*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASSALAMUALAIKUM yang dikasihi.......


                   MATLAMAT PERJALANAN AHLI SUFI


Pada umumnya ahli-ahli Sufi mengatakan bahawa matlamat akhir perjalanan 
keruhanian orang-orang Sufi ialah mencapai "kesatuan" dengan Allah SWT. 
Mereka gunakan perkataan "fana'" (lenyap atau hilang binasa) untuk perasaan 
"kesatuan" dengan Allah itu. Fana' ialah aspek negatif pengalaman 
keruhanian. Aspek positifnya ialah "baqa" (berkekalan dan berterusan). Fana' 
dan Baqa' ini bersifat relatif (nisbah). Fana' yang mutlak tidak bererti 
apa-apa.

Apa yang dimaksudkan dengan "kesatuan dengan Allah" ialah satu "keadaan" di 
mana kesatuan yang sememangnya ada itu disedari atau disahkan. Si Sufi itu 
bukan menjadi Allah, kerana tidak ada "menjadi" dalam theori ini. Pada 
hakikatnya si Sufi itu memang "bersatu" dengan Allah. Begitu juga tiap-tiap 
sesuatu itu memang "bersatu" (dalam segi pandangan keruhanian orang-orang 
Sufi) dengan Allah SWT. Apa yang diketahui oleh si Sufi itu memang 
dialaminya. Kalau ada orang mengatakan ia jadi Tuhan maka itu adalah bohong 
semata-mata.


· Maksud Fana'

Maksud "fana'" termasuk dalam dua perkara di bawah ini :

1. Fana' dalam pengertian mistik. Ini bermaksud lenyapnya kejahilan dan 
tinggallah (baqa') ilmu yang benar (diperolehi dengan ilham) tentang keesaan 
Keseluruhan pada hakikatnya Mistik tidak lenyap dan hapus dari "diri"-nya 
tetapi ia sedar bahawa ia sebagai bentuk, wujudnya tidak ada pada hakikat.

2. Fana' dalam pengertian metafizika. Ini bererti lenyapnya "bentuk-bentuk" 
Alam Kasar ini dan berterusan serta kekal (baqa') Zat Yang Esa.


Kata Ibnul Arabi, "Lenyapnya sesuatu bentuk itu adalah fana'; atau hapusnya 
sesuatu bentuk pada ketika tajalli (penzahiran) Allah dalam bentuk yang 
lain."

Fana' mistik itu tidak sempurna. Si Mistik atau si Sufi menyedari bahawa ia, 
sebagai bentuk, tidak ada wujud hakiki, tetapi oleh kerana keadaan tabi'i 
bentuk itu sendiri ia tidak dapat lenyap langsung dari wujud. Bagaimana 
mungkin, walaupun bagi si Mistik, "mati" sebelum mati (meninggal dunia) dan 
pada masa yang sama sedar pula tentang Allah sebagai Hakikat atau Zat yang 
meliputi segala? Bukankah kesedaran itu sendiri menunjukkan adanya "diri"?

Inilah perbezaan antara dua keadaan mistik itu :

1. Hilang lenyapnya "diri" atau "peribadi" dari semua kesan dan ciri-ciri 
(al-fana 'an al-rasm wa halan). Keadaan ini seperti keadaan tidur. Si Sufi 
itu bukan dengan "diri"-nya dan bukan dengan "Tuhan"-nya. Dia tidur, dia 
jahil.

2. Lenyapnya "diri" dalam keadaan ilmu intuisi (ilham) di mana kesatuan 
Keseluruhan itu dibukakan dalam kesedaran. Inilah aspek pengalaman 
keruhanian yang ditekankan. Ini adalah ilmu yang tidak ada cacat cela. 
Inilah yang dicari. Mengatakan "Aku jadi Tuhan atau mati diri" dalam 
pengertian yang hakiki adalah bodoh dan jahil dan melihat "diri" sendiri 
saja dalam pengalaman keruhanian adalah syirik.

Yang sempurna ialah Sufi yang melihat Allah dan juga dirinya dalam 
pengalaman keruhanian, dengan cara ilmu mistik dan perasaan ('ilman wa 
halan) dan melihat "diri"-nya dengan pengetahuan mistik sahaja ('ilman la 
halan). Dengan lain perkataan, si sufi yang sempurna ialah orang Sufi yang 
mengenal Wujud Mutlak dan "bentuk" dan menyedari kesatuan (pada realiti atau 
hakikat) antara keduanya dan tidak wujudnya bentuk itu secara hakiki. Inilah 
fana' yang paling sempurna yang boleh dicapai oleh si Sufi dalam dunia ini. 
Fana' sebenar dicapai selepas meninggal dunia apabila bentuk itu hilang 
binasa langsung.


· Fana' Sebagai Proses Yang Beransur-ansur


Fana' itu adalah proses yang beransur-ansur yang terdiri dari beberapa 
peringkat. Dalam peringkat itu si Sufi tahu secara intuisi atau rasa (dhawq) 
kedudukannya di samping Tuhan.

Peringkat ini adalah seperti berikut :

1. Fana' dalam lakuan Allah. Dalam peringkat ini si salik (orang yang dalam 
perjalanan menuju Allah) itu menyedari bahawa semua lakuan dan tindakan 
adalah lakuan Allah belaka. Si Salik itu pada peringkat ini berada dalam 
hadrat Cahaya Semata (hadrat al-Nur al-Mahd) iaitu Kebaikan Semata (al-Kahyr 
al-Mahd). Menganggap lakuan dan perbuatan anda itu kepunyaan anda sendiri 
adalah dalam hadrat Gelap Semata (hadrat al-Zulmah al-Mahdah) dan ini adalah 
syirik.


Dalam peringkat ini si Salik menyedari bahawa Allah itulah saja agent atau 
pelaku dalam alam raya ini.

2. Fana' dari semua sifat makhluk. Si Salik menyedari dalam peringkat ini 
bahawa semua sifat (kualiti) makhluk adalah sebenarnya sifat dan kualiti 
Allah.

3. Fana' dari personaliti (zat) sendiri. Dalam peringkat ini si Salik merasa 
dan sedar bahawa diri fenomenalnya tidak ada dan yang baqa' (kekal) adalah 
rohnya yang menjadi bayangan Tuhan itu.


4. Fana' dari seluruh dunia, iaitu terhenti dari memandang dan memikirkan 
aspek fenomena (zahir) alam ini dan menyedari aspek hakiki yang ada di 
sebalik yang zahir itu.

5. Fana' dari "selain Allah"  bahkan dari fana' itu sendiri. Dalam peringkat 
ini si Salik itu lupa langsung apa saja selain Allah dan juga fana' itu 
sendiri. Di peringkat ini juga si Salik itu tidak sedar dirinya sebagai yang 
"memandang". Allah itu sendiri "yang memandang" dan "yang dipandang". Dia 
kelihatan dalam semua keadaan (syu'un) iaitu penzahiran-Nya.

6. Fana' dari semua sifat Allah dan nisbahnya iaitu memandang Allah sebagai 
zat alam raya ini. Si Mistik itu tidak lagi menganggap alam ini sebagai 
kesan dari satu penyebab tetapi "sebagai Hakikat dalam zahir" (Haqq fi 
Zuhur). Ia sedar betapa pada pandangannya, yang lain tidak ada. Dalam 
peringkat ini disedarilah sepenuhnya kesatuan dan keesaan segala sesuatu. Di 
sinilah kesimpulan seluruh falsafah Tasauf. Peringkat inilah akhir dan 
matlamat semua usaha dan latihan si Salik (iaitu orang yang dalam perjalanan 
menuju Allah).


Tujuan akhir Tasauf ialah mencapai apa yang digelar "ilmu yang benar" atau 
"ilmu hakiki" atau "ma'rifat".

Pada setiap peringkat itu, sebahagian dari hijab (tabir) itu tersingkap. 
Hijab itu ialah ciri-ciri Alam Nyata ini dan juga apa saja selain Allah. 
Apabila semua hijab itu tersingkap maka ternampaklah Hakikat (iaitu Allah) 
itu dengan terang-benderang. Di sini kebebasan roh itupun tercapai. Maka si 
Salik itupun dikatakan sampai (wasala) di matlamatnya dan di situlah tempat 
kebahagiaannya. Matlamat itu bukanlah Zat Allah itu sendiri.


"Bagaimana Allah itu jadi matlamat sedangkan Dia itu Sendiri yang sebenarnya 
sampai ke matlamat itu?"

Seorang Sufi diberitahu oleh seorang hamba Allah, "Tuan, ada seorang Sufi 
mengatakan ia telah sampai (wasala), bagaimana pendapat tuan?" Si Sufi itu 
menjawab, "Sampai ke mana? Ke Neraka?" Aku menyokong pendapat ini untuk 
menunjukkan bahawa matlamat akhir perjalanan kesufian itu bukanlah Allah itu 
sendiri.

Kebahagiaan yang paling tinggi bagi seorang Sufi ialah dalam "menyedari", 
"kesatuan" atau  "keesaan"nya dengan Alla SWT dengan melalui rasa dan 
pengalaman keruhanian. Ilmu yang diyakini ('ilmul-yaqin) sekarang menjadi 
"zat" keyakinan ('aynul-yaqin) itu sendiri. Apabila ia telah melampaui 
peringkat kualiti (sifat) 'Alim (yang tahu) dan Ma'lum (yang diketahui), 
maka ia sampai ke peringkat yang paling tinggi dalam kehidupan keruhaniannya 
di mana ia berhadapan wajah dengan hakikat keyakinan (haqqul-yaqin).

Pendeknya, tujuan bersuluk (iaitu cara-cara dari latihan pembuka hijab), 
menurut theori ini ialah untuk menyedari baik atau untuk menginsafi diri 
tentang "kesatuan" atau "perpaduan" diri dan alam ini dengan Wujud Mutlak 
(iaitu Allah) itu. Kesatuan atau perpaduan itu telah memang sedia ada sejak 
azali lagi hinggalah sampai bila-bila, tetapi setelah lahir ke dunia kita 
lupa, maka itulah sebabnya diutuskan para Rasul dan pewaris-pewarisnya untuk 
menyedarkan kembali manusia itu supaya ia kenal dan tahu hakikat dirinya dan 
Tuhannya.

Wallahu ta'ala a'lam.......

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke