May 23, 2000

Anwar dijemput sertai majlis Agong?
‘Ein Azmi

5pm, SEL: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan isteri, Presiden Parti KeADILan Nasional Datin Seri Wan Azizah Ismail, menerima jemputan daripada Yang di-Pertuan Agong menghadiri satu majlis rasmi baginda pada 3 Jun ini.

Anwar dan Wan Azizah dijemput ke jamuan teh di Istana Negara sempena ulang tahun keputeraan baginda, jelas Setiausaha Agong Parti Keadilan Nasional, Mohd Anuar Tahir di satu majlis ceramah umum di Gombak semalam.

"Ini merupakan petanda baik menjelang pilihanraya kecil Teluk Kemang pada 10 Jun ini," kata Anuar, mengulas berhubung jemputan diraja itu.

Kad jemputan berwarna krim itu tertulis, "Bagi Menyempurnakan Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XI dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong: Datuk Paduka Maharaja Lela dengan segala hormatnya mempersilakan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Dato' Dr. Wan Ismail & Dato' Seri Anwar (Ibrahim)."

Majlis Jamuan Teh Diraja bersempena Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda itu diadakan di pekarangan Istana Negara jam 5 petang.

"Kita hendak melihat adakah Dr. Mahathir berani menyanggah titah Agong ini," kata Anuar lagi, disambut tepukan gemuruh kira-kira 1000 penyokong parti itu.

Sementara itu, menurut satu sumber Istana Negara, jemputan ke majlis itu dibuat kepada semua anggota Dewan Rakyat dan tidak bermotifkan politik.

"Baginda bertindak demikian kerana tidak mahu dianggap menyebelahi mana-mana pihak dan terpulanglah kepada pihak Jabatan Penjara Malaysia untuk memberi pelepasan kepada Datuk Seri Anwar nanti," jelas sumber itu yang tidak mahu dikenali kepada malaysiakini.

Menurutnya lagi, menjadi amalan biasa mereka yang mempunyai pangkat kebesaran seperti Tun, Tan Sri, setiap anggota Jemaah Menteri, anggota Dewan Rakyat dan pegawai tinggi kerajaan dijemput bersama pasangan masing-masing.

Format jemputan tetamu itu terkandung dalam satu senarai khas yang dikenali "senarai keputeraan persekutuan" dan diuruskan oleh Bahagian Protokol di Jabatan Perdana Menteri, jelas sumber itu lagi.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.

Reply via email to