*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Subject:
[islah-net] Isu Syahadah
Date:
Sat, 13 May 2000 03:42:29 GMT
From:
"Hafiz Firdaus" <[EMAIL PROTECTED]>
To:
[EMAIL PROTECTED]
Assalamualaikum waRahmatullah
Izinkan saya berkongsi pengetahuan bersama para netters berkenaan isu dua
kalimah syahadah yang dipertikaikan oleh GAH. Isu ini diusulkan oleh GAH di
website mereka www.ropelist.com > “asal-usul syahadah” dan ia juga menjadi
topik bicara di mailing list ahli sunnah vs anti hadith. Di mailing list
tersebut puan Latifah Abdul Wahab telah banyak mengemukakan hujah-hujah
ilmiah bagi menolak hujah-hujah GAH dan ahli-ahli GAH juga ramai yang telah
menjawab kembali, hanya sahaja jawapan mereka tidaklah ke mana melainkan
sekadar bermain-main di tepi air cetek, padahal mereka beramai-ramai
hanyalah melawan seorang sahaja ! Isu ini buat masa kini nampaknya tidak
dibicarakan di mailing list islah-net, tetapi saya rasa mungkin ada perlunya
diberi penjelasan kerana mungkin di kalangan netters yang telah mendengar
pertikaian syahadah ini atau yang telah melawat website ropelist tersebut
dan ingin tahu penjelasan yang lebih mendalam.
Penjelasan saya hanya akan berkisar pada beberapa perkara dasar, iaitu:
[1] Sejarah asal-usul dua kalimah syahadah.
[2] Adakah dua kalimah syahadah mempunyai asas di dalam al-Qur’an ?
[3] Adakah dua kalimah syahadah merupakan amalan syirik ?
[4] Adakah ucapan Nabi Ibrahim patut menjadi pilihan kita ?
Pertama
Sejarah asal-usul dua kalimah syahadah.
Isu asal-usul syahadah pertama kali dipertikaikan oleh A.J. Wensinck dalam
bukunya “The Muslim Creed” (Akidah Muslim) yang diterbitkan Cambridge Univ.
Press pada tahun 1932. Dalam bukunya, Wensick telah mempersoalkan isu
syahadah dan menurut beliau syahadah hanyalah direka-cipta oleh para sahabat
selepas kewafatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Buku ini asalnya
bukanlah membicarakan isu hadith, tetapi ia membicarakan isu dasar-dasar
akidah umat Islam, tidak lain bagi merobohkannya. Teori-teori Wensick ini
nampaknya telah diperkembang oleh GAH dengan berbagai hujah tambahan.
Dari sudut sejarah GAH menolak hadith syahadah kerana menurut mereka, ia
telah direka oleh Abu Hurairah sendiri. Menurut GAH, hadith tersebut boleh
didapati dalam kitab Mishkat ul Masabih, Jilid 1, Bab 1, hadis no. 27,
Terjemahan oleh Maulana Fazlul Karim. Penerbit: The Book House, Lahore,
Pakistan. Saya telah merujuk sendiri kitab tersebut dan mendapati hadith
yang dimaksudkan hanya berbunyi sebegini:
Abu Hurairah reported that the Prophet enquired: O Omar ! What has led you
to what you have done ? He said: O Messenger of Allah ! My father and mother
be sacrificed to thee ! Have you sent Abu Hurairah with you shoes (telling):
Whomsoever you meet with while he would be reciting “La ilaha illallah” out
of firm faith in his heart, give him good news of Paradise ? “Yes” replied
he. He said: Don’t do it, as I fear lest people may become idle over it. So
leave them to act. Then the Holy Prophet said: Leave them accordingly.
Demikian sahaja terjemah Maulana Fazlul Karim terhadap hadith Abu Hurairah.
Hadith ini juga boleh dirujuk kepada kitab asalnya, Sahih Muslim, kitab
al-Iman, no 0031. Sekarang bandingkanlah hadith ini dengan yang telah
disalin dan dipaparkan dalam website ropelist.com dan lihatlah sendiri
betapa banyaknya tokok-tambah yang telah dilakukan oleh mereka. Yang
terpenting adalah disebutkan bahawa Abu Hurairah mengajar syahadah yang
berbunyi: Asy hadu anlaa ilaha ilallahu wa asy hadu anna muhammadar
rasulullah, padahal yang benar adalah Abu Hurairah hanya mengajar ucapan “La
ilaha illallah”.
Maksud hadith ini, sebagaimana yang diterangkan dalam kitab-kitab syarh, dan
juga oleh Maulana Fazlul Karim di bahagian footnote bukunya yang sama itu,
adalah Umar berasa takut seandainya orang ramai mendengar hadith itu, mereka
akan menjadi malas untuk beramal atau lalai untuk menjauhkan perkara mungkar
kerana mereka mengganggap mereka akan pasti masuk syurga secara automatis.
Atas sebab inilah Umar melarang Abu Hurairah mengkhabarkan hadith tersebut
kepada orang ramai. Akan tetapi baginda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam
tetap membenarkan hadithnya itu disampaikan kepada orang ramai sekalipun
disebalik kerisauan Umar.
Para ahli menerangkan, bahawa orang yang menyebut “La ilha illallah” dan
membenarkannya di dalam hati mereka, akan masuk syurga, sebagaimana hadith
di atas. Tetapi jikalau orang tersebut melakukan dosa, seperti derhaka
kepada ibubapa umpamanya, dia akan diazab terlebih dahulu di dalam neraka
seimbang dengan dosa yang telah dilakukan, kemudian setelah itu dia akan
dimasukkan juga ke syurga akhirnya. Dia tidak akan berada di dalam neraka
selama-lamanya. Kefahaman ini adalah dengan merujuk kepada berbagai
hadith-hadith lain yang menerangkan sedemikian.
Hadith Abu Hurairah ini tiada kena mengena dengan dua kalimah syahadah
sepertimana yang didongengkan oleh GAH dalam artikel di website ropelist
tersebut. Malah yang didongengkan bahawa Umar memukul Abu Hurairah kerana
mengajar dua kalimah syahadah juga adalah tidak benar kerana pada hakikatnya
Umar al-Khattab sendiri yang telah meriwayatkan hadith berkenaan syahadah
tersebut dari Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Hadith ini sangat
masyhur, rujuklah kepada buku “Hadith 40 Imam an-Nawawi” - hadith no : 02.
Jadi bagaimana mungkin Umar memukul Abu Hurairah kerana kononnya membawa
cerita dua kalimah syahadah padahal Umar sendiri telah meriwayatkannya ?
Tentang asal-usul dua kalimah syahadah ini, GAH sebenarnya lupa bahawa ia
telahpun wujud sejak zaman awal Islam lagi. Dua kalimah syahadah wujud di
dalam azan yang setiap hari dilaungkan dan azan ini telahpun wujud pada
tahun pertama atau kedua hijrah, apabila turunnya ayat mensyari’atkan azan:
Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan
sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk
mengingati Allah..........[al-Jumaah 62:09]
GAH juga lupa bahawa dua kalimah syahadah telahpun wujud di dalam bacaan
solat, iaitu dalam bacaan tasyahud. Bacaan-bacaan di dalam solat ini
telahpun wujud sebelum turunnya ayat:
Wahai orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya)
sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa
yang kamu katakan. [an-Nisaa’ 4:43]
Ashabul Nuzul bagi ayat ini adalah bagi menegur perbuatan salah seorang
sahabat yang mengimani solat jamaah dalam keadaan mabuk (ketika ini arak
boleh diharamkan secara total) sehingga tersilap bacaannya.
Walaubagaimanapun lafaz ayat ini diturunkan secara umum bagi memberi
peringatan kepada semua orang Islam untuk benar-benar memperhatikan semua
bacaan-bacaan yang mereka lafazkan ketika sedang solat. Peringatan ini
memberi isyarat bahawa ketika turunnya ayat ini, bacaan-bacaan solat
telahpun diajar dan diselaraskan (standardise) oleh baginda Nabi. Kerana
seandainya ketika itu bacaan-bacaan di dalam solat masih belum diselaraskan,
tidak mungkin Allah akan menurunkan ayat ini memerintahkan umat untuk
memerhatikan bacaan-bacaan mereka ketika di dalam solat. Dan di antara
baccan-bacaan di dalam solat ialah bacaan tasyahud dan di dalamnya sendiri
terkandung dua kalimah syahadah.
Di sini saya tidak menyalin hadith-hadith yang mengajar ucapan syahadah
secara terperinci kerana menurut GAH, hadith tersebut direka-cipta selepas
kewafatan Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam. Adalah cukup dengan
sandaran kepada dua ayat di atas bagi membuktikan bahawa ucapan syahadah
telahpun wujud sejak dini di zaman Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam.
Dan dari kedua bukti di atas, iaitu syahadah di dalam azan dan bacaan
tasyahud, ia telah dibenarkan oleh beratus juta umat Islam selama 1400 tahun
lamanya. Justeru jikalau masih dipertikaikan hadith yang membenarkan ucapan
syahadah, sepertimana sindir Shaikh Rashid Risda, padahal ia telahpun
diamalkan oleh ratusan juta umat, maka hal sebenar yang dipertikaikan bukan
lagi kebenaran syahadah tetapi adalah indera-indera orang tersebut yang
tidak peka kepada ijmak umat seluruhnya. Di sini dikecualikan syahadah
beberapa mazhab Shi’ah tertentu yang telah menukar bentuk syahadah, tetapi
ini tidak menjadi masalah kerana mereka sendiri akui bahawa syahadah
tersebut mereka sendiri yang tukar (atau tambah) selepas berlakunya
pergolakan Ali dan Muawiyah.
Perbuatan jumhur umat Islam yang selari dengan ajaran Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam adalah menjadi dalil yang dibenarkan oleh
al-Qur’an sendiri, sepertimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasullah sesudah terang nyata kepadanya
kebenaran petunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain
dari JALAN ORANG-ORANG yang beriman, kami akan memberikannya kuasa untuk
melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami
akan memasukkannya ke dalam Neraka Jahanam; dan Neraka Jahanam itu adalah
seburuk-buruk tempat kembali. [an-Nisaa 4:115]
Kedua
Adakah dua kalimah syahadah mempunyai asas di dalam al-Qur’an ?
Firman Allah Tabaraka waTa’ala di dalam al-Qur’anul Karim yang bermaksud:
Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad) ? Dan Kami
telah meringankan daripadamu: bebanmu; Yang memberati tanggunganmu ? Dan
Kami telah MENINGGIKAN bagimu: sebutan namamu ? [al-Insyiraah 94:1-4]
Dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar, telah dinukil penerangan beberapa
sahabat dan tabiin, antaranya Abu Said al-Khudri, Ja’afar ibnu Muhammad
as-Sadiq, Ibnu Ata’ , Qatada dan Yahya ibnu Adam, bahawa maksud firman
Allah: “Dan Kami telah MENINGGIKAN bagimu: sebutan namamu” - adalah Allah
telah meletakkan nama Muhammad di sebelah namanya, iaitu di dalam bacaan
syahadah. [Lihat kitab Tafsir Ibnu Katsir, jld 9, ms 91 dan as-Shifa oleh
Qadhi Iyadh, ms 7-8]
Ayat ini menjadi asas dan dasar kepada kedudukan dan kebenaran syahadah di
dalam Islam. Manakala lafaz “Muhammadur-Rasululluh” adalah diterangkan
sendiri oleh al-Qur’anul Karim dalam surah al-Fath 48, ayat nombor 29,
rangkap yang pertama sekali. Sila lihat al-Qur’an kerana saya tidak dapat
menyalin teks Arabnya di sini.
Persoalan seterusnya, adakah al-Qur’an mengajar kita untuk bersaksi bahawa
Muhammad itu (sallallahu-alaihi-wasallam) adalah RasulNya ? Adakah perlu
kita “bersaksi” dan “menyaksikan” bahawa Muhammad adalah Rasulullah ?
Pertama-tama yang perlu diterangkan adalah, apabila kita menyaksikan
Muhammad adalah Rasul Allah, kita sebenarnya menyatakan keimanan, iktikad,
pendirian serta pegangan kita kepada risalah yang dibawa oleh beliau iaitu
agama Islam. Lafaz “asy hadu anna muhammadar rasulullah” bertujuan
melahirkan pegangan bahawa “aku beriktikad dan berpendirian bahawa Muhammad
adalah perutusan Allah dalam membawa risalah syari’atNya” Kita tidak
melafazkan syahadah untuk membenarkan kerasulan Mukammad kerana ia telahpun
dibenarkan sendiri oleh Allah. Kita melafazkan syahadah bererti kita
mengakui risalah yang di bawa oleh Muhammad sebagai syari’at agama yang
berasal dari Allah Azza waJalla dan kita menerima risalah tersebut di hati,
mulut dan anggota (mempraktikkannya).
Perbuatan syahadah atau bersaksi ini mempunyai beberapa contoh di dalam
al-Qur’an, antaranya adalah:
Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari
(tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka
sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?"
Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), KAMI MENJADI SAKSI".
Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak:
"Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat
tauhid) ini". [al-A’raaf 7: 172]
Dalam ayat ini Allah menerangkan pertanyaanNya kepada Bani Adam: "Bukankah
Aku Tuhan kamu?" Lalu Allah sendiri kemudian menerangkan jawapan mereka:
"Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Kenapa Allah memerlukan
persaksian Bani Adam ? Bukankah Allah tetap Tuhan Sekalian Alam samada
dengan persaksian atau tanpa persaksian Bani Adam ? Ayat ini tidak lain
menunjukkan bahawa yang dikehendaki oleh Allah dari hambaNya bukanlah
sekadar mengakui Dia adalah Tuhan mereka tetapi pengakuan ini menjadi asas
tauhid yang menjadi pendirian serta pengakuan mereka yang tersemat di hati,
terukir di mulut dan terbentuk di anggota.
Firman Allah dalam satu ayat yang lain:
Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang Hawariyiin (sahabat-sahabat
karib Nabi Isa): "Berimanlah kamu kepada-Ku dan kepada Rasul-Ku!" Mereka
menjawab: "Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahwa sesungguhnya kami
orang-orang yang tunduk patuh.” [al-Maidah 5:111]
Dalam ayat ini Allah mengkhabarkan kisah umat Nabi Isa alaihi-sallam yang
telah mengaku persaksian mereka kepada Allah. Kenapakah Allah menceritakan
persaksian ini padahal Allah sedikitpun tidak memerlukannya ? Ia tidak lain
sebagai memberi teladan kisah umat terdahulu yang telah menyatakan pendirian
serta iktikad mereka untuk beriman dan menerima risalah syari’at yang di
bawa oleh Nabi Isa alaihi-sallam.
Dua contoh di atas rasanya adalah mencukupi bagi menerangkan apakah maksud
sebenar kita “bersaksi” bahawa Muhamad sallallahu-alaihi-wasallam adalah
perutusan Allah Azza waJalla.
Adapun nukilan ayat pertama dari surah al-Munafiqun [63:1] oleh GAH bagi
membuat alasan kononnya orang yang “bersaksi” Muhammad adalah Rasulullah
sebagai orang munafik adalah sangat tidak benar. Saya menganjur para netters
sekalian untuk memahami seluruh ayat 1 tersebut hingga ke ayat 4, di mana
Allah sebenarnya menerangkan sifat orang munafik yang mengakui Muhammad
sebagai Rasulullah padahal pengakuan tersebut hanyalah bersifat pura-pura.
