*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
IJMAK DAN JAMPI

Mohd. Asri  bin Zainul Abidin.
[EMAIL PROTECTED]

Ini adalah pusingan kedua untuk saya sekali lagi menegur Astora Jabat. 
Sebenarnya saya sebelum ini kurang mengambil
perhatian terhadap tulisannya Namun apabila melihat kegelisahan orangramai 
mengenai tulisan beliau maka saya
memberikan sedikit waktu untuk membaca ruangannya dalam Utusan Malaysia. 
Alhamdulillah, saya juga dapati reaksi
yang sangat positif daripada orangramai terhadap kritikan saya kali pertama 
terhadapnya. Maka saya rasa, wajar saya
meneruskan usaha membetulkan sikap dan kefahamannya yang agak gawat.

Apabila membaca tulisan Astora, saya dapat yang beliau tidaklah begitu mendalam 
kefahamannya terhadap istilah-istilah
agama yang disebutnya, sebaliknya sekadar dapat memetik dan menyebut sahaja. 
Maafkan saya dengan andaian itu.

Masalah `Ijmak

Sebagai contohnya, lihat tulisan beliau pada 7/11/99 yang lalu. Beliau menyebut 
"semua orang yang mempelajari syariah,
usul tashri', fiqh dan usul fiqh menyedari bahawa semua hukum yang ditentukan 
melalui ijtihad, sama ada ijmak mahu qias
dan lain-lain alat ijtihad tidak dianggap qat'i" (qat`i bermaksud hukuman yang 
putus tanpa boleh disanggahi).

Apa yang hendak saya pertikaikan ialah persoalan ijmak yang dikatakan oleh 
Astora Jabat bahawa semua yang
mempelajari syariah, usul tashri', fiqh dan usul fiqh menyedari bahawa ianya 
adalah tidak qat'i dalam kata lain ianya
adalah zanni (hukuman yang tidak putus boleh boleh disanggahi).

Dalam masalah qias dan lain-lain kaedah ijtihad boleh diterima bahawa ianya 
adalah zanni, tetapi menetap secara umum
bahawa ijmak adalah zaani dalam pengajian usul adalah tidak tepat sama sekali.

Saya fikir Astora tidak faham apakah yang dikatakan ijmak. Di Malaysia memang 
pun ramai orang-orang agama yang
tidak faham maksud ijmak. Mereka menyangka yang dikatakan ijmak itu adalah 
pendapat beberapa orang ulama. Inilah
ilmu dan takrif yang dangkal. Ada pula yang menganggap ijmak itu adalah pendapat 
kebanyakan ulama. Itu juga jahil ilmu
agama. Sedangkan pendapat kebanyakan ulama disebut sebagai qaul al-jumhur ianya 
memang tidak qat`i, bukan ijmak
yang dimaksudkan dan boleh dipertikai serta disanggahi dari segi perbincangan 
usul. Saya tidak tahu apa yang Astora
faham dari perkataan ijmak.

Sebenarnya ijmak menurut ulama usul ialah "Ittifaq (persetujuan) seluruh 
mujtahidin (tokoh-tokoh
ijtihad) dari umat Muhammad s.a.w., selepas wafatnya baginda s.a.w., pada 
sesuatu zaman, terhadap
sesuatu hukum syar`i". Inilah ta'rif jumhur usuliyyin (para ulama usul fiqh) 
terhadap maksud ijmak
dari segi istilahnya. Astora dan sesiapa sahaja boleh rujuk dalam kitab-kitab 
usul.

Dengan diteliti kepada ta'rif tersebut, kita akan faham bahawa ijmak tidak akan 
berlaku melainkan setelah bersetujunya
seluruh para mujtahidin (tokoh-tokoh ijtihad) pada sesuatu zaman, tanpa kecuali 
seorang pun di kalangan mereka.
Dalam kitab Mirah al-Usul disebut "mestilah mendapat persetujuan seluruh para 
mujtahidin". Ertinya jika seorang sahaja
yang membangkang maka tidak dianggap ijmak. Bayangkan, para mujtahidin biasanya 
berkhilaf dalam sesuatu hukum
syar`i tetapi dalam hukum berkenaan tidak seorang pun di kalangan mereka yang 
berkhilaf mengenainya.

Dalam kata lain, dalil mengenainya sangat jelas dan kukuh sehingga tidak ada 
rungan para mujtahidin yang berbeza
mazhab dan kefahaman itu berkhilaf lagi. Disyaratkan pula yang bersepakat itu 
adalah mujtahidin iaitu yang memiliki
kemampuan ijtihad yang mencukupi. Kata al-Imam asy-Syaukani dalam Irsyad 
al-Fuhul, "..dengan ini tidak termasuk
persetujuan orang awam  (bukan mujtahidin) kerana persetujuan atau perselisihan 
mereka tidak diambil kira". Inilah
secara yang sangat ringkas untuk difahami maksud perkataan ijmak. Perbahasan 
yang lebih detil boleh dirujuk dalam
kitab-kitab usul.

Untuk mendapat persetujuan seluruh mujtahidin yang wujud di dunia pada sesuatu 
zaman adalah sangat sukar untuk
berlaku menyebabkan ada di kalangan ulama yang menafikan kemungkinan berlakunya 
ijmak selepas zaman para
sahabat. Namun jumhur menganggap ijmak tetap boleh berlaku. Antaranya mereka 
mengandaikan khalifah
menghimpunkan para mujtahidin di seluruh alam pada suatu tempat dan 
diberntangkan masalah kepada mereka. Jika
mereka semua bersependapat dalam hukum syari mengenainya maka berlakulah apa 
yang dikatakan ijmak. Pembaca
boleh lihat persoalan ini antaranya dalam kitab-kitab usul yang terkenal seperti 
berikut at-Tabsirah, al-Luma',
al-Burhan, Raf`u al-Hajib, at-Tamhid, Jam`u al-Jawami', al-Mustasfa dan 
lain-lain.

Juga hendaklah kita ketahui bukannya banyak perkara yang ijmakkan. Maka 
diingatkan janganlah pula kita mudah
melebelkan semua hukum sebagai ijmak. Malang ada setengah golongan sangat gemar 
melebelkan ijmak pada perkara
yang tidak ijmak atau sekadar pendapat jumhur sahaja yang belum sampai ke taraf 
ijmak.

Zanniah atau Qat`iyyah

Astora menyatakan siapa sahaja yang mempelajari usul fiqh, usl tasyri' dan fiqh 
menyedari bahawa hujah ijmak adalah
zanniah ad-dalalah (dalil yang tidak putus dan boleh disanggahi). Ini adalah 
lambang kedangkalan pengetahuan.
Sebenarnya para ulama berkhilaf tentang nilaian ijmak apakah qat`i atau zanni 
dan jumhur ulama' berpendapat ianya
adalah qat`i (hujah yang putus dan tidak boleh dicanggahi). Kata Dr. Wahbah 
az-Zuhaily dalam dalam Usul al-Fiqh
al-Islami, "Para ulama berbeza pendapat mengenai nilaian hujah ijmak, apakah 
ianya qat`iyyah atau zanniyyah.
Kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang masyhur, bahawa ianya adalah hujah 
qat`iyyah (hujah yang putus dan tidak
boleh dipertikaikan)"  Kata Muhammad Hasan Hitu dalam kitabnya al-Wajiz fi Usul 
at-Tasyri' al-Islami, "yang sahih
dipegang oleh jumhur bahawa hujah ijmak adalah qat`i. Seperti hujah al-Kitab dan 
as-Sunnah, ditetapkan dengannya
hukum-hakam syarak secara yakin.."

Hukum Mengingkari Ijmak

Kata al-Amidi dalam al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, "Jika hukum ijmak itu termasuk 
dalam mafhum nama Islam seperti
`ibadat yang lima, kewajiban iktikad dalam tauhid dan kerasulan maka yang 
mengingkarinya menjadi kafir".  Kata Ibn
Hajib dalam  Mukhtasar Ibn Hajib "..ada tiga pendapat mengenai hukum mengingkari 
ijmak yang qat`i, yang paling
terpilih ialah jika ijmak itu masyhur kepada orang awam seperti ibadat yang lima 
dan seumpamanya yang terdiri dari
perkara-perkara yang wajib diketahui dalam agama maka sesiapa mengingkarinya 
kafir. Selain dari itu maka tidak kafir".

Dr. Harun Din

Saya tidak bercadang membela sesiapa dalam tulisan ini. Bagi saya, penulis yang 
baik bukan penulis yang
bertungkus-lumus membela individu dan kumpulan, sebaliknya penulis yang baik 
ialah yang membela
kebenaran dan prinsip tanpa mengira dengan siapa kebenaran itu berada. Ketika 
saya menulis saya tiada
kena-mengena dengan pandangan Dr. Haron Din. Dalam usia saya yang belum pun 
menjangkau tiga puluh ini, saya
belum berkesempatan mengenali beliau dari dekat juga tidak mengetahui 
kegiatannya dengan lebih detail. Saya rasa
adalah tidak wajar memperkatakan mengenainya. Bahkan setakat ini tiada sebarang 
kepentingan untuk itu. Apa yang saya
pasti serangan Astora kepadanya ialah kerana meniru atau mungkin juga mem 
'bodek' seseorang yang lain dalam negara
ini yang juga menghentam Dr. Haron Din.

Secara umum saya ingin memberi pandangan kepada saudara Astora agar berdisiplin 
sebagai penulis muslim. Ketika kita
menulis, kita sepatut mengenepikan persoalan latarbelakang parti, puak,  
kumpulan juga individu. Kita wajib bertaut
sepenuhnya kepada dalil-dalil dari kitab dan sunnah serta manhaj ilmu. Nyahkan 
persoalan politik kepartian dari emosi.
Barulah kita akan menjadi insan yang berdisiplin dengan ilmu.

Pada dasarnya, kita akui tiada individu yang maksum melainkan anbiya' a.s. Kita 
berhak memberikan kritikan kepada
sesiapa sahaja di atas asas-asas yang benar dengan dibayangi ruh kecintaan 
kepada kebenaran dan ilmu. Namun saya
melihat kecenderungan Astora sejak dahulu ialah menghentam golongan agama 
habis-habisan dan membiarkan ahli
mungkir bahkan cuba pula men 'justifikasi' kan tindakan-tindakan mereka.

Bukan bererti golongan agama tidak boleh dikritik dengan jujur dan ikhlas tetapi 
hendak dengan niat islah bukan
memusnahkan umat. Astora sebelum ini menghentam Hasan al-Banna, al-Qaradawi dan 
lain-lain. Apabila tiba kepada
mereka yang berkuasa, beliau membodek sepenuhnya dan cuba menyatakan apa yang 
mereka ucap dan lakukan adalah
benar.

Untuk Astora saya petik di sini kata-kata seorang tokoh muhaqqiq Islam yang 
terkenal iaitu as-Syeikh Muhibb ad-Din
al-Khatib dalam muqaddimah tahqiq kitab al-`Awasim min al-Qawasim oleh al-Qadi 
Abu Bakar Ibn al-'Arabi:

"Kita golongan muslimin tidak beriktikad kemaksuman seseorang selepas Rasulullah 
s.a.w. Sesiapa yang
mendakwa kemaksuman untuk seseorang selepas Rasulullah s.a.w. maka dia adalah 
pendusta. Insan adalah
insan, lahir dari dirinya apa yang biasa lahir dari seorang insan, sama ada 
kebenaran dan kebaikan atau
kebatilan dan kejahatan. Boleh jadi kebenaran dan kebaikan itu melingkungi 
dengan luasnya pada diri
seseorang insan tertentu sehingga dia dihitung sebagai ahli kebenaran dan 
kebaikan.

Namun ini tidak menghalang untuk terjadi pada dirinya beberapa kegelinciran 
(kesilapan). Boleh jadi pula
kebatilan dan kejahatan itu melingkungi dengan luasnya diri pada seseorang insan 
tertentu lain, sehingga dia
dihitung sebagai ahli kebatilan dan kejahatan. Ini juga tidak menghalang terbit 
secara sepontan dari dirinya
beberapa kebaikan dalam waktu tertentu.

Wajib kepada sesiapa yang bercakap mengenai ahli kebenaran dan kebaikan, jika 
dia mengetahui
kesilapan-kesilapan mereka, agar jangan dia merosakkan kebenaran dan kebaikan 
mereka yang lebih
banyak itu. Jangan pula dia memadamkan segalanya, hanya kerana 
kesilapan-kesilapan tersebut. Wajib pula
kepada mereka yang bercakap mengenai ahli kebatilan dan kejahatan, jika dia 
mengetahui kebaikan mereka
yang sponton, jangan dia mengelirukan orang ramai dengan menggambarkan mereka 
sebagai golongan yang
soleh disebabkan amalan kebaikan yang ganjil pada mereka itu"

Ini adalah manhaj disiplin dalam membuat kritikan yang benar. Astora patut 
renungi kata-kata al-`Allamah Muhib ad-Din
al-Khatib r.h.,  tokoh besar Islam yang saya sebut di atas dengan jiwa yang 
insaf dan takutkan Allah. Jika Astora dapat
membaca teks tersebut dalam bahasa arabnya, adalah lebih enak dan lunak dihayati 
makna dan bahasanya.

Jampi

Astora juga menyentuh persoalan jampi dalam tulisannya pada tarikh tersebut. 
Ya!, saya juga kurang setuju jika
fikiran umat Islam difokuskan kepada jampi semata-mata dalam perubatan kini 
-saya tidak fikir Dr Haron Din
sedemikian-. Bahkan saya amat tidak besertuju dengan sikap setengah ustaz-ustaz 
yang memperomosikan
jampi mereka besar-besaran. Lebih malang lagi ada yang menjual barangan jampi 
mereka melalui ceramah
dan berkempen barangan mereka dalam masjid. Ini jelas bertentangan dengan 
hadith-hadith yang banyak
yang melarang masjid dijadikan medan jual beli, bahkan Rasulullah s.a.w melarang 
sekalipun mengistihar
barangan hilang di masjid. Sesiapa yang inginkan pendetilan dalam bab ini sila 
rujuk kitab-kitab hadith
antaranya Riyadh as-Salihin oleh al-Imam an-Nawawi dan syarahnya Dalil 
al-Falihin oleh Ibn `Allan.

Namun kita juga perlu jelas bahawa amalan jampi dengan syarat-syaratnya adalah 
dibenarkan dalam agama bahkan
Rasulullah s.a.w. melakukannya dan dianggap sebagai sunnah untuk beramal dengan 
dengannya. Di dalam Sahih Muslim,
dalam kitab as-Salam, ada bab yang disebut sebagai Istihbab Ruqyah al-Maridh 
(Bab digalakkan menjampi orang yang
sakit). Al-Imam Muslim menyenaraikan hadith-hadith yang menunjukkan Rasulullah 
s.a.w. berjampi dan menyuruh
sahabah berjampi. Termasuk menyuruh isteri baginda iaitu `Aishah r.a. (lihat 
hadith Muslim bilangan 2195). Dalam riwayat
daripada Jabir bin `Abdullah, baginda menyuruh berjampi dengan katanya "Sesiapa 
yang dapat memanfaatkan
saudaranya maka lakukanlah" (Muslim 2199). Kata al-Imam an-Nawawi dalam 
al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin
Hajjaj: "Adapun jampi dengan dengan ayat al-Quran dan zikir-zikir yang ketahui, 
tidak dilarang bahkan sunnah"

Memang, kita juga mengharapkan umat Islam jangan hanya menumpukan persoalan 
jampi semata, kerana perubatan
moden dan pengetahuan perubatan moden juga disuruh oleh agama bahkan ianya 
adalah fardu kifayah. Perkara ini
ditegaskan oleh al-Imam al-Ghazali dalam al-Ihya'. Bahkan saya melihat pada 
zaman ini tuntutan perubatan moden lebih
besar jauh berkali ganda dari kerja-kerja jampi yang tidaklah begitu utama jika 
dilihat kepada syighah (bentuk unggapan)
hadith. Namun janganlah kita menafikan bahawa jampi adalah termasuk dalam tunjuk 
ajar Nabi s.a.w..  Adalah lebih
buruk lagi jika ada yang menganggap jampi yang syar`i tidak boleh memberi 
apa-apa kesan. Ini jelas menyanggahi hadith.

Kita mahu kemodenan dan tamadun dan kita menolak kemunduran dan jumud kerana 
Islam adalah agama tamadun dan
musuh utama kepada jumud. Tetapi ini bukanlah berertikan menafikan segala bentuk 
turath (warisan) yang pernah diajar
oleh Nabi s.a.w. termasuk jampi. Apakah hak Astora dan mereka yang seumpamanya 
untuk menghalang hasrat sesiapa
yang berkemampuan dan gemar dalam jampi?  Dengan syarat mereka jangan melampaui 
batasan syarak dan merosakkan
kefahaman dan nama baik umat.


__________________________________________________________
This email has been sent through 2b at http://www.2b.co.uk


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Temingat Di Belantara" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke