Parti Rakyat <[EMAIL PROTECTED]> wrote:

PERAMPASAN TANAH-TANAH RAKYAT
OLEH AGENSI-AGENSI KERAJAAN JOHOR

Kenyataan oleh Hassan Karim
Naib Presiden PRM
merangkap Ketua Penerangan
Jawatankuasa Perhubungan Barisan Alternatif Negeri Johor

Pendahuluan

Dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini banyak projek mega telah
dibangunkan di Johor. Banyak lagi projek seumpama itu sedang dirancang
untuk dilaksanakan. Projek-projek infrastruktur seperti lebuhraya,
pelabuhan, pusat komersial, pusat pelancongan, perumahan mewah dan
kawasan industri itu memerlukan tanah yang luas sebagai tapak pembinaan.
Dengan hal yang demikian dalam tempoh sedekad ini banyak tanah-tanah
rakyat biasa, sama ada di kampung-kampung tradisional, kawasan-kawasan
peneroka bandar dan juga penempatan-penempatan setinggan telah diambil
oleh kerajaan negeri Johor serta agensi-agensinya.

Undang-Undang Tanah

Kerajaan negeri Johor menggunakan Kanun Tanah Negara dan Akta
Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) untuk merampas tanah-tanah rakyat
biasa yang lemah itu atas nama pembangunan. Sebahagian besar rakyat
menentang tanah-tanah mereka dan tapak rumah mereka dirampas oleh
kerajaan. Tetapi mereka dapat dikalahkan kerana kerajaan negeri
memperalatkan Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah yang
menafikan hak pemilik tanah untuk mencabar di mahkamah tentang usaha
kerajaan negeri atau agensi-agensinya mengambil tanah mereka.

Memang pampasan dibayar kepada pemilik tanah yang tanahnya diambil oleh
kerajaan negeri atau agensi-agensinya atau pemaju-pemaju sesuatu projek
pembangunan. Tetapi kebanyakannya pampasan itu tidak setimpal dan tidak
berpatutan. Malah pemaju-pemaju yang mendapat tanah-tanah rakyat itu
membayar pampasan yang jauh rendah nilainya daripada harga pasaran.
Sebaliknya sebaik sahaja tanah itu mereka rampas dari rakyat, harga
tanah itu melambung tinggi, mahal seperti emas. Syarikat-syarikat
korporat yang besar itu termasuk agensi-agensi kerajaan negeri menjadi
kaya dengan sekelip mata setelah merampas tanah-tanah rakyat yang
terpaksa dilepaskan, dalam kebanyakan kes, dengan linangan air mata.

Hal seperti ini masih berterusan. Dengan pelbagai projek mega sedang
dibangunkan sekarang maka akan lebih banyak tanah-tanah rakyat akan
dirampas. Agensi-agensi kerajaan yang aktif terlibat dalam kerja
perampasan tanah rakyat ini ialah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor
(KPRJ), Perbadanan Johor (PJ), dan kerajaan negeri sendiri melalui
Pejabat Tanah dan Galian yang menjadi semacam “broker” kepada
syarikat-syarikat pemaju seperti Prolink Development Sdn Bhd., sebuah
anak syarikat Renong.

Kita akan menghalusi satu persatu bagaimana dan di mana agensi-agensi
kerajaan Johor dan Kerajaan Negeri Johor itu sendiri merampas
tanah-tanah rakyat. Beberapa kes akan dikemukakan sebagai bukti terhadap
dakwaan bahawa tanah-tanah rakyat telah dirampas secara paksa.

1. Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ)

Dua contoh projek pembangunan yang diusahakan oleh KPRJ melibatkan
perampasan tanah rakyat. Projek yang pertama ialah Danga Bay yang
melibatkan kos RM15 bilion. Projek ini menjejaskan 200 penduduk
masyarakat Orang Asli dari suku kaum Seletar di Kampung Sungai Temon di
Sungai Danga. Mereka telah meneroka kampung itu sejak 20 tahun lalu.
Mereka diarah berpindah ke Sungai Danga itu kerana kampung asal mereka
sebelum ini telah diambil kerajaan negeri untuk projek pembangunan.
Kerana projek mega Danga Bay, sekali lagi mereka dipaksa berpindah.

Selain itu kira-kira 1,000 keluarga setinggan atau peneroka bandar
(hampir kesemuanya orang Melayu) yang tinggal berhampiran Lembah Danga
akan dipaksa berpindah untuk membolehkan KPRJ membangunkan projek mega
tersebut. Banyak kampung peneroka bandar atau setinggan seperti Kg.
Skudai Kiri dan Kg. Pengkalan Rinting telah dibuka dan didiami oleh
rakyat miskin itu sejak lebih 30 tahun lalu.

