Krisis Timur Tengah

OIC mahu Israel dipulau 

Negara Islam diseru henti semua bentuk kerjasama

ISLAMABAD -- Muktamar Islam (OIC) semalam menyeru semua negara Islam menghentikan apa juga corak kerjasama dengan Israel, ekoran  tindakannya terhadap rakyat Palestin, yang mengorbankan 133 orang dalam sebulan. 

Pendirian itu dicapai di akhir sidang selama dua hari kongres di sini semalam. 

"Pembunuhan orang yang tidak berdosa di Palestin merupakan satu peringatan yang memilukan, gara-gara ketiadaan tindakan secara kolektif di kalangan negara Arab dan Islam, yang dijadikan sebagai sumber menggalakkan Israel dan penyokongnya," demikian bunyi resolusi yang diluluskan. 

Majlis eksekutif kongres itu menyeru negara anggota OIC agar tidak lagi meneruskan sebarang kegiatan, baik secara rasmi atau tidak rasmi, dalam rangka kerjasama berbilang negara dengan Israel. 

Di Gaza, ribuan orang Palestin berhimpun di Masjid Jamaa al-Akbar semalam bagi pengebumian belia Islam yang mati dalam ledakan bom yang dibawanya. 

Dalam kejadian dekat pos kawalan tentera Israel itu, seorang askar Israel turut mengalami kecederaan. 

Di Baitulmakdis, Israel semalam menjalankan siasatan ke atas beberapa pegawai polisnya yang disyaki memukul lelaki Palestin yang ditangkap kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan dua askar Israel, kata Kementerian Kehakiman di sini. 

Menteri Kehakiman, Encik Yossi Beilin, berkata dua askar Israel yang dibunuh pada 12 Oktober lalu semasa berada dalam tahanan polis Palestin di bandar Ramallah di Tebing Barat itu merupakan satu perbuatan 'jahat'. 

"Bagaimanapun, Israel tidak boleh membiarkan para anggota polisnya menyalahgunakan kuasa mereka. 

"Pendirian kami sama selama ini -- sekalipun dalam keadaan terdesak sekarang -- kami masih berperikemanusiaan," kata Encik Beilin. 

"Kalau kami bersikap tidak mengikut norma yang baik, perbuatan itu perlu disiasat. Itulah bezanya antara kami dengan mereka."Sumber-sumber keselamatan berkata polis Israel telah membelasah Thabet Abbas Aasi, seorang Pelastin, yang dilihat dalam foto sedang mempamerkan tangannya yang berlumuran darah di luar balai polis Ramallah semasa pembunuhan askar Israel itu. -- Reuters, AFP.

Reply via email to