KENYATAAN
MEDIA SIRI PROGRAM “GERAKAN RAKYAT BEBASKAN
ANWAR” DAN PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT BAGI MELANCARKAN
“KEMPEN
NYAH
MAHATHIR” Ekoran
penolakan kali kedua untuk menyewa Stadium Nasional Bukit Jalil, Jawatankuasa
Bulan Reformasi bersama-sama Pergerakan Pemuda keADILan Pusat akan melancarkan
satu siri program jelajah negara sepanjang bulan Oktober
ini. Siri
program jelajah negara itu dinamakan “Gerakan Rakyat Bebaskan Anwar”. Program
ini adalah dalam bentuk perhimpunan rakyat yang akan diisi dengan pidato
umum. Sdr
Lokman Noor Hj. Adam selaku Pengarah “Gerakan Rakyat Bebaskan Anwar”, dalam
kenyataannya memberitahu bahawa program tersebut akan membariskan penceramah di
kalangan tokoh-tokoh keADILan Pusat, pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif,
Pemuda keADILan, Wanita keADILan, pemimpin-pemimpin NGO, aktivis reformasi dan
para karyawan. YB
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti keADILan Nasional juga
dijadualkan hadir dalam perhimpunan
tersebut. Program
yang akan bermula pada 11 Oktober di Seremban itu akan diikuti pada
tarikh-tarikh berikutnya di Johor Bahru, Ipoh, Kuala Lumpur, Kuala Terengganu,
Kota Bharu, Pulau Pinang, Alor Setar, Kangar, Shah Alam, Melaka dan Kuantan.
Program di Kuantan dijadualkan pada 27 Oktober. Pilihan bandar-bandar utama di
atas adalah bagi tujuan mendapatkan penyertaan terbesar dari setiap
negeri. Dijangkakan
perhimpunan ini akan disertai oleh sekurang-kurangnya 10,000-15,000 rakyat di
tempat-tempat seperti Seremban, Melaka, Kangar dan 50,000-60,000 rakyat di
tempat-tempat seperti Alor Setar, Kota Bharu dan Kuala
Terengganu. Setelah
selesai siri jelajah negara melalui “Gerakan Rakyat Bebaskan Anwar”, kemuncak
program pada bulan Oktober adalah Perhimpunan 100,000
Rakyat. Program
kemuncak bagi Perhimpunan 100,000 Rakyat adalah pelancaran “Kempen Nyah
Mahathir”. Kempen ini adalah anjuran bersama aktivis parti-parti politik,
aktivis reformasi, aktivis NGO dan para
karyawan. Bagi
memantapkan solidariti rakyat, pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti dalam
Barisan Alternatif akan diundang untuk bersama-sama hadir dalam majlis
pelancaran “Kempen Nyah Mahathir”. Perhimpunan
100,000 Rakyat beserta pelancaran “Kempen Nyah Mahathir” ini akan diadakan dari
pukul 3:00 petang hingga 6:00 petang pada hari Ahad 29 Oktober 2000. Tempat akan
dimaklumkan kemudian. “Kempen
Nyah Mahathir” ini juga akan diadakan di Kota Kinabalu dan Kuching dari 31
Oktober hingga 5 November. Hj.
Saari Hj. Sungib
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Reformasi,
Parti
KeADILan Nasional http://bulanreformasi.tripod.com emel: [EMAIL PROTECTED]
26
September 2000
|