Pelbagai janji telah diberi oleh pemimpin politik parti pemerintah dan
oleh pemimpin kerajaan negeri dan kerajaan pusat setiap kali menjelang
pilihanraya bahawa mereka akan diberi hak milik tanah. Tetapi Kanun
Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah tidak mengiktiraf janji-janji
politik dan janji-janji para exco atau pemimpin kerajaan negeri. Rakyat
tertipu.

Bukan sahaja kini janji tidak ditunai oleh kerajaan negeri, sebaliknya
pihak berkuasa negeri datang selepas menang pilihanraya umum lalu dengan
cadangan untuk mengusir para penduduk peneroka bandar dan
setinggan-setinggan miskin di pinggir bandar Johor Bahru itu. Danga Bay
dibangunkan oleh KPRJ tetapi tanah-tanah tapak kediaman rakyat dirampas.

Projek kedua KPRJ yang melibatkan perampasan tanah rakyat ialah Kampung
Bakar Batu tidak jauh dari pusat bandar Johor Bahru. Kampung ini telah
wujud lebih 70 tahun lalu di mukim Tebrau/Plentong. Ia merupakan antara
perkampungan tertua di daerah Johor Bahru. Penghuninya hampir kesemuanya
orang Melayu. Penduduk awal kampung itu mendapat tanah itu hasil dari
kurnia Sultan Ibrahim iaitu khusus untuk penempatan orang Melayu.
Sebahagian tanah di Kampung Bakar Batu itu tanah Rizab Melayu.

Pada 3 Oktober 1998 akhbar melaporkan Pelan Induk Pembangunan Pusat
Komersil dan Perumahan bernilai RM2 bilion di sepanjang Sungai Teberau
termasuk perancangan di kawasan Kampung Bakar Batu sudah disiapkan oleh
KPRJ. Projek itu dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

Penduduk tidak ada pilihan. Hendak melawan tidak berdaya kerana KPRJ
adalah syarikat kerajaan negeri Johor dan ada dua akta tanah yang pada
bila-bila masa akan berpihak kepada agensi-agensi kerajaan negeri. Suka
atau tidak, rela atau terpaksa, penduduk dikerah tunduk supaya menerima
projek itu dengan pampasan yang KPRJ tentukan. Semuanya atas nama
pembangunan.

Di atas tanah rakyat yang dikurniakan oleh Sultan untuk orang Melayu,
KPRJ senang-senang datang dengan pakej cadangan untuk membina perumahan
eksklusif dan pusat perdagangan komersil di atas kampung itu tanpa
mengajak atau membawa bersama-sama penduduk di situ merancang bersama
membangunkan Kampung Bakar Batu itu. Yang untungnya KPRJ dengan segala
para pengarahnya serta para kontraktor yang akan membangunkan kawasan
itu. Yang rugi dan hilang tanah ialah rakyat biasa penduduk kampung
tersebut.

2. Perbadanan Johor ( Johore Corporation, Jcorp)

Terdapat beberapa kes dimana tanah-tanah rakyat telah dirampas oleh
Perbadanan Johor untuk projek-projek pembangunan. Di sini dicatatkan dua
kes utama. Kes pertama ialah projek kawasan industri Tanjong Langsat
dekat Pasir Gudang yang dikendalikan oleh Perbadanan Johor. Berita
Harian 20 Jun 2000 melaporkan Perbadanan Johor bakal menerima pelaburan
RM2.3 bilion di kawasan pembangunan itu.

Kawasan industri itu seluas 1,886.8 hektar. Pelabur-pelabur yang akan
melabur ialah tiga dari Taiwan dan satu dari Amerika Syarikat. Untuk
membolehkan kawasan itu dibangunkan, rakyat biasa yang lemah, kira-kira
100 buah keluarga (semuanya Melayu) yang menjadi penduduk Kampung Kopok
sebuah kampung tradisional di situ diusir keluar dengan pampasan yang
tidak seberapa. Mereka membantah dan menentang. Perbadanan Johor
menggunakan senjata Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Kanun Tanah Negara
untuk mematahkan bantahan dan tentangan rakyat biasa itu.

Akhirnya para penduduk dengan terpaksa tunduk menerima pengusiran dari
kampung halaman sendiri. Rumah, masjid, sekolah, padang permainan
kanak-kanak semuanya diruntuh dan dirobohkan untuk membolehkan
Perbadanan Johor mendirikan kilang-kilang besi, keluli, seramik dan
silikon yang mencemar udara dan alam sekitar di kawasan itu dan
berdekatan dengannya. Akibatnya hingga menjadikan kawasan perindustrian
Pasir Gudang yang padat dengan penempatan kaum pekerja menjadi kawasan
paling tercemar udaranya di Johor, malah mungkin di Malaysia.

Yang untung besar dengan projek di kawasan industri Tanjong Langsat itu
ialah para pemilik saham Johor Technopark Sdn Bhd, anak syarikat
Perbadanan Johor, para kontraktor dan pelabur-pelabur asing. Yang rugi
ialah penduduk Kampung Kopok yang kesemuanya Melayu.

Satu lagi kes perampasan tanah rakyat yang dilakukan oleh Perbadanan
Johor ialah kes yang melibatkan penduduk-penduduk di Perumahan Rakyat
SEDC di kawasan Tampoi, Johor Bahru. Seramai 999 buah keluarga telah
tinggal di Perumahan Rakyat secara sah sebagai penyewa sejak September
1977. ( Pecahan penghuni berdasarkan kaum ialah Melayu 85%, Cina 10% dan
India 5%).

Perbadanan Johor (dulu SEDC) telah mungkir perjanjian dengan penduduk
dan selama bertahun-tahun ia berusaha untuk mengusir penduduk-penduduk
dari kawasan itu. Penduduk-penduduk telah melawan di mahkamah sehingga
ke Mahkamah Persekutuan. Tetapi Perbadanan Johor dengan menggunakan
Kanun Tanah Negara akhirnya berjaya. Mahkamah tidak mengiktiraf hak
“equity” para penduduk di kawasan tersebut. Sedangkan mereka sebenarnya
bukan setinggan. Banyak kali Perbadanan Johor datang untuk mengusir
penduduk-penduduk secara paksa. Dari 999 keluarga 23 tahun yang lalu,
kini hanya tinggal 250 keluarga sahaja yang sanggup berdiri
mempertahankan rumah dan kampung mereka.

Pada 6 Oktober ini ( 5 hari lagi), Perbadanan Johor dijadualkan akan
datang sekali lagi untuk mengusir penduduk di Perumahan Rakyat itu.
Seperti biasa Perbadanan Johor dengan berbekalkan Perintah Mahkamah,
diiring oleh Polis dan unit FRU berserta anjing dan gas pemedih mata,
skuad pemecah rumah berserta buldozer, TNB yang akan memotong bekalan
elektrik dan SAJH untuk memotong air paip serta Pejabat Tanah dan Galian
Johor Bahru, kesemuanya dengan satu tujuan untuk mengusir secara paksa
hampir kesemuanya keluarga Melayu miskin di situ, antaranya termasuk
beberapa keluarga yang 25 tahun lalu juga adalah setinggan-setinggan
yang rumah mereka telah dirobohkan oleh kerajaan BN pimpinan Tan Sri
Othman Saat di Tasek Utara (selepas pilihanraya umum 1974).

Perbadanan Johor bercadang untuk membangunkan kawasan itu untuk menjadi
kawasan perumahan pelbagai jenis serta pusat komersil yang
menguntungkan. Perbadanan Johor hanya memikirkan soal untung sahaja dan
begitu angkuh tidak mahu bertolak ansur dengan tuntutan adil dan sah
para penduduk asal di Perumahan Rakyat itu yang pada awalnya tinggal di
situ secara sah dari segi undang-undang.

3. Kerajaan Negeri Johor rampas tanah rakyat di Gelang Patah.

Terdapat tiga projek mega dalam kawasan Gelang Patah. Projek-projek itu
ialah Linkedua (Laluan Kedua), pembangunan sebuah bandar baru, Bandar
Nusajaya dan Projek Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Seluas 2,400 hektar
kawasan di sekitar projek-projek tersebut telah dirampas secara paksa
dengan pampasan yang kerajaan negeri serta para syarikat pemaju yang
menentukan. Tanah-tanah yang dirampas itu kebanyakannya milik penduduk
Melayu di kampung-kampung tradisional yang berdekatan dan juga tanah
pekebun-pekebun kecil Cina.

Linkedua dibangunkan secara penswastaan oleh Prolink Development Sdn.
Bhd., sebuah anak syarikat Renong. Projek utamanya ialah membina
jambatan menghubungkan Gelang Patah di Johor dengan Tuas di Singapura.
Selain itu ia juga membina lebuhraya menghubungkan jambatan itu ke Johor
Bahru dan Lebuhraya Utara- Selatan.

Bandar Nusajaya pula ialah sebuah bandar baru yang akan dibangunkan
dengan kawasan perindustrian, perumahan mewah (pangsapuri), hotel-hotel
mewah, padang golf dan kawasan pelancongan juga diserahkan kepada
syarikat Prolink Development Sdn Bhd.

Ramai rakyat yang diusir keluar kerana dua projek mega ini. Antaranya
ialah 224 peserta Felcra Gugusan Tebing Runtuh, Tanjung Kupang. Kerajaan
negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian menjadi broker kepada syarikat
Prolink untuk merampas tanah-tanah rakyat itu. Selain itu 400 keluarga
Kampung Baru Gelang Patah juga diarahkan keluar dari kampung mereka
kerana kawasan itu terbabit dengan projek Linkedua dan Bandar Nusajaya.
Prolink menjanjikan penempatan semula kesemua peduduk. Tetapi akhirnya
Prolink mungkir janji. Pada asalnya penduduk berkenaan dijanjikan akan
ditempatkan di Taman Perintis 1. Tetapi kemudiannya Prolink menukar
penempatan itu ke Bukit Tempurung tanpa persetujuan penduduk.

Satu lagi projek mega di Gelang Patah ialah Projek Pelabuhan Tanjung
Pelepas (PTP). Projek ini dimajukan oleh syarikat Pelabuhan Tanjung
Pelepas (PTP) Sdn Bhd. Untuk membangunkan projek ini kerajaan negeri
Johor telah merampas tanah di lapan buah kampung Melayu tradisional
iaitu Kg Tiram Duku, Pekajang, Tanjung Adang, Pok, Tanjung Kupang,
Kampung Ladang, Pendas Laut dan Paya Mengkuang. Kira-kira 500 keluarga
kehilangan tanah. Tentu sekali ada pampasan. Tetapi banyak kes,
orang-orang kampung yang menerima pampasan itu menjadi “orang kaya”
sekejap. Kemudian wang pampasan lesap, tanah hilang, rumah baru tak
mampu dibeli, kemudian hidup menumpang dan menjadi setinggan dan kembali
menjadi nelayan.(Lihat muka depan Berita Harian 25 Ogos 1999).

Projek penswastaan Pelabuhan Tanjung Pelepas ini membawa keuntungan
besar kepada para pemilik sahamnya. 30 peratus ekuiti Pelabuhan Tanjung
Pelepas kini telah dijual kepada Maersk Sealand (Maersk), sebuah
syarikat perkapalan terbesar dunia. Tanah rakyat biasa di Gelang Patah
dirampas untuk akhirnya orang asing yang berjaya memiliki pelabuhan kita
sendiri.

Kesimpulan

Kerajaan BN negeri Johor melalui agensi-agensinya seperti KPRJ dan
Perbadanan Johor, termasuk dirinya sendiri melalui Pejabat Tanah dan
Galian telah melakukan banyak ketidakadilan, malah kezaliman dalam
banyak hal kerana merampas tanah-tanah rakyat.

Rakyat tidak berdaya untuk mempertahankan tanah, rumah dan hak mereka.
Undang-undang yang ada (Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Kanun Tanah
Negara) memberi kuasa yang luas kepada kerajaan negeri sehingga dalam
kes-kes yang disebutkan di atas, kerajaan negeri sejak zaman Tan Sri
Mahyuddin Yassin sebagai Menteri Besar sehinggalah ke zaman Datuk Ghani
Othman sebagai Menteri Besar sekarang bersekongkol dengan
syarikat-syarikat pemaju bertindak sewenang-wenang dan zalim merampas
tanah-tanah rakyat.

1hb November 2000


_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.

Share information about yourself, create your own public profile at
http://profiles.msn.com.


-------------------------- eGroups Sponsor -------------------------~-~>
eLerts
It's Easy. It's Fun. Best of All, it''s Free!
http://click.egroups.com/1/9699/12/_/18799/_/973129863/
---------------------------------------------------------------------_->

------------------------------------------------

ADIL-Net will remain a Free Forum
until further notice.

Disclaimer:
The opinions and views posted are not necessarily that of the
list owner's or ADIL's

--------------------------------------------------

Send a blank e-mail to:
[EMAIL PROTECTED] - to subscribe to the list
[EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe from the list
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to normal
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to digest

ADIL Homepage: http://members.easyspace.com/reformasi/



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
>From homework help to love advice, Yahoo! Experts has your answer.

Kirim email ke