Aug 5, 2000
DOTMAI
Hishamuddin Rais
Demo antikonsert cermin intelek cetek
<<...>>
Minggu lalu sekali lagi kita terbaca berita tentang pelajar-pelajar
Universiti Malaya yang keluar ke jalan raya untuk menunjuk perasaan. Entah
berapa kali kumpulan-kumpulan siswa ini telah berdemo membantah tentang apa
yang mereka takrifkan sebagai 'maksiat'.
Arwah Sudirman, Sharifah Aini, M. Nasir dan Ella adalah antara penyanyi dan
seniman tempatan yang pernah mendapat bantahan dari kumpulan pelajar ini
apabila mengadakan pertujukan konsert. Penyanyi dan kumpulan rock dari luar
negara juga sering mendapat bantahan yang sama.
Berita seperti ini memperlihatkan warga kampus di universiti-universiti di
negara ini semakin tidak berupaya menyediakan ruang ilmu dan ruang demokrasi
untuk menerima, melihat atau menilai kelahirkan bentuk-bentuk seni yang
baru, sihat dan mencabar. Apa yang beranak-pinak di kampus hari ini hanyalah
kejuli! ngan dan kekolotan pemahaman tentang budaya dan bentuk-bentuk seni
budaya.
Suasana kolot dan gering budaya ini telah lama berakar umbi di
kampus-kampus. Justeru kampus-kampus telah menjadi padang jarak padang
terkukur vis a vis aktiviti budaya dan sosial anak-anak muda pelajar. Cuaca
dan suhu budaya kampus seperti ini telah melahirkan fenomena yang boleh kita
genrekan sebagai fenomena antikegembiraan hidup.
Untuk menyalahkan kemunculan fenomena antikegembiran hidup ke atas bahu
kerajan sahaja agak tidak tepat. Atau menyalahkan semua ini sebagai kerenah
propaganda parti pembangkang juga tidak betul. Pelajar, siswa dan anak muda
di kampus juga tidak seharusnya dipersalahkan seratus peratus.
Ada beberapa hukum-hukum sosial dan budaya politik di luar kampus yang turut
memangkinkan kelahiran fenomena ini. Budaya politik pelajar dan siswa yang
berada di kampus-kampus hari ini adalah gambaran yang sahih terhadap tahap
politik, tahap budaya da! n tahap daya intelek kita bersama.
Dalam usaha membendung gerakan siswa daripada bersuara atau mengkritik,
kerajaan telah memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti. Akta ini
dengan sekali gus telah mempadangpasirkan budaya intelektual kehidupan
kampus. Universiti yang seharusnya menjadi sarang pendapat, sarang idea dan
ruang perdebatan ilmiah kini menjadi wadi yang kering kontang.
Cuaca murung ini sedikit demi sedikit menumpulkan budaya keilmuan dan
akhirnya hilang kemungkinan lahirnya idea-idea baru daripada tenaga pengajar
sendiri. Ini kemudiannya mempengaruhi tahap daya intelektual para siswa yang
sedang belajar. Kerajaan wajib mengakui dan memikul tanggung jawab bahawa
undang-undang yang mereka luluskan di parlimen telah turut menyuburkan
fenomena antikegembiraan hidup ini.
Parti pembangkang, terutama PAS, dalam usaha membuktikan parti ini lebih
suci dan bersih daripada parti pemerintah, walaupun mereka tidak menyokong
tu! njuk-tunjuk perasaan ini secara terbuka, tetapi tersenyum puas apabila
siswa berdemo menentang pertunjukan budaya atau konsert rock. Tindakan siswa
ini ditonjolkan sebagai bahan bukti bahawa kerajaan yang memerintah tidak
prihatin terhadap tata susila budaya tempatan.
Secara kolektif, PAS juga harus bertanggungjawab kerana telah turut mengadun
dan membajai kelahiran satu barisan generasi muda yang mempunyai pandangan
hidup yang begitu cetek, juling dan tidak bersikap toleran terhadap
kepelbagian dan perbezaan cara hidup.
Ketika ini siswa kelihatan hidup dalam suasana yang paling daif dari segi
pemikiran. Dengan pelbagai undang-undang serta disiplin yang begitu
mencengkam dan menghukum, kehidupan di universiti tidak membantu mencanai
minda yang hidup, bergerak, sihat dan maju. Mata intelek mereka menjadi
tumpul untuk melihat dan menganalisa sesuatu pekara dengan lebih jauh dan
mendalam daripada bentuk wunder bra Ella atau goncangan punggun! g Sharifah
Aini.
Kegagalan ini terbukti apabila mereka berhadapan dengan konsep dan falsafah.
Ketumpulan fikrah telah menggagalkan siswa daripada memberikan satu
pandangan dan analisa yang kukuh lagi ampuh tentang konsep penswastaan
institusi pengajian tinggi awam. Mereka gagal menterjemahkan penswastaan
sebagai isu nasional yang melibatkan kepentingan masyarakat dan orang ramai.
Walhal, konsep penswastaan universiti lebih banyak membawa mudarat kepada
rakyat daripada goncangan dada Ning Baizura.
Siswa Universiti Malaya telah menentang budaya konsert dengan hujah
'maksiat' tetapi mereka gagal memahami tanda dan makna kemunculan McDonald
di dalam kampus mereka. Mereka tidak mampu menilai implikasi McDonald
sebagai simbol imperialisme budaya yang sedang menyerang katil mereka
sendiri. Tahap perbincangan mereka hanyalah setakat halal dan haram sos
mayonaise yang akan ditaburkan ke atas burger mereka.
Begitu juga kerosakan Masjid Al-Rah! man di hadapan pintu masuk Universiti
Malaya yang begitu membonjol dan menjolok mata. Sayangnya, mereka tidak
mampu lagi untuk memberikan hujah ilmiah popular kepada orang ramai tentang
kerosakan dan hingar-bingar yang akan dibawa oleh jalan raya itu ke atas
mimbar masjid mereka.
Parti-parti politik kerajaan atau pembangkang yang menganggap parti mereka
lebih suci daripada yang lain adalah kimia yang sedang menyuburkan kelahiran
kumpulan siswa yang antikegembiraan hidup. Kumpulan siswa ini juga disalut
dengan sikap "aku-lebih-suci-dari-kamu-maka-aku-lebih-berhak-masuk-syurga."
Tunjuk perasaan siswa itu cuba memaparkan isu 'maksiat'. Tetapi mereka telah
gagal untuk menerangkan asas-asas dan hukum-hukum sosial yang berkaitan
dengan pengaruh modal dan ringgit. Kegagalan anak-anak muda ini adalah tanda
kegagalan budaya politik dan budaya intelektual kita bersama.
Anak-anak muda yang turun ke jalan raya menentang konsert muzik sebagai
'maks! iat' adalah cermin muka kita sendiri. Mereka merupakan sebahagian
daripada tanda-tanda bahawa masyarakat kita hari ini bukan menuju ke satu
arah sebuah masyarakat madani yang telus, toleran dan bersikap terbuka.

HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas.
Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual).
Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho. Lulusan dari sekolah
pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay
Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI beliau akan menulis
isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika
kebosanan hidup.




COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Kick off your party with Yahoo! Invites.

Kirim email ke