Assalamualaikum warahmatullah... Saya amat tertarik dengan artikel dari Malaysiakini.com.Semoga bermanfaat Insya-Allah http://www.malaysiakini.com/archives_news/2000/oct/oct12/news3.htm Oct 12, 2000 Pejabat si 'gadis santai' Noor Malek Belajar, kemudian lulus dengan ijazah atau diploma. Selepas itu berebut-berebut mencari pekerjaan. Dapat jawatan yang baik dan pastinya selepas itu mendirikan rumahtangga. Maka lengkaplah satu pusingan hidup. Begitulah tanggapan sebahagian besar anggota masyarakat. Tidak ramai yang berfikir sebaliknya. Terlalu kurang yang berpandangan bahawa pelajaran dan kelulusan yang dimiliki itu hanya sebahagian daripada proses - pengumpulan dan pemahaman terhadap ilmu untuk menjadi kehidupan itu lebih baik dan bermakna. Evolusi kehidupan ini turut mengubah tanggapan kaum wanita terhadap peranan dan kewajipan mereka. Sebahagian besar wanita kini tidak lagi menganggap tempat mereka hanya di rumah. Kaum Hawa ini turut berlumba-lumba mencari ilmu, mendapatkan kelulusan tinggi dan jawatan yang baik. Malah tidak kurang juga yang lebih agresif daripada kaum lelaki, dalam soal akademik dan kerjaya. Inilah wanita alaf baru. Tidak salah untuk sama-sama mencari kemajuan tetapi ramai yang "terlebih" hingga meletakkan kepentingan rumahtangga dan anak-anak di belakang kerjaya dan gaji bulanan masing-masing. Inilah yang menghantui masyarakat kita sekarang. Wanita yang berkelulusan tinggi tetapi tidak bekerja sering dianggap sebagai merugikan wang keluarga dan kerajaan kerana tidak mempraktiskan ilmu dan kepandaian yang ada. Saya adalah salah seorang daripada suri rumah yang berkelulusan tinggi itu. Mempunyai ijazah dalam bidang profesional dan pernah bekerja beberapa tahun tetapi kini menjadi isteri dan ibu sepenuh masa kepada empat orang anak berusia antara 5 hingga 12 tahun. Sangat besar tanggungjawabnya dan sering memeningkan kepala dan menguji kesabaran. Baru-baru ini semasa makan angin di sebuah kompleks membeli-belah, saya bertemu seorang kawan lama di kolej. Setelah 16 tahun tidak mendengar khabar, masing-masing exicted. Banyak cerita dan berita dibongkar kembali. Pastinya satu daripada topik wajib itu, soal kerjaya. Saya bertanya tentang kerjayanya dan dia lantas menghulurkan business card. Rupa-rupanya dia kini memegang jawatan pengurus besar di sebuah syarikat terkenal. Gadis santai Selepas itu dia bertanya pula di mana saya bekerja sekarang. Saya menjawab, "lady of leisure." Dia seperti kehairanan dan bertanya; apa itu, di mana pejabatnya? Dia seperti tidak memahami jawapan tadi, lalu saya jelaskan sebenarnya saya sudah tidak bekerja. Rakan saya itu seperti tidak percaya dengan jawapan saya. Mungkin kerana saya pernah mempunya sikap yang tegas dan ambitious semasa di kolej dulu menyebabkan dia sukar menerima hakikat diri saya sekarang. Begitulah, kawan saya itu juga seperti sebahagian besar anggota masyarakat lain - masih berfikiran lama. Bagi kawan saya itu kalau sudah berkelulusan tinggi mesti berkerja. Sampai bila agaknya masyarakat kita akan terus berfikiran begini? Umum masih sukar untuk menerima status suri rumah sepenuh masa yang berkelulusan tinggi. Wanita dalam kategori ini akan dianggap sebagai membazirkan pengalaman dan kelayakannya . Bagaimanapun bagi saya, dengan memilih untuk duduk di rumah sebagai homemaker tidaklah perlu dikesalkan. Kelulusan dan pengalaman bukan paspot untuk bekerja dan meletakkan tanggungjawab menguruskan rumahtangga pada orang lain. Tinggal di rumah tidak bererti kita mensia-siakan segala ilmu dan kebolehan yang dikumpul di kolej. Sebenarnya inilah masanya untuk kita membuktikan dan merealisasikan cita-cita untuk membina hidup yang berjaya dan bahagia. Menjadi suri rumah sepenuh masa banyak kelebihannya. Saya dapat melakukan banyak perkara yang tidak dapat dibuat oleh isteri yang berkerja. *** Makna sebenar inflasi Saya mengambil keputusan berhenti kerja ketika anak sulung saya berumur 5 tahun dan mula menjejak kaki ke alam pra-sekolah. Tiada langsung rasa kesal bila membuat keputusan itu walaupun pada waktu itu karier saya sedang meningkat. Saya perlu membuat pengorbanan besar. Saya mahu anak-anak saya membesar dengan corak didikan saya sendiri bukan pembantu rumah. Langsung tiada rasa rendah diri dalam apabila bertemu rakan-rakan satu kolej dalam reunion yang diadakan baru-baru ini walau antara mereka telah menjadi pengurus, pengarah dan usahawan. Menjawat karier sebagai suri rumah sepenuh masa juga menjadikan saya seorang " pengurus kewangan " yang berhemat. Pergi ke pasar dan pasaraya setiap hari menjadikan saya tahun keadaan turun naik harga sebenar. Kini saya lebih mengetahui.makna sebenar inflasi Perbelanjaan dijimat-cermatkan, tidak boros seperti masih bekerja dulu. Sebenarnya suri rumahlah yang sepatutnya ditinjau pendapatnya jika kerajaan mahu tahu tentang kadar inflasi di negara ini. Sejak berhenti kerja 11 tahun lalu tidak pula saya rasakan diri ini seperti katak di bawah tempurung. Saya masih mengekalkan hobi membaca buku, majalah dan apa sahaja bahan bacaan. Dulu semasa bekerja saya jarang-jarang dapat melayan hobi ini kerana kepenatan bekerja menghilangkan mood untuk membaca. Sekarang saya rasa lebih berilmu kerana berpeluang membaca pelbagai bahan. Ada rakan-rakan mengeluh. Mereka tidak berani untuk berhenti.kerja - bimbang berasa bosan tinggal di rumah dan takut tidak mempunyai duit poket. Mengapa perlu berasa bosan kalau kita bijak mengurus diri dan masa? Tidak ada ruang untuk berasa jemu. Masa sentiasa penuh dengan aktiviti. Saya sendiri mengurus persekolahan dan pendidikan agama anak-anak. Saya menjadi guru tuisyen untuk anak-anak saya. Dari segi perbelanjaan, tidakkah ia menjimatkan yuran tuisyen dan tambang bas sekolah. Bayangkan seorang anak tambangnya RM80 sebulan, kalau empat orang, sudah berapa? Oghe mace mu Begitu juga dengan yuran tiusyen. Syukur anak-anak saya maju dalam pelajaran mereka dan guru-guru sering bertanya adakah mereka memasuki mana-mana kelas tiusyen. Menjadi trend bagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke kelas tiusyen walau belum tentu menjamin kejayaan. Tidakkah lebih baik kita sendiri mendidik anak-anak daripada membiarkan mereka ke kelas tiusyen dan selepas itu berpelesaran di kafe siber? Pastinya saya juga menyelesaikan masalah mencari pembantu rumah. Saya tidak perlu pening kepala memikirkan kerenah pembantu rumah seperti yang dihadapi oleh rakan-rakan yang bekerja. Saya juga dapat berjimat daripada menggaji pembantu rumah yang sangat tinggi sekarang. Sekali sekala saya menduga suami dan anak-anak dengan mengacah mahu kembali bekerja. Anak-anak yang berumur antara 5 hingga 12 tahun dengan tegas menghalang hasrat saya itu. Anak saya yang berusia 8 tahun berkata mereka tidak suka makan masakan orang gaji. Menjadi suri rumah juga mencungkil bakat memasak dan membuat kerja tangan (suatu yang tidak pernah saya dapat lakukan semasa menuntut dan bekerja dulu). Suami memuji masakan saya. Pujian dan galakan daripada suami dan anak-anak merangsang saya untuk mencuba pelbagai resipi baru, dalam dan luar negara. Rakan saya yang ditemui di kompleks beli belah tadi, walau sudah berusia tetapi masih bujang. Apabila saya bertanya soal jodoh, dia berkata, "tolong carikan calon." Saya berseloroh, "nak orang macam mana?" Dalam loghat Kelantannya, dia jawab: oghe mace mu (orang macam kamu). Tanya saya lagi, oghe mace mu itu macam mana? "Orang yang tidak bekerja…mu nampak happy aje," tambahnya. NOOR MALEK adalah seorang bekas wartawan yang kini memegang jawatan "pengurus rumahtangga." Beliau mendapat"off day" pada hujung minggu apabila suaminya bercuti dan anak-anak tidak bersekolah. _____________________________________________________________ Get latest headlines on malaysia and asia ---> http://www.harakahdaily.com |
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: Azahari Waid <[EMAIL PROTECTED]>