*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
------------------------------------------------------------
Forum Keadilan Malaysia KM2 Mail an article to a friend 

------------------------------------------------------------
Time/Date    : 7:57:41 AM 3/9/2000 Sun 
Sender Name  : somebody 
Sender Email : [EMAIL PROTECTED] 
Fwdto  Email : [EMAIL PROTECTED] 
Mode         : plain/text 
CC           :  
------------------------------------------------------------
Extra message from sender: 

------------------------------------------------------------
Forum Keadilan Malaysia KM2 - web aNtu N HFM   
 
Date  : 31/8/2000 am 
------------------------------------------------------------
Subject: KTLBELB 27: Mencari Semangat Yang Hilang 
Writer: Marhain Tua    
 
Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila 
 
KTLBELB: Bab 27 
 
MENCARI SEMANGAT YANG HILANG 
 
Kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-43. 
Tetapi, ramai rakyat negara ini yang merasakan sambutan itu 
hanya sesuatu yang disogokkan, kerana mereka sudah sedar 
kini betapa semangat untuk menyambutnya sudah lama hilang.  
 
 
Pada satu ketika yang terdekat, semangat menyambut 
ulangtahun kemerdekaan itu memang meriah sekali. Di 
sana-sini, bendera negara ?Jalur Gemilang? kelihatan 
berkibar dengan megahnya. Di rumah, di kedai, di gedung, 
kantor dan pejabat,  di kenderaan kepunyaan kerajaan, 
syarikat swasta dan kepunyaan peribadi rakyat; kibaran 
bendera itu merupakan sesuatu yang dilihat dengan senyuman 
panjang oleh sesiapa sahaja. Bukan sahaja anak-anak yang 
mencari-cari makna kibaran itu, bukan sahaja para 
pengunjung dan pelawat negara yang terus membuat 
perbandingan dengan cara negara mereka meraikannya. 
Golongan lama  warga negara ini kerap mengimbau  nostalgia 
lama betapa bendera yang berkibar itu membawa seribu makna 
mengingatkan zaman muda mereka. 
 
 
Kini, kibaran Jalur Gemilang itu dilihat sebagai satu 
gerak-geri yang sungguh simbolik melambangkan  cetusan hati 
sanubari sebilangan besar rakyat negara ini yang hidupnya 
tertekan. Mereka seolah-olah  menantikan kedatangan satu 
hari yang lebih bermakna dari itu, entah bila dan kalau pun 
muncul berapa lama lagikah agaknya.  
 
 
Tidak siapa yang dapat menyangkakan, bagaimana semangat 
menyambut ulangtahun kemerdekaan itu boleh menurun  pada 
kali ini. Pada tahun yang lalu, semangat itu masih kuat 
lagi walaupun ketika itu majoriti rakyat  masih lagi 
merasakan kehilangan mantan timbalan perdana menteri Dato 
Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kini, sudah masuk tahun ke-dua 
beliau dipenjarakan, secara tiba-tiba pula keadaan berubah 
serta merta. Semangat keceriaan tahun yang lalu, sudah 
berubah rupa. Rakyat sudah menjadi hambar untuk menyambut 
ulangtahun kemerdekaan negaranya. Seperti hambarnya rakyat 
dengan keputusan kes mahkamah yang terus menambah deraan 
terhadap DSAI itu.  
 
 
 
Kelunturan Semangat yang Mengejutkan 
 
 
Pada tahap awalannya, tidak sesiapa yang dapat menjangkakan 
munculnya kelunturan semangat menyambut ulangtahun 
kemerdekaan itu. Pihak pemerintah telah membuat pelbagai 
rencana untuk menentukan semangat sambutan itu terus 
menggunung tingginya. Di setiap akhbar perdana, kita dapat 
lihat iklan satu muka penuh yang mencanangkan ?Cuti-Cuti 
Malaysia?. Sekaligus ia juga mengiklankan muka seorang 
menteri yang bekerja keras untuk menggalakkan promosi itu. 
Tetapi, rakyat bukannya dungu sangat hinggakan tidak 
memahami kenapakah iklan yang mahal seperti itu terpapar 
setiap  saban hari dan saban minggu? Apakah itu caranya 
regim Mahathir memberikan sokongan  untuk menanggung 
kerugian jualan yang semakin meleset? Dengan duit siapakah 
sokongan itu kalau bukan dengan duit rakyat jelata? 
 
 
Iklan ?Cuti-Cuti Malaysia? itu sebenarnya merupakan  
rencana kerajaan yang memerlukan satu perbelanjaan yang 
besar. Pelbagai cara telah ditaja dan diadakan. Projek 
mengisi buku catatan ataupun Rekod Gemilang Malaysia persis 
Guiness Book of Records masih terus dilaksanakan. 
Pembikinan ?Popia Terpanjang?, ?Lemang Terpanjang?, 
?Bendera Terpanjang? dan penyertaan membuat teh tarik yang 
paling ramai adalah satu daripada projek yang 
melucukan kerana apakah sebenarnya yang dapat dibanggakan 
dalam usaha seperti itu? Kini, menteri pelancongan  mahu 
memperkenalkan pembikinan teh tarik ke seluruh dunia, pula. 
Kenapakah gerangannya dan apakah dengan memperkenalkan 
teknik membikin teh tarik itu akan mengharumkan lagi nama 
Malaysia? Tidak cukupkah ?Malaysia? dipromosikan oleh 
seorang diktator tua yang bergelar ?Wira Dunia Ketiga?? 
Tidak cukupkah promosi yang dilakukan oleh penajaan 
terhadap seorang pelayar solo negara yang telah  
mencatatkan satu rekod pelayaran dunia? Apakah Malaysia 
masih tidak dikenal oleh dunia selepas tersibarnya cerita 
bagaimana pelancong asing  diculik dan dilarikan ke Pulau 
Jolo oleh  Kumpulan Al Sayyaf? Sebelum itu tercetus pula 
kisah  Kumpulan Al Ma'unah  yang  merompak dua kem tentera 
pada satu malam dan melarikan senjata untuk dicuba di tepi 
jalanraya.  
 
 
 
Iltizam Rakyat Yang Hilang 
 
 
Setiap pelawat asing  kerap senyum sendirian apabila 
melihatkan negara yang sungguh indah dan penduduknya 
berbilang kaum dan berbilang agama serta berupaya bertutur 
berbilang bahasa. Mereka tersenyum kegirangan mengharapkan 
keadaan kegemilangan yang ada itu dapat berlaku di negara 
mereka sendiri. Mereka kagum dengan  kesediaan rakyat 
negara ini menyambut ketibaan mereka dan dengan cara hidup 
rakyat negara ini menerima keadaan hidup yang ada.  Tetapi, 
sedarkah setiap pelawat negara  apa yang sebenarnya 
tersirat di sebalik setiap senyuman rakyat negara ini? 
 
 
Tidak ada negara lain di dunia ini yang mampu menandingi 
keupayaan rakyat negara ini dalam cara bersandiwara secara 
selamba. Sejak Perang Dunia Kedua dulu, rakyat negara ini 
telah dihujani dengan pelbagai bentuk kesengsaraan.  Ketika 
Jepun datang memerintah, kedaifan telah mengajar 
penduduknya untuk terus hidup walaupun dengan memakan ubi 
yang dibakar dan merebus bebunga durian sebagai sayur 
harian. Apabila Jepun lari kerana kekalahan, negara yang 
diperintah untuk satu waktu yang pendek oleh ?Gerombolan 
Bintang Tiga? telah menyaksikan betapa ramainya orang 
Melayu yang dibunuh oleh kumpulan ganas ini yang mahu 
menegakkan sebuah negara yang berpaksikan Kerajaan China  
Komunis.  Rakyat negara  terutama sekali orang Melayu masih 
mampu untuk terus hidup lagi sehinggalah penjajah British 
muncul semula dengan iringan Askar Melayu yang bersenjata.  
 
British datang semula dan menumpaskan  kumpulan Cina yang 
mahu berkuasa selepas tewasnya askar Jepun.  Orang Melayu 
yang masih taat setia kepada sistem beraja, terus 
mengalukan ketibaan British itu. Mereka akur kepada  arahan 
raja-raja untuk terus taat setia kepada kerajaan British. 
Kesetiaan yang membabi-buta itu telah menyaksikan 
penjajahan yang lembut tetapi terang-terangan mengambil 
tempat unggulan dalam sejarah kehidupan orang Melayu. 
Sedikit demi sedikit  orang Melayu menjadi satu kumpulan 
manusia yang terpinggir daripada arus kemajuan kerana yang 
dipentingkan oleh British ketika itu ialah mengambil alih 
ketuanan Melayu daripada  raja-raja untuk dikuasai oleh  
penasihat raja-raja.  Sekaligus, orang Melayu mula hidup 
berkasta mengikut rentak nafsu-nafsi golongan penasihat 
British itu.  Secara spontan pula orang Melayu menerima 
pelajaran daripada ketuanan yang baru  bahawa ?bangsa yang 
bergelar Melayu itu adalah satu bangsa yang pemalas dan 
tidak tahu membangunkan negaranya.? 
 
 
Alangkah aibnya catatan sejarah bangsa Melayu yang ditulis 
oleh British ketika itu sedangkan sebelum ketibaan mereka 
ataupun puak mereka daripada Eropah dulu, Bahasa Melayu 
digelar bahasa ?Lingua Franca? dan peradaban Melayu 
dipelajari oleh setiap kaum yang mendatang ke balai istana 
raja-raja Melayu? 
 
 
Maka bermulalah satu episod panjang apabila British terus 
mencengkam penjajahannya di Kepulauan Melayu itu. Bermula 
daripada Arau di Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Tawau 
yang terletak dibucu tanah kepulauan  Borneo, orang Melayu 
dijajah mengikut cara yang menyeronokkan pihak yang 
dilantik pada awalnya sebagai penasihat kepada raja-raja 
Melayu. Berterusanlah keadaan itu sehingga berlakunya satu 
semangat kebangkitan di kalangan rakyat untuk memberontak 
dan menyanggah pemerintahan yang berat sebelah. Golongan 
penasihat menjadi terkejut dengan semangat kebangkitan itu 
dan berlakulah putarbalik pemikiran di kalangan raja-raja 
dan juga rakyat jelata yang berbangsa Melayu. Terbantutlah 
usaha British yang cuba membuat klassifikasi baru kepada 
perkataan Bangsa Melayu. Rencana Malaysan Union tumpas, 
walaupun raja-raja Melayu sendiri sudah hampir 
menyetujuinya. Tetapi, orang Melayu yang bergelar rakyat 
itu yang menyanggahnya.  Ketika itu British  hanya berjaya 
mengubah sejarah bangsa dengan membuat klassifikasi 
terhadap orang Bajau, Iban dan Kadazan; terhadap orang 
Hulu, Hilir, Bukit dan Sungai; orang Murut, Temoi, Sakai 
dan Jelai. Semua itu adalah Melayu pada asalnya tetapi bagi 
muslihat penjajahan mereka diberikan taraf baru pula oleh 
British agar senang untuk memerintah secara ?Pecah dan 
Jajah?. 
 
 
 
Di waktu yang sama, semangat untuk mengembangkan pengaruh 
Komunis masih bergegar sehinggakan British terpaksa 
mengisytiharkan keadaan dharurat di negara ini di mana 
kumpulan yang berpaksikan Parti Komunis Malaya itu 
diharamkan dan kumpulan itu dikatakan melarikan diri ke 
hutan belantara. British pun mengembangkan  pasukan 
keselamatan untuk mempertahankan negara daripada  ancaman 
komunis itu yang sebilangan besarnya dianggotai oleh kaum 
Cina.  Rakyat jelata pun dikerah untuk menjadi polis dan 
tentera. Sembilan puluh sembilan peratus anggota pasukan 
keselamatan itu diambil daripada orang Melayu bukan kerana 
mereka mahu sangat dengan tugas itu tetapi kerana semangat 
mereka untuk mempertahankan negara yang ?satu? dan semangat 
mereka mahu mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu dan 
agama Islam anutan mereka. 
 
 
Dengan lain perkataan, orang Melayu bangkit semula memikul 
senjata dan berkorban nyawa dan raga untuk mempertahankan 
kedaulatan negara, raja-raja, martabat bangsa dan agama 
Islam.  Inilah semangat juang orang Melayu yang ditanam di 
kalangan mereka sejak British memerintah dulu. Ini jugalah 
semangat orang Melayu ketika  bersatu-padu  menuntut 
kemerdekaan daripada British dulu. Seperti yang berlaku 
ketika perang melawan Jepun dulu, ribuan nyawa Melayu yang 
terkorban mempertahankan semangat yang tertanam di sanubari 
mereka sejak lahir dulu.  Ratusan keluarga Melayu tergugat 
disebabkan keadaan hidup yang daif ketika zaman dharurat 
dulu. Tetapi, orang Melayu terus bertahan kerana mereka 
mengharapkan keadaan hidup akan berubah apabila kemerdekaan 
dapat dicapai.     
 
 
 
-       31 Ogos 1957 
 
 
Inilah tarikh keramat yang menaikkan semula semangat dan 
martabat orang Melayu. Yang lebih menonjol ketika itu ialah 
martabat  raja-raja Melayu yang diberikan kepada yang 
berhak. Kemerdekaan itu diisi dengan satu harapan betapa 
sekumpulan manusia yang dilantik sebagai wakil kepada 
rakyat yang mengundi mereka di pilihanraya umum itu adalah 
satu kumpulan yang mewakili rakyat untuk menjadi kerajaan 
yang memerintah negara.  Rakyat jelata tidak pernah menaruh 
sebarang syak wasangka betapa Tunku Abdul Rahman Putra 
Alhaj yang menjadi Perdana Menteri Pertama Negara akan 
menyeleweng daripada sumpah setianya. Tidak juga kepada Tun 
Abdul Razak timbalannya ataupun kepada Tun Dr. Ismail, 
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu.  
 
 
 
Tunku memimpin negara dengan megah dan dengan penuh 
sanjungan rakyat jelata. Tidak ada masalah kerajaan yang 
tidak ditanganinya setelah memberitahu rakyat terlebih 
dahulu. Tidak ada sebarang masalah  yang tidak ditanganinya 
tanpa  disenangi oleh rakyat. Kerajaan Tunku merupakan satu 
kerajaan rakyat yang ditadbir oleh mereka yang benar-benar 
bergelar wakil rakyat.  Inilah asas keharmonian negara 
kerana ia telah hidup membesar dengan penuh pengertian 
bahawa kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang disenangi 
oleh rakyatnya.  
 
 
-       13 Mei 1969 
 
 
Ketenangan dan keharmonian negara tergugat dengan 
tercetusnya huruhara yang melibatkan pergeseran kaum di 
antara orang Melayu dan Cina. Pergeseran kaum itu berlaku 
di Kuala Lumpur pada awalnya tetapi sempat dikekang 
daripada menjalar ke seluruh negara. Kepintaran segelintir 
manusia yang bergelar wakil rakyat dengan kerjasama 
segelintir ketua polis dan tentera bersama segelintir 
pemimpin masyarakat berjaya membendung huru-hara itu 
daripada menular.  
 
 
Dunia menjadi terkejut kerana tidak terfikirkan sebuah 
negara yang mampu hidup aman damai tiba-tiba bergolak untuk 
berantakan. Tetapi, dunia tidak sedar ketika itu betapa 
keadaan huru-hara itu adalah kesan mainan dalang yang 
mahukan Tunku Abdul Rahman Putra undur daripada jawatannya. 
Semua kisah pendalangan itu pernah ditulis dan dibukukan 
oleh Tunku Abdul Rahman Putra.  Di dalam buku itu dia ada 
menyebut satu nama orang yang membakar  semangat membenci 
kerajaan pimpinan Tunku itu. Nama orang yang jijik itu kini 
merupakan satu nama yang penuh kontroversi sekali lagi.   
 
 
 
Ironisnya menjelang 31 Ogos 2000, nama yang dikatakan 
sungguh harum itu sudah semakin jijik semula. Kali ini, 
kejijikan itu bukan sahaja setakat satu kumpulan tertentu 
seperti yang dialami oleh Kumpulan Tunku dulu. Kini, 
kejijikan itu dirasai oleh sebilangan besar rakyat jelata 
negara ini terutama sekali mereka  yang bergelar Bangsa 
Melayu.    
 
 
 
Yang Usul Balik Ke Asal 
 
 
Sejak empat puluh tahun yang lalu, ketuanan Melayu yang 
diraih kembali daripada British oleh semangat juang orang 
Melayu dan diserahkan kepada raja-raja Melayu, kini sudah 
bertukar tangan lagi. Dua puluh tahun yang lalu, ketuanan 
Melayu itu telah bertukar tangan daripada yang berpaksikan 
kedaulatan raja-raja Melayu  kepada ketuanan parti politik 
yang bergelar UMNO. Namun, sedikit demi sedikit sejak 
sepuluh tahun yang lalu, kedaulatan raja-raja Melayu itu 
terhakis sehinggakan kehadiran mereka hanya simbolik kepada 
ketuanan Melayu sahaja. Ketuanan sebenarnya pun sudah tidak 
ada pada UMNO kerana ia sudah bertukar kepada hanya seorang 
yang kini berkuasa mutlak hingga mampu mencorakkan cara 
hidup orang Melayu itu mengikut ragam nafsu-nafsinya.  
 
 
Proses penukaran kuasa mutlak itu dapat dilakukannya 
melalui pelbagai akta dan perundangan yang diperkenalkan 
dan dipinda di mana perlu untuk menentukan kuasa ketuanan 
Melayu itu hanya hak mutlak si insan yang satu itu. Semua 
lapisan Melayu yang ada, baik daripada golongan istana 
hinggalah golongan rakyat Melayu yang melata, menjadi kaku, 
bisu dan seolah-olah terpukau membiarkan ketuanan Melayu 
itu bertukar tangan. Sekaligus khazanah negara yang 
sepatutnya menjadi warisan bangsa bertukar tangan juga.  
 
 
 
 
Orang Melayu masih tidak mampu berbuat apa-apa. 
 
 
Sejarah Melayu berulang kembali. Penjajah dulu melakukan 
proses ?pecah dan jajah?, kini proses itu berulang lagi. Di 
zaman British dulu, orang Melayu dikawal pergerakannya 
melalui satu jaringan lapuran yang dilakukan oleh satu 
kumpulan masyarakat yang datang daripada India dan Pakistan 
dan dikatakan beragama Islam. Inilah kumpulan yang menjadi 
peniaga kedai mamak dan penjual roti dan susu lembu di 
merata negara. Ada juga di kalangan mereka yang merupakan 
guru-guru yang akhirnya mengahwini orang Melayu tempatan 
untuk membiak hingga beranak-pinak pula.   Inilah kumpulan 
yang diberikan tanah lesen ?TOL? untuk berniaga dengan 
modal yang diberikan oleh British.  Inilah juga golongan 
yang digalakkan oleh British untuk menonjol  sebagai 
golongan yang disegani oleh masyarakat sekelilingnya. 
Mereka inilah yang merupakan rangkaian talibarut pihak yang 
memerintah. Mereka berjaya membesar dan membangunkan 
ekonomi mereka  kini disebabkan sikap orang Melayu yang 
toleran terhadap mereka kerana memikirkan inilah kaum 
seagama yang patut diiktiraf sebagai ?saudara?. Tetapi 
apakah jadinya? 
 
 
Sebagai yang lazim, sesuatu tindakan yang tidak sihat dan 
yang ditujukan untuk mempengaruhi masyarakat yang bertaqwa, 
tidak akan dapat bertahan lama.    Berlakulah pelbagai 
usaha untuk mengkucar-kacirkan masyarakat Melayu dalam 
pelbagai bentuk. Ada yang mencuba melakukan perpecahan 
melalui ajaran agama Islam yang songsang, sehinggakan 
berani menonjolkan risalah dan dakyah betapa ?Hadis itu 
adalah tidak perlu dalam kehidupan ini?. Ada yang berani 
melakukan pengaruh yang lebih berani memperlekehkan ajaran 
agama Islam itu sehinggakan mengaibkan nabi junjungan 
masyarakat Islam.  Begitulah seterusnya, penindasan minda 
Melayu itu terus diganyang oleh pihak yang mempunyai kuasa 
memerintah negara sehinggakan orang Melayu itu berpecah 
belah dan berpuak-puak.   
 
 
 
Orang Melayu Yang Mudah Mengalah 
 
 
Ketika British memerintah negara, ada satu falsafah 
pemerintah yang menjadi amalan mereka. Amalan itu 
berbunyi........ ?Orang Melayu mudah diperintah kalau 
perkara ini diberikan perhatian: Islam, raja-raja, gaji, 
cuti, perkahwinan, sakit dan mati.? 
 
 
Kerana itu di waktu penjajahan dulu, kalau ada seorang 
askar yang meminta cuti dengan alasan ?neneknya yang mati?, 
pegawai pemerintah akan meluluskannya walaupun dia tahu 
askar itu sudah banyak kali meminta cuti dengan alasan yang 
sama. Pegawai British itu tidak akan mempersoalkan alasan 
itu kerana besar kemungkinannya si askar tadi mempunyai 
seorang datuk yang mempunya empat isteri. 
 
Sikap toleran British yang memerintah, telah dibalas oleh 
orang Melayu dengan kesetiaan yang tidak berbelah bagi 
selagi sikap pemerintahan itu dapat menjamin tujuh  faktor 
yang disebutkan di atas tadi. Kerana itu, apabila British 
melakukan pengasingan kaum bukan Melayu dalam kem 
perkampungan untuk menjauhkan pengaruh kominis ke atas kaum 
yang di berikan penempatan itu, orang Melayu tidak pernah 
membantah. Malahan, ramai orang Melayu yang sanggup pula 
menerima anak-anak kecil daripada kaum Cina dan India yang 
sedang kesempitan hidupnya ketika itu. Hasilnya ramai 
anak-anak angkat itu yang membesar sebagai orang Melayu dan 
beragama Islam hingga kini.  
 
 
Toleransi orang Melayu yang semula-jadi itulah yang 
meyakinkan British memberikan kemerdekaan kepada 
Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura.  
Pihak British yakin, bahawa sikap toleran Bangsa Melayu 
adalah satu aset yang terpenting untuk menjamin 
kesejahteraan bekas jajahannya.  
 
 
 
Semangat Kemelayuan Yang Mencelaru. 
 
 
Proses memutarbalikkan minda orang Melayu yang memakan masa 
lebih dua puluh tahun oleh satu kumpulan yang mahukan 
ketuanan Melayu  sudah membuatkan Bangsa Melayu itu menjadi 
satu bangsa yang berkecamuk fikirannya.   
 
Sekaligus, kedamaian yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman 
Putra Al Haj menjadi tergugat, kerana orang Melayu 
diberitahu akan bahaya memanjakan kaum asing yang  semakin 
kaya raya ketika itu. Tunku Abdul Rahamn ditohmah sebagai 
perdana menteri yang amat suka berjudi dan tidak lagi 
memikirkan masa depan bangsa Melayu. Pemimpin UMNO yang lain 
yang rapat dengan Tunku pun ditempelak sebagai golongan 
yang menderhakakan harapan bangsa. Demikianlah, golongan 
marhaen Melayu itu dipukau dengan kata hasutan. Apabila 
Tunku bersara, pembantu setianya yang dulu naik memerintah 
dengan program pemerintahan yang baru. Bangsa Melayu akur 
lagi tanpa banyak bantahan. Hutan rimba yang dibuka sanggup 
diteroka oleh bekas perajurit sebagai para peneroka. 
Sedangkan keadaan hidup di kawasan FELDA, RISDA dan FELCRA  
ketika itu memang tidak jauh bezanya dengan keadaan hidup 
yang diharungi oleh kumpulan orang Asli.  
 
 
Balak yang ditebang telah memperkayakan orang tertentu 
daripada golongan istana kepada mereka yang baru sahaja 
melepaskan perusahaan bijih timah yang sudah tidak laku 
lagi. Para pemimpin Melayu yang bergelar wakil rakyat sudah 
semakin kehilangan agenda asal ketika mereka dipilih dulu. 
Hutan rimba yang semakin galak ditebang telah membeliakkan 
mata mereka untuk turut membalon khazanah negara. 
Tinggallah orang Melayu di hutan rimba itu untuk 
memperkayakan negara dan juga para pemimpinnya. Kawasan 
perladangan itu merupakan gelanggang baru kepada orang 
Melayu untuk bekerja keras memperbaikki keadaan ekonomi 
mereka secara kumpulan. Di malam hari mereka berehat sambil 
mengimpikan sesuatu yang lebih baik lagi. 
 
Dengan kudrat Illahi, harga getah naik mendadak dan 
dituruti pula dengan  harga sawit yang naik mencanak. Harga 
balak terus naik lagi, tetapi bahannya  sudah berkurangan 
kini. Negara membangun lagi apabila harga petroleum semakin 
meninggi. Terselamatlah Bangsa Melayu itu dengan penuh 
keinsafan betapa kenaikan harga sumber negara itu adalah 
satu rahmat yang datang dari Allah SWT sebagai ganjaran dan 
pampasan kegigihan mereka untuk bernegara. Sekaligus, orang 
Melayu lupa bahawa di waktu yang sama ketuanan Melayu itu 
sudah beransur bertukar tangan, dirangkul oleh seorang 
insan yang sudah beransur bertukar peranan. Dia  bertukar 
daripada seorang pemimpin yang disegani kepada seorang 
pemimpin yang semakin berani. Secara bedikit dia menukar 
agenda kepimpinannya daripada seorang negarawan yang 
menonjolkan Bangsa Melayu kepada seorang yang mahu dikenal 
sebagai Wira Dunia yang berasal-usulkan Bangsa Malaysia dan 
tidak berbangsa Melayu lagi.  
 
 
Percanggahan Agenda Kehidupan 
 
 
Percanggahan dalam agenda kehidupan adalah laksana 
pertembungan anak-anak sungai di satu cabang air yang 
besar. Matlamat kehidupan itu adalah laksana aliran sungai 
ke muara. Kalau pertembungan itu berlaku sama kuatnya, akan 
berlakulah satu jurang yang dalam di situ untuk air bertemu 
air sebelum terjadi pula lurah aliran yang baru.  Inilah 
yang sedang berlaku sekarang di kalangan Bangsa Melayu.  
 
 
Pada keseluruhannya masyarakat Melayu itu sudah menjadi 
terus mencelaru memikirkan serba-serbi kehidupan mereka 
yang telah tergugat oleh satu arus agenda hidup yang tidak 
menyenangkan. Mereka telah kehilangan arah sebaik sahaja 
ketuanan Melayu bertukar tangan. Kini, sebilangan besar 
masyarakat Melayu itu sudah menjadi keliru siapakah 
sebenarnya yang mesti mereka pentingkan. Raja-raja Melayu 
ataupun wakil rakyat Melayu yang amat mereka hormati sejak 
lama dulu? 
 
 
Untuk mencari jawapannya, orang Melayu  menoleh keliling 
mereka dan mendapati keadaan hidup yang semakin menekan. 
Keadaan korupsi yang semakin menjadi-jadi, daya mengejar 
kekayaan dengan cara yang salah di mana meritokrasi dan 
kegigihan usaha tidak lagi menjadi ukuran asasnya. Yang 
penting sekali ialah penekanan kepada sistem Korupsi, 
Kollusii, Daddykasi dan Detkasi adalah ukuran hidup zaman 
kini. Semua itu dihayunkan dengan bangganya oleh satu 
sistem pemerintahan yang berpaksikan seorang diktator tua 
yang mesti terus berkuasa.  Apa jadi akhirnya? Parti 
politik yang bernama UMNO tidak lagi menjadi parti politik 
yang disenangi oleh majoriti orang Melayu. 
 
Dengan kehendak Allah jua, ketika negara hampir merayakan 
ulangtahun kemerdekaan ini terjadi pelbagai drama, 
sandiwara dan insiden yang mencelikkan mata.  Korupsi yang 
berjuta harganya yang diamalkan di JPJ melibatkan lebih 
satu ratus ribu manusia yang mempunyai lesen memandu haram 
mengimbau kenangan akan jumlah kemalangan jalanraya yang 
semakin meningkat. Sekaligus, korupsi seperti ini 
mengingatkan rakyat akan kisah projek kerajaan yang banyak 
terbengkalai sedangkan bayaran lumayan sudah tertunai. 
Projek PULAREK yang perlu dibaik-pulih semula, keadaan 
Kompleks Stadium Bukit Jalil yang hanya baru dua tahun 
usianya tetapi menunjukkan kedaifan pembikinannya, Projek 
Ampangan Bakun, Projek Perwaja dan banyak lagi. Semua itu 
mengejutkan orang Melayu kepada apakah yang sudah jadi 
dengan sistem pemerintahan negara masa kini. Apabila 
diambil kira semua itu dan disatukan pula dengan segala 
projek mega di Langkawi yang dibina untuk menaikkan nama 
Malaysia, semua tandatanya itu merupakan soalan yang 
memerlukan jawapannya.  
 
 
 
Kini, ulangtahun kemerdekaan berulang kembali. Tetapi, 
rakyat sudah lali dengan segala pujukan yang datang menjela 
panjangnya agar rakyat mula berpesta lagi. Seratus bait 
pantun mungkin dibaca semula. Titisan airmata si tua  
mungkin berjuraian juga ketika  membaca segala gurindam dan 
seloka  mengenai kemerdekaan itu. Mungkin mengenai satu 
iltizam yang baru agar rakyat terus berkorban lagi. Semua 
itu akan menjadi basi sahaja kerana rakyat sudah lama 
menyedari lakonan drama dan sandiwara yang disisip di 
dalamnya.  
 
 
 
Perayaan Merdeka untuk apa soal mereka kini. Ulangtahun 
merdeka untuk siapa pula lagi, tanya mereka kali ini. 
Perayaan itu boleh diraikan dengan ratusan juta ringgit  
lagi; tetapi rakyat semakin sedar begitulah simboliknya 
pembaziran royalti minyak yang sepatutnya tersimpan rapi 
sebagai warisan bangsa. Rata-rata, sambutan ulangtahun 
kemerdekaan tidak lagi membawa banyak makna kepada orang 
Melayu kerana mereka semakin sedar betapa mereka sudah lama 
tertipu. Alangkah pedihnya perkara ini, sedangkan itulah 
kaum yang bermati-matian dan bergadai golok untuk 
menentukan keutuhan negara dan martabat bangsanya?  
 
 
Kini, orang Melayu masih hidup terumbang-ambing. Setiap 
gerak langkah mereka mesti bertepatan dengan keserasian 
seorang diktator tua dan hukum hakam ciptaanya. Perkara ini 
baru disedari oleh Mufti Johor yang mahukan bakal pengantin 
lelaki menjalani ujian air kecing untuk mempastikan 
kebersihan bakal calon perkahwinan itu daripada serangan 
AIDS. Tetapi siapakah yang menyanggahnya kalau bukan anak 
si diktator itu. Sebelum ini adakah sesiapa di kalangan 
masyarakat Melayu yang mempersoalkan samada sang suami yang 
mengahwini si wanita itu pernah menjalani kursus 
perkahwinan? Begitu juga dengan anak lelaki si diktator itu 
yang sudah pun berumah tangga. Adakah mereka pernah 
menjalani kursus perkahwinan, sebelum mereka berumah 
tangga? 
 
 
 
Rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu lebih selesa 
mengenangkan nasib yang ditanggung oleh Anwar Ibrahim dan 
keluarganya.  Mereka bersedia berfikiran demikian daripada 
mengibarkan bendera di kereta mereka. Rupanya rakyat faham 
bahawa tambahan hukuman yang ditanggungnya bukan lagi 
tambahan hukuman terhadap dirinya dan juga anak dan 
keluarganya. Tambahan hukuman itu berarti tambahan 
kesengsaraan yang perlu ditanggungi oleh segolongan besar 
rakyat negara ini juga. Tidak kira apa kaumnya dan apa 
pegangan agamanya. Bilangan Jalur Gemilang yang berkibar di 
kenderaan yang bergerak di jalan raya bukan sahaja 
berkurangan secara drastiknya.  Kibaran setiap bendera yang 
ada itu kini membawa satu makna yang amat berbeza daripada 
makna yang asalnya.  Sebilangan besar rakyat yang 
melihatnya kini, menyedari bahawa setiap gerak kibaran 
bendera itu adalah lambang gerak hati yang mahukan seorang 
diktator tua yang mengetuai regim negara ini  berundur 
segera.  Bersama dengan para juak, jongos dan kumpulan 
Kroniputranya. Malahan juga mereka yang sekapal dengannya.  
 
 
 
 
 
- Marhaintua - 
Kucing - 30 Ogos, 2000 
 



Ref URL: http://server22.hypermart.net/webantu/cgi-bin/forum.cgi?id=KM2&read=2675
Code: (K-left) © web aNtu N HFM   DBI  at http://webantu.cjb.net/ 
U may distribute, cut N paste, whatever N wherever. 
Time/Date Generated : 7:57:41 AM 3/9/2000 Sun



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke