*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamu'alaikum.
Satu lagi pandangan Shahrir Samad. Ada perkara yang boleh dipelajari 
mengenai mentaliti UMNO dari orang dalam spt Shahrir Samad.
................................
PENILAIAN RETROSPEKTIF 15 TAHUN PENCAPAIAN EKONOMI NEGARA - SUATU PANDANGAN 
PERIBADI.
http://www.shahrir-umno.com/Source/article.asp?Article=Penilaian

OLEH DATO SHAHRIR ABDUL SAMAD DI SEMINAR EKONOMI MALAYSIA di PURI PUJANGGA, 
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA PADA 5hb SEPTEMBER, 2000

PENDAHULUAN

Saya tertanya mengapa tempuh rujukan perbincangan saya adalah untuk 15 tahun 
yang lalu, sedangkan Datuk Seri Dr Mahathir telah menjadi Perdana Menteri 
semenjak tahun 1981,iaitu lebih daripada 15 tahun. Bukan lah tempat saya 
untuk memendekkan tempuh era kepimpinan Dr Mahathir yang sudah berlalu, 
tetapi yang masih bakal itu ialah soalan yang berasingan. Sebenarnya, pihak 
penganjur yang telah memilih angka 15 tahun sebagai tempuh penilaian saya 
pada hari ini.

Ini bermakna ianya tempuh kepimpinan negara olih Datuk Seri Dr Mahathir 
dengan Tun Ghaffar Baba dan beberapa kombinasi lain sehinggalah ke hari ini. 
Tafsiran saya pula mengapa tempuh ini dipilih ialah kerana sepanjang tempuh 
inilah Datuk Seri Dr Mahathir tidak terganggu olih sebarang perkiraan 
perkongsian kepimpinan saperti pernah dibayangkan dalam slogan ‘Kepimpinan 2 
M’ iaitu sebelum tahun 1986. Selepas 1986, Dr Mahathir sebenarnya bebas 
untuk mencorak ekonomi negara mengikut idea dan pemikirannya, tanpa di 
kurang atau ditokoktambah oleh mana-mana pihak lain.

Dari segi politikpun, pertandingan hebat yang telah berlaku dalam UMNO pada 
1987, kepada saya, menandakan berakhirnya era Tun Abdul Razak dan detik 
sebenarnya bermulanya era Dr Mahathir. Saya menghujahkan sedemikian oleh 
kerana keempat tokoh yang bertanding bagi jawatan-jawatan tertinggi UMNO 
ketika itu adalah mereka yang diketengahkan oleh Tun Abdul Razak sebagai 
barisan pelapisnya. Apabila "orang-orang Tun Razak" telah bersaing sesama 
mereka untuk menentukan siapa yang terulung dikalangan mereka, yang menang 
bebas untuk memulakan era kepimpinannya tersendiri.

Maka adalah lebih tepat dari perspektif politik kalau tempuh rujukan ini 
bermula dari 1987. Era kepimpinan Dr Mahathir bolih dikatakan belum lagi 
berakhir kerana beliau maseh lagi mendudukki jawatan tertinggi parti dan 
kerajaan. Tetapi, kalau saya mengguna asas perkiraan yang sama, kemunculan 
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan 
Perdana Menteri, yang menggantikan tokoh pilihan Dr Mahathir sendiri, 
sebenarnya mengisyaratkan sudah berakhirnya era Dr Mahathir pada 1997. 
Tentunya ini suatu pandangan yang kontroversial tetapi bukankah setiap 
kontroversi itu bakal menimbulkan perubahan.

II) KONTROVERSI MEMBUAHKAN PERUBAHAN

Kontroversi bukanlah suatu yang asing bagi Datuk Seri Dr Mahathir, dari mula 
beliau digelar sebagai "Melayu Ultra" kepada surat termasyurnya untuk Tunku 
Abdul Rahman sehinggalah kepada hari ini ketika negara berhadapan dengan 
seluruh dunia secara bersendirian dan berbeza. Secara langsung atau pun 
tidak langsung, setiap kontroversi itu membawa perubahan. Adanya yang 
diterima dengan baik dan adanya yang masih dipertikaikan.

