*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ASTORA! JANGAN JUAL AGAMA

Oleh:
Mohd. Asri b. Zainul Abidin
[EMAIL PROTECTED]

Pada tulisan yang lalu saya telah mengingatkan Sdr. Astora agar jangan mendustai 
Nabi s.a.w. semata-mata kerana ingin mengampu seseorang. Saya kira adalah wajar 
untuk kali ini saya mengingatkan Astora suatu perkara yang amat mustahak untuk 
senantiasa diingati oleh golongan agama-tanpa kecuali- yang memiliki 
sedikit-sebanyak pengetahuan agama, iaitu jangan kita jadi ulama yang jahat dan 
pengampu. Ulama yang jahat kegiatannya ialah menjual agama untuk membeli 
kesenangan dan pangkat di dunia. Nas-nas agama akan cuba ditafsir atau 
dihuraikan bagi memenuhi hajat golongan yang boleh memberi habuan yang diingini. 
Orang awam akan terpinga-pinga dan bertanya "yang mana satukah ajaran agama?".

Bila saya berbicara tajuk ini, saya maksudkannya secara umum, sesiapa sahaja 
yang menjual agama untuk kepentingan dunia maka dia adalah ulama jahat. Sama ada 
dunia yang diharapkan itu dari pemerintah atau selain dia tetap dianggap menjual 
agama. Perlu juga diingatkan untuk pembaca, Islam tidaklah mengatakan para ulama 
tidak boleh berbaik-baik dengan pemerintah. Sejarah Islam telah membuktikan 
peranan ulama dalam menjalinkan hubungan dan thiqah (kepercayaan) rakyat kepada 
pemerintah. Umpamanya lihatlah sejarah pentadbiran `Umar ibn `Abd al-`Aziz dan 
Salehuddin al-Ayubi. Apa yang Islam tegah ialah jangan seorang muslim 
membenarkan yang salah, dan mendiamkan kejahatan. Kita tidak menyeru golongan 
agama agar memusuhi pemerintah, tetapi kita mahu agar mereka bercakap yang haq, 
membenarkan yang benar dan menyatakan salah pada yang salah.

Saya sungguh terkejut apabila Astora menyokong E-mail yang kononnya dihantar 
kepadanya yang menyatakan kepimpinan yang ada dalam negara kita tidak akan 
muncul lagi sehebatnya. Ketokohan dan keperibadiannya tidak pertikaikan. Nilaian 
yang seperti ini menampakkan sikap yang hilang rasional. Ianya memalukan Islam 
jika dibaca oleh golongan bukan Islam yang pun tahu hakikat sebenar. Saya 
memohon kepada Allah agar kita tidak akan bersikap menyokong mana-mana insan 
sehingga ke tahap sedemikian tanpa mampu membuat sebarang penilaian lagi.  
Astora dan mereka yang sama sepertinya patut takut apa yang disebut oleh baginda 
Nabi s.a.w.

Maksudnya:

"Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman 
dan pembohongan.
Sesiapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka 
dia bukan dariku
dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga) dan 
sesiapa yang tidak membenar
pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku 
dan akan dari
kalangannya dan dia akan mendatangan telaga (di syurga)".

(Kata al-Haitami dalam : Majma' al-Zawaid wa Manba' al-Fawaid: Hadith ini 
diriwayatkan oleh oleh
Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabarani di dalam al-Kabir dan al-Ausod . Para perawi 
salah satu sanad
al-Bazzar dan Ahmad adalah para perawi Sahih al-Bukhari.

Demikian amaran Nabi s.a.w. agar setiap individu muslim, apatah lagi yang 
memiliki sedikit sebanyak pengetahuan agar berdisiplin dalam memberi sokongan 
kepada seseorang.

Asabiyyah

Astora juga hendaklah sedar, bahawa menyokong seseorang secara membabi buta 
adalah dianggap `asabiyyah dalam pandangan Islam. Sokongan hendaklah disertai 
dengan hakikat kebenaran bukan sewenang-wenangnya. Sabda Nabi:

Maksudnya:

"Sesiapa yang berperang dibawah "bendera buta" dan menyeru kepada `asabiyyah 
atau marah kerana
`asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah."

(Riwayat Muslim, Ibn Majah, an-Nasai)

Kata as-Sindi dalam Syarh Ibn Majah yang mensyarahkan hadith-hadith Sunan Ibn 
Majah: "Lafaz (bendera
buta) ialah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang 
tidak diketahui sama ada
benar atau batil."

Sekiranya berjuang dalam keadaan yang tidak tahu benar atau salah dianggap mati 
dalam jahiliyyah, apatah golongan dan individu yang mempertahankan pemimpin yang 
diketahui umum penyelewengannya.

Dalam menjelaskan maksud `asabiyyah, Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

??????? ?? ???? ???? ??? ?????

Maksudnya:

"`Asobiyyah itu kamu menolong kaummu atas kezaliman"

(Hadith ini riwayat Abu Daud. Kata Ibn Muflih  dalam al-Adab as-Syar`iyyah, 
hadith ini hasan. Ini
disokong oleh Syu`ib al-Arnaud dalam tahqiqnya kepada kitab tersebut)

Mungkar

Apakah Astora dan mereka yang bermazhab sepertinya merasa tidak wujud kemunkaran 
yang dilakukan oleh pemerintah negara ini? Kalau benar demikian, maka Astora 
adalah seorang yang amat jahil tentang hukum hakam Allah. Sekiranya mereka tahu 
ada banyak kemungkaran dan penyelewengan, saya bertanya, apakah pendirian 
mereka? Mustahil Astora tidak pernah mendengar hadith ini:

Maksudnya:

"Sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, 
sekiranya tidak mampu
maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah 
selemah-lemah iman."

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim mensyarahkan hadith di atas membuat 
contoh seperti berikut:

"Apabila seseorang melihat insan lain membeli barangan yang rosak atau 
seumpamanya lalu dia tidak membantah dan memberitahu pembeli maka ini adalah 
kesalahan yang jelas. Pada ulama telah menetapkan bahawa wajib sesiapa yang 
menyetahui perkara seperti ini membantah penjual dan memberitahu pembeli"

Kalau dalam perkara yang sebesar itu disuruh kita tegah, apakah penindasan, 
penyelewengan, ketidakadilan dalam negara ini lebih ringan dari itu?

Bersama Yang Benar

Saya ingin ingatkan Astora agar kita semua tunduk kepada arahan al-Quran dan 
as-Sunnah dalam persoalan
sokong-menyokong ini. Bukan masalah parti dan puak, tetapi masalah kedudukan 
kita di akhirat kelak. Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya:

"Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, 
padahal dia tidak
menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan 
keredhaan  untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu 
pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak 
menyangka ianya akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan 
kemurkaaan  untuknya sehingga hari dia bertemu Allah."

(Riwayat Malik dalam al-Muwatta` dan al-Tirmizi, katanya hasan sahih)

Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyebut, Sufyan bin `Uyainah menyatakan: 
"Hadith ini
bermaksud kalimah di hadapan pemerintah, kalimat yang pertama (yang diredhai 
Allah) ialah yang
menghalang kezalimannya. Kalimat yang kedua (yang dimurkainya) ialah yang 
mendorongnya melakukan
kezaliman"

Hendaklah disedari, tulisan dan pujian yang ditujukan kepada sesiapa sahaja yang 
kita anggap hanya untuk tujuan peribadi tertentu akhirnya membawa kepada jenayah 
kezaliman. Dengan itu ianya adalah kesalahan besar dalam Islam.

Sebab itulah al-Quran menyatakan pendirian yang tegas dalam hal ini: Firman 
Allah:

Maksudnya:

"Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam 
Kitab (Al-Quran),
iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan 
diejek-ejek (oleh kaum kafir dan
munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka 
masuk kepada
memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang 
demikian), tentulah kamu
sama seperti mereka."

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam Tafsir Ayat al-Ahkam: "Ayat ini menjadi dalil 
wajibnya menjauhi ahli
maksiat apabila jelas kemunkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi 
mereka bererti redha
dengan perbuatan mereka."

Katanya lagi: "Firman Allah (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa 
yang duduk dalam majlis maksiat (menderhakai Allah) dan tidak membantahi mereka 
maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah 
mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak 
mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya 
tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini. [ jld. 5, 418, Dar 
al-Fikr, Beirut]

Sekali lagi ditegaskan, bukan persoalan politik yang hendak dikaitkan, tetapi 
persoalan sikap seorang muslim, apatah lagi golongan yang mempunyai pengetahuan 
agama, dalam memberikan sokongan kepada seseorang. Apatah lagi al-Quran begitu 
tegas dalam menentukan pendirian golongan agama sehingga disifatkan ulama 
pengampu dan penyeleweng sebagai anjing!!

Firman Allah dalam Surah al-A'raf 175-176:

"Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami 
beri kepadanya
(pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya 
terkeluar dari
mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah 
dari orang-orang yang sesat.
Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab 
mengamalkan) ayat-ayat itu.
Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka 
bandingannya adalah
seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya 
termengah-mengah, dan jika engkau
membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah 
bandingan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka 
berfikir"

Saiyyid Qutb menyebut dalam Fi Zilal al-Quran sebagai mengulas ayat ini: "Berapa 
banyak kita telah lihat orang alim
agama, yang mengetahui hakikat agama Allah kemudian memutar belitkannya. 
Menggunakan ilmunya untuk penyelewengan yang dikehendaki. Mengeluarkan fatwa 
yang dituntut oleh pemerintah bumi yang tidak kekal. Cuba untuk mengukuhkan 
dengannya pemerintah yang melanggari pemerintahan Allah dan laranganNya di 
bumi.."

Astora dan seluruh golongan agama telitilah ayat ini serta lihat apa yang 
dihuraikan oleh para mufassirin dalam tafsir mereka. Mungkin Astora, seperti 
segelintir golongan agama di negara ini yang mempunyai cita-cita tertentu yang 
hendak dicapai melalui nama pengetahuan agama yang dimiliki, namun jangan lupa 
bahawa ketinggian kedudukan `ulama diangkat oleh Allah bukannya manusia.

Kita menyokong kebenaran dan kebaikan dari siapa pun ianya datang, sama ada 
pemerintahan atau rakyat biasa, kita menentang kemungkaran dan kezaliman dari 
mana pun ianya datang, sama ada pemerintah ataupun pembangkang. Islam senantiasa 
mendahului pemimpin dan parti.


__________________________________________________________
This email has been sent through 2b at http://www.2b.co.uk


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Temingat Di Belantara" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke