*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Forwarded>>>>>>>


PETA PEMIKIRAN ASTORA JABAT DALAM ISU 'AURAT

Mohd. Asri b. Zainul Abidin
(UIA-0194121314/ [EMAIL PROTECTED])

Bagi sebahagian muslimin yang tidak begitu biasa dengan istilah-istilah dan 
kitab-kitab para ulama dan tokoh cendiakawan Islam, mungkin merasa hebat apabila 
mendengar atau membaca seseorang menggunakannya dalam ucapan dan tulisannya. 
Dengan kekaguman itu mereka seolah terpukau sehingga tidak dapat menilai sejauh 
manakah kebenaran fakta yang dibawa. Demikian halnya sebahagian yang membaca 
tulisan-tulisan Astora Jabat. Dengan menyebut beberapa tulisan Arab  dan 
mempermudahkan dalam menyandarkan sesebuah pendapat kepada sesuatu mazhab, tanpa 
membuat semakan detail ketepatannya, maka Astora cuba mempengaruhi sesiapa yang 
boleh dipengaruhinya.

Tulisan ini adalah siri awal yang cuba mengajak umat Islam di negara melihat di 
manakah letak pemikiran Astora Jabat dalam kerangka pemikiran modern. Pada 
peringkat ini saya hanya bercadang untuk melihat secara umum kedudukan aliran 
pemikiran Astora. Terlebih dahulu, saya juga ingin pembaca memahami bahawa saya 
tidak berniat jahat atau berhasad dengannya. Saya hanya mengenali beliau dari 
cara dan gaya serta aliran yang diambil dalam tulisannya.

Sebenarnya, segala yang cuba dicanang dan ditonjolkan oleh Astora bukan perkara 
baru dalam sejarah serangan atau pandangan pemikiran Barat terhadap Islam dan 
umatnya. Bagi saya Astora tidak lebih hanya menceduk tulisan beberapa buku dan 
tokoh serta nota kaki mereka kemudian mengemukakan kepada umat Islam di Malaysia 
seolah-oleh itu adalah kajian beliau.

Saya juga percaya bahawa senarai kitab-kitab atau pandangan-pandangan mazhab 
yang disebut oleh Astora, kebanyakan beliau sendiri tidak pernah merujuk dan 
menyemaknya sebaliknya hanyalah sekadar menceduk apa yang disebut oleh penulis 
yang lain Kaedah ini sebenar melanggar disiplin ilmiah dunia akademik. Cara ini 
hanya dilakukan oleh seseorang yang tidak mementingkan ketulenan fakta. Dia lupa 
bahawa pandangan-pandangan yang berikan oleh setiap tokoh diukur ketepatannya 
dengan al-Quran dan as-Sunnah ath-Thabitah bukan sekadar memungutnya. Sejak 
sekian zaman umat Islam yang memegang aliran Ahli as-Sunnah wa al-Jama`ah 
bersepakat tanpa khilaf bahawa segala perselisahan rujukannya ialah al-Quran dan 
as-Sunnah. Nas-nas dalam hal ini sangat banyak yang tidak perlu diulangi. 
Pandangan
setiap individu ditimbang dengan timbangan ini.

Sebagai contoh cuba lihat sikap Astora terhadap aurat wanita yang disiarkan pada 
17 Oktober 1999 dalam Utusan Malaysia. Beliau cuba membawa suatu pandangan yang 
menganggap rambut wanita bukanlah `aurat dan menutup kepala itu sebenarnya 
menutup akal. Pandangan ini sebanar tidak lebih hanya petikan pandangan dua 
orang tokoh Mesir yang mendewakan kehidupan Barat iaitu Al-`Ashmawi dan `Abd 
al-`Azim Ramadhan. Keduanya menganggap kepala wanita bukanlah `aurat dan menutup 
kepala itu sebenarnya menutup akal. Pandangan mereka yang batil itu telah 
dijawab oleh Mufti Mesir Muhammad `Ali at-Tantawi dan tokoh mufassir Mesir, 
as-Syeikh Muhammad Mutawalli asy-Sya'rawi r.h. Sesiapa yang inginkan 
pendetilannya boleh rujuk buku "al-Gharah `ala al-Hijab". Buku tersebut menyebut 
hujah-hujah
kedua lelaki berkenaan serta jawapan  at-Tantawi dan al-Mutawaali asy-Sya'rawi 
terhadap mereka.

Perjuangan menentang hijab berlaku sejak dahulu lagi. Kononnya hijab adalah 
punca kemunduran dunia Islam. Mereka lupa bahawa punca kemunduran sebenar kerana 
kita meninggalkan agama yang tulen dan membiarkan kepalsuan, bid`ah serta 
kemungkaran hidup dalam masyarakat. Mereka ini akan cuba mengulas nas agar 
menepati selera dan kehendak mereka. Marqus Fahmi dalam tulisannya al-Marah fi 
asy-Syarq juga mempertikaikan hijab. Ini telah dijawab oleh tokoh-tokoh Islam 
semasa termasuk Anwar al-Jundi.

Persoalan aurat sudah banyak dibahaskan. Setiap pengkaji Islam boleh merujuk 
kitab-kitab tafsir yang beralaskan nas-nas syarak dalam menafsirkan Surah 
al-Ahzab 59 dan an-Nur 60. Para ulama dalam ini, ada yang bertegas menyatakan 
seluruh tubuh wanita adalah `aurat. Ini seperti yang dipegang oleh kebanyakan 
ulama di Saudi sekarang.
Sesiapa yang ingin pendetilan bolehlah merujuk kepada kitab-kitab fatwa masyaikh 
di Saudi antaranya buku al-Hijab yang ditulis oleh as-Syeikh Soleh Fauzan. 
Sementara jumhur ulama pula menyatakan muka dan tapak tangan tidak termasuk 
dalam `aurat. Hujah-hujah yang kuat dalam masalah ini telah dijelaskan as-Syeikh 
Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Al-Niqab lil al-Mar ah baina al-Qaul bi bid`atih 
wa al-Qaul bi Ujubih. Saya amat cenderung kepada pendapat jumhur ini. Ada fuhaqa 
dari Mazhab Ahnaf (Hanafi) yang lebih longgar, membenarkan pergelangan kaki 
dibuka. Abd al-Karim Zaidan telah menghimpunkan perbincangan ini dalam 
tulisannya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah. Saya tidak bercadang untuk 
mendetilkan persoalan ini sebaliknya sekadar untuk menjelaskan bahawa adalah 
lebih baik para
pembaca merujuk kepada para ilmuan dan cendiakawan Islam yang dipercayai 
agamanya dari merujuk kepada sesiapa sahaja yang diragui diri dan ilmunya.

Di samping itu saya mencabar Astora untuk mendetilkan alasannya yang menyatakan 
kepala wanita tidak dikira `aurat.  Persoalannya, mengapakah isu tutup `aurat 
sering kali diserang ? Apakah tujuannya?

Serangan ini muncul sejak lama lagi. Antara puncanya adalah tindakbalas umat 
Islam terhadap perkembangan yang berlaku di dunia Barat. Barat yang sebelumnya 
ketinggalan jauh di bandingkan kemajuan yang pernah dicapai oleh umat Islam 
kembali berjaya menguasai tamdun kebendaan dan cuba memunculkan diri mereka 
sebagai simbol kejayaan tamadun manusia moden. Ini sebenarnya hasil kecuaian 
umat Islam terutama golongan agama dan pemerintah. Justeru itu semua pandangan 
bangsa-bangsa tertumpu kepada Barat, termasuklah umat Islam. Barat telah 
dianggap kononnya simbul kepada gaya hidup zaman modern, juga kononnya mereka 
adalah pejuang hak dan kebebasan manusia moden.

Dalam menghadapi cabaran ini dunia umat Islam yang tidak mahu dianggap 
ketinggalan zaman maka munculnya tiga sikap utama muncul dalam melihat kemajuan 
dunia Barat.

i.Di kalangan mereka ada yang menerima apa sahaja dari Barat dan menolak agama 
serta tidak menghiraukan langsung nas-nas agama. Ini seperti Taha Hussain di 
Mesir.  Beliau menyeru agar Mesir mencontohi dan meninggalkan keislamannya untuk 
maju kehadapan. Katanya dalam bukunya Mustaqbal ath-Thaqafah fi Misr, "Jalan ke 
arah itu hanyalah satu..iaitu kita mesti mengikut jejak langkah  orang-orang 
Eropah dan cara mereka. Kita mesti menjadi sekutu mereka dan rakan kongsi dalam 
ketamudunan, sama ada yang baik atau yang buruk, sama ada yang manis atau yang 
pahit, sama ada yang disukai atau yang dicercai".    Bahkan dalam beberapa 
tempat beliau dengan jelas mengajak agar Mesir meniru Eropah sekalipun dalam 
beragama. Bagi golongan ini, menutup `aurat sudah pasti ditentang oleh mereka 
kerana ianya boleh membezakan kita dengan Barat.

Ahmad Reda Bik yang merupakan penyeru agar ditumbangkan sistem pemerintahan 
Islam di Turki menganggap bahawa selagi lelaki dan wanita Turki tidak bercampur 
bebas dan membuka hijabnya maka tiada kedaulatan undang-undang dan kebebasan di 
Turki. (lihat: al-Ittijah al-Wataniah fi al-Adab al-Mu`asir, jld 2, m.s. 273) 
ii.Golongan yang kedua, mereka tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi apa 
yang mereka lakukan ialah cuba menafsirkan nas-nas Islam agar sesuai dengan 
kehidupan moden di Barat. Apa sahaja nas al-Quran atau as-Sunnah yang 
menyanggahi Barat akan cuba ditakwil sedaya upaya agar dapat disesuaikan dengan 
cara hidup di Barat. Di zaman ini mereka dikenali dengan Islam ala Amarika. Bagi 
mereka seolah-olah kehidupan Barat adalah asas dan nas-nas mesti disesuaikan 
dengannya. Sedangkan dalam manhaj Islam nas-nas al-Quran adalah asas dan 
kehidupan mesti disesuaikan dengannya bukan sebaliknya. Ini seperti yang disebut 
oleh al-Qaradawi dalam al-Marji`iyyah al-`Ulya fi al-Islam, "Mereka menuntut 
agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta agar perubahan diislamkan".

Kalaulah sekiranya wanita Barat memakai purdah, percayalah mereka 
sungguh-sungguh mempertahankan dalil wajib memakai purdah. Kalau wanita Barat 
bertudung nescaya bersungguh-sungguh mereka kumpulkan dalil wajib bertudung 
kepala. Namun oleh kerana mereka melihat dunia Barat tidak menutup `aurat 
seperti wanita Islam maka segala nas agama cuba ditafsirkan agar bersesuai 
dengan keadaan tersebut. Lihat apa kata seorang tokoh mereka, Dr. `Imad `Abd 
al-Hamid an-Najar dalam Jaridah al-`Akhbar, "..adapun mengenai hijab dan 
percampuran antara wanita dan lelaki dalam kehidupan harian, ini adalah perkara 
yang boleh ditentukan oleh sesebuah masyarakat berdasarkan keadaannya.  Bagi 
setiap masyarakat ada pakaian dan cara-cara yang memudahkan individunya. Apa 
yang disebut oleh al-Quran mengenai hijab adalah khusus untuk isteri-isteri 
Rasulullah. Hukum-hakam ini bukan lah semestinya berkaitan dengan seluruh 
wanita."

Ini adalah jelas, sama seperti Astora. Dewasa ini ianya dikenali sebagai aliran 
Islam Amerika. Mereka ini tidak menyatakan yang mereka inginkan tinggalkan agama 
tetapi mereka tafsirkan agama seiras pandangan-pandangan umum yang diterima oleh 
masyarakat Barat. Sedangkan, disiplin asas dalam pengkajian nas  hendaklah 
nas-nas yang menentukan sesuatu keputusan bukan keputusan yang menentukan 
tafsiran nas. Kata tokoh tafsir terkenal di zaman ini, Dr. Solah al-Khalidi 
dalam buku Mafatih li at-Ta`amul ma`a al-Quran: "Sesungguhnya sebahagian manusia 
telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam 
al-Quran yang luas dengan cara yang tidak betul. Di kalangan mereka ada yang 
membawa bersamanya (dalam memasuki alam al-Quran)  himpunan ilmu pengetahuan, 
thaqafah, akhlaq, adat istiadat dan sikap yang bertentangan dengan arahan 
al-Quran, maka cahaya al-Quran terhalang darinya. Ada pula yang memasuki alam 
al-Quran dengan suatu pemikiran sebelumnya yang mengganggu fikirannya ketika dia 
melihat al-Quran maka terhalanglah pandangannya, lantas dia terjatuh dalam 
kekaburan dan kekeliruan. Ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta 
latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia 
menyelewengkan jalannya, memutar belitkan, memaksa-maksa dalil dan nas dan 
memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya.."

Dengan melalui kaedah yang salah ini, segala dalil akan ditafsirkan agar serasi 
dengan kehendak yang diputuskan. Inilah cara al-Quran diperalatkan. Sesiapa yang 
ingin penjelasan yang detil dalam bab ini, dia boleh merujuk kepada buku tulisan 
al-Khalidi di atas. Astora nampak begitu tekun meliti jalan ini. Jalan yang 
memaksa al-Quran dan as-Sunnah mengikut keputusan yang dibuat bukannya keputusan 
yang bakal dibuat mengikut al-Quran.

iii.Golongan ketiga menapis apa yang ada di Barat dengan tapisan Islam. Kemajuan 
diakui, bahkan kemajuan yang dinikmati di Barat adalah cedukan dari  kemajuan 
yang pernah wujud di dunia Islam dahulu.  Bukan semua yang ada di Barat mesti 
ditolak. Namun bukan semua mesti diterima. Timbangannya ialah tafsiran yang 
betul terhadap nas-nas- al-Quran dan as-Sunnah. Islam adalah agama yang hidup 
dan sesuai untu segala masa dan zaman. Kaedah syara' juga menyatakan bahawa 
"tidak dinafi perubahan hukum dengan perubahan zaman". Tetapi hendaklah 
dibezakan bahawa di dalam ajaran Islam ada perkara yang tetap dan yang boleh 
berubah. Inilah golongan dan pendirian umat Islam yang lurus dengan agamanya. 
Adalah dicadangkan kepada Astora Jabat melaluinya.

Tujuan Astora Jabat

Saya melihat tujuan Astora menulis tidak lebih melainkan untuk kepentingan 
golongan tertentu dalam negara ini. Terutama golongan politik pemerintah. 
Tulisannya yang fakir dari perasaan takutkan Allah dan sunyi dari penghormatan 
terhadap tokoh-tokoh umat. Racun-racun yang Astora yang taburkan dalam 
tulisannya adalah sama dengan racun-racun yang pernah ditaburkan oleh golongan 
orientalis sejak dahulu. Saya seakan-akan dapat memaafkan orientalis kerana 
mereka memang tidak beragama dengan agama ini, bagaimana meraka akan 
menyokongnya. Namun Astora Jabat menyatakan dirinya muslim tetapi sering 
menggunakan racun yang sama. Ini sesuatu yang sukar dimaafkan.

Dengan penuh kesedaran juga, saya katakan, masih ada perkara-perkara yang 
berhajat kepada semakan di dalam ajaran Islam yang diamalkan, terutama  yang 
membabitkan persoalan ijtihad. Namun hendaklah dibekalkan dalam jiwa pengkaji 
perasaan takutkan Allah dalam memetik hukum-hakam, bukan tamakkan pangkat dan 
harta. Pintu ijtihad terbuka dan tiada siapa berhak menutupnya. Bagaimanapun 
bagi ijtihad itu ada syarat-syarat yang tidak boleh diketepikan dengan mudah.



__________________________________________________________
This email has been sent through 2b at http://www.2b.co.uk


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Temingat Di Belantara" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke