*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Assalamu'alaikum, Berikut wawancara Shahrir Samad. Menarik juga mengetahui buah pemikiran Shahrir Samad selaku orang dalam UMNO. Bagi saya, orang yang semacam Shahrir Samad inilah orang yang boleh membaiki UMNO dan membina semula UMNO. Namun, janganlah dirisaukan. Tak ramai orang spt ini dalam pimpinan tertinggi UMNO. Yang ramai ialah pemimpin yang tidak suka mencari punca masalah dan menyelesaikannya. Yang ramai ialah mereka yang suka mencari 'kambing hitam' di atas masalah UMNO. Yang ramai mereka yang hobinya mengutuk PAS dan BA. Jadi, insyaAlah, UMNO tak akan bangkit semula. Malah, sedang menggali kuburannya sendiri sambil pemimpin mereka merebut kuasa dan hartabenda. Jadi, lagi ramai orang macam Shahrir ini, labi merbahaya kepada kedua2 Mahathir dan juga BA. Wassalam: ................................ Jangan Hanya Berpaut Pada Nostalgia - Shahrir http://www.shahrir-umno.com/Source/article.asp?Article=JHBPN Issue cover-dated July 29, 2000 (MASSA - Majalah Berita Mingguan) DATUK SHAHRIR SAMAD dilihat sebagai tokoh yang sering menimbulkan kontroversi.Beberapa kenyataanya dilihat sebagai 'songsang' atau 'menentang arus 'malah dianggap bersifat pembangkang .Bagi SHAHRIR, beliau akan mengkritik jika perlu tanpa mengira siapa sasaran kritikannya. Beliau yang berjaya memenangi kerusi ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Mei lalu pernah digantung keahliannya kerana didakwa tidak membantu Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum di kawasan yang diketuainya, Parlimen Johor Bahru. Selepas pemilihan 1987, beliau digugurkan dari kabinet. Beliau juga pernah bertanding sebagai calon bebas apabila tidak menyertai UMNO baru. Walaupun pernah menghadapi pelbagai rintangan dalam parti termasuk 'gagal' untuk menempatkan semula dirinya sebagai wakil rakyat dalam dua pilihan raya umum lalu, politik SHAHRIR masih hidup. Beliau tidak mudah merajuk meninggalkan UMNO. Dalam satu wawancara bersama MASSA, SHAHRIR berkata, keadaan mungkin berubah jika beliau bukannya orang Johor. SHAHRIR juga menjelaskann tentang peranan UMNO masa kini dan hubungannya dengan pemimpin Johor . Disebabkan banyak perkara yang dibincangkan terlalu menyentuh pemimpin dan UMNO, pada akhir wawancara itu, SHAHRIR berkata kepada Pengarang MASSA, Hassan Mohd. Noor dan wartawan Siti Mariam Md. Zain: " Cukuplah (