*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Sebenarnya ada benyak perkara lagi akan saya tulis berkenaan topik ini. Untuk kali ini saya suka membuat beberapa cadangan supaya kita semua sebagai umat Islam (khasnya orang Melayu UMNO dan PAS) mengambil iktibar. Ada baiknya kita lupakan perbezaan parti seketika dan luangkan masa untuk fikirkan tentang generasi masakini dan generasi akan datang. Untuk memupuk minat dalam ilmu Matematik, tidak perlu kita terlalu fikir diri kita adalah lemah dan dhaif yang tidak setanding dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju. Fikirkan apa boleh kita buat dalam jangkamasa 10 tahun yang akan datang. Tidak perlu kita tunggu hingga tahun 2020 menjelang. Saya rasa semua kita yang berpendidikan tahu sekurang-kurang ilmu Matematik asas. Salah satu punca kelemahan anak-anak Melayu dalam bidang Matematik ialah persekitarannya tidak memerangsangkan mereka belajar Matematik. Faktor yang terdekat ialah ibupada mereka sendiri tidak mahu bercakap atau berbual tentang Matematik. Mungkin soal Matematik bukan sehangat topik politik dan cara menambahkan pendapatan. Soal Matematik adalah subjek yang berkaitan dengan pembelajaran di sekolah sahaja. Sudah lama pihak cendikiawan Melayu menyarankan supaya orang Melayu menjadikan Matematik sebagai salah satu budaya orang Melayu. Tetapi apakah cara dan perisian yang harus diberi kepada masyarakat Melayu supaya setiap individu, keluarga dan masyarakat Melayu boleh mengatasinya? Sekurang-kurangnya ada orang yang dapat mencadangkan sesuatu program yang bersifat jangkamasa panjang dan lebih berkesan. Saya rasa ramai dari kalangan kita ada cara-cara tertentu. Di sini saya mahu cadangkan beberapa cara: 1. Oleh sebab ramai orang Melayu sudahpun ada pendidikan Matematik Asas (Basic Mathematics) ke peringkat sekolah menengah, ada baiknya kita jangan merasa malu untuk belajar semula Matematik peringkat menengah. Saya sendiri sudah berumur 46 tahun, tetapi masih lagi membaca dan mengulangkaji Matematik Tingkatan Satu hingga Tiga (peringkat PMR). Cara yang baik ialah kita membeli buku-buku ulangkaji PMR Matematik, buatlah soalan-soalan pilihan, sekurang- kurangnya 10 soalan sehari. Tidak perlu kita merasa malu jika kita ditanya orang macam hendak ambil ujian PMR. Saya cadangkan kita gunakan buku-buku ulangkaji PMR kerana setakat ini, tidak ada buku-buku khusus seperti Algebra, Geometri, dsbnya yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Ini berbeza dengan masyarakat orang Barat. Mereka mudah mendapat buku-buku khusus yang dikenali sebagai "refresher courses" untuk orang-orang dewasa belajar Matematik. Salah satu tujuan orang dewasa di negara Barat membeli buku-buku "refresher courses" adalah untuk membolehkan mereka membantu anak-anak mereka belajar di rumah, sungguhpun mereka bukan orang- orang yang pakar dalam bidang Matematik. Kebanyakan mereka bukan guru-guru Matematik, tetapi mereka sentiasa belajar Matematik untuk "keep up-to-date" atau mengikut perkembangan zaman. Lebih- lebih mereka sendiri meluangkan masa bersama anak-anak di rumah mengajar Matematik sebagai hobi. Saya berharap itulah satu cara masyarakat Melayu boleh mengambil Matematik sebagai budaya hidup mereka. Orang kata, kalau hendak maju, tidak perlu kita rasa malu-malu. Ambil saja buku ulangkaji Matematik PMR, baca sambil lalu dan kemudian selesaikan beberapa soalan. Saya rasa Matematik peringkat PMR sudah cukup mudah. Cuma yang kita perlu ialah sikap rajin belajar. Perlu diingatkan di sini bahawa di negara Barat tidak ada kelas tuisyen. Mereka lebih seronok belajar secara "Teach Yourself", atau belajar secara kendiri. Sebab itulah mereka banyak mencetak buku-buku bersiri "...For Dummies", "...For Idiots"..seolah-olah orang-orang bodoh dan binggung boleh belajar berbagai ilmu jika mereka betul-betul berusaha. Kemudian tingkatkan pengetahuan dari PMR ke SPM, seterusnya ke STPM. Perlukan disebut bahawa TIDAK semestinya kita belajar Matematik adalah untuk mengambil peperiksaan. Saya menyebut PMR, SPM dan STPM kerana itulah bentuk buku-buku Matematik yang ada dalam Bahasa Melayu. Mungkin di satu masa kelak ada orang Melayu yang akan menulis buku "Algebra Linear" dan ramai orang Melayu akan mula membeli kerana tahap minda sudah boleh menilai dan menghargai buku-buku Matematik yang ditulis oleh orang Melayu sendiri. Saya rasa antara sebab ilmu Matematik kurang subur dalam masyarakat Melayu ialah kerana jika ada orang Melayu yang menulis sebuah buku Matematik, dia tentu tidak akan menjadi kaya. Ini berbeza dengan masyarakat Barat. Seorang ahli Matematik yang menulis satu jodol Matematik akan menjadi jutawan. Ini kerana untuk beberapa tahun seterusnya, bukunya akan diulang cetak beberapa kali. Buku yang dia tulis mendapat sambutan yang hebat. Kebetulan pada hari ini, saya telah menerima bungkusan daripada kedai buku online, http://www.powells.com. Namanya "CALCULUS" ditulis oleh Saturnino Salas, dicetak pada tahun 1978, sudah 22 tahun dahulu !! Untuk apa saya membeli buku yang sudah lapuk? Sebenarnya saya adalah dari kalangan orang yang suka membeli buku antik. Harganya RM120.00 Di sini ada satu lagi sikap orang Melayu yang tidak gemar membeli buku yang bermutu. Jika harga buku itu melebihi RM20.00, mungkin mereka teragak-agak untuk membeli. Tak apalah, mungkin ramai orang Melayu miskin. Kalau begitu, belilah buku-buku Matematik yang harganya lebih murah, asalkan yang dibeli itu buku Matematik. Sekali lagi, hapuskan sikap belajar kerana untuk menduduki peperiksaan. Belajarlah kerana menjaga maruah kita sebagai orang Islam yang disuruh oleh ugama kita sendiri agar melengkapkan diri kita dengan ilmu. Seboleh-bolehnya janganlah kita menjadikan diri kita sentiasa bergantung kepada orang-orang bukan Islam. 2) Untuk membiasakan anak-anak kita dengan ilmu Matematik, patut diadakan beberapa persediaan. Antaranya raungan khas pada rak buku satu koleksi buku-buku Matematik. Saya sendiri mempunyai perpustakaan di rumah yang meliputi bidang Biology, Chemistry, Physics, Psychology, Encyclopedia, Mathematics, Christian Theology, Bible, Buddhism, Literature (Sastera Inggeris dan Melayu), dan buku-buku ugama dalam bahasa Melayu dan Arab. Hampir separuh jumlah buku-buku saya adalah dalam Bahasa Arab (Tafsir Al-Qurthubi, Tafsir Ibnu Kathir, Fiqhul- Islami, Fatwa Ibnu Taimiyah, Ihya'ulumiddin Imam Al-Ghazali, kitab- kitab Jawi). Saya rasa buku-buku saya lebih banyak daripada apa yang dimiliki oleh Kassim Ahmad (ketua Anti-Hadith Malaysia). Saya sebut tentang buku-buku saya bukan untuk menunjuk betapa alimnya diri saya, tapi untuk memperkatakan bahawa walaupun saya sibuk membaca pelbagai ilmu, saya tetap meluangkan masa mendalami ilmu Matematik kerana saya menjadikannya sebagai salah satu budaya hidup saya. Sebab itulah saya berupaya membaca buku-buku sains and teori saintifik yang tinggi, semata-mata berdakwah kepada orang-orang yang bukan Islam. InsyaAllah saya akan ceritakan tentang pengalaman saya berdebat dengan orang-orang Barat di internet yang menyebabkan beberapa orang bukan Islam memeluk Islam. 3) Antara cara yang baik untuk membiasakan anak-anak kita belajar Matematik ialah menyediakan satu papanhitam atau whiteboard di rumah. Setiap hari, tulislah 2 hingga 3 soalan Matematik untuk dilihat oleh anak-anak kita. Kemudian tanyalah mereka untuk memandu mereka menjawab. Untuk amalan harian saya, saya menulis persamaan (formula) Matematik yang kompleks di papanhitam untuk diselesaikan oleh diri saya sendiri. Kadang-kadang ada pelawat yang datang ke rumah saya yang bertanya, "Adakah saudara mahu mengambil apa-apa peperiksaan? " Saya menjawab: "Tidak, sebenarnya saya jadikan Matematik sabagai amalan hidup saya." InsyaAllah akan bersambung. TIGER ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: Tiger <[EMAIL PROTECTED]>