*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
KISAH MEMALI - Part 4

Assalamualaikum,

(Meneruskan cerita Memali)

Dlm part 3, kita menceritakan bagaimana al-syahid telah mengasaskan penubuhan
Madrasah Islahiah
Diniah, Memali, dan kita juga menceritakan latarbelakang pendidikan dan
kerjaya beliau yang bukan
sebarangan. Kali ini, kita lihat pula beberapa peristiwa penting yang berlaku
sebelum hari kejadian
tanggal 19 November 1985.

Sekitar pertengahan tahun 1980an, kebangkitan Islam di Malaysia telah
menyaksikan peralihan
pucuk pimpinan PAS daripada kumpulan yg berbau Nasionalist kepada kumpulan
Ulamak di bawah
pimpinan Tuan Haji Yusuf Rawa. Sejajar dengan kebangkitan itu juga, muncullah
penceramah-penceramah jenis 'membujur lalu melintang patah, tak takut pada
ugutan, tak takut pada
celaan' seperti Ustaz Hj Hadi Awang, Ust Ghazali Abdullah, Mat Sabu, Bunyamin
Yaakob dan
lain-lain. Masih saya ingat, saya sempat melihat poster 'Amanat Haji Hadi'
tergantung megah di
rumah salah seorang hardcore PAS di pedalaman Kedah. Sudah lama saya tidak ke
rumah beliau,
teringin rasanya nak melihat semula poster itu.

Ceramah-ceramah PAS pada ketika itu memang hangat, memang panas dan selalu
mendapat
sambutan ramai. Perbezaan akidah antara perjuangan PAS dan UMNO diterangkan
satu persatu;
dan sama ada kita suka atau tidak, kejahilan masyarakat terhadap sistem hidup
dan sistem
undang-undang Islam ketika itu telah menyebabkan keluarnya kenyataan-kenyataan
balas terhadap
isu ini - yang terang-terang boleh membatalkan syahadah, seperti:

"HABIS TU, KALU SEMUA ORANG KENA POTONG TANGAN, SIAPA PULA NAK GI
MENOREH?" atau "HUDUD, ZAMAN UNTA BOLEH LA!!".

Bagi mereka yang menerima pendedahan terperinci mengenai sistem hidup Islam,
both
hablum-minallah dan hablum-minannas, mereka jadi kaget dengan ucapan-ucapan
yang sedemikian.
Kerana mereka tidak punya kuasa untuk mengubah pemikiran orang, demi menjaga
maruah agama,
nak tak nak mereka terpaksa bergerak dalam kumpulan atau jemaah mereka
sendiri.

Di ketika itu jugalah wujudnya apa yang dikatakan sebagai isu pulau memulau
dan kafir mengkafir.
Ini ini termasuk juga isu sembahyang dua imam, sembelihan tak sah, akad nikah
tak sah menjadi
lebih sensasi lagi bila media-media kerajaan turut sama menggembar
gemburkannya.

Dan seperti biasa, PAS lah yang dipersalahkan. Lantaran publisiti-publisiti
yang berat sebelah itu,
wujudlah desakan-desakan dari - siapa lagi kalau bukan dari Tukang Kipas -
Tukang Kipas
UMNO, mendesak agar PAS diharamkan!

HASILNYA - UMNO TELAH DIHARAMKAN PADA 4 FEBRUARY 1988!!

Apa-apa pun, sambutan masyarakat terhadap PAS dan juga kebangkitan idealisme
perjuangan
Islam makin hari makin meningkat. Keadaan ini menyebabkan pihak-pihak yang
berkenaan jadi tak
senang duduk, kata orang, "mandi tak lena tidur tak basah" - semuanya serba
tak kena [sebab tu
peribahasa ni ditulis sebegitu rupa]. Di kemuncak keresahan mereka, maka
berduyun-duyunlah
pemimpin-pemimpin PAS dicekup ISA pada tahun 1984. Antaranya ialah Ustaz Abu
Bakar Chik,
Hj Ghazali Abdullah, Bunyamin Yaakob dan Mat Sabu serta ramai lagi.

Waran tangkap untuk Al-Syahid Ust Ibrahim Libya juga turut dikeluarkan pada
tahun tersebut.
Tetapi, beliau berkeras untuk tidak menyerah diri. Maka, buruan ke atasnya pun
bermula!!

Tidak ramai orang tahu ke mana beliau menghilangkan diri; tetapi dalam
pertemuan dengan salah
seorang sahabat dari Memali minggu lepas, saya diberitahu bahawa beliau
bersembunyi tidaklah
begitu jauh - setakat Sik dan di sekitar Parit Panjang sahaja. Untuk maklumam,
di perkuburan Parit
Panjang lah tempat al-syahid dan sahabat sahabat kini bersemadi!

Walau pun dalam keadaan bersembunyi, al-syahid tetap pulang ke Memali
menyampaikan kuliah
kepada sahabat2 rapatnya, cuma sudah tidak keluar berceramah. Orang mungkin
bertanya, kenapa
beliau tidak mahu menyerah diri?

Kata Pak Teh Mat Piah dalam buku "Perisai Memali":

"USTAZ IBRAHIM KATA, DIA TIDAK AKAN SERAH DIRI, KERANA DIA TIDAK
MELAKUKAN APA-APA KESALAHAN!!"

[Sebetulnya, hingga ke hari ini saya masih tertanya-tanya apakah kesalahan Ust
Ibrahim Libya.
Kalau kita tengok mereka yg kena ISA macam Mat Sabu tahun 1984 tu, tak nampak
pun apa-apa
kesalahan mereka. Wallah hu Aklam].

Saya pernah mendengar seorang hamba Allah dari Baling berkata (lupa nama),
"Ala, kalau Polis
betul-betul nak tangkap Berahing Libya, tak payah dok gi kepong rumah dia,
tunggu la dua tiga
bulang, mesti dia kelua pekang Baling beli ikan masing ka, apa-apa ka!".

Mesti ada sebab lain yang menyebabkan pihak polis bertindak sedemikan rupa.
Ada dua cerita.

Pertama: Cerita Musa Hitam

Saya pernah menyimpan keratan akhbar Utusan atau BH yang mengaitkan Musa Hitam
dengan
kejadian Memali, tetapi sayangnya sudah hilang dari simpanan. Dikatakan orang
bahawa Musa
Hitamlah yang bertanggungjawab mencetuskan tragedi itu untuk menjatuhkan
Mahathir. Menurut
ceritanya, kalau orang Kedah sudah bencikan Mahathir kerana isu Memali, maka
Mahathir akan
jatuh di Kedah, dan secara otomatik kedudukannya di Pusat juga tergugat, maka
mudahlah Musa
Hitam take over.

Theori ini agak popular di Kedah pada masa itu, terutamanya di kalangan
orang-orang UMNO yang
bersimpati dengan mangsa Memali. Dua tiga minggu selepas kejadian, seorang
sahabat memberitahu
saya, katanya Polis Hutan yang diarah ambush Memali tiba di Baling dalam
kegelapan pagi. Mereka
diberi arahan untuk ambush 'Bandit' [Komunis]. Baling pada ketika itu memang
terkenal sebagai
tempat komunis bertandang. Ada orang kampung yang terkenc*ng terserempak
komunis ketika
sedang menoreh. Kisah komunis menyerang hendap trak2 askar di lereng bukit di
Ulu Lenggong
Baling pernah menjadi berita utama sekitar awal 80an.

Pasukan Polis hutan pun bersedia untuk menyerang, peliknya bila hari sudah
agak siang, kedengaran
bunyi ayam kokok dan bunyi orang bang; baru mereka perasan bahawa itu
sebenarnya kawasan
kampung, bukan kem Bandit. Lalu, mereka pun menghubungi Kuala Lumpur meminta
kepastian, tapi
diberi tahu "Ikut Arahan!".

Dan, kata sahabat itu lagi, "Arahan itu datangnya dari Musa Hitam".

Wallah hu aklam. [Saya sendiri tak pasti cerita ini, tetapi kerana itulah yang
dibualkan orang pada
ketika itu, maka saya tuliskan di sini, percaya jangan, cuma ambillah cerita
ini sebagai pengajaran].

ENTAH BETUL ENTAH TIDAK, ENTAH ENTAH INILAH THEORY MAHATHIR NAK
MENJATUHKAN MUSA HITAM - POLITIK UMNO, BIASALAH!!!

Cerita yang kedua insyaallah sahih, dan boleh diterima.

Kedua: Cerita Ketua Polis Kena Tawan

Apabila makcik dari Memali menceritakan kisah Ketua Polis Baling kena tahan
dan ditawan oleh
orang-orang kampung beberapa minggu sebelum hari kejadian, saya antara percaya
atau tidak. Ya,
saya memang ada mendengar kisah ini sekitar tahun 1985 atau 1986 dulu, tetapi
bila saya
mendengar dari mulut seorang anak Memali, saya termenung seketika, sebab
selepas kejadian
Memali itu, 1001 macam cerita yang saya dengar, saya tak pasti yang mana betul
yang mana tidak.
Pernah saya memberitahu seorang sahabat bila ditanyakan cerita Memali; kata
saya

"CERITA YANG AKU DENGAR DARI ORANG UMNO DAN ORANG PAS PUNYA 2
VERSI YANG BERBEZA, BAGAIKAN BELAKANG DAN DEPAN TAPAK TANGAN, 180
DARJAH BERBEZA".

Saya jadi pasti apabila cerita Ketua Polis ditawan ini juga ada terdapat dalam
buku "Perisai Memali"
tulisan CN Al-Afghani .

Dua-dua ceritanya sama dari segi cara dan sebab kereta itu ditahan. Sebuah van
milik anak buah
al-syahid telah ditahan dengar drebarnya sekali kerana pihak polis menemui
senjata tajam dalam van
tersebut. Ini menimbulkan kemarahan pada orang2 kampung , lantaran itu ada
yang bertindak
sendiri-sendiri.

Sebuah kereta ronda polis ditahan ketika sedang membuat rondaan di sekitar
Memali, anggotanya
termasuk Ketua Polis Baling telah ditahan sebagai tebusan. Orang-orang kampung
mahukan drebar
van yg ditahan di balai polis itu dibebaskan sebagai tukaran.

Menurut buku "Perisai Memali", Ketua Polis itu sempat merasakan pedang tajam
diletakkan di
tengkuknya. Menurut Makcik dari Memali itu pula, anggota polis itu diikat
matanya, dan ditempelang
kiri kanan. Akhirnya, pihak polis bersetuju membebaskan pemandu van itu
sebagai ganti. Ingatkan
cerita itu selesai kat ini, tapi tidak. Dikatakan orang, rasa marah polis
inilah yang menyebabkan habis
satu kampung Memali diamukkannya.

PENGAJARAN: ADA BENDA YANG KITA JANGAN CUBA-CUBA NAK BUAT KALAU
BELUM BERSEDIA NAK JADI MACAM ORANG KG BHARU ATAU KG MEMALI!!

Cerita Memali sudah jadi sejarah, tetapi bagi makcik tersebut, ianya tak kan
dapat dilupakan
selama-lamanya. Cara beliau bercerita seperti ada nada kesal kerana kaum
keluarganya telah
ditembak tanpa bersenjata, dan kadang-kadang ada sedikit rasa bangga di atas
keberanian
anak-anak kampungnya. Kata beliau, "Budak-budak kampung Memali, tak leh kata
la, berani
sungguh - sekali tu, dema letak batang pisang tengah jalan, tahan kereta
perisai polis, lepas tu gi takei
(tetak) tayar kereta perisai tu".

TU DIA HAIH - WALAU PUN TAHU TAYAR KERETA PERISAI TAK LUT SENJATA,
TAPI MEREKA BERANI - MASYAALLAH!!

Secara peribadi, saya merasakan bahawa tragedi penahanan Ketua Polis Baling
ini lah yang
mendekatkan kampung Memali kepada tragedi berdarah 19 November 1985.
Insyaallah, jika ada
kelapangan, saya akan menulis detail cerita semasa hari kejadian itu, termasuk
beberapa
pengajaran-pengajaran penting yang boleh diambil untuk iktibar bersama.

(bersambung)

KISAH MEMALI - Part 5

Assalamualaikum,

Dlm part 1,2,3 dan 4 , kita telah melihat latarbelakang perjuangan al-syahid
ust Ibrahim Libya dan
keadaan politik negara sebelum menjelangnya tragedi berdarah di perkampungan
Memali tanggal 19
Nov 1985. Kita juga telah melihat bahawa al-syahid ust Ibrahim bukanlah
pembawa ajaran sesat
seperti yang dicanangkan oleh puak-puak Toghut yg sampai hari masih angkuh dan
megah bertakhta
bumi Malaysia ini. Kali ini, kita lihat pula cerita pada hari kejadian.

Pada hari Isnin 18 Nov 1985, pasukan Polis mula berkubu di perkampungan Memali
- kelihatannya
seperti tidak akan berundur lagi.

Pada pagi Selasa, 19 Nov 1985, pada pukul 7 pagi, ketika mentari mula
memancarkan sinarnya di
kampung yang bersejarah ini, pasukan keselamatan dari berbagai unit, PPH,
Polis, FRU dan
sebagainya semakin ramai berkubu di Memali.

TERTANYA-TANYALAH KITA, SEMBAHYANG SUBUHKAH MEREKA PAGI ITU?

Terfikir juga, jika gelap-gelap subuh pun sudah ada di situ, mungkinkan benar
cerita 'Musa Hitam'
seperti yang kita tulis dalam bahagian sebelumnya?

Lebih kurang pukul 8 pagi, rumah al-syahid sudah dikepung keliling. Dan entah
dari mana,
orang-orang kampung dan anak-anak murid serta sahabat ust Ibrahim, tanpa
diarah mula mengambil
tempat masing-masing; hampir seratus orang semuanya. Ada seorang pakcik tua,
walaupun
beberapa hari sebelum kejadian, pernah diberi pesan oleh 'adik beradik'nya
supaya jangan pergi ke
rumah ust Ibrahim pada hari kejadian, tetapi beliau tidak peduli, yang haq
tetap haq, tidak ada tolak
ansur - sedangkan, kalau ikut hati beliau boleh buat pilihan, kerana 'adik
beradik' beliau yang
memberi pesan itu bukanlah calang-calang orang, YB Hj Seroji, ADUN UMNO Kaw
Bayu serta
seorang Orang Kuat Balai dari Balai Polis Baling!!

Tak lama kemudian, kereta perisai yang dibeli dengan duit cukai rakyat jelata
mula mengambil
tempat. Kemudianya, loceng FRU seperti yg pernah kita dengar di Kg Rawa dan
Majid Arrahman
mula dibunyikan dan diikuti dengan suara Polis meminta ust Ibrahim dan
rakan-rakan menyerah diri.
Goncangan loceng 'Ding Ding Ding Ding' ini disambut dengan laungan takbir:

ALLAH HU AKBAR!!
ALLAH HU AKBAR!!
ALLAH HU AKBAR!!

Berulang ulang kali - bergema memecah keheningan kampung Memali berselang seli
dengan bunyi
loceng tentera toghut itu!!

Seperti biasa, syarat sah loceng ini mesti diikuti dengan tembakan gas pemedih
mata [tidak ada
semburan acid pada hari itu, mungkin engineer-enginer di kilang buat acid pada
ketika itu masih
tengah dok buat uji kaji lagi!]. Rasanya kalau hari itu ada acid, hari itu
juga depa pakai!

Lemparan bom-bom asap ini menyebabkan suasana menjadi kelam kabut; orang2
kampung yang
selama ini hidup aman damai, tak pernah kacau orang, tiba-tiba mendapati diri
mereka dan kampung
tumpah darah mereka terkepung dalam kepulan asap hitam, bukan setakat
mengganggu penglihatan
tetapi pedihnya menusuk ke lubang hidung. Ada yang balut muka dengan kain,
basuh muka dengan
air, guni basah dll, tetapi laungan Takbir 'Allah Hu Akbar Allah hu Akbar'
makin kuat bergema!

Serangan bom asap bertubi-tubi ini menyebabkan seorang budak pompuan jatuh
pengsan. Melihat
mulutnya yg berbuih-buih, dan ingatkan sudah menemui ajal, seorang guru
sekolah bernama Cikgu
Syafie, dengan pedang di tangan, dengan kalimah 'Allah hu Akbar!!! - Allah hu
Akbar!!!- Allah hu
Akbar!!!', meluru ke arah tentera-tentera toghut tersebut. "PANG!!", dan entah
berapa kali
tembakan, maka gugurlah Cikgu Syafie sebagai syuhada yang pertama di pagi itu!

Pertempuran antara angkatan Toghut yang lengkap bersenjata dengan orang-orang
kampung [Orang
Melayu, Orang Islam] yang cuma berbekalkan buluh dan kayu serta sebilah dua
pedang pusaka
berterusan hingga ke pukul 12 lebih. Polis pun bukannya nak lawan sangat,
orang atas saja yang
lebih; sekitar tahun 1985, seorang sahabat pernah menceritakan kepada saya
cerita dari saudaranya,
seorang polis yang terlibat dalam kejadian tersebut. Ketika pertempuran,
beliau berselindung
dicelah-celah rumah atau tepi-tepi tangga kerana naik seram melihat
buluh-buluh runcing
berterbangan di sana-sini. Ada budak-budak yang melastik ke arah polis. Saya
mendengar cerita
mengenai biji guli yang digoreng dan digunakan sebagai batu lastik.

Sekitar pukul 12:30; tentera toghut menghentikan asakan. Pengarah Hal Ehwal
Keselamatan Dalam
Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Yahya Yeop Adlan meminta diadakan
rundingan dengan
orang-orang kampung . Beliau meminta mereka menyerahkan ust Ibrahim Libya,
tetapi salah seorang
wakil penduduk kampung dengan penuh sopan memaklumkan bahawa Tok Guru mereka
tak buat
salah apa-apa, jadi buat apa mereka nak serahkan beliau. Datuk Yahya jadi
serba salah, tapi dia
tetap berkeras mahukan Ustaz Ibrahim Libya. Rundingan tersebut akhirnya
menemui jalan buntu.

Sebaik-baik saja tamat rundingan itu, kelihatan kereta Perisai PPH mula
merempuh pagar dan
bergerak ke halaman rumah. Dalam buku "Perisai Memali" diceritakan bahawa
Pakteh Mat Piah,
apabila melihat pihak polis dlm keadaan nak menembak Paksu Man, lantas dia pun
menyerbu ke
arah Polis dengan pedang terhunus di tangan, dan apa lagi meletup-letuplah
senapang polis
memuntahkan pelurunya ke arah Pakteh, lalu rebahlah beliau ke bumi tetapi
tidak sebelum pedang
pusakanya sempat singgah di badan salah seorang tentera toghut itu.

Cerita yang saya dengar ; dalam keadaan kelam kabut itu, ustaz Ibrahim Libya
telah terkena
tembakan. Melihatkan Ustaz Ibrahim rebah, Paksu Man meluru ke arah beliau,
tapi belum sempat
tiba, Paksu Man pula kena tembak di bahagian perut. Melihat Paksu Man kena
tembak, salah
seorang saudara Paksu Man pun meluru ke arah beliau, dia juga kena tembak,
kalau tak silap di
bahagian tangan. Dalam keadaan kelam kabut itu, ramailah yang terkena
tembakan. Bunyi senjata
tentera toghut berdentam dentum di celah-celah laungan takbir, "ALLAH HU
AKBAR, ALLAH
HU AKBAR" berulang- ulang kali, begitu gamat sekali keadaannya.

Saya mendengar dari mulut seorang sahabat bernama Pak Man yang mendengar dari
mulut sahabat
karibnya yang tercedera dalam pertempuran itu. Kata Pak Man:

"Al-syahid tak henti-henti melaungkan kalimah Allah Hu Akbar, Allah Hu Akbar,
Allah Hu Akbar!.
Bila dia kena tembak, dia masih berdiri menjulang pedangnya sambil bertakbir
Allah Hu Akbar!,
kemudian terjatuh berlutut, masih bertakbir Allah Hu Akbar!, kemudian ditembak
lagi, masih juga
menyebut Allah Hu Akbar, berulang-ulang kali!!!"

[Cara Pak Man bercerita memang bersemangat, tak mampu saya bercerita seperti
beliau].

Dalam buku Perisai Memali, diceritakan bahawa sebaik-baik saja beliau rebah ke
bumi, isteri
al-syahid datang memangku beliau. Beliau bertanya kepada isterinya "Apa yang
terjadi?". Isterinya
menjawab, "Abang ditembak!". Kata beliau, "Alhamdulillah!!". Itulah ucapan
beliau yg terakhir
sebelum beliau dibawa pergi oleh tentera-tentera toghut itu. Saya melihat
dalam footage video
Memali yang disiarkan tak beberapa hari selepas kejadian itu, di mana
ditunjukkan mayat al-syahid
di atas usungan, dengan darah merah memenuhi tubuh tetapi cuma berseluar
pendek. Masyaallah,
buruk sungguh fitnah puak-puak toghut ini! - Mana ada orang kampung yang pakai
kain kat luar dan
pakai seluar panjang kat dalam!!!.

SAYA TAK AKAN LUPAKAN CLIP VIDEO ITU SAMPAI MATI!!!

[Terutamanya pengacaranya si Rais Yatim yang hari ini sedang rancak mencari
publisiti untuk ke atas
semula. Berhati-hatilah dengan orang-orang seperti ini!]

Di dalam video itu juga ditunjukkan longgokan-longgokan senjata tajam yang
kononnya digunakan
dalam tragedi itu, macam-macam ada - parang, golok, pisau, pedang dll. Kata
seorang anak mangsa
Memali yang saya temui:

"Dema (Polis) kutip habis pisou, parang di kapong tu - pisou hak Mak dok buat
hiris bawang pong
dema kutip sekali!!"

SELURUH RAKYAT MALAYSIA YANG TENGOK VIDEO RAIS YATIM TU,
SEMUANYA KENA TIPU HIDUP-HIDUP!!

Serangan bertubi-tubi tentera toghut itu berakhir sesudah 13 orang mujahid
gugur syahid, ditembak
tanpa peri kemanusiaan, tanpa ada rasa belas kasihan. Maka berpisahlah mereka
dari dunia yang
fana ini, menuju ke alam baqa yang menjanjikan ganjaran syuhada untuk mereka
yang ikhlas
berjuang dan sanggup gugur demi menegakkan kalimah Allah SWT yang hak di muka
bumi ini.

Selain Ustaz Ibrahim Mahmud, turut gugur syahid di medan Memali itu ialah
Ahmad Hassan, Cikgu
Syafie, Hj Abdullah, Abdul Manaf, Ghazali Mohd Saman, Mohd Radzki, Wan
Abdullah, Mohd
Aroff, Zamri Md Isa, Abdullah Yasin, Mohd Daud dan Ahmad Bin Ismail.

Ada 13 orang lagi yang cedera parah, dan salah seorangnya meninggal dunia tak
beberapa minggu
selepas kejadian.

Tentunya sedih anak-anak dan isteri-isteri yang ditinggalkan, apatah lagi
setelah suami-suami mereka
dibunuh hidup-hidup, mereka pula yang diangkut ke jel-jel berdekatan tanpa
belas kasihan. Di akhir
peristiwa, sekitar 161 orang telah ditangkap dan ditahan; kalau nak tau cerita
detailnya, bolehlah
datang berjumpa salah seorang di antara yang ramai-ramai ini, mereka boleh
cerita apa yang
sebenarnya berlaku.

Anak-anak Memali walaupun sedih dengan pemergian ayahanda tersayang tetapi
tetap berbangga
dengan keberanian orang tua mereka. Kata salah seorang dari mereka:

"Pak baru kelik (balik) dari motong, raga pisou motong dok di pinggang lagi.
Dia tengok orang ramai
di rumah Mang (ust Ibrahim), dia pong gi sama. Gi Gi tu ka, tak Kelik Kelik
Dah!!".

Walau apa pun yang pernah ditulis oleh media massa, insyaallah sejarah akan
membuktikan siapa
yang benar, siapa yang salah - kerana itu saya tidak berminat untuk menulis
kisah bagaimana seorang
dua anggota polis terbunuh atau cedera parah dalam kejadian itu - kerana
sesungguhnya salah
seorang daripada anggota polis yang terbunuh itu punya hubung kait adik
beradik dengan saya.
Minta maaf saya tidak dapat komen bab ini, tapi one thing for sure, walau pun
sudah 13 tahun
tragedi itu berlalu, tetapi rakyat jelata terutamanya anak-anak Memali masih
berharap agar mereka
yang bertanggungjawab dalam kejadian itu akan di hadapkan ke muka pengadilan.
Seorang anak
Baling, penyokong UMNO pernah menceritakan harapan beliau apabila DSAI jadi
PM, mungkin
cerita Memali akan dibongkar semula. Tapi, nampaknya harapan beliau cuma
tinggal harapan!

ANAK-ANAK MEMALI TERUS MENANTI DAN MENANTI, DENGAN PENUH HARAP
DAN HAMPA BERDEGAP!!

KISAH MEMALI - Bahagian Akhir

Sebelum menulis Memali Part-1, saya telah berkunjung ke kawasan perkuburan
syuhada Memali, di
Parit Panjang dengan harapan agar kunjungan itu akan dapat memberi inspirasi
kepada saya dalam
penulisan cerita-cerita Memali ini. Dan sebelum mengakhiri tulisan ini, saya
telah ditakdirkan untuk
hadir dalam satu majlis ceramah/tazkirah ramadan oleh ust Ismail Mahmud, adik
kepada al-syahid
ustaz Ibrahim Libya di sebuah masjid berdekatan. Betullah kata orang, ke mana
tumpahnya kuah,
kalau bukan ke nasik - cara pidato beliau yang berapi-rapi menyeru hadirin
kepada jihad
menyebabkan bulu roma saya meremang sepanjang ceramah. Lapang-lapangkan masa
anda untuk
menghadirkan diri ke kuliah atau ceramah beliau bila berkesempatan!

Meneruskan cerita Memali,
Sebagai penutup, ada baiknya kita perhatikan beberapa pengajaran yang boleh
diambil daripada
tragedi berdarah ini:

Antaranya, peristiwa di perkampungan Memali itu seharusnya menjadi iktibar
kepada semua
pencinta-pencinta Islam bahawasanya dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah
Allah di muka
bumi ini bukanlah semudah dan se'ideal' yang kita sangkakan. Perjuangan ini
memerlukan
pengorbanan, dan pengorbanan di bumi Memali adalah pengorbanan nyawa dan
badan!

MUNGKIN BENAR ISLAM TIDAK AKAN NAIK MELALUI MATA PEDANG, TETAPI
ISLAM JUGA TIDAK AKAN HANCUR MELALUI MATA PELURU!!

Saya mendengar cerita dari Memali mengenai seorang hamba Allah, yang cakapnya
berdegar-degar
dan antara yang paling lantang sebelum kejadian - tetapi bila berlaku
pertempuran, beliaulah yang
pertama lari lintang pukang, menyusup naik ke rumah seorang pakcik di kampung
tersebut. Ini
bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sememangnya sejak zaman Rasulullah
lagi, memang
terdapat puak-puak munafik di kalangan kita!

SAMPAI MATI PUN, PEMERINTAHAN ISLAM TAK AKAN TERLAKSANA DI BUMI
MALAYSIA INI SELAGI ORANG ISLAM DARI BANGSA MUNAFIK MASIH TERUS
MEMEGANG TAMPUK PEMERINTAHAN!!

Saya juga mendengar cerita mengenai seorang hamba Allah di kampung itu [orang
atas pagar] yg
jenis makan kiri kanan; kiri pun dia pi, kanan pun dia pi. Ada kemungkinan
beliaulah antara yang jadi
tukang cucuk dalam kejadian itu. Beliau masih ada di kampung itu hingga ke
hari ini, tetapi orang
kampung sudah tak pedulikan beliau lagi. Ini menunjukkan bahawa dalam
masyarakat kita memang
ada puak-puak semacam ini; kita seharusnya berhati-hati dengan orang atau
kumpulan seperti itu!

SUKA KA TAK SUKA KA, MEMANG ADA BERIBU ORANG ATAS PAGAR DALAM
MASYARAKAT KITA!

SUKA KA TAK SUKA KA, ADALAH MENJADI KEWAJIPAN KITA UNTUK
MERUNTUHKAN 'PAGAR-PAGAR' ITU, SEHINGGALAH MEREKA TERPAKSA
MEMILIH, NAK KE SEBELAH SINI ATAU KE SEBELAH SANA!!

Saya juga mendengar cerita lucu mengenai seorang Cina yang dipanggil "Panjang"
yang lari lintang
pukang, menyusup naik ke rumah seorang makcik di kampung tersebut. Beliau
ketika itu sedang
membawa traktor membajak di sawah berhampiran. Bila ditanya apasal beliau
lari? Jawab beliau,
"Aya….Wa Takut Lo…Nanti Polis Tangkap Wa….Wa Takut Polis Ingat Wa Kominis!!".
Baling
ketika itu memang pun terkenal dengan komunis. Kisah ini mengajar kita
mengenai "cara dan tindak
tanduk" orang-orang depa bila berhadapan dengan keadaan yang sedemikian.

TRAGEDI BERDARAH DI INDONESIA 12-14 MEI 1998 CUMALAH ULANG TAYANG
CERITA LUCU DI KAMPUNG MEMALI INI!!

Saya pernah singgah bersembahyang di masjid berhadapan perkuburan Memali
berdekatan
roundbout Parit Panjang. Menurut cerita, Sultan Kedah turut memberi sumbangan
pembinaan masjid
tersebut atas dasar prihatin Baginda kepada tragedi Memali. Banyak lagi cerita
yang berkaitan
dengan Sultan Kedah ini yang tak dapat diceritakan di sini.

BUKAN SEMUA 'ORANG ATAS' BUTA PERUT - ADA JUGA YANG BERSIMPATI
DENGAN GOLONGAN YANG IKHLAS BERJUANG UNTUK MENEGAKKAN YANG
HAQ DI MUKA BUMI!!

Saya juga mendengar cerita mengenai anggota Polis yang berasal dari Baling
yang kena kerja di luar
daerah Baling kerana beliau ada sangkut paut adik beradik dengan orang kampung
Memali. Sekali
tu, beberapa minggu sebelum kejadian, ketika beliau sedang makan di
gerai/restoran dengan
Orang-Orang Atas Polis, tiba-tiba ada sorang org kampung dia datang join. Nak
jadi ceritanya,
orang kampung dia ni adalah antara yang sedang dicari-cari Polis (Wanted
List); gelabah dia.
Macam-macam isyarat dia bagi suruh si mamat tu belah, tapi si mamat tu tak
paham-paham. Nasib
baik polis-polis yang lain tu tak perasan, kalau tidak, si mamat itu tentu dah
kena tangkap hari itu
juga. Sebetulnya, ramai Polis-Polis di Baling adalah anak jati Baling. Seorang
polis pernah bercerita
kata mereka sendiri tak 'berani' nak ronda di kawasan Memali sebelum kejadian.
Rasanya, bukan
'tak berani' tapi lebih kepada rasa simpati kepada saudara mara sesama daerah.
Maka itu, tidak
hairanlah bila pasukan polis yang dipanggil untuk menyerang perkampungan
Memali di'import' khas
dari luar daerah Baling. Kata seorang hamba Allah dari Baling:

"Cuba mu tengok, dema (mereka) bawak mari Polis Hutan dan Komando dari Perak
(Ulu Kinta);
pasal apa dema tak panggil Polis Hutan dari Sungai Petani? - sebab Polis-Polis
di Sungai Petani
kenal siapa dia Ustaz Ibrahim Libya. Dia tu Tok Guru, bukannya orang jahat!!".

NAK TAK NAK, KITA KENA TERIMA REALITI HIDUP DI MALAYSIA - BAHAWASA
NYA MASTERMIND-MASTERMIND KAT ATAS SANA LEBIH KE DEPAN DALAM
BANYAK HAL. POLIS, FRU, POLIS HUTAN, ASKAR, KETUA KAMPUNG, JKKK DAN
RAKYAT MARHAIN MACAM KITA NI CUMALAH BUAH-BUAH CATUR PADA
PANDANGAN MEREKA!!!

Saya juga mendengar cerita mengenai Kubur Wangi dan Serban Wangi. Diceritakan
orang kubur
para syuhada di perkuburan Islam Parit Panjang itu pernah mengeluarkan bau
yang harum. Cerita ini
telah diceritakan dari mulut ke mulut. Kemudiannya pula, beberapa tahun yang
lalu, muncul pula
cerita bahawa serban seorang sahabat yang digunakan untuk membalut luka
al-syahid pada hari
kejadian, dan kemudiannya digantung di rumah beliau sebagai kenangan (tanpa
mencuci darah itu),
telah mengeluarkan bau yang harum setelah bertahun-tahun tergantung di situ.
Kata makcik yang
menceritakan kisah ini:

"Habis lebik (lunyai) orang pakat berebut gi cium serban tu!".

INI MENUNJUKKAN BETAPA RINDU DAN SETIANYA PENGIKUT-PENGIKUT
AL-SYAHID KEPADA BELIAU. SEMANGAT WAJA MEREKA TAK PERNAH LUNTUR
WALAU PUN KAMPUNG MEREKA PERNAH DIREMPUH KERETA PERISAI DAN
DILANDA HUJAN PELURU!!

Dua tiga bulan selepas tragedi, bila ditanya mengenai isu kubur wangi ini,
Allahyarham Pak Ya,
seorang hardcore UMNO di pedalaman Baling berkata:

"Apa tak wanginya. Cuba mu gi tanya kedai-kedai Cina di Pekan Baling tu,
berapa botol minyak
wangi dema (org kampung) gi beli, gi soh (tuang) atas kubur Memali tu!".

Seorang lagi Pakcik tua, orang lama UMNO, bila saya tanya cerita ini, beliau
berkata:
" Ala, puak-puak Memali tu ramai dok gi Kelantan. Dema gi beli minyak wangi di
Kelantan, bawak
kelik sini, gi bubuh di kubur tu".

Bila timbul pula cerita Serban Wangi, saya tanya pula seorang lagi Pakcik
UMNO; kata beliau:
" Ala, serban tu, bubuh minyak wangi hak dema bawa kelik (balik) dari India
Pakistan tu.
Puak-puak ni ramai yang dok gi ngaji sana."

NASIB BAIK DEPA TAK TAHU NAK SEBUT PERFUME-PERFUME MACAM ESTEE
LAUDER KA, FRAICHE COLOGNE KA, JEAN D'ASTRESS KA, APA-APA KA. KALAU
TIDAK TENTUNYA TERGELIAT LIDAH PAKCIK-PAKCIK INI NAK MERIWAYATKAN
CERITA ITU KEPADA SAYA!!

Apa-apa pun, pengajarannya: Bila berhadapan dengan puak-puak main logik akal
ini, tak payahlah
dok berdebat dengan mereka bab-bab yang tak kesampaian akal mereka
memikirkannya. Apa
mereka kata, senyum sajalah, kemudian kat dalam hati, minta doa supaya Allah
memberikan hidayah
kepada mereka - KERANA SESUNGGUHNYA SAYA PERNAH MENJADI SALAH
SEORANG DARIPADA MEREKA SEBELUM SAYA SUAMI ISTERI DENGAN SECARA
RASMINYA MENGISI BORANG HIJAU PUTIH BEBERAPA BULAN YANG
LALU.....selepas 13 tahun tragedi Memali berlalu!!

-Tammat-

Note:
Sesiapa yang berminat untuk memberi sumbangan kepada keluarga mangsa Memali,
sila hubungi:

Bendahari Madrasah Islahiah Diniah
Kg Memali, 09100 Baling, Kedah Darul Aman.
Tel: 04-4732631


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Ahmad Baharudin Kasbi <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke