M G G Pillai <[EMAIL PROTECTED]> wrote:

Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM

ULASAN RINGKAS BELANJAWAN 2001

Walaupun Belanjawan 2001 telah digelar oleh Perdana Menteri sebagai
“Belanjawan Rakyat”, akan tetapi ia mengandungi banyak perkara yang boleh
mengecewakan rakyat ramai. Sebagaimana yang disebut oleh Ketua Pembangkang
dalam Parlimen, ia menguntungkan sesetengah golongan saja, tidak semua.
Memang benar ada elaun, rebet dan penggalak untuk golongan rendah dan
pertengahan, akan tetapi ia tidak mencukupi. Bahkan golongan kaya akan lebih
beruntung.

Menteri Kewangan menggariskan lima strategi untuk Belanjawan ini dan beliau
mengutamakan tiga daripadanya. Walaupun kebanyakan sasaran bertumpu kepada
ekonomi, akan tetapi di sebaliknya tersembunyi agenda politik. Belanjawan
ini cuba hendak digunakan untuk mendapatkan kembali sokongan undi untuk BN,
yang telah banyak berpindah kepada pembangkang dalam pilihanraya lalu. Ini
jelas sekali kelihatan dari wang royalti minyak yang telah dirampas dari
Terengganu dan dijadikan wang ehsan yang ditadbirkan oleh kerajaan Pusat,
kononnya untuk membantu terutama golongan miskin, tidak berupaya dan ibu
tunggal.

Kita tidak tahu apa yang dilakukan oleh Kerajaan BN selama 22 tahun,
manakala ia menerima royalti minyak secara langsung dengan tunai, seperti
mana yang terkandung dalam Perjanjian yang ditandatangani antara PETRONAS
dengan Kerajaan Terengganu. Mengapakah negeri itu mempunyai kadar kemiskinan
yang tinggi, walaupun pendapatan per-kapita adalah yang kedua tertinggi di
seluruh negara?

Belanjawan ini mengecewakan sebab ia tidak memberi kenaikan gaji terutama
kepada golongan pekerja awam berpendapatan rendah dan sederhana. Memang
benar tidak lama dulu kakitangan kerajaan telah mendapat kenaikan gaji 10
peratus. Akan tetapi, memikirkan kenaikan harga barang keperluan serta
pengangkutan, berikutan peningkatan harga minyak petrol, dan lagi pula para
menteri dan wakil rakyat telah mendapat kenaikan pendapatan 10 peratus,
sekurang-kurangnya pekerja rendah ini diberi bonus. Bukankah ini yang mereka
harapkan, bahkan kadang-kadang dijanjikan?

Bahkan sepatutnya gaji golongan profesional, terutama sekali kakitangan
universiti dan hospital, dinaikkan juga, untuk menyekat pemindahan mereka
daripada sektor awam ke sektor swasta. Apatah lagi mereka ini berkelayakan
tinggi tetapi dibayar rendah. Tidak cukup memberi mereka tambahan elaun yang
kecil saja.

Dalam lima tahun akan datang, saya jangka kira-kira 2,000 orang kakitangan
kanan di semua universiti akan sampai masa untuk bersara. Perkhidmatan di
kalangan ramai mereka yang telah mencapai umur persaraan tidak dilanjutkan
pada masa yang lalu, walaupun kelayakan dan kepakaran mereka tinggi. Tidak
ramai orang muda yang berkelayakan mahu memasuki bidang akademik kerana
gajinya rendah. Hal ini tentu sekali akan menimbulkan krisis mutu pendidikan
di universiti pada masa akan datang.

Pengaliran para doktor dari perkhidmatan kerajaan ke hospital-hospital
swasta tidak boleh disekat oleh kerana tarikan gaji mereka menarik dan
berlipat kali ganda lebih tinggi. Kekurangan doktor di hospital kerajaan
boleh menjejas mutu perkhidmatan kesihatannya.

Rancangan untuk menubuhkan empat buah lagi universiti dan beberapa buah
hospital memang baik. Sudah tentu peruntukan sebanyak RM7.56 bilion untuk
membina hospital baru akan menimbulkan senyuman di kalangan para kontraktor
tertentu. Lebih penting daripada pembangunan fizikal ialah memastikan
hospital cukup kakitangan dan mempertahankan mutu yang tinggi.

Peruntukan bagi perkara-perkara ini nampaknya tidak wujud dengan bererti
dalam Belanjawan. Lagi pula tidak disebut tentang rancangan penswastaan dan
pengkorporatan hospital dan universiti yang sedang dan akan berjalan.
Rancangan ini akan mengakibatkan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan
menjadi lebih mahal dan bertambah susah hendak diperolehi oleh rakyat biasa.
Akan tetapi, ia sudah tentu menjanjikan untung yang besar bagi kroni-kroni
tertentu.

Berhubung dengan kesihatan ini, beberapa pelepasan cukai dan subsidi
menimbulkan soalan. Terdapat pelepasan cukai sebanyak RM500 untuk
perkhidmatan perubatan. Bagaimana kedudukannya untuk golongan miskin yang
tidak membayar cukai? Apakah jenis pelepasan serupa yang mereka perolehi?
Ada juga subsidi untuk rawatan dialisis bagi mereka yang menghadapi masalah
buah pinggang. Tetapi bagaimana dengan mereka yang diserang penyakit jantung
ataupun angin ahmar? Kita mesti ingat bahawa mereka ini tidak mempunyai
keupayaan sama sekali untuk bekerja dan akibatnya sangat buruk jikalau
mereka miskin.

Beserta pendidikan dan kesihatan, perumahan dan pengangkutan merupakan
kemudahan sosial penting yang sewajarnya menjadi tanggungjawab sosial yang
disediakan oleh pemerintah. Rumah kos rendah dan sederhana sudah dinaikkan
harga sebelum belanjawan ini lagi, untuk memenuhi tuntutan pemaju yang tidak
puas hati dengan keuntungan kecil yang mereka dapati. Harga rumah murah
dinaikkan daripadaRM25,000 kepada kira-kira RM40,000, manakala rumah
sederhana bertambah daripadaRM45,000 kepada sekitar RM60,000. Walaupun harga
naik, akan tetapi mutu rumah-rumah jenis ini semakin merosot.

Rumah kos murah dan sederhana yang telah didirikan tidak mencukupi bagi
“setinggan” yang kehilangan tempat tinggal akibat perobohan. Lebih-lebih
lagi tidak cukup kemudahan atau bantuan untuk menolong mereka membeli rumah.
Pemerintah berancang untuk menyelesaikan masalah setinggan di Kuala Lumpur
dalam masa dua tahun. Adakah ini akan dilaksanakan melalui pengusiran secara
paksa? Malangnya sedikit sekali perlindungan diberi kepada penduduk
setinggan daripada pengusiran secara paksa ini. Lagi pula mereka jarang
mendapat pampasan yang mencukupi atau tanah atau rumah ganti selepas
perobohan rumah mereka.

Mengenai pengangkutan pula, bilangannya masih tidak mencukupi dan mutu
perkhidmatan pula sangat rendah. Tambahan pula, kesesakan lalulintas sering
berlaku, selepas hujan lebat diikuti banjir kilat, yang menimbulkan banyak
masalah di sesetengah kawasan kediaman setinggan khususnya. Tidak banyak
yang dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Kerajaan yang prihatin
seharusnya lebih mengambil berat terhadap nasib golongan miskin di bandar
dan juga desa.

Berhubung dengan k-ekonomi dan rancangan ICT, dan juga untuk menguatkan
daya persaingan dalam lapangan-lapangan ini, banyak penggalak disediakan.
Kerajaan cuba menarik pakar-pakar dari “Banglore hingga San Francisco”,
dengan menawarkan pelepasan cukai pendapatan selama dua tahun, pelepasan
cukai daripada barang-barang yang dibawa masuk, termasuk dua buah kereta
persendirian, dan jaminan bahawa kewarganegaraan kan diberi dalam tempoh
enam bulan kepada isteri asing. Wang KWSP boleh dikeluarkan untuk membeli
komputer bagi pencarum sendiri selain daripada anak yang sedang menuntut.

Dua ribu dua ratus makmal komputer akan disediakan di sekolah-sekolah
tertentu. Akan tetapi, apakah akan berlaku kepada mereka yang miskin dan
tidak menyumbang kepada KWSP? Bilakah mereka akan termampu untuk membeli
komputer? Dan bagaimana pula dengan beratus-ratus sekolah luar bandar, yang
tidak mempunyai bekalan elektrik pun? Apakah peruntukan yang diberi supaya
kanak-kanak miskin yang belajar di sekolah tersebut boleh menghambat
ketinggalan dalam teknologi komputer itu? Ada bahayanya bahawa jurang
ekonomi yang melebar akan menjadi bertambah lebar dengan adanya jurang
teknologi ini di antara golongan miskin dengan kaya.

Mengenai wanita pula, ada beberapa konsesi diberi kepada mereka berkaitan
dengan pelepasan cukai, rebet dan juga bantuan untuk ibu tunggal. Sudah
tentu ini diterima baik bukan saja oleh kumpulan wanita. Akan tetapi ini
saja belum begitu memadai. Misalnya, tidak ada peruntukan bagi
rancangan-rancangan untuk menghindar keganasan seks dan juga untuk membantu
wanita yang menjadi mangsa keganasan itu.

Akhirnya, alam sekitar merupakan satu masalah yang serius di negeri ini.
Akan tetapi, cuma RM85 juta saja diperuntukkan bagi penguatkuasaan,
pengawalan dan pemantauan dalam bidang ini. Sepatutnya, lebih banyak lagi
peruntukan bagi meningkatkan kualiti alam sekitar, misalnya, untuk
membersihkan sungai, pantai dan udara, dan bagi menambah bilangan pegawai
penguatkuasa untuk menjalankan peraturan-peraturan yang berhubung dengan
perlindungan alam sekitar. Malangnya, pemerintah tidak mengambil berat
terhadap alam sekitar sebagaimana yang sewajarnya.

Bandingkan jumlah ini dengan RM4.75 bilion yang diperuntukkan bagi membina
jalan, jambatan dan pelabuhan. Peruntukan besar ini tentu menggembirakan
para kontraktor, lebih daripada rakyat biasa yang akan menghadapi pencemaran
akibat aktiviti-aktiviti pembinaan ini. Apabila jumlah ini ditambah pula
dengan peruntukan RM7.56 bilion untuk membina hospital, dan juga pengeluaran
wang KWSP untuk membeli komputer, Belanjawan ini menunjukkan bahawa ia lebih
mengambil berat terhadap kontraktor dan peniaga daripada rakyat biasa,
terutama sekali dari golongan miskin.

28 Oktober 2000



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Messenger - Talk while you surf! It's FREE.

Reply via email to