*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


                  June 1, 2000

                  TANAHAIRKU


                  MT: Siapa pilihan
                  Mahathir?

                  Kuasa untuk melantik dan memecat
                  ahli Majlis Tertinggi terletak
                  sepenuhnya di tangan Presiden
                  Umno, Datuk Seri Dr Mahathir
                  Mohamad. Dalam
                  perlantikan-perlantikan lalu, beliau
                  menggunakan sepenuhnya budi
                  bicara sendiri untuk memilih
                  calon-calon yang dirasakannya layak
                  untuk mengisi 10 kekosongan dalam
                  jawatan tersebut.

                  Perlembagaan Umno
                  memperuntukkan 35 kerusi MT - 25
                  daripadanya diisi melalui pemilihan
                  dalam perhimpunan agung
                  manakala 10 lagi dilantik oleh
                  Presiden.

                  Kini Dr. Mahathir sedang berkira-kira
                  siapa yang layak dilantik bagi
                  mengisi 10 kekosongan itu.
                  Katanya, tidak semestinya
                  perlantikan itu diumumkan dalam
                  mesyuarat MT pada 5 Jun depan. Dr.
                  Mahathir kini mahu berunding
                  dengan timbalannya, Datuk Seri
                  Abdullah Badawi dahulu mengenai
                  perlantikan tersebut.

                  Seorang tokoh yang rapat dengan
                  ibu pejabat Umno berkata,
                  sebenarnya tidaklah terlalu sukar
                  bagi Dr. Mahathir memilih
                  tokoh-tokoh yang sesuai kerana
                  terdapat senarai panjang mereka
                  yang layak dilantik.

                  "Dilema beliau sekarang ialah untuk
                  memilih yang terbaik dengan tidak
                  menyinggung mana-mana pihak
                  terutama para penyokong di
                  peringkat akar umbi. Beliau
                  terpaksa membuat perkiraan teliti
                  bagi mengelakkan tohmahan
                  bahawa semua yang dilantik adalah
                  orang kuatnya," kata sumber..

                  Menurutnya lagi, Presiden Umno
                  perlu memilih tokoh-tokoh yang
                  dapat membantunya menguatkan
                  kembali parti yang semakin reput
                  itu. Tokoh-tokoh yang dilantik
                  hendaklah mereka yang diterima
                  oleh akar umbi, bukannya mereka
                  yang hanya tahu mengiyakan
                  kata-kata Presiden sahaja.

                  Sebanyak 25 kerusi telah diisi
                  mengikut selera atau kehendak para
                  perwakilan. Pemilihan itu dilihat
                  menggambarkan kehendak akar
                  umbi yang mahukan perubahan
                  dalam parti. Beberapa tokoh
                  kontroversi yang pernah tersisih
                  daripada arus perdana politik Umno
                  seperti Datuk Shahrir Samad dan
                  Datuk Ahmad Zahid Hamidi terpilih.

                  Pemilihan mereka tidak
                  mengejutkan kerana Umno sedang
                  dilanda arus baru. Sentimen dalam
                  parti mahukan perubahan besar
                  pada pucuk pimpinan tetapi hasrat
                  ahli Umno untuk melihat perubahan
                  yang ketara tidak tercapai apabila
                  MT "menasihatkan" jawatan
                  Presiden dan Timbalan Presiden
                  tidak dipertandingkan.

                  Walaupun terdapat percubaan untuk
                  mencalonkan Tengku Razaleigh
                  Hamzah sebagai Presiden atau
                  Timbalan Presiden, namun semua
                  usaha itu tidak berhasil. Ku Li tidak
                  mendapat jumlah pencalonan yang
                  mencukupi dan akhirnya beliau
                  tercicir. Beliau juga gagal
                  bertanding jawatan Naib Presiden
                  walaupun meraih 17 pencalonan. Ku
                  Li dilarang bertanding atas sebab
                  -sebab teknikal.

                  Oleh itu, para perwakilan yang tidak
                  puas hati dengan "nasihat" itu
                  membuat perubahan dalam barisan
                  MT. Hasilnya, tokoh seperti Shahrir
                  dan Zahid terpilih. Malah Datuk
                  Hassan Ariffin, bekas Timbalan
                  Menteri Besar Pahang yang rapat
                  dengan bekas Timbalan Presiden,
                  Datuk Seri Anwar Ibrahim turut
                  memenangi MT.

                  Tidak cukup dengan itu, perwakilan
                  juga menolak tokoh-tokoh yang
                  difikirkan rapat dengan Presiden.
                  Datuk Megat Junid Megat Ayub,
                  Datuk Shahidan Kassim, Datuk
                  Hamid Pawanteh dan ramai lagi
                  tokoh yang dilihat sebagai "pak
                  turut" tewas dalam pemilihan
                  tersebut.

                  Berdasarkan senario ini, Mahathir
                  mungkin terpaksa mengenepikan
                  beberapa tokoh yang disenanginya -
                  misalnya Megat Junid, Shahidan,
                  Datuk Isa Samad, Datuk Osu Sukam
                  dan Datuk Abu Hassan Omar -
                  daripada senarai ahli MT yang bakal
                  dilantik.

                  Osu tidak perlu dilantik kali ini
                  kerana sudah terdapat ramai wakil
                  Sabah dalam MT. Datuk Lajim Okin,
                  Datuk Shafie Afdal dan Datuk Salleh
                  Said Keruak sudah memadai untuk
                  mewakili suara negeri itu .

                  Menurut sumber pejabat Umno lagi,
                  Menteri Besar dan Ketua Menteri
                  tidak patut dilantik kerana status
                  mereka sebagai Pengerusi
                  Perhubungan Umno negeri sudah
                  melayakkan mereka menghadiri
                  semua mesyuarat MT. Tokoh-tokoh
                  lain yang tidak mempunyai saluran
                  untuk menghadiri mesyuarat MT
                  wajar dipertimbangkan oleh
                  Presiden.

                  Selain itu tindakan melantik mereka
                  yang telah ditolak oleh perwakilan
                  akan dilihat sebagai
                  membelakangkan kehendak ahli-ahli
                  parti. Presiden perlu mengambil kira
                  arus perubahan yang sedang
                  melanda parti itu.

                  Mahathir mesti sedar walaupun
                  gelombangnya belum cukup kuat
                  untuk menumbangkannya, namun ia
                  akan menjadi api dalam sekam yang
                  boleh memakan dirinya jika tidak
                  ditangani dengan baik.

                  Oleh itu beberapa tokoh baru yang
                  bersih dan "segar" perlu dicari.
                  Antara tokoh-tokoh yang
                  disebut-sebut akan dilantik ialah
                  Datuk Idris Jusoh dari Terengganu.
                  Beliau kini merupakan Timbalan
                  Pengerusi Perhubungan negeri.

                  Bekas Timbalan Menteri Perusahaan
                  Awam ini dilihat sebagai tokoh yang
                  mampu untuk memulihkan Umno di
                  Terengganu. Beliau dilihat sebagai
                  seorang yang bersih dan boleh
                  bekerja. Idris tidak membawa
                  stigma Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad
                  dalam permainan poilitiknya.

                  Seorang lagi tokoh yang
                  disebut-sebut bakal dipilih oleh Dr.
                  Mahathir ialah Menteri Besar Kedah,
                  Datuk Syed Razak Syed Zain. Beliau
                  tidak bertanding dalam pemilihan
                  agung lalu dan sebagai seorang
                  menteri besar yang baru, beliau
                  perlu dilantik ke MT sebagai
                  pengesahan terhadap
                  kedudukannya.

                  Pemerhati politik Umno juga
                  menjangkakan dua tokoh yang
                  tewas dalam pemilihan Naib
                  Presiden - Menteri di Jabatan
                  Perdana Menteri, Datuk Dr Rais
                  Yatim dan Menteri Besar Johor,
                  Datuk Abdul Ghani Othman - akan
                  terpilih.

                  Rais diperlukan kerana beliau
                  adalah seorang pakar
                  undang-undang. Nasihat dan
                  ideanya diperlukan Umno. Ghani
                  pula dilihat sebagai cendekiawan
                  dalam parti. Oleh itu beliau
                  diperlukan bagi mendapatkan input
                  intelektual.

                  Selain daripada nama-nama
                  tersebut, tokoh-tokoh pergerakan
                  Wanita Umno seperti Datuk Dr. Siti
                  Zaharah Sulaiman, Datuk Shahrizat
                  Jalil dan Dr. Noraesah Mohamad
                  juga disebut-sebut akan terpilih.

                  Zaharah perlu dilantik jika Dr.
                  Mahathir mahu menjaga hati para
                  penyokong bekas Ketua Wanita itu.
                  Kekalahannya dengan 12 undi
                  dalam pemilihan baru lalu
                  membuktikan pengaruh beliau
                  masih kuat.

                  Dr. Mahatahir juga perlu melantik
                  Zaharah bagi membuktikan beliau
                  benar-benar serius untuk
                  menyatukan ahli-ahli Umno.
                  Perpecahan dalam Wanita ekoran
                  dari tindakan ketuanya, Datuk Seri
                  Rafidah Aziz memancung pengikut
                  Zaharah dalam perlantikan jawatan
                  ketua-ketua wanita negeri perlu
                  diubati.

                  Shahrizat dan Dr. Noraesah mungkin
                  dilantik untuk mengisi kekosongan
                  wakil wanita dalam MT. Semua
                  calon wanita tewas dalam pemilihan
                  MT lalu. Perwakilan wanita telah
                  mendesak Presiden supaya
                  beberapa wakil mereka dilantik.
                  Mahathir tidak boleh lari daripada
                  menimbangkan desakan itu

                  Para pemerhati politik juga
                  mengingatkan bahawa Presiden
                  mungkin akan membuat kejutan
                  apabila melantik ahli-ahli MT.
                  Jangan terperanjat, misalnya Ku Li
                  atau bekas penyakong kuat Anwar,
                  Datuk Afiffuddin Omar terpilih walau
                  mereka menunjukkan sikap
                  menentang Dr. Mahahthir.

                  Walaupun kedua-duanya tidak
                  begitu disenangi, namun
                  pemilihannya akan dapat membantu
                  membersihkan dan memulihkan imej
                  Perdana Menteri. Dr. Mahathir boleh
                  menunjukkan kepada ahli Umno
                  bahawa beliau tidak berdendam dan
                  lebih mengutamakan parti daripada
                  perasaannya sendiri.

                  Selain itu jika Dr. Mahathir
                  bercadang untuk membawa lebih
                  ramai orang-orangnya dalam MT,
                  mungkin perlantikan Ku Li dan Dr.
                  Affifuddin dapat mengimbangi
                  pemilihan berat sebelah beliau itu.

                  Selain spekulasi mengenai
                  pelantikan MT, mesyuarat pertama
                  majlis itu pada 5 Jun depan juga
                  dijangka akan membincangkan
                  perlantikan Ketua Penerangan Umno
                  yang baru. Jawatan itu dulu
                  disandang Datuk Dr. Yusof Noor.

                  Nama yang disebut-sebut akan
                  mengambil alih jawatan ialah Naib
                  Presiden Umno, Tan Sri Mohamad
                  Mohd Taib. Memandangkan beliau
                  adalah Naib Presiden sepenuh masa
                  dan rapat dengan akar umbi,
                  jawatan itu dirasakan sesuai
                  untuknya.

                  Mahathir terkenal dengan sikapnya
                  yang suka membuat kejutan. Oleh
                  itu kemungkinan ini tidak boleh
                  ditolak.


                  AMAN RAIS adalah bekas wartawan
                  yang pernah berkhidmat dengan
                  beberapa akhbar arus perdana.
                  Beliau meninggalkan kerja sebagai
                  "pelapor berita-berita prokerajaan"
                  dan memilih menjadi wartawan
                  bebas bagi mencari wadah
                  perjuangan yang lebih terbuka dan
                  berkesan.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>

Reply via email to