PERNYATAAN BERSAMA PRINSIP-PRINSIP DEKLARASI RAKYAT  

Sempena

PERHIMPUNAN 100,000 RAKYAT

 5 November 2000 - Jam 2.30 hingga 5 ptg

di Markas KeADILan, Jalan Kebun, Shah Alam/Kelang

“KEMBALIKAN HAK RAKYAT

 Menyedari bahawa suara rakyat adalah suara keramat dan rakyat adalah penentu masa depan negara;

Menginsafi bahawa usaha untuk mengeratkan perpaduan rakyat, perpaduan nasional yang tulen adalah teras kepada keadilan dan kebenaran;

Memahami bahawa hanya sistem yang menghormati suara rakyat demi keadilan dan kebenaran adalah sistem yang dapat mengembalikan hak rakyat;

Mengakui hanya kerajaan yang telus, jujur, amanah dan bersikap adil terhadap rakyat, negara dan kepentingan semua dapat mengembalikan demokrasi negara yang kian terhakis.

Dalam keadaan negara yang :-

Mempunyai kepimpinan diktator yang menafikan rakyat mengamalkan hak mereka dan mengakibatkan krisis politik paling teruk dalam sejarah negara apabila seorang Timbalan Perdana Menteri dipecat dengan begitu kejam dan hina;

Masih mengalami krisis ekonomi serta penyelewengan kuasa dan pemunggahan kekayaan yang membebankan rakyat tetapi menguntungkan kepentingan kroni dan segelintir mereka yang rakus kuasa serta kekayaan;

Sedang mengalami keruntuhan sistem sosial yang ketara akibat pengabaian dan penetapan prioriti yang tidak mengikuti keperluan rakyat sebaliknya hanya untuk kepentingan segelintir hinggakan instrumen kerajaan juga disalahgunakan dan rasuah menular;

Berterusan berlaku pencabulan hak asasi dan menyimpang daripada hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia terutamanya dalam mengamalkan hak asasi rakyat untuk bersuara, berkumpul secara aman dan berpersatuan;

Mempunyai sistem pemerintahan yang telah memusnahkan kewibawaan pelbagai institusi masyarakat seperti parlimen, kehakiman, perkhidmatan awam, pasukan keselamatan dan media yang membawa kepada penghakisan kepercayaan rakyat; 

Maka kerana itu rakyat diseru untuk :-

Bangkit menyatakan hak kebebasan untuk bersuara tanpa sekatan dan tanpa ancaman yang membantut kebebasan minda dan idea;

Bangun bersatu padu menyelamatkan Malaysia daripada cengkaman pimpinan rakus yang bermaharajalela mencemar hak rakyat dan membebankan ekonomi negara;

Bersama memulihkan sepenuhnya keyakinan terhadap kebebasan sistem kehakiman dan perundangan;

Berdiri teguh menuntut hak mendapat maklumat yang telus melalui media yang bebas dan bertanggungjawab;

Berganding bahu menegaskan hak rakyat bahawa pemimpin-pemimpin kerajaan adalah mereka yang memegang amanah dan mesti dipertanggungjawabkan kepada rakyat;

Bersatu padu memerdekakan jiwa daripada penindasan dan kezaliman sistem dan pimpinan korup kepada sistem yang membangun keinsanan jiwa-jiwa ke arah ciri-ciri kemanusiaan yang unggul. 

Dengan itu

Rakyat diseru untuk berazam dan berikrar bagi :-

memastikan pengembalian hak sebenarnya kepada rakyat;

memastikan pimpinan yang korup dan tidak bertanggungjawab dinyahkan;

memastikan pimpinan yang bertanggungjawab dan memperjuangan keadilan, kebenaran dan hak rakyat dibebaskan dan ditempatkan sebagai pemimpin sebenar rakyat;

memerdekakan rakyat daripada belenggu sekatan dan ancaman palsu kerajaan untuk menyatakan suara rakyat melalui perhimpunan dan demonstrasi aman;

meneruskan perjuangan REFORMASI menegakkan kebenaran dan keadilan serta menghapuskan kezaliman.

 

Pernyataan Bersama ini diedarkan untuk mendapatkan pengesahan (endorsement) daripada Parti-parti Politik, NGO dan individu-individu. Pengesahan (endorsement) boleh dibuat melalui:

            Emel                 [EMAIL PROTECTED]

            Faks                 03-457 8902

            Pos                  Sekretariat Jawatankuasa Dasar Perhimpunan 100,000 Rakyat,

                                    No. 42, Jalan 6, Taman Sri Ukay, 68000 Ampang.

Contoh Pengesahan NGO

Kami <nama NGO> mewakili <bilangan> ahli menyokong penuh pernyataan ini.

Tandatangan: ……………….                                                  Tarikh: ……………

Contoh Pengesahan Individu

Saya <nama penuh> No. K/P <no. kad pengenalan> menyokong penuh pernyataan ini.

Tandatangan: ……………….                                                  Tarikh: ………………


Kirim email ke