan bertaqwa. Dia tidak mengaku dirinya 
Wali, malah orang lain hanya menganggapnya baik sahaja. Yang pasti, seorang 
Wali mempunyai ilmu yang mantap mengenai prinsip-prinsip asas agama. Dia 
juga alim mengenai hukum-hakam syariat Islam, berakhlak mulia, serta 
mempunyai kewara'kan daripada melakukan perkara-perkara haram dan makruh.

Wali juga seorang yang ikhlas beramal mengikut jejak langkah Rasulullah SAW. 
Dia sentiasa takut kepada Allah SWT dan merasa rendah diri kepada-Nya, 
mengasihi orang lain serta sentiasa memberi nasihat, menjaga diri dengan 
melihat keaiban-keaiban sendiri dan perkara-perkara yang membawa kerosakan 
amalan.

Seorang yang dianggap Wali juga tidak meninggalkan sesuatu kewajipan  agama, 
dan tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan agama.

Jadi tidak mudah mendakwa atau kita mempercayai pengakuan seseorang itu Wali 
jika tidak mempunyai sifat-sifat di atas. Kelebihan seorang Wali ialah dia 
sentiasa dibantu oleh Allah di dalam urusan hidupnya, Allah akan sediakan 
kedudukan yang baik di akhirat, dia akan dipelihara daripada melakukan 
perkara-perkara maksiat, dan Malaikat memberi khabar gembira ketika nazak. 
Seorang Wali juga diperlihatkan oleh Allah Ta'ala perkara-perkara baik, sama 
ada secara "ilham" atau menerusi "mimpi-mimpi" yang soleh.

Allah SWT juga akan menerima doanya, dan Dia akan memperlihatkan 
perkara-perkara luar biasa untuknya di luar kemampuan manusia, mengikut 
kehendak-Nya.

Dalam masyarakat kita, aspek inilah yang begitu ditonjolkan pada seorang 
Wali, tanpa melihat ciri-ciri lain seperti keImanan, keilmuan dan ketaqwaan 
yang jauh lebih penting.

Contohnya, ramai orang yang meminta pandangan kasyaf daripada orang-orang 
"alim". Kebanyakan "pandangan kasyaf" itu bukanlah suatu karamah Wali, 
tetapi ilmu yang dipelajari.

Malah tidak semua Wali dikurniakan karamah. Sesetengahnya seperti manusia 
biasa, dan orang tidak menganggapnya Wali pun. Wali adalah insan yang patuh 
dan taat kepada Allah SWT zahir dan batin melaksanakan syariat-Nya mengikut 
posisinya. Di peringkat individu seorang Wali menjalankan tanggungjawab 
terhadap Allah dan sesama insan dengan baik, sambil melakukan amalan sunat 
serta meninggalkan yang makruh.

Seorang pemimpin bertaraf Wali pula akan melaksanakan tanggungjawab mengikut 
syariat Allah, contohnya para "khulafa ur-Rasyidin". Dalam konteks al-Qur'an 
dan Hadis, mereka adalah Aulia' sebab benar-benar melaksanakan Islam. Mereka 
tergolong sebagai Wali kerana membantu menegakkan agama-Nya.


· Peringkat Wali

Wali juga mempunyai peringkatnya, dari tertinggi, tinggi, pertengahan dan 
rendah. Peringkat tertinggi ialah para Nabi dan Rasul. Mereka diberi 
mu'jizat. Peringkat tinggi ialah golongan yang muqarrabin, terdiri daripada 
pengikut dan Sahabat para Nabi dan Rasul. Mereka mempunyai tingkat yang 
berbeza sebagaimana berbezanya tingkatan para Nabi dan Rasul.

Wali peringkat pertengahan ialah golongan yang berIman dan bertaqwa, terdiri 
daripada orang-orang yang sangat patuh kepada Allah. Manakala Wali peringkat 
rendah ialah lemah keImanan dan kurang patuh kepada Allah.

Ini berdasarkan kepada firman-Nya, yang bermaksud :

"Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di 
antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri 
mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara 
mereka ada (pula) yang lebih cepat berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang 
demikian itu adalah kurnia yang amat besar."

[Faathir : 32]


Dalam konteks itu, semua orang Islam adalah Wali Allah kerana mereka 
membantu melaksanakan syariat-Nya, cuma kedudukan mereka berbeza-beza. Wali 
yang menyambung tugas para Nabi pastilah golongan yang lebih berIman dan 
bertaqwa, sebagaimana disebutkan di dalam Al-Qur'an, bermaksud :

"Ingatlah sesungguhnya Wali-wali Allah itu, tidak ada kekhuatiran terhadap 
mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang 
berIman dan bertaqwa."

[Yunus : 62-63]


· Mencapai Kewalian

Kewalian pula, dicapai dengan dua cara sahaja. Pertama seseorang dipilih 
Allah dengan dikurniakan taufik dan hidayah daripada-Nya. Dia mendapat 
pelbagai ilmu tanpa usaha yang banyak. Allah memberikan ilham kepadanya 
untuk membezakan yang hak dan batil.


Berdasarkan firman-Nya, yang bermaksud :

"…Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberinya 
petunjuk kepada (agama)-Nya orang yang kembali (kepada-Nya)."

[Asy-syura : 13]


Kedua, keWalian didapati dengan usaha seorang hamba melaksanakan titah 
perintah Allah SWT dengan sungguh-sungguh. Manakala Dia-lah yang memberi 
taufik kepadanya agar berIman. Apapun mesti diingatkan, masyarakat perlu 
lebih berhati-hati mengangkat seseorang, terutama yang dianggap "alim" dan 
mempunyai keupayaan luar biasa, sebagai Wali Allah berkaramah.

Perkara yang lebih penting diperhatikan selain hal-hal luar biasa ialah 
keImanan, keilmuan, ketaqwaan dan amalan orang itu.

Diriwayatkan sebuah cerita yang berlaku kepada seorang murid pada zaman 
dahulu. Murid tersebut mendakwa dia masuk Syurga pada setiap malam selepas 
Isya'. Gurunya meminta untuk mengikutinya pada suatu malam. Ternyata pada 
malamnya, anak muridnya itu akan didatangi oleh seekor burung yang membawa 
mereka ke suatu tempat yang sangat indah ibarat Syurga.

Tetapi murid itu mengingatkan gurunya, sebelum subuh, mereka perlu pulang 
menaiki burung yang sama. Bagaimanapun menjelang subuh, apabila burung 
tersebut datang untuk membawa mereka pulang, guru itu enggan kerana katanya, 
mengapa dia harus pulang sedangkan dia sudah berada di Syurga? Orang yang 
sudah masuk Syurga tidak perlu pulang, katanya.

Setelah tiba subuh  dan kedengaran azan, tempat yang indah dan dikatakan 
Syurga itu hilang. Mereka sebenarnya berada di tempat pembuangan najis. 
Barulah si murid sedar bahawa perkara luar biasa yang dialaminya hanyalah 
mainan syaitan. Guru itu memberitahu anak murid itu bahawa dia sebenarnya 
telah ditipu iblis. Jelasnya, seorang yang telah mati sahaja yang boleh 
masuk Syurga. Burung yang membawa mereka datang sebelum azan Subuh itu 
hilang begitu sahaja kerana mendengar azan, sebagaimana iblis lari apabila 
mendengarnya.

Mengambil iktibar daripada kisah itu, adalah diingatkan, setiap orang yang 
mengalami atau melihat sesuatu yang aneh, mestilah mengukur pengalaman itu 
dengan neraca yang sebenar, yakni ilmu dan kitab Allah SWT. Begitulah dengan 
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, seorang ahli Tasauf yang terkenal, yang 
didatangi cahaya dan  dan suara menyatakan, "Wahai Abdul Qadir, engkau telah 
mencapai satu tahap yang tinggi, dan kami telah menghalalkan apa yang telah 
diharamkan."

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani kemudian menjawab, "Adakah engkau Allah?" 
Mendengar jawapan Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, cahaya dan suara itu pun 
hilang. Pada siang harinya, suara itu datang menyatakan, "Sebenarnya engkau 
telah telepas daripada ujian kami. Sengan ucapan itu kami telah 
menggelincirkan ramai orang."

Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani sedar bahawa suara tersebut adalah iblis. Ini 
menjadi peringatan kepada muqarrabin agar tidak merasa terpesona dengan 
dirinya. Manakala para pengikut dan orang awam, jangan pula menganggap 
seseorang terlalu hebat.


Lebih malang, ada yang sanggup mengasingkan diri untuk mendapatkan 
kebolehan-kebolehan luar biasa. Dalam hal ini adalah diingatkan, taqarrub 
mestilah ikhlas kerana Allah bukan sebab-sebab sampingan lain. Masyarakat 
harus lebih berhati-hati dan tidak terus mempercayai dakwaan mereka. 
Adakalanya orang yang mereka anggap guru, tidak menunaikan sembahyang atau 
melakukan perkara yang menyalahi syariat, dan tentulah tidak boleh dianggap 
Wali sebenar.

Juga diingatkan agar masyarakat tidak terkeliru dengan maksud keramat dan 
Wali. Setiap orang boleh diterima sebagai Wali apabila mereka patuh kepada 
ajaran Islam yang sebenar. Tidak seharusnya juga kita terpesona dengan 
perkara luar biasa kerana tidak semuanya boleh dikatakan karamah. Karamah 
adalah satu kemuliaan yang diberi Allah kepada seseorang.



          SEJARAH WUJUDNYA PARA WALI

Untuk berbicara mengenai konsep Wali, tiga istilah berikut perlu disentuh :

· 1)    Wali
· 2)    Nabi
· 3)    Rasul

Wali bersifat lebih umum. Nabi agak khusus, manakala Rasul lebih khusus. 
Dari sudut aqidah Islam sebagaimana yang dibicarakan dalam bidang Usuluddin, 
setiap Nabi itu adalah Wali dan setiap Rasul itu adalah Nabi dan wali. 
Tetapi Wali tidak semestinya Nabi dan tidak semestinya Rasul.

Islam, merupakan agama semua Rasul, bermula daripada Nabi Adam a.s. 
hinggalah kepada Nabi Muhammad SAW. Para Rasul dan Anbia''yang datang dari 
semasa ke semasa ini sememangnya membawa agama Islam.

Kemunculan Wali pula, jelas sudah sedia bermula dalam zaman lebih awal dari 
zaman Nabi Muhammad SAW. Wujudnya Wali kebiasaannya dihubungkan dengan 
soal-soal kekeramatan; ada unsur-unsur luar biasa yang muncul dari kalangan 
Wali berdasarkan kehendak dan izin Allah SWT.

Perkara ini contohnya berlaku dalam zaman Nabi Sulaiman a.s. dan dijelaskan 
dalam Al-Qur'an. Dalam proses pengIslaman Balqis, Nabi Sulaiman a.s. meminta 
singgahsana Balqis dibawa ke hadapannya. Tugas itu dilakukan oleh seorang 
manusia bernama Asif.

Dalam Al-Qur'an, Allah berfirman maksudnya :

"Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandai) : "Wahai 
pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku 
singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri 
memeluk Islam?"

Berkatalah 'Ifrit dari golongan jin : "Aku akan membawakannya kepadamu 
sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat 
gagah untuk membawanya, lagi amanah."

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah : "Aku 
akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!"

Setelah nabi Sulaiman a.s. melihat singgahsana itu terletak di sisinya, 
berkatalah ia : "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku untuk menguji adakah 
aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya…"

[An-Naml : 38-40]


Asif bukan Nabi atau rasul. Jika begitu bagaimana hendak ditafsirkan perihal 
kekeramatan atau keluarbiasaan ini?

Siapakah sebenarnya Asif? Dalam tafsiran, jelas beliau, dia disebut sebagai 
seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari kitab Allah. Oleh itu, nyatalah 
ia seorang soleh dan makbul doanya. Setelah berdoa ke hadhrat Allah, 
singgahsana Balqis dapat dibawa ke hadapan Nabi Sulaiman a.s. dalam sekelip 
mata. Asif seperti golongan Aulia' melakukan satu kerja luar biasa tetapi 
dia tidak termasuk dalam kategori Rasul dan Nabi. Sebab di dalam kategori 
Nabi atau rasul, keluar-biasaan ini akan diistilahkan sebagai mukjizat. 
Tetapi di kalangan Wali, ia merupakan hal-hal luar biasa yang diizinkan 
Allah dan diistilahkan sebagai keramat.

Begitu juga di dalam surah Ali Imran : 37, terdapat kisah Nabi Zakaria a.s. 
yang selalu masuk mihrab untuk menemui Maryam. Tiba-tiba dia melihat makanan 
terletak di pintu masuk ke kamar Maryam.

Alangkah terkejutnya melihat makanan di situ. Apabila ditanya kepada Maryam, 
dari mana datangnaya makanan tersebut. Maryam menjawab : "Makanan itu adalah 
daripada Allah. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya 
dengan tidak berhisab."

Jelas kelihatan unsur luar biasa yang boleh dianggap keramat, kerana Maryam 
bukan Nabi atau Rasul tetapi mempunyai kedudukan dan martabat tinggi di sisi 
Allah SWT. Jadi dari segi sejarahnya, Wali sudah muncul sejak zaman berzaman 
dalam sejarah manusia dengan kehendak Allah SWT, untuk memberi bukti 
tertentu bahawa orang berkenaan adalah orang yang disayangi Allah.


· Arab Klasik

Istilah Wali berasal daripada bahasa Arab klasik dan ia wujud di dalam 
Al-Qur'an sama ada dalam bentuk Wali atau Aulia'. Bermakna Wali memang sudah 
sedia ada di dalam perbendaharaan kata Arab. Ada beberapa potong ayat di 
dalam Al-Qur'an yang menyebut perkataan Wali atau Aulia.

Seperti firman-Nya, yang bermaksud :

"Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala 
alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapa pun yang 
dapat melindungi (min waliyyin) dan yang dapat memberi pertolongan."

[Al-Baqarah : 107]


"Ketahuilah! Sesungguhnya Wali-wali Allah (Aulia'), tidak ada kebimbangan 
(daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak 
akan berdukacita."

[Yunus : 62]


Menghurai secara terperinci mengenai  Wali ini, dari segi maknanya secara 
literal atau bahasa, ia membawa maksud kawan, penolong, pembantu dan 
pelindung. Ia juga membawa maksud dekat atau hampir, dalam pengertian dekat 
atau hampirnya seseorang dengan Allah apabila perkataan Wali dihubungkan 
dengan Allah, umpamanya Wali Allah.



Adalah diingatkan tentang wujudnya istilah "wali syaitan", yang bermakna 
orang yang berkawan, dekat atau hampir dengan syaitan dan memberi 
pertolongan kepada syaitan.

Dalam Al-Qur'an pula, perkataan Wali itu sebenarnya merujuk kepada dua 
keadaan :

· 1)    kepada Allah
· 2)    kepada manusia


Dari perspektif manusia, Wali merujuk kepada jenis orang yang begitu taat, 
begitu hampir dengan Allah, bersungguh-sungguh melakukan kerja yang disuruh 
dan meninggalkan yang dilarang, tidak pernah melakukan maksiat.

Dari perspektif lain, apabila dirujuk kepada Allah, ertinya Allah sebagai 
pelindung, penyokong, pembantu, pemberi segala-galanya kepada manusia, 
khususnya kepada orang yang berIman.

Ini dijelaskan-Nya di dalam Al-Qur'an, bermaksud :

"Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang berIman. Ia 
mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (Iman). Dan 
orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut, yang 
mengeluarkan mereka dari cahaya (Iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka 
itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya."

[Al-Baqarah : 257]


· Keramat Bukan Matlamat

Soal keramat adalah perkara sampingan dan bukan asasi. Bukan matlamat 
seseorang Wali untuk mendapat kekeramatan jika dia beramal dengan amalan 
tertentu. Apa yang mereka ingini hanyalah menghampirkan diri kepada Allah, 
terutama pada waktu tertentu muncul perkara luar biasa atau kekeramatan dari 
dirinya. Ia datang tanpa dirancang. Jika membaca kesusasteraan golongan 
Sufi, kita akan dapati dengan jelas bahawa mereka seboleh-bolehnya hendak 
meneyembunyikan keluarbiasaan yang ada pada diri mereka. Mereka tidak mahu 
mendabik dada, tetapi tawaduk. Mereka cuba mengelak daripada diketahui ramai 
jika ada unsur-unsur luar biasa wujud pada diri mereka.

Para Wali, kebiasaannya hanya akan menggunakan unsur-unsur luar biasa yang 
ada pada dirinya untuk membantu ummah, dan bukannya untuk kepentingan diri. 
Namun dalam keadaan lain, munculnya kekaramatan itu sebagai mengesahkan 
betulnya amalan mereka. Jika keluarbiasaan itu muncul secara tiba-tiba pada 
diri seorang Wali, ia memberi gambaran tentang betulnya amalan yang 
diamalkan dan betapa mereka begitu ikhlas.

Masalahnya, kebanyakan masyarakat di rantau ini memang sangat menggemari 
perkara-perkara luar biasa. Mereka cuba menyelesaikan masalah diri mereka 
melalui unsur-unsur luar biasa. Sebab itu bomoh amat popular di rantau ini. 
Mentaliti kebanyakan masyarakat hari ini cuba menyelesaikan masalah peribadi 
dengan menggunakan pendekatan misteri.

Keramat sepatutnya dihubungkan dengan orang yang hampir dengan Allah. 
Malangnya, dalam masyarakat Melayu kadang-kadang terdengar istilah buaya 
keramat, gajah keramat. Jika terdapat seekor buaya yang memiliki warna putih 
berbeza dengan buaya lain, dikatakan keramat. Ini sama sekali tidak tepat.

Dalam setengah keadaan, Allah memberikan sesuatu unsur luar biasa itu untuk 
mengesahkan tepatnya amalan seseorang itu, sedangkan orang berkenaan (Wali) 
tidak berapa mahu perkara sedemikian untuk kepentingan dirinya. Malah dalam 
setengah keadaan seorang Wali tidak tahu pun dia Wali. Walaupun dalam 
keadaan lain memang dia tahu dia Wali.


· I)    Pihak yang mengatakan tidak tahu dirinya Wali kerana bimbang akan
hilang unsur kegerunan, ketaqwaan dan ketakutan kepada Allah.

· II)   Pihak kedua mengatakan Wali boleh tahu bahawa dia Wali dan tidak 
timbul
soal kebimbangan seperti di atas, sebagaimana berlaku kepada 10 Sahabat yang 
diiktiraf masuk Syurga oleh Nabi Muhammad SAW.


Mereka tahu akan dimasukkan ke dalam Syurga, tetapi ini tidak pula 
menjejaskan amalan mereka. Oleh itu, tidak timbul persoalan penjejasan rasa 
taqwa kepada Allah SWT. Memang betul jika ada pihak mengatakan bahawa dalam 
setengah keadaan, Wali sendiri tidak tahu akan keWaliannya. Malah ada satu 
piahak yang berpendapat sememangnya Wali dirahsiakan keWaliannya oleh Allah 
kerana ia merupakan satu cabaran kepadanya, boleh menyebabkan dia mungkin 
menjadi bangga diri dan tidak takut kepada Allah kerana dia sudah begitu 
hampir atau dekat dengan Allah. Ini merupakan satu cabaran besar pada 
dirinya.

Cuma pada pandangan lain mengatakan ada Wali tahu akan keWaliannya, namun 
itu tidak bermakna dia akan menggunakan sewenag-wenang keWaliannya sebab 
merekalah kumpulan orang yang cukup rapat dengan Allah. Ciri-ciri Wali yang 
ada pada mereka menggambarkan betapa komitednya seorang Wali dengan Allah. 
Tidak mungkin boleh terjejas hanya kerana perkara-perkara kecil.



            6 CIRI MENGENAL WALI SEBENAR


Apabila tidak dapat mengecam Wali sebenar sebagaimana yang diiktiraf oleh 
Islam, maka ada dikalangan masyarakat Melayu yang terlibat dengan ajaran 
salah dan penyelewengan aqidah.

Mereka tidak dapat mengecam dengan baik sama ada orang yang dianggap sebagai 
guru kepada satu-satu ajaran itu sebenarnya boleh dianggap Wali atau tidak. 
Dalam keadaan tidak cam itu, mereka secara mudah menganggapnya sebagai Wali 
kerana dalam setengah kes orang yang menjadi guru itu sememangnya cuba 
menarik ramai orang termasuk ke dalam kumpulannya. Untuk itu, lazimnya guru 
berkenaan akan menunjukkan stu perbuatan yang kelihatan luar biasa untuk 
diiktiraf sebagai seorang yang memiliki keramat. Masyarakat Melayu harus 
faham, sihir juga dianggap luar biasa. Tetapi unsur sihir dilakukan oleh 
orang yang tidak rapat dengan Allah. Mungkin dia adalah "wali syaitan" yang 
melakukan kerja-kerja sihir.

Sehubungan itu Islam memberi beberapa petunjuk atau alamat yang perlu 
diketahui secara tepat siapa sebenarnya yang boleh dipanggil Wali Allah, 
iaitu :


· I)    Iktiqad - seorang yang boleh dianggap Wali semestinya betul-betul yakin
tentang kewujudan Allah. Iktiqadnya sudah berada pada tahap ihsan; iaitu dia 
melakukan kerja-kerja kebaikan dan merasa bahawa Allah sentiasa melihatnya.

· II)   Setiap tingkah laku atau perbuatannya mesti selaras dengan yang 
dikehendaki
Islam. Jika ada perkara-perkaar yang agak bertentangan dengan Islam dalam 
perbuatannya, maka keWaliannya perlu diragui.

· III) Kelakuannya semestinya selaras dengan kelakuan atau perbuatan 
Rasulullah
SAW.


Dalam menilai sama ada kelakuan seorang Wali itu selaras dengan akhlak 
Rasulullah SAW, masyarakat mesti berilmu. Sekiranya masyarakat Melayu tidak 
tahu tingkah laku Rasulullah SAW, bagaimanakah dia hendak menilai sama ada 
kelakuan seseorang itu tepat dengan akhlak Rasulullah?

Dalam sebuah kisah Sufi, Abu Yazid al-Bustami menolak keWalian seorang Wali 
yang sudah diiktiraf oleh masyarakat pada zamannya hanya apabila Abu Yazid 
melawatnya. Orang itu keluar dari rumahnya dan hendak melangkah ke masjid. 
Ketika itu dia meludah ke arah kiblat. Sedangkan itu bukan perangai 
Rasulullah SAW.

Walaupun masyarakat umum menganggap orang berkenaan  sebagai Wali, namun Abu 
Yazid al-Bustami menolak secara tegas keWaliannya kerana perbuatannya tidak 
mencerminkan keperibadian Rasulullah SAW.


· IV)   Ibadatnya penuh khusyuk, ikhlas dan benar-benar ditujukan kepada 
Allah.


Juga tidak dinafikan wujudnya kalangan orang Melayu yang berhadapan dengan 
masalah "ajaran sesat". Mereka terperangkap dengan orang-orang tertentu 
sehingga menganggap seseorang itu Wali hanya kerana dia melakukan 
kerja-kerja luar biasa sedangkan luar biasa itu mungkin sihir. Dalam 
setengah keadaan lain, dia mempamerkan diri sebagai seorang yang ikhlas dan 
wara'.

Orang boleh menunjukkan keluarbiasaannya dalam bentuk sihir dan dalam 
keadaan tertentu dia juga kelihatan wara', tetapi apabila diselidik secara 
terperinci kehidupannya, adakah ibadatnya bersifat ikhlas atau tidak. Jika 
kita benar-benar yakin dia ikhlas, baru boleh dianggap Wali.


· V)    Sentiasa melihat dirinya kecil, merendah diri, tidak mendabik dada 
apabila melakukan perkara luar biasa, sentiasa tawadhu', tidak menonjol diri 
dan tidak mencari peluang untuk menonjolkan diri.


Jika ada orang yang boleh menonjolkan sesuatu yang kelihatan luar biasa, 
tetapi dalam waktu yang sama cuba hendak menonjolkan dirinya hebat, maka dia 
tidak boleh diiktiraf sebagai Wali.


· VI)    Sentiasa redha dan sabar dalam menghadapi ujian Allah. Jika ditimpa 
bala tertentu, kita dapat melihat dengan jelas dia cukup redha dan sabar.


Ciri-ciri ini digunakan oleh Islam untuk memberi garis panduan kepada 
ummahnya supaya tidak terperangkap dengan Wali palsu. Hari ini, banyak 
kumpulan tertentu yang cuba hendak mempromosikan diri sebagai orang yang 
boleh menyelesaikan banyak masalah tetapi terlibat dengan amalan-amalan yang 
tidak sesuai dengan Islam. Untuk mengetahui secara tepat ciri-ciri dan sifat 
Wali memerlukan penelitian.


Wallahu ta'ala a'lam.......

TO BE CONTINUED....

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke