Muka Hadapan Utusan Malaysia

Haramkan pusat video -- TPM: Kerajaan mahu semua pihak berkuasa tempatan bertindak

IPOH 3 Okt. - Kerajaan mahu semua pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan kerajaan mengharamkan terus kegiatan pusat permainan video kerana menjadi punca gejala masalah sosial golongan remaja di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan terbaik bagi mengatasi kegiatan pusat permainan video haram ialah dengan mengharamkan pusat permainan video.

Beliau menegaskan, jika pihak berkuasa tempatan mahu mengharamkan pusat permainan video, mereka boleh berbuat demikian kerana ia bukan satu perkara yang susah untuk dilakukan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan menyerahkannya kepada polis dan pihak berkuasa tempatan untuk menentukan bagaimana tindakan akan diambil.

''Pada saya benda ini (kegiatan pusat permainan video) dah nampak teruk sangat. Eloklah kalau pihak kerajaan tempatan dan badan-badan serta jabatan kerajaan yang lain mengambil tindakan supaya ia diharamkan, senang sikit... dah jadi masalah dah.

''Sebenarnya (kegiatan pusat permainan video) ini sudah jadi macam candu kepada anak-anak muda. Hari-hari mereka pergi (ke pusat permainan video), hari-hari mesti pergi main. Kalau tak main mereka tidur pun tak senang hati.

''Boleh jadi permainan ini pun dah berupa satu judi pulak..., satu judi kepada mereka dan ia tidak membawa kebaikan,'' tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan kunci kepada pemilik rumah kos rendah kumpulan kedua Taman Bercam Raya di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka satu Utusan hari ini mengenai kegiatan pusat permainan video haram yang terus berleluasa dan menimbulkan tanda tanya terhadap tahap penguatkuasaannya di sebalik arahan kabinet yang mahu semua agensi bertindak tegas membanteras gejala tersebut.

Abdullah berkata, beliau telah membaca laporan akhbar Utusan itu dan mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai supaya memanggil sidang akhbar khas hari ini untuk memberi penerangan yang sejelas-jelasnya dan apa juga fakta yang ada kepada media massa berhubung tindakan polis.

''Ini supaya perkara itu dapat disiarkan di akhbar dan televisyen untuk masyarakat mengetahui apakah yang telah dilaksanakan oleh polis pada waktu ini,'' ujarnya.

Menurutnya, memang banyak serbuan yang telah dilakukan polis termasuk rampasan mesin permainan video.

''Macam-macam tindakan telah diambil tetapi nampaknya tindakan itu masih lagi tidak dapat menghapuskan tempat-tempat dan kedai-kedai haram yang ada permainan video ini,'' tegasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak yang terbabit termasuk polis dan pihak berkuasa tempatan meningkatkan operasi bagi membanteras kegiatan pusat permainan video haram.

Abdullah memberi amaran kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai kerajaan termasuk polis yang terlibat dalam kegiatan membantu atau berkongsi berniaga dengan operator pusat permainan video haram.

''Kita akan mengambil tindakan terhadap mereka ini jika ada bukti,'' tambahnya.

Beliau berkata, beliau juga ada membaca kenyataan akhbar yang menyebut Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Zaki Hussin sebagai berkata, BPR menerima banyak maklumat secara umum yang mendakwa sesetengah kakitangan pihak berkuasa tempatan dan polis melindungi pengusaha pusat permainan video haram.

Katanya, surat-surat yang dihantar oleh orang ramai kepada BPR yang membuat pelbagai tuduhan terlalu umum dan tidak spesifik serta menyusahkan BPR untuk membuat penyiasatan dan mengenal pasti siapakah yang bertanggungjawab dalam hal tersebut.

Jadi, tambahnya, kalau rakyat ada maklumat-maklumat yang tepat tentang perkara tersebut, mereka wajib menyampaikannya kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Berhubung pusat permainan video yang menyalahgunakan lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dengan mengadakan mesin permainan video judi dan lucah, Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan boleh menarik balik lesen yang dikeluarkan jika ia disalahgunakan.

Oleh: AHMAD NAZRI HASHIM dan MOHD. TAUFEK RAZAK



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Photos - 35mm Quality Prints, Now Get 15 Free!

Kirim email ke