*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ -KENYATAAN MEDIA- DATO’ HAJI FADZIL MOHD. NOOR KETUA PEMBANGKANG 27 JUN 2000 ‘MAHATHIR JANGAN POLITIKKAN GANGSTERISME DI SEKOLAH’ Masalah displin di sekolah-sekolah memang satu isu yang amat serius sehingga mencapai tahap yang membimbangkan semua pihak. Inilah bukti jelas kegagalan dasar pendidikan kerajaan BN yang sangat dibangga-banggakan itu. Walaupun pelajar sekolah diajar supaya menerima nilai-nilai baik tetapi nampaknya ini semua hanya retorika semata-mata. Ini kerana contoh yang ditunjukkan oleh pihak lain terutama orang dewasa yang berpengaruh dalam masyarakat tetapi menjadi ikutan oleh para remaja termasuk pelajar sekolah. Kenyataan Dr Mahathir bahawa pelajar menjadi liar adalah akibat daripada pengaruh gerakan luar seperti reformasi adalah meleset samasekali. Sebenarnya pelajar mendapat ilham untuk melakukan perkara-perkara buruk setelah melihat gelagat pemimpin-pemimpin masyarakat terutama ahli politik pemerintah dan mereka yang biasa dianggap pelindung ketenteraman dalam masyarakat khususnya pihak polis. Juga tidak keterlaluan jika pengaruh media massa yang menonjolkan keganasan turut menyumbang kepada tingkahlaku ganas para pelajar kita sekarang. Kalau pelajar menumbuk pelajar lain apakah ia tidak boleh dikaitkan dengan tindakan bekas ketua polis negara menumbuk bekas timbalan perdana menteri atau seorang bekas menteri besar menumbuk kakitangan MAS di KLIA tidak berapa lama dahulu? Kalau pelajar mengugut pelajar lain mungkinkah mereka dipengaruhi oleh perdana menteri sendiri yang dikatakan mengugut pegawai tinggi BPR supaya tidak meneruskan siasatan ke atas seorang ketua jabatan kerajaan? Dan jika seorang pelajar menyertakan sebutir peluru hidup bersama kad ucapan kepada gurunya apakah ia tidak belajar daripada tindak-tanduk pihak polis yang mengacukan pistol keatas kepala penunjuk perasaan dalam siri tunjuk perasaan aman satu ketika dahulu? Yang anehnya polis sendiri mengesahkan ayah pelajar terbabit itu sendiri seorang polis. Sebenarnya Dr Mahathir cuba mengalihkan pandangan rakyat daripada masalah asas yang melanda sistem pendidikan dan persekolahan negara kita. Seorang yang waras pastinya akan menolak kenyataan Dr Mahathir. Masalah displin di sekolah-sekolah sudah wujud sekian lama, tetapi media massa pro-UMNO memilih untuk menonjolkan isu ini ketika ini untuk memberi ‘senjata’ kepada Dr Mahathir menyerang massa yang menentang pentadbiran beliau yang sangat korup itu. Barangkali Mahathir fikir bahawa teori rekaan beliau bahawa ada usaha-usaha untuk ‘menjatuhkan Malaysia’ (sebenarnya mengusir beliau) akan lebih bermakna dan ‘credible’ jika semua masalah yang dihadapi dipersalahkan ke atas ‘pihak-pihak yang mahu mengancam kedaulatan Malaysia’. Diagnosis yang dibuat oleh Dr. Mahathir terhadap masalah ini adalah salah. Selagi Dr. Mahathir berpegang kepada diagnosis yang dibuatnya ini, pasti gejala gangsterisme ini tidak akan dapat dirawat. Dr. Mahathir hanya menipu dirinya sendiri dan pemikiran rakyat pula cuba diselewengkan. Rakyat Malaysia tidaklah begitu naif untuk menerima bulat-bulat kenyataan dangkal seumpama itu. Dato’ Haji Fadzil Mohd. Noor Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>