*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum yang dikasihi.......


                   DOKTRIN HAKIKAT MUHAMMAD (Bahagian 2)


(c) Perhubungan Antara Hakikat Muhammad Dengan Para Anbiya' Dan Aulia'


Setiap Nabi itu adalah Logo (kalimah) Tuhan tetapi bukan Logo Yang Agung 
itu. Logo (kalimah) yang Agung itu ialah Muhammad iaitu Ketua Agung hirarki 
itu. Ibnul Arabi menggelar setiap sesuatu itu sebagai logo sekiranya ia 
mengambil bahagian dalam prinsip Akal dan Hidup alam semesta raya itu. Ini 
bererti bahawa segala sesuatu itu adalah kalimah Allah. Tetapi Anbiya' dan 
Aulia' terpilih dengan jelasnya kerana mereka menzahirkan kegiatan dan 
kesempurnaan Logo Agung dalam darjat yang sempurna. Perbezaan antara 
Muhammad dengan paa Anbiya' dan Aulia' ialah seperti perbezaan antara 
keseluruhan dan bahagian-bahagiannya. Logo Agung itu menyatukan padanya apa 
yang ada pada mereka itu semua. Perbezaan antara Muhammad dengan Adam adalah 
seperti perbezaan antara aspek batin dan aspek zahir sesuatu perkara. Di 
dunia ini Muhammad adalah aspek batin Adam (manusia). Di akhirat Adam akan 
jadi aspek batin dan Muhammad aspek zahir (iaitu bentuk Muhammad = Adam = 
Manusia Nasut : tetapi Hakikat Muhammad = Adam Hakiki = Lahut).

Sebab Nabi-nabi itu digelar Kalimah ialah kerana perhubungan makhluk dengan 
Zat Semesta (Nafas Al-Rahman) itu dimisalkan seperti perhubungan kata-kata 
dengan nafas manusia. Dan sebagaimana juga kata-kata itu menunjukkan atau 
mensyaratkan kepada sesuatu yang melampaui dan di sebalik bentuk-bentuk dan 
kata-kata itu, iaitu makna atau maksudnya, maka begitu jugalah bahawa 
kalimat itu menunjukkan sesuatu di sebalik dan mengatasi bentuk-bentuknya, 
iaitu hakikat terpendamnya (iaitu Hakikat Muhammad atau Hakikat bagi segala 
hakikat atau Allah itu sendiri).

Kalimah itu semuanya berpadu dalam satu Prinsip sejagat yang bertindak 
melalui semua maujud yang rasional (berakal) yang digelar sebagai Roh 
Muhammad atau Hakikat Muhammad. Ianya adalah Prinsip aktif dalam semua wahyu 
dan ilham. Melaluinya ilmu Ketuhanan dipancarkan kepada semua Nabi dan Wali, 
bahkan kepada Muhammad (bentuk jasmani Muhammad) itu sendiri. Kepada Roh 
Muhammad itu sahaja diberikan Jawami'ul kalim.

Ibnul Arabi berkata bahawa Jawami'ul kalim itu adalah (a) Zat Ketuhanan (b) 
Alam Semesta (c) perhubungan antara keduanya. Roh Muhammadiyyah itu terzahir 
pada Nabi Adam hingga kepaa Nabi-nabi dan Aulia' yang selepasnya. Semua Nabi 
dan Wali mendapatkan ilmu atau hikmah mereka dari Roh Muhammadiyyah itu. 
Setiap mereka itu memiliki hikmah menurut yang ditentukan oleh sesuatu Nama 
Allah yang mempengaruhi setiap orang daripada mereka itu. Hanya Muhammad 
sahaja di bawah pengaruh semua nama Tuhan atau nama "ALLAH" yang merangkumi 
semua nama-nama yang lain.

Menurut Ibnul Arabi, meskipun Wali-wali itu memperolehi ilmunya dari seorang 
Nabi misalnya Musa atau Isa, namun itu adalah melalui Roh atau Nur Muhammad 
jua. Dari segi inilah Ibnul Arabi mengatakan bahawa keWalian itu menyerupai 
keNabian iaitu dalam pengertian bahawa Aulia' dan Anbiya' itu meminum air 
dalam pancuran ilmu (hikmah) yang sama.

Muhammad itu sajalah maujud yang unik, tersendiri dan tanpa tandingan dalam 
wujud sejagat ini. Oleh itu, ia unik sendirinya (fardiyyah). Tidak ada yang 
mengatasinya kecuali Zat Mutlak. Berkenaan dengan dia sebagai serupa dengan 
Akal Awal atau Haqiqatul-Haqaiq, Ibnul Arabi menggelarnya al-Barzakh 
(peringkat pengantara) antara Ketuhanan dan Alam, sambungan antara Yang Baqa 
dengan yang sementara; Yang Wajib dengan yang mumkin; Hakikat atau Realiti 
dan fenomenal, aktif dan pasif, dan sebagainya.

Dengan yang demikian, Hakikat atau Roh Muhammad itu adalah penzahiran 
Ketuhanan dalam batin, pemancar semua ilmu Ketuhanan kepada mereka yang 
memilikinya bahkan kepada Qutub bagi segala Qutub (iaitu Nabi Muhammad SAW) 
itu sendiri.

Hakikat Muhammad itu adalah "penyebab" (cause) terzahirnya semua makhluk. 
Ianya serupa dengan Roh dan kegiatan kreatif Tuhan (al-Haqqul Makhluqu 
bihi). Ianya Prinsip yang menyelenggara dan memerintah Alam Raya ini ataupun 
Prinsip yang memberi hidup dalam semua maujud. Hakikat atau Realiti dengan 
fenomenal, aktif dan pasif, dengan sebagainya.


(d) Perhubungan Hakikat Muhammad Dengan Allah Dan Hirarki Anbiya' Dan Aulia'


Kedudukan Qutub (Hakikat Muhammad) sebagai Prinsip kosmos (Dasar Alam Raya) 
ini dengan Allah dan susunan peringkat (hierarchy) Anbiya' dan Aulia' 
dijelaskan oleh Ibnul Arabi, secara perlambangan (simbolik) seperti 
demikian, meskipun maqam (stesen) mistik (iaitu manzilat tanzihil-tawhid) 
mengandungi intuisi (ilham) tentang keesaan mutlak dan tanzih Ketuhanan 
(transcendence of God), ilmu yang dibukakan dalam tindakan Nur (iaitu dalam 
hati orang Sufi) diberi dalam bentuk sesuatu yang boleh dilihat dan 
dikhayalkan. Ianya berbentuk "rumah" yang bertiang lima yang di atas rumah 
itu ada tetap. Dinding rumah itu tidak ada pintu dan ini menyebabkan rumah 
itu tidak boleh dimasuki. Di luar rumah itu ada satu tiang yang bersambung 
dengan dinding luar.

Orang Sufi menyentuh dan mencium tiang ini sebagaimana orang Islam mencium 
Batu Hitam (Hajar Aswad) pada Kaabah. Bukanlah dalam stesen mistik ini saja 
tiang itu boleh disentuh dan dilihat dalam idea atau khayalan tetapi juga 
dalam semua stesen mistik (maqam). Tiang ini bertindak sebagai pentafsir 
(interpreter) ilmu pengetahuan yang dibukakan kepada orang Sufi dalam maqam 
itu. Lidahnya petah berkata-kata. Si Sufi tidak dapat masuk ke dalam 
sebahagian daripada "manazil" ini, oleh itu mereka hanya menerima ilmu 
berkenaannya dari tiang yang di luar itu, dan mereka percaya dengan apa yang 
disampaikan kerana orang Sufi ada bukti tentang kebenaran kata-kata itu 
dalam kasyaf.

Oleh itu secara perlambangan Ibnul Arabi menjelaskan "manazil" (stesen 
mistik) dan Prinsip yang bertindak melaluinya. Rumah itu keseluruhannya 
melambangkan seluruh Realiti (Wujud Semesta Raya). Bahagian luarnya 
melambangkan alam zahir dan bahagian dalamnya alam roh. Tiang luar tadi yang 
menyambung luar rumah dengan dalam rumah ialah Hakikat Muhammad atau Roh 
Muhammad, pentafsir yang petah berkata-kata dan bijaksana antara orang Sufi 
dengan alam roh (iaitu antara Ketuhanan dan Kemanusiaan), tetapi Hakikat 
Muhammad itu tidak berpisah dari Allah dan tidak berpisah dari alam.


Wallahu ta'ala a'lam.......

TO BE CONTINUED.......

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri
_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.

Share information about yourself, create your own public profile at 
http://profiles.msn.com.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Abdul Jamil Lam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke