Monday, May 8, 2000

Syarikat penerbitan, percetakan 'Haraki' digeledah
Fathi Aris Omar

5pm, ISN: Kementerian Dalam Negeri tengah hari tadi menggeledah dua syarikat yang menerbitkan dan mencetak bahan-bahan penerbitan propembangkang. Seramai enam orang pegawai kementerian mengadakan operasi hampir serentak sekitar jam 3:30 petang tadi di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Tiga orang pegawai KDN merampas 10 naskhah pelbagai majalah yang diterbitkan oleh Dewan Muslimat Sdn Bhd.

Syarikat milik PAS ini menerbitkan majalah tidak berkala pada setiap awal bulan. Menurut pengarangnya, Suria Janib, sikap kementerian itu amat tidak wajar.

"Kami bingung kerana KDN tidak pernah mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai hal ini," katanya kepada malaysiakini dengan nada yang kecewa dan marah.

Menurutnya lagi, kementerian menjalankan operasi itu atas alasan bahan-bahan yang diterbitkan tidak mempunyai sebarang permit.

"Bagaimana kami mahu menulis (jika tidak melalui majalah yang dirampas itu), permit yang kami minta semuanya tidak diluluskan?" kata Suria, sambil mempersoalkan dasar kementerian berkenaan.

Pada September dan Oktober tahun lalu, syarikat itu memohon lima permit majalah tetapi permohonan itu ditolak pada bulan Februari lalu.

Sementara itu di Shah Alam, sebuah syarikat yang mencetak Haraki dilawati oleh beberapa pegawai KDN untuk siasatan bahan-bahan bercetak "tanpa permit." Akhbar tidak berkala ini diterbitkan oleh Penerbitan Pemuda di bawah pimpinan bekas pengarang majalah Detik yang kini diharamkan, Ahmad Lutfi Othman, minggu lepas.

Menurut satu sumber, Haraki mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan dicetak sehingga 80,000 naskhah.

Menurut seorang pengedar, akhbar Haraki juga dirampas di beberapa tempat di Shah Alam hari ini. Bagaimanapun, beliau tidak menyebutkan jumlah kedai yang terlibat.

Dalam operasi di kilang percetakan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd itu, tiga pegawai kementerian bagaimanapun tidak merampas sebarang bahan bercetak atau filem. Operasi siasat di kilang itu mendapat waran dari polis Shah Alam.

Malaysia semakin dikenali di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara yang mengamalkan undang-undang penerbitan yang "keras".

Sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad disenaraikan sebagai seorang daripada 10 "musuh kebebasan akhbar yang terburuk" di peringkat antarabangsa.

Permit akhbar mingguan Eksklusif yang digantung sejak 15 April lalu sehingga kini tidak diperbaharui.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke