PENYAKIT-PENYAKIT HATI

Islam adalah agama yang amat menitikberatkan hubungan sesama manusia. 
Ini boleh dilihat dalam ayat-ayat al-Quran dan juga hadis-hadis yang 
menyeru manusia agar berlaku sopan dan hormat-menghormati antara satu 
sama lain.

Di samping itu terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang melarang umat 
manusia daripada mencela mengeji serta menyakiti sesama mereka, begitu 
juga dengan sabda sabda Rasulullah SAW. Ini bertujuan untuk memelihara 
kesejahteraan hidup umat manusia seluruhnya.

Di antara sifat yang perlu dimiliki oleh setiap orang yang beriman 
ialah mempunyai sifat suka mengkaji dan meneliti segala keaiban 
sendiri dan juga sifat-sifat keji yang mungkin bertapak di jiwa mereka 
dan sekaligus berusaha pula secara bersungguh mencari ubat dan penawar 
segala penyakit yang dihidapinya setelah dikenalpasti. Ini kerana 
tidak ada orang lain yang lebih arif daripada yang empunya diri 
tentang apa yang dihidapinya.

Tetapi untuk mengubati penyakit penyakit hati seperti hasad dengki, 
riak, takabbur, bakhil, suka menceritakan keburukan orang lain 
bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak halangan perlu ditempuhi, 
banyak onak dan duri harus dilalui.

Sememangnya, sifat-sifat tersebut amat berbahaya kepada masyarakat 
jika ia berjaya bertapak disudut hati sesetengah anggota masyarakat. 
Biasanya, sifat-sifat seperti ini akan sentiasa dihiasi dan 
diperindahkan oleh syaitan yang berupa jin dan yang suka melihat 
manusia hidup dalam kucar-kacir, tidak menentu serta bermusuhan 
sepanjang masa.

Bagi jin dan syaitan, merosakkan kehidupan manusia, menyesat serta 
mengheret mereka ke arah kemurkaan Allah adalah tugas rasmi dan sumpah 
mereka di hadapan Allah, (sejak mereka dihalau dari syurga kerana 
keengganan mereka sujud kepada Adam a.s. apabila diperintahkan oleh 
Allah). Semenjak itu, mereka bertekad untuk tidak membiarkan anak-anak 
Adam hidup dalam keadaan aman, bahkan mereka akan melakukan apa sahaja 
bagi menyesatkan umat manusia serta memporak perandakan kehidupan 
mereka.

Segala usaha yang dilakukan oleh makhluk Allah yang halus ini ternyata 
dapat menggugat kestabilan dan keharmonian hidup manusia sejagat. Ini 
diperkuatkan 1agi dengan wujudnya para pembantu serta kuncu-kuncu 
mereka yang terdiri daripada kalangan manusia yang bertopengkan 
syaitan. Golongan ini turut bekerja keras bagi memenuhi matlamat 
'boss' mereka.

Namun begitu, kemungkinan terdapat matlamat atau tujuan yang berbeda 
di antara kedua-dua golongan syaitan ini. Bagi syaitan dan iblis, 
matlamat mereka adalah untuk menyesatkan umat manusia. Bagi syaitan 
yang terdiri daripada kalangan manusia pula, mereka bukan sahaja ingin 
melihat manusia jauh daripada ajaran Islam, bahkan mereka mempunyai 
matlamat-matlamat sampingan yang lain seperti mengumpulkan harta 
benda, kekuasaan, pengaruh dan berusaha mencapainya dengan pelbagai 
cara.

Untuk mencapai matlamat tersebut, manusia yang hatinya mempunyai 
penyakit ini, sanggup melakukan apa sahaja walaupun dengan menindas 
orang lain. Mereka sanggup membuat fitnah, mengeji serta melakukan 
sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah orang lain semata-mata untuk 
mencapai matlamat mereka.

Demikianlah betapa buruknya sifat manusia apabila mereka telah 
dikuasai dengan penyakit-penyakit hati ini. Mereka tidak lagi dapat 
membezakan antara kawan dan lawan, antara yang baik dengan yang buruk 
dan yang hak dengan yang batil.

Selagi manusia yang dijangkiti dengan penyakit-penyakit hati ini tidak 
dapat mengenal pasti penyakit dan wabak yang mereka hidapi, selagi 
itulah penyakit tersebut akan terus mengheret mereka ke kancah 
perkara-perkara yang buruk dan tidak berperi kemanusiaan.

Mengumpat, mengeji serta melaga-lagakan sesama manusia telah menjadi 
suatu perkara yang lumrah dalam kehidupan manusia hari ini. Apabila 
ada orang yang cuba memberi nasihat terhadap perkara yang dilakukan, 
dengan selamba mereka menjawab. 'Ala! Memang betul dia buat macam tu," 
tanpa menyedari bahawa apa yang diperkatakan itu sebenarnya sudah 
dikira sebagai ghibah atau mengumpat.  Perkara ini telah dijelaskan 
oleh Rasulullah tatkala seorang sahabat bertanya,, Wahai Rasulullah, 
apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda, "Menyebut sesuatu yang tidak 
disukai oleh saudaramu!' Kemudian Baginda ditanya lagi, "Bagaimana 
sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab Baginda, "Kalau 
sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka engkau sebenarnya telah 
mengumpatnya tetapi jika sekiranya perkara itu dusta, maka engkau 
sebenarnya telah berbohong."

Di dalam hadis yang lain Baginda bersabda, "Tidak akan masuk syurga 
mereka yang suka mengumpat." Demikianlah besarnya celaan terhadap 
mereka yang suka melakukan perkara yang keji ini. Begitu juga dengan 
penyakit-penyakit lain yang timbul dari hati yang sakit seperti hasad 
dengki, riak, sombong dan sebagainya, yang tidak akan membawa sebarang 
manfaat kepada mereka.  Sebaliknya, ini semua akan menghancurkan hidup 
mereka di dunia dan akhirat. Di dunia, mereka akan dikeji dan dihina 
oleh manusia, manakala di akhirat pula, azab dan sengsara pasti 
menanti mereka. Inilah janji Allah, dan Allah sama sekali tidak akan 
memungkiri janjinya.

Justeru itu, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berhati-hati agar 
penyakit yang amat merbahaya ini tidak menjangkiti kita. Seandainya 
penyakit ini telah dihidapi, dan kita telah mengesannya maka 
kembalilah kepada Allah dan mintalah keampunan-Nya sebelum terlambat.
Semoga Allah mengampunkan kita semua, memelihara dan memberi kekuatan 
kepada kita untuk mengawal diri daripada bencana penyakit-penyakit 
ini.










Kirim email ke