Adapun orang-orang yang mengakui Muhammad sebagai Rasulullah dan mereka
benar-benar berpegang teguh kepada pengakuan tersebut, maka mereka itu
adalah orang beriman yang sebenar, bukan orang munafik.
Akhir kata, tindakan kita mengucapkan lafaz “asy hadu anna muhammadar
rasulullah” membawa erti (1) kita mengakui Muhammad adalah Rasul yang
dilantik membawa risalah syari’at Allah (2) kita mengakui akan taat kepada
risalah tersebut kerana ia adalah risalah Allah. Ucapan “menyaksikan”
Muhammad adalah perutusan Allah sememangnya tidak terdapat di dalam
al-Qur’an secara “direct” tetapi perbuatan “menyaksikan” Muhammad sebagai
perutusan Allah sememangnya disuruh dan dibenarkan oleh al-Qur’an jikalau
difahami seluruhnya ertikata sebenar “persaksian” tersebut. Orang yang
membaca al-Qur’an secara harfiah atau “ala buku cerita” sudah tentu tidak
akan dapat mengetahui hakikat ini manakala bagi orang yang sering menelaah,
menelusuri, mengkaji dan memahami keseluruhan message al-Qur’an, mereka
pantas akan mengetahuinya.
Ketiga
Adakah dua kalimah syahadah merupakan amalan syirik ?
Seperti penerangan di perenggan atas, kita mengucap lafaz “asy hadu anna
muhammadar rasulullah” bukan dengan erti mempertuhankan Muhammad atau
mempersekutukanNya. Tidak ada sedikitpun isyarat atau petunjuk bahawa lafaz
kita itu memberi erti kita telah mempertuhankan Muhammad. Malah dalam
rangkap pertama dari syahadah tersebut kita telah mengucap: “Asy hadu anlaa
ilaha ilallahu” yang bererti “aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah.”
Lafaz ini menjelaskan iktikad serta pendirian kita bahawa: (1) bahawa
tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah, (2) tiada Tuhan yang layak
untuk kita taat serta tunduk patuh melainkan kepada Allah.
Keempat
Adakah ucapan Nabi Ibrahim patut menjadi pilihan kita ?
Antara perkara yang tidak difahami oleh GAH adalah bahawa risalah yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam ada beberapa
persamaan DAN ada beberapa perbezaan dengan agama-agama Allah terdahulu.
Persamaan-persamaan ini adalah dari sudut tauhid, yakni mengesakan Allah Azz
waJalla. Allah telah menerangkan kesamaan prinsip ini yang diajarkan oleh
KESEMUA rasul-rasulNya dalam dua ayat berikut:
Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang
Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah
Allah dan jauhilah Taghut. [an-Nahl 16:36]
Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun
melainkan Kami wahikan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu beribadatlah kamu kepada-Ku".
[al-Aniyaa’ 21:25]
Justeru, ayat-ayat yang dinukil oleh GAH dalam artikel mereka, antaranya:
Kemudian Kami wahikan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut
agama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan
tiadalah ia dari orang yang musyrik. [an-Nahl 16:123]
.........adalah menyangkut urusan mentauhidkan Allah Azza waJalla. Inilah
yang dikenali sebagai “monotheist” sebagaimana yang telah diterangkan oleh
GAH sendiri dalam artikel mereka itu. Adapun dalam urusan syari’at dan
perundangan, Allah telah berfirman yang maksudnya:
Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu
Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). [al-Maidah
5:48]
Jelas dalam ayat ini bahawa bagi setiap umat, syari’at mereka adalah
ditentukan oleh Allah secara khusus, sesuai dengan zaman dan peradaban umat
tersebut. Syari’at yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu-alaihi-wasallam
adalah syari’at yang khusus untuk umatnya. Di dalam syari’at tersebut ada
beberapa perkara yang baru secara keseluruhannya dan ada juga beberapa
perkara yang memiliki kesamaan dengan syari’at umat terdahulu tetapi dengan
beberapa perubahan dan pembaharuan.
Justeru apa yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim adalah khusus untuk beliau dan
umatnya, manakala apa yang diajar oleh Nabi Muhammad, iaitu dua kalimah
syahadah adalah khusus bagi umat Nabi Muhammad. Antara kedua ucapan tersebut
terdapat satu kesamaan, iaitu kedua-duanya menyatakan iktikad serta pegangan
bahawa Allah adalah satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan layak
ditunduk patuhkan. Di antara kedua ucapan tersebut juga memilki perbezaan,
iaitu kita taat menerima syari’at yang dibawa oleh Muhammad kerana beliau
adalah utusan Allah yang diutus untuk membawanya kepada kita.
Demikian juga, ayat-ayat al-Qur’an yang dijadikan dalil oleh GAH bahawa
kononnya Nabi Muhammad juga disuruh bersyahadah sebagaimana ucapan Nabi
Ibrahim adalah khusus berkenaan prinsip mentauhidkan Allah Azza waJalla.
Ayat-ayat tersebut (6:71 dan 40:66) perlu dibaca dan difahami secara
keseluruhannya. Ucapan-ucapan tersebut yang berbunyi: “Uslima li Rabbil
‘Alamin” tidaklah bercanggah dengan ucapan dua kalimah syahadah yang kita
ucapkan.
Ucapan dua kalimah syahadah yang diajar oleh Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam juga tidaklah bercanggah dengan apa-apa perintah
al-Qur’an, kerana ucapan kita asalnya adalah merupakan perintah Rasulullah
dan perintah Rasulullah itu adalah juga merupakan perintah Allah sebagaimana
yang telah dinyatakan berulangkali oleh Allah Azza waJalla di dalam
al-Qur’anul Karim.
Kesimpulannya adalah, kita sebagai umat Muhammad harus mengikuti risalah
yang dibawa oleh Nabi Muhammad, yakni ajaran Islam yang terkandung di dalam
al-Qur’anul Karim dan sunnah-sunnah beliau yang mulia. al-Qur’an telah
berulang-kali memerintahkan ketaatan kita kepada Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam dan ketaatan kita kepada beliau bererti ketaatan
kita kepada Allah, selari dengan firmanNya:
Sesiapa yang ta'at kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah ta'at
kepada Allah. [an-Nisaa 4:80]
Di dalam al-Qur’an memang adakalanya Allah menerangkan kisah-kisah Nabi dan
umat terdahulu, supaya kita dapat mengambil iktibar darinya. Allah telah
berfirman yang maksudnya:
Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan
yang menjelaskan, dan contoh teladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang
yang telah lalu SEBELUM KAMU, serta nasihat pengajaran bagi orang yang
(mahu) bertakwa. [an-Nur 24:34]
Contoh-contoh umat terdahulu boleh kita ambil teladan, tetapi ini tidak
seharusnya kita jadikan syari’at yang mengatasi syari’at yang dibawa kepada
kita oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam, kerana: “Bagi tiap-tiap
umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan
jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” [al-Maidah 5:48]
Jikalau hakikat ini kita fahami, nescaya tidak akan timbul persoalan
syahadah manakah yang harus kita ikuti dan ucapkan. GAH menolak syahadah
yang diajar oleh Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam bukan kerana ia
berlainan dengan ajaran al-Qur’an, tetapi semata-mata untuk meragukan lagi
umat Islam terhadap status kebenaran hadith, tidak lebih dari itu.
Seandainya dikatakan adanya hadith yang mengajar ucapan syahadah yang sama
seperti ucapan Nabi Ibrahim, GAH tidak akan membenarkannya tetapi hanya akan
berdiam diri, lalu akan ditujukan pula tumpuan kepada hadith lain yang bagi
ilmu mereka yang amat cetek, adalah bercanggah dengan al-Qur’anul Karim.
Sekian, wasallam.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: Abdul Rahman <[EMAIL PROTECTED]>