Terengganu telah tunaikan menifestonya
Oleh RAHMAT HARUN
Wartawan Roket

Kuala Lumpur, 7 Jun (Hrkh) - Akhbar Roket milik DAP telah menyiarkan satu tulisan menarik mengenai kerajaan Terengganu dalam keluaran terbarunya yang akan terbit Jumaat ini. Berikut disiarkan tulisan wartawan Roket, Rahmat Harun mengenainya.

Program pengukuhan ekonomi dalam Manifesto Bersama BA bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat dengan menghapuskan cukai, menghapuskan kemiskinan total, membantu peniaga kecil dan penjaja serta memperbaiki perkhidmatan awam.

Dalam kerangka pengukuhan ekonomi ini juga digariskan langkah-langkah bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan adil.

Kerajaan Negeri Terengganu sebenarnya telah menunaikan janjinya kepada rakyat dalam kempen pilihan raya umum lalu apabila telah menaikkan kadar bantuan am kepada rakyat miskin, berkuatkuasa April lalu.

Bantuan kepada penduduk miskin dinaikkan kepada minimum RM100 sebulan berbanding RM50 atau RM60 seorang sebelum ini. Manakala bantuan bagi keluarga miskin pula diberi antara RM60 hingga RM250 sebulan bagi setiap keluarga bergantung kepada bilangan keluarga berkenaan.

Untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan dalam pengagihan bantuan, kerajaan negeri telah melaksanakan langkah pemutihan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang menerima bantuan.

Kenaikan kadar bantuan am ini selaras dengan matlamat untuk menghapuskan kemiskinan mutlak.

Langkah yang paling drastik untuk menghapuskan beban rakyat ialah dengan menghapuskan tol Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Walaupun ia mengorbankan pendapatan kerajaan negeri sebanyak kira-kira RM4.6 juta setahun tetapi kepentingan rakyat perlu dihormati.

Malahan ia lebih penting dari keuntungan wang ringgit semata-mata. Bagi mengurangkan beban cukai terhadap rakyat kerajaan pimpinan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah menghapuskan langsung pengenaan cukai pintu.

Cukai menjadi beban berat yang perlu dipikul khususnya untuk golongan rakyat bawahan. Bagi membantu peniaga kecil dan penjaja pula, Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) sedang membina gerai baru di tanah persendirian dan milik kerajaan bagi memberi peluang peniaga mendapat premis perniagaan yang lebih sempurna.

Jaminan pula telah diberikan bagi menyelesaikan masalah perparitan yang kurang sempurna dan menambah lampu jalan bagi keselesaan peniaga.

Menurut kerangka Manifesto Bersama BA terdapat jaminan pertumbuhan ekonomi yang adil dan dinamik.

Yang mana pemantapan sistem kewangan adalah amat penting. Untuk itu kerajaan PAS di Terengganu memperkenalkan sistem pinjaman kerajaan Qardul Hassan.

Yang mana dalam sistem ini, bayaran faedah sebanyak 4% setahun bagi pinjaman kerajaan konvensional dihapuskan. Ini menandakan kerajaan Terengganu bersungguh-sungguh dalam memperkemaskan sistem kewangan dalam negeri yang bersifat adil, telus, bertanggungjawab serta tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam.

Peningkatan daya saing di pasaran global dengan mempertingkat pelaburan domestik dan peluang ekonomi yang saksama adalah langkah-langkah yang diunjurkan dalam Manifesto Bersama BA.

Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan negeri Terengganu sedang berusaha untuk menarik sekurang-kurangnya 75 projek pelaburan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RM8) bagi mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan.

Apatah lagi dengan siapnya Kompleks Petrokemikal Bersepadu Petronas di Kertih, Terengganu akan menerokai peringkat hiliran kegiatan petrokimia, bagi membantu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Tanda-tanda kegemerlapan Terengganu sebagai pusat pelaburan terbukti apabila dikunjungi rombongan daripada pelbagai syarikat multinasional dari Britain pada bulan April yang lalu.

Hal ini juga membuktikan keyakinan para pelabur untuk melabur dalam pelbagai bidang di Terengganu. Pelaburan domestik yang bersepadu akan dapat mengembangkan perusahaan yang sedia ada.

Peningkatan ketelusan dan akauntabiliti adalah garis besar reformasi politik dan pentadbiran dalam Manifesto Bersama BA. Ini kerana keperluan proses pemerintahan yang lebih demokratik amat mendesak.

Ketelusan serta akauntabiliti perlu diterapkan ke dalam semua aspek pentadbiran kerajaan, tanpa mengganggu gugat kelicinan pentadbiran.

Langkah kerajaan PAS Terengganu menubuhkan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) membawa arah perjalanan politik yang lebih adil dan demokratik.

Dengan berlandaskan al-Quran dan Hadis, JSR menghidupkan kembali partisipasi rakyat dalam proses politik secara langsung dan proses pembuatan keputusan berhubung dengan dasar serta polisi pentadbiran kerajaan negeri.

JSR berfungsi sebagai corong saranan, teguran dan pandangan rakyat serta dapat memantau ketelusan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri. Oleh yang demikian, pemerintah akan sentiasa bertanggungjawab terhadap permasalahan rakyat.

Dengan itu wujudlah apa yang dinamakan check and balance. Dalam Manifesto Bersama BA dijalin satu kontrak sosial yang baru antara pemerintah dan rakyat yang mana, keutamaan akan diberikan terhadap keperluan dan kepentingan rakyat. Ia merangkumi aspek pendidikan,kesihatan, perumahan, hak pekerja, hak wanita dan program belia.

Menyedari hasrat bahawa pendidikan merupakan antara tiang seri utama kekuatan negara, Kerajaan Pas di Terengganu memandang serius langkah-langkah yang diatur bagi menganjak perubahan yang dapat memanfaatkan kepentingan rakyat umum.

Selaras dengan itu kerajaan negeri telah memperuntukkan perbelanjaan pendidikan supaya lebih seimbang dan adil melalui perluasan pemberian bantuan kewangan dan biasiswa kepada semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi awam atau swasta, dalam mahupun luar negeri.

Di atas kesedaran bahawa pendidikan rohaniah dapat membentuk keperibadian insan yang mulia.

Kerajaan pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga menggalakkan pertumbuhan serta memperuntukkan bantuan kepada sekolah Agama Rakyat.

Pemberian cuti bersalin kakitangan kerajaan bagi kaum wanita selama 90 hari manakala bagi lelaki (suami) selama 7 hari merupakan usaha murni Kerajaan PAS di Terengganu yang menghormati hak kaum wanita juga hak sebagai seorang pekerja.

Selain dari itu, ia juga bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan.

Polisi buruh PAS di Terengganu tidak dapat disangkal lagi telah dengan progresifnya melangkah satu langkah ke hadapan berbanding negeri-negeri di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Peruntukan hari bekerja lima hari seminggu dan dua hari cuti (Jumaat dan Sabtu) mengiktiraf sumbangan pekerja sebagai faktor ekonomi terpenting pengeluaran negara.

Rumah merupakan keperluan asasi rakyat seperti mana yang terkandung dalam Manifesto Bersama BA. Mendukung semangat dan kepentingan rakyat Kerajaan PAS telah mewujudkan konsep setiap satu keluarga mempunyai rumah kediamannya sendiri.

Sebagai langkah permulaan beribu lot tanah akan diagihkan segera kepada rakyat di daerah Setiu di bawah skim pertapakkan perumahan. Ribuan lot tanah di Setiu, sebelum ini semasa di bawah pemerintahan BN telah diklasifikasikan sebagai tanah haram.

Memahami kehendak dan keperluan rakyat, kerajaan PAS di Terengganu melupuskan tanah tersebut kepada rakyat. Selesai meneliti garis-garis besar berhubung dengan rancangan dan program dalam Manifesto Bersama BA.

Maka jelaslah bahawa kerajaan PAS di Terengganu di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memegang kepada persetiaan yang diikat bersama dengan parti-parti lain dalam komponen BA sewaktu pilihan raya umum 1999 yang lalu.

Meskipun ada beberapa agenda yang masih belum terlaksana. Namun demikian kerajaan PAS telah berjaya menyelesaikan sebahagian besar persoalan fundamental hak rakyat dengan pelaksanaan program dan rancangan yang bersesuaian dengan Manifesto Bersama Barisan Alternatif.

Amanah rakyat yang diberikan terhadap kerajaan PAS Terengganu tidak disia-siakan. Ianya bukan setakat menaburkan janji-janji manis semasa pilihan raya sepertimana yang dilakukan oleh ke semua parti-parti komponen BN.

Selesai pilihan raya janji entah ke mana dan kata hanya tinggal kata. Sebagai suatu penghormatan kepada undi rakyat Terengganu yang membuat pilihan bijaksana, Parti PAS dan BA mengotakan kata-kata dan melaksanakan janji-janjinya.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Photos -- now, 100 FREE prints!

Kirim email ke