Kepimpinan Dr Mahathir bermula dalam tempuh pelaksanaan DasarEkonomi Baru, 
dan mengikut fahaman popular ketika itu, DEB itu sendiri menggandungi 
beberapa idea dan pendapat beliau tentang masalah ekonomi orang Melayu, 
walaupun penggubalan DEB telah berlaku semasa beliau berada diluar UMNO dan 
Kerajaan. Sungguhpun demikian, kemunculan semula beliau didalam UMNO dan 
Kerajaan semasa kepimpinan Tun Abdul Razak adalah diatas suatu asas fahaman 
DEB yang kurang sangat diperkatakan. Ianya, keperluan kepimpinan politik 
UMNO sebagai pemegang amanah bangsa dan negara untuk bersandarkan kepada 
amalan ‘meritocracy’ atau, saperti yang biasa di sebut dalam doa di 
majlis-majlis umum, fahaman ‘yang terbaik dikalangan kita’untuk memimpin 
kita.

Saya akan berpandu kepada falsafah yang tersirat disebalik DEB untuk menilai 
pencapaian ekonomi era Dr Mahathir dan tambahan juga, kerana akhirnya 
penilaian rakyat adalah muktamad, saya akan turut berpandu kepada keputusan 
beberapa pilihanraya umum semenjak 1986 untuk mengukur kesan dan pencapaian 
era beliau. DEB telah juga berakhir tempuh pelaksanaannya semasa Dr Mahathir 
memegang teraju kepimpinan negara. Dasar Pembangunan Negara telah 
menggantikan DEB, tetapi ia tidak pula berdaya melupuskan DEB sama sekali. 
Hakikat ini terbukti tempuh hari apabila media menghangatkan suasana dengan 
perdebatan mengenai Hak Istimewa Orang Melayu, dan ia juga menjadi perisai 
Dr Mahathir apabila beliau berhadapan dengan tuduhan mengamalkan ‘cronyism’ 
dan ‘nepotism’ olih kepimpinan UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 1997.

PERSYARIKATAN MALAYSIA SEBAGAI DASAR INDUK

Cita-cita Dr Mahathir disebalik pendekatan ekonominya ialah untuk menjadikan 
Malaysia sebagai sebuah NIC dan beliau berpendapat bahawa pencapaian 
cita-cita ini bergantung sepenuhnya kepada kerjasama rapat diantara Kerajaan 
dengan sektor korporat. Kerjasama ini tersimpul dalam konsep atau dasar 
"Persyarikatan Malaysia". Konsep ini memperlihatkan keinginan Dr Mahathir 
untuk menjadikan negara-negara Jepun dan Korea sebagai inspirasi dan asas 
perubahan ekonomi negara kepada sebuah NIC. Sebagai punca inspirasi 
cita-cita beliau, ramai juga bakal usahawan Melayu yang telah dihantar untuk 
menerima latihan di kedua buah negara itu, disamping syarikat-syarikat Jepun 
dan Korea menjadi pilihan pertama sebagai rakan usahasama dalam perniagaan 
dan perindusterian untuk mengalakkan pemindahan teknologi serta budaya 
perniagaan mereka. Olih itu dasar " Pandang ke Timur" bolih dilihat sebagai 
dasar iringan dasar Persyarikatan Malaysia.

Saya melihat dasar Persyarikatan Malaysia sebagai Dasar Induk dalam 
pendekatan ekonomi Dr Mahathir olih kerana andaiannya bahawa transformasi 
Malaysia kepada sebuah NIC dan kemudiannya kepada sebuah negara maju 
perlukan kepada kerjasama yang rapat diantara pemerintah dengan sektor 
swasta. Beliau melihat sektor swasta sebagai punca utama kepada innovasi, 
daya kreatif dan mampu menjana kepada kemajuan ekonomi negara. Pada teorinya 
juga, sektor swasta mempunyai paradigma yang berteraskan kepada kecekapan. 
Kecekapan ini sentiasa bolih diukur dari keuntungan perniagaan dan proses 
membuat keputusan didalam sesebuah syarikat tidak terganggu oleh birokrasi. 
Semangat keusahawanan inilah yang beliau anggap sebagai asas kemajuan 
ekonomi sesebuah masyarakat dan negara.

Sebagai rasionale untuk memberikan kredibiliti kepada Persyarikatan 
Malaysia, beliau menyatakan bahawa Kerajaan sebenarnya adalah rakan kongsi 
setiap perniagaan kerana Kerajaan akan pasti mendapat sebahagian dari 
keuntungan perniagaan itu melalui cukai keuntungan syarikat. Pulangan kepada 
Kerajaan diperolehi tanpa melibatkan kewangan Kerajaan dan sekiranya asset 
dan harta Kerajaan turut dijual kepada sektor swasta untuk memajukannya, 
Kerajaan akan memperolehi juga pendapatan.

Peranan utama yang beliau berikan kepada sektor swasta mungkin juga 
dipengaruhi olih suasana ketika beliau mengambil alih kepimpinan negara. 
Ketika itu , pelaksanaan matlamat penyusunan semula masyarakat Malaysia 
untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera dan pembentukan sebuah 
Masyarakat Perdagangan dan Perindusterian Melayu (Malay Commercial and 
Industrial Community) diletakkan dibawah tanggungjawab agensi amanah, 
perbadanan dan syarikat Kerajaan. Prestasi badan-badan ini kurang memuaskan 
dari segi keuntungan dan disamping itu, turut dikritik kerana mereka 
bersaing secara tidak adil dengan usahawan-usahawan Melayu yang baru sahaja 
merangkak dalam dunia perniagaan.

Penterjemahan dasar induk ini bermula dengan pengujudan “sogoshosa” dan 
disusuli dengan pendekatan Penswastaan, yang mempunyai dua aspek;

pertama nya, penjualan asset dan harta Kerajaan kepada pihak swasta ,

dan kedua, pembukaan bidang ekonomiyang biasa dikuasai olih pihak kerajaan 
untuk di sertai olih swasta.

Strategi Penswastaan inilah yang menjadi strategi pilihan beliau bagi 
menghasilkan suatu Masyarakat Perdagangan dan Perindusterian Melayu secucuk 
dengan matlamat DEB.

Cita- cita Dr Mahathir untuk membawa negara kearah status NIC turut juga 
mempengaruhi beliau untuk memperkukuhkan sektor industri berat negara dengan 
penubuhan HICOM yang ditugaskan untuk mempelupori bidang ini. Beberapa 
industri berat telah dimulakan, saperti PERWAJA dan PROTON . Ketika itu, 
sektor industri berat negara tertumpu kepada industri perkapalan sahaja dan 
Kerajaan turut memainkan peranan sebagai pemodal utama dalam bidang ini 
melalui syarikat MSE, sebuah perusahaan yang terlibat dalam pembinaan kapal 
dan kerja-kerja kejuruteraan.

Agenda ekonomi Dr Mahathir turut terpengaruh olih konsep dunia tanpa 
sempadan dimana masa depan ekonomi dunia akan berubah kepada kemewahan dan 
kemajuan ekonomi yang ditentukan olih ilmu pengetahuan sebagai sumber utama 
ekonomi dalam zaman IT dan digital. Ini menggerakkan beliau untuk 
mencadangkan projek Multimedia Super Corridor (MSC) sebagai penglibatan 
negara dalam kegiatan ekonomi era terbaru. Secara konsistent, projek terbaru 
beliau melibatkan sepenuhnya penyertaan sektor swasta tetapi kali ini, 
sektor swasta antarabangsa dan Kerajaan pula memberi segala kemudahan dan 
bantuan untuk mengujudkan suasana yang sesuai untuk membolihkan negara 
menyertai era K-economy.

PARADOX DR MAHATHIR

Pada tahun 1986, 21% dari GDP negara disumbangkan olih sektor pengilangan 
dan peratusan ini telah meningkat kepada 33.8 % pada suku kedua tahun 2000. 
Pendapatan per capita negara yang berjumlah USD 1,597.50 pada 1986 telah 
meningkat kepada USD 3,530 pada penghujung Julai 2000. Kadar pengganguran 
pula telah turun daripada 8.3 % kepada 2.8% dalam tempuh yang sama. 
Kesimpulannya ialah dalam era kepimpinan Dr Mahathir, segala petunjuk 
ekonomi telah menunjukkan kepada kemajuan dan kemakmuran ekonomi rakyat dan 
negara. Transformasi negara dari sebuah pengeluar bahan mentah dan yang 
bercorak pertanian kepada sebuah negara perindusterian telah berjaya 
dilaksanakan.

Dari segi pencapaian Melayu pula, sukar untuk dinafikan kejayan yang telah 
diperolehi sepanjang era kepimpinan Dr Mahathir. Saya terbaca sebuah rencana 
yang diterbitkan semasa perdebatan mengenai kenyataan David Chua dan 
Tuntutan 17 Suqui. Dalam rencana berkenaan, penulisnya ‘Akbar Ali’ telah 
mempaparkan kejayaan Kerajaan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah semua 
kaum, dan pendapatan isi rumah bumiputera telah melompat sebanyak 117% dalam 
tempuh 1990 hingga 1997 walaupun pendapatan bukan bumiputera telah melonjak 
sebanyak 130%. Penulis rencana turut menyatakan bahawa jurang pendapatan 
antara bumiputera dengan orang Tionghua telah semakin rapat, kalau pada 
tahun 1970 pendapatan orang Tionghua adalah 2.1 kali lebih tinggi daripada 
pendapatan bumiputera, pada 1995 ia telah menurun kepada 1.9 kali ganda.

Kesimpulan rencana tersebut ialah untuk menegaskan bahawa kaum bukan 
bumiputera tidak ketinggalan dalam semua aspek hidup mereka, dan oleh kerana 
Melayu dan bumiputera masih belum mencapai sasaran yang diharapkan dibawah 
DEB, Melayu masih perlu kepada muafakat untuk meneruskan usaha kearah 
pencapaian hasrat DEB, yang mana, mengikut penulis rencana, tidak ada sebab 
kukuh untuk menghentikannya bagi mencapai keadilan sosial dan perpaduan 
nasional.

Pengiktirafan rakyat terhadap kejayaan kepimpinan Dr Mahathir telah 
diberikan kepada beliau dalam Pilihanraya Umum 1995 ketika mana Barisan 
Nasional, sebagai parti pemerintah telah memperolehi peratusan undi yang 
tertinggi sekali semenjak beliau menggambil alih kepimpinan negara. 
Bagaimanapun, empat tahun kemudian, dalam Pilihanraya Umum 1999, sebahagian 
besar rakyat, khususnya pengundi Melayu, telah menarik balik pengiktirafan 
mereka sungguhpun ekonomi negara masih berada ditahap yang memuaskan sesudah 
negara berjaya melalui segala cabaran kegawatan ekonomi pada akhir tahun 
1997.

Disinilah terletaknya paradox era kepimpinan Dr Mahathir. Dasar ekonomi 
beliau telah berjaya membawa negara dari sebuah pengeluar bahan mentah dan 
status sebagai sebuah negara pertanian kepada sebuah negara moden dan 
perindusterian. Akan tetapi, ianya seolah sejarah berulang kembali. Dalam 
pilihanraya umum 1969, Perikatan telah berhadapan dengan keadaan yang hampir 
sama apabila pengundi, khususnya pengundi Melayu juga, telah menolak 
kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Dr Mahathir turut juga menjadi diantara 
mangsa yang kalah dalam pilihanraya umum itu. Perbezaannya, diantara tahun 
1969 dan 1999, ialah pengundi bukan Melayu tidak menolak parti pemerintah 
pada tahun 1999 sapertimana mereka telah lakukan 30 tahun dahulu. Suatu yang 
tidak berubah ialah kecenderungan pengundi Melayu untuk membuat keputusan 
mereka berasaskan kepada isu politik semasa dan bukannya berpandu kepada 
kesenangan dan kemewahan ekonomi. Ianya seumpama Melayu mudah memprotes 
terhadap apa yang tidak ada dan tidak berpuashati dengan apa yang sudah 
diperolehi.

Paradox politik Dr. Mahathir pula, ialah beliau bermula dalam politik negara 
dengan imejnya sebagai seorang ‘ultra Melayu’ dan tidak disenangi olih kaum 
bukan Melayu tetapi dihormati akan ketegasannya dalam isu-isu Melayu olih 
masyarakat Melayu. Kini, beliau sungguh di hormati olih kaum bukan Melayu 
tetapi berhadapan pula dengan sikap negatif sebahagian masyarakat Melayu 
terhadap kepimpinannya.

Tun Abdul Razak, dengan bantuan beberapa cerdik pandai Melayu, telah 
menggubal Dasar Ekonomi Baru sebagai suatu wawasan kearah pembentukan 
masyarakat Malaysia yang bersatu padu melalui penyusunan semula masyarakat 
dan penghapusan kemiskinan. Asas kepada DEB ialah pertumbuhan ekonomi yang 
pesat dengan Kerajaan memainkan peranan utama sebagai pemodal dan penggerak 
kepada pertumbuhan ini. DEB menjadi petanda kepada permulaan pendekatan 
pemerintah untuk mengubah masyarakat Melayu dari suatu yang bersikap sebagai 
‘political animal’ kepada ‘economic animal’.

DILEMMA MELAYU YANG SEBENAR

Sungguhpun Tun Abdul Razak yang memulakan usaha untuk mengubah orang Melayu 
dari ‘insan politik’ kepada menjadi ‘insan ekonomik’, Allahyarham tidak pula 
mengabaikan soal politik atau perpaduan Melayu. Allahyarham berjaya 
meredakan keghairahan berpolitik dikalangan orang Melayu dengan membawa PAS 
masuk bersama kedalam Barisan Nasional. Fahaman communal dalam politik telah 
juga dapat diredakan dengan penubuhan kerajaan campuran dengan parti Gerakan 
di Pulau Pinang.

Allahyarham Tun Abdul Razak telah berjaya mengubah scenario politik negara 
kerana, sungguhpun Allahyarham adalah Timbalan Perdana Menteri kepada Tunku 
Abdul Rahman, Allahyarham bersedia mengubah barisan kepimpinan negara dengan 
mempertengahkan tokoh-tokoh Melayu yang tidak mempunyai ikatan dengan 
kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Barisan kepimpinan Allahyarham memperlihatkan 
imej yang terpelajar, bersih dan cekap, yang ketika itu termasuklah Dr 
Mahathir yang diberikan jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

Sesudah 30 tahun selepas Mei 13, 1969 dan DEB dilaksanakan dengan kejayaan 
yang tidak bolih dinafikan, orang Melayu masih belum berubah dari bersikap 
dan bertindak sebagai ‘insan politik’. Kalau diperhatikan cara pengundian 
orang Melayu semenjak 1969, sokongan mereka kepada parti pemerintah masih 
lagi berasaskan kepada keselesaan mereka dengan isu politik semasa. 
Umpamanya, walaupun negara berhadapan dengan kemelesetan ekonomi semasa 
Pilihanraya Umum 1986, sokongan pengundi Melayu masih tetap kepada Barisan 
Nasional sedangkan pengundi bukan Melayu telah lari kepada parti 
pembangkang. Dan sungguhpun ekonomi negara begitu sihat semasa Pilihanraya 
Umum 1995, Barisan Nasional masih tidak mampu merampas balik negeri 
Kelantan.

Sebaliknya, sokongan pengundi bukan Melayu terhadap parti pemerintah akan 
dipengaruhi olih suasana ekonomi semasa sapertimana dapat dilihat pada 
Pilihanraya Umum 1990, 1995 dan 1999. Semenjak 1969, perhitungan kaum 
Tionghua, khususnya, telah berpandu kepada iklim ekonomi negara, lebih-lebih 
lagi selepas lawatan Tun Abdul Razak ke Beijing pada 1974 telah menghapuskan 
sentimen politik yang terakhir bagi kaum ini apabila Kerajaan Tiongkok telah 
menghapuskan tuntutan politiknya terhadap masyarakat Tionghua di seberang 
laut diluar tanah besar Cina.

Dilemma Melayu sebenarnya ialah sikap orang Melayu yang belum lagi berubah 
sebagai seorang ‘insan politik’ kepada seorang ‘insan ekonomik’, 
walaubagaimana mewah dan terpelajar mereka itu. Sungguhpun bolih dibuktikan 
bahawa negara telah berjaya berubah dari sebuah pengeluar bahan mentah 
kepada pengeluar barangan buatan dan pendapatan masyarakat Melayu telah 
turut meningkat semasa era kepimpinan Dr Mahathir, tetapi yang masih lagi 
mempertikaikan kepimpinannya itu ialah masyarakat Melayu itu sendiri.

YANG TERBAIK DIKALANGAN KITA

Pada pendapat saya, sungguhpun DEB menandakan permulaan untuk cuba 
mengubahkan Orang Melayu dari ‘insan politik’ kepada ‘insan ekonomik’, 
terdapat beberapa prasyarat yang perlu dipatuhi olih kepimpinan politik yang 
bertanggungjawab untuk melaksanakan proses perubahan ini. Bagi orang Melayu, 
sekiranya aspek politik itu betul, maka yang lain akan turut betul, atau 
dalam bahasa Inggeris, “get the politics right first, the rest will follow 
!” Penggubal DEB, Allahyarham Tun Abdul Razak, memahami prinsip ini. Olih 
itu, DEB telah dilaksanakan berlatarkan kepada dua aspek yang tidak terdapat 
dalam era kepimpinan Dr Mahathir.

Yang pertama, Tun Abdul Razak telah berjaya membawa PAS bersama dalam 
Kerajaan Campuran BN, iaitu bagi menyelesaikan soal perpaduan politik orang 
Melayu. Yang keduanya, UMNO sebagai pemegang amanah perjuangan kebangsaan 
orang Melayu telah digerakkan untuk mengamalkan ‘meritocracy’ sesama 
sendiri. Harapan Tun Abdul Razak adalah bahawa dengan amalan ‘yang terbaik 
dikalangan kita’ berada didalam politik UMNO, ianya akan terus memimpin 
masyarakat Melayu kerana kepimpinannya tidak mudah dipertikaikan dari segi 
‘quality’ dan kemampuan. Yang menarik juga ialah sekiranya politik 
Melayu-UMNO menegaskan kepada ‘meritocracy’ dan persaingan sesama sendiri, 
kaum bukan Melayu juga akan mengakui kelayakan Melayu untuk memerintah.

Era kepimpinan Dr Mahathir, khususnya selepas 1987, telah kehilangan kedua 
dua aspek politik ini. Perpaduan politik Melayu ,di bawah anjuran UMNO, 
telah tergugat, mula-mula dengan kemunculan Semangat 46 yang membantu PAS 
menawan Kelantan pada 1990. Pada 1999 pula, bantahan terhadap pemecatan 
Anwar Ibrahim telah melahirkan parti Keadilan yang membantu PAS menawan pula 
negeri Terengganu. Serentak dengan perubahan scenario politik Melayu itu, Dr 
Mahathir semakin berkeras untuk mengubah budaya politik dalaman UMNO dengan 
penubuhan UMNO Baru. Meritocracy dalam UMNO diketepikan. Proses persaingan 
yang boleh melahirkan mereka yang terbaik telah terbantut, beserta dengan 
proses mencari bakat baru. Kedudukan dan jawatan bergantung kepada 
ketaatsetiaan kepada beliau sendiri dan apabila negara memasukki dekad “The 
Greedy 90s” - ketika mana hubungan dengan kepimpinan politik bolih 
menjanjikan kekayaan yang tidak pernah termimpi dengan “pink form” menjadi 
‘isme’ semasa , “up front” menjadi sebahagian bahasa Melayu, dan “proxy” 
bukan lagi terhad kepada taktik politik - amalan rasuah mula mula didakwa 
berlaku di kalangan pemimpin tertinggi Kerajaan.

Yang ‘ironic’ ialah kesemua ini mungkin dimaafkan oleh pengundi Melayu pada 
1999 sekiranya tidak berlaku pemecatan Anwar Ibrahim. Mungkin, kalau tidak 
ada krisis itu, pemain-pemain utama politik UMNO akan makan sama-sama dan 
makan diam-diam.

Kesimpulannya, prasyarat agar “politik Melayu-UMNO itu mesti betul dahulu” 
yang tidak ditepati membawa orang Melayu balik semula kepada sikap mereka 
sebagai ‘insan politik’. Kesudahannya, sebagai ‘insan politik’, mereka tetap 
mempertikaikan kepimpinan Dr Mahathir sungguhpun, dari segi ekonomi, era 
kepimpinan beliau telah memperlihatkan pencapaian yang bolih di banggakan.

HEY, PRESTO !

Amalan ‘meritocracy’ yang diperkenalkan olih Tun Abdul Razak dalam politik 
Melayu-UMNO juga diharap akan diresap masuk kedalam budaya niaga masyarakat 
Melayu yang berkecimpung didalam bidang ekonomi. Tanpa budaya sanggup saing 
dan usaha, survival Melayu dalam bidang ekonomi lagi tidak terjamin. 
Bagaimanapun, fahaman Allahyarham Tun Abdul Razak ialah golongan politik 
Melayu-UMNO lah yang harus yang pertama mengamalkan ‘meritocracy’ untuk 
menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat ekonomi Melayu pula. Fahaman 
bahawa bagi budaya politik Melayu akan dicerminkan di peringkat lain 
masyarakat Melayu adalah tepat sekali olih kerana kalau dilihat kritikan 
terhadap hasil pencapaian dasar ekonomi era kepimpinan Dr Mahathir, 
sebenarnya adalah juga kritikan terhadap hasil pencapaian politik beliau.

Era kepimpian Dr Mahathir ada melahirkan ‘insan ekonomik’ dikalangan orang 
Melayu, akan tetapi insan-insan ekonomik ini terlalu kelihatan sebagai 
mereka yang bernaung kuat kepada kekuasaan politik dan bukan mereka yang 
menunjukkan semangat daya saing yang sebenarnya, sapertimana diharapkan 
sudah terhasil daripada lebih 20 tahun DEB. Dasar induknya, Persyarikatan 
Malaysia, telah membawa kepada kemunculan suatu oligarki ekonomi yang 
diketuai olih diri beliau sendiri sebagai Ketua Eksekutifnya. Ada yang 
menyifatkan kumpulan kecil ini sebagai Billionaires Club dan ada yang 
menggunakan terma ‘cronies’. Kalau suatu ketika dahulu, ini diibaratkan 
sebagai kumpulan towkay yang rapat dengan pemimpin utama negara pada tahun 
1969, sekarang anggota oligarki ini turut termasuk usahawan-usahawan Melayu 
juga pada kali ini. Mungkin keangkuhan anggota kumpulan ini terlalu ketara. 
Umpamanya apabila seorang timbalan menteri menegur perkhidmatan syarikat MAS 
secara terbuka, towkay MAS telah mengancam untuk menggambil tindakan 
mahkamah terhadap timbalan menteri berkenaan. Sebenarnya, timbalan menteri 
berkenaan tidak menyedari bahawa keadaan sudah berubah dari masa ketika 
orang politik mempunyai lebih pengaruh dari ahli korporat.

Kehadiran kumpulan oligarki ekonomi yang bernaung secara terus dibawah 
pemimpin utama politik adalah kesudahan dari dasar induk Persyarikatan 
Malaysia. Yang positif dari kemunculan kumpulan ini ialah Perdana Menteri 
berkemampuan mengarahkan sumber kumpulan ini kearah pencapaian idea 
ekonominya, tetapi olih kerana kumpulan ini hanya berketuakan kepada Perdana 
Menteri sahaja, semangat Persyarikatan Malaysia itu tidaklah suatu yang 
telah benar-benar meresap kesemua peringkat hubungan diantara swasta dan 
kerajaan. Contoh yang telah saya berikan sebentar tadi memperlihatkan 
bagaimana anggota kumpulan ini tidak menganggapkan anggota pentadbiran 
Kerajaan sebagai berhak untuk menegur mereka, dan biasanya anggota kerajaan 
sendiri tidak mampu untuk mendapat kerjasama mereka kecuali setelah 
dipersetujui olih Perdana Menteri sendiri.

Strategi penswastaan pula dikatakan sebagai strategi yang menambahkan 
bilangan usahawan Melayu selaras dengan DEB. Kita menyaksikan bagaimana 
pegangan ekuiti PNB dalam syarikat-syarikat tertentu, yang sepatutnya 
dipegang sebagai amanah untuk seluruh masyarakat Melayu, telah dijual kepada 
usahawan Melayu untuk melonjakkan mereka ke tahap ekonomi yang lebih tinggi. 
Penjualan ekuiti dalam beberapa buah syarikat awam kepada individu Melayu 
termasuklah, yang terbaru sekali, pegangan PNB dalam syarikat MMC yang 
akhirnya membawa MMC untuk membeli ekuiti dalam Pelabuhan Tanjung Pelepas 
sedangkan fahaman umum, PTP itu sudah punmilik bumiputera. Apakah perlunya 
dilakukan pemindahan pegangan ekuiti dalam MMC dari PNB kepada individu 
Melayu yang sudah pun memilikki PTP untuk membeli ekuiti dalam PTP ? Inilah 
keajaiban dunia korporat yang dikuasai olih oligarki ekonomi selaras dengan 
dasar Persyarikatan Malaysia.

Pelaksanaan strategi penswastaan yang biasa dilakukan ialah dari segi 
penjualan asset Kerajaan dalam bentuk hartanah. Pemerhatian saya ialah 
bagaimana sesudah projek penswastaan itu diluluskan, projek itu terus dijual 
kepada syarikat awam untuk mendapat keuntungan segera dan lumayan. Maka, 
HEY, PRESTO !, muncullah seorang lagi usahawan Melayu diatas belas ehsan 
pemimpin politik. Tahun-tahun 90an adalah tempuh yang sungguh menghairahkan 
dari segi kemunculan insan korporat Melayu berkat Bursa Saham yang 
meletup-letup. Bilangan IPO yang bertambah dari 13 penyeneraian baru dalam 
tahun 1989 kepada 92 dalam 1996 dan 88 dalam 1997 melahirkan beratus jutawan 
Melayu baru kerana keperluan penyertaan bumiputera didalam kesemuanya. Dekad 
ini juga melahirkan terma ‘Melayu Baru’ lengkap dengan segala simbol 
kemewahannya.

Dalam dekad ini juga sektor swasta bertukar menjadi sektor korporat dan 
kekuatan ekonomi Melayu mula kelihatan dalam gerakan demi gerakan korporat. 
Ianya dekad penuh keajaiban dan yang peliknya hari ini kedengaran pula 
rintihan yang Melayu agak ketinggalan dalam penyewaan dan kehadiran dalam 
sektor runcit. Ini isu 70an dan agak ganjal sesudah ekonomi Melayu melalui 
transformasi yang begitu hebat dalam dekad 90an, penyakit lama yang patut 
sudah sembuh meminta kepada rawatan sekali lagi. Dalam zaman ‘hypermarket’ 
dan ‘supermarket’, mampukah peniaga runcit Melayu mencari ruang untuk hidup 
? Dan sektor swasta Melayu, tanpa korporat Melayu, mungkinkah kali ini 
mereka diberikan perhatian sewajarnya ?

Kita seolah-olah perlu bermula kesemuanya sekali lagi. Pasti ianya pada 
tahap yang lebih tinggi daripada tahun 1969, tetapi ianya pasti memerlukan 
kepada kesedaran bahawa fahaman elitisma Melayu bermakna semangat untuk 
menjadikan Melayu sebagai bangsa terunggul dalam negaranya sendiri dan 
bukannya suatu kumpulan kecil yang ingin menguasai segala-segalanya.

APA SEKARANG ?

Masyarakat Melayu dan negara kehilangan peluang untuk menikmati hasil 
sebenar DEB saperti yang diilhamkan olih Allahyarham Tun Abdul Razak. Yang 
paling rugi adalah UMNO itu sendiri dari segi hasratnya untuk menjadi teras 
politik Melayu dan mungkin juga bangsa Melayu itu sendiri ,kalau tersilap 
langkah, terlepas pula kemampuan nya untuk mengekalkan kedudukannya sebagai 
teras politik negara. Falsafah politik Tun Abdul Razak masih lagi bolih di 
gunapakai, lebih-lebih lagi kalau kita berpendapat DEB itu masih patut di 
teruskan. Dari hakikatnya, mereka yang terlibat memeraskan otak menggubalkan 
DEB selepas 13hb Mei 1969 adalah cerdik pandai Melayu yang kesemuanya 
berumur dibawah 40 tahun. Hanya Ungku Abdul Aziz yang ketika itu yang lebih 
tua.

Kepada saya, yang relevan adalah masa depan bangsa dan negara. Kita tidak 
boleh terpukau kerana memikirkan perasaan hati individu, walaubagaimana 
tinggi sekalipun kedudukannya. Sumbangannya akan tetap di hargai olih 
sejarah bangsa tetapi buat masa ini, perkiraan masa depan menjadikan setiap 
individu tidak lagi relevan. Inilah perubahan paradigma yang sebenarnya 
diperlukan, supaya bangsa dan negara boleh bergerak ke hadapan. Masa depan 
negara adalah milik generasi muda yang berusia dibawah 40 tahun, dan mereka 
sepatutnya lah gulungan yang ke depan untuk memikirkan rupa bentuk negara 
pada masa akan datang. Kalaulah pada 1969, gulungan yang berusia sedemikian 
yang membantu Allahyarham Tun Abdul Razak menggubalkan DEB, tentunya setelah 
lebih 30 tahun semenjak itu, lebih ramai generasi muda Melayu yang 
berkelayakkan dan berkemampuan untuk melakukan usaha yang sama.

Saya yakin bahawa kalau DEB 2 digubalkan oleh generasi muda sebagai satu 
pelan tindakan bagi membentuk masa depan mereka yang berteraskan kepada 
keadilan sosial dan perpaduan nasional, kita akan membawa tumpuan negara 
kearah yang lebih berfaedah daripada asyik mengkritik dan mengutuk 
kepimpinan ataupun mempertahankannya.

Yang relevan adalah masa depan bangsa dan negara, dan ianya milik generasi 
muda.
..........................

Wassalam.


_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.

Share information about yourself, create your own public profile at 
http://profiles.msn.com.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "salam sejahtera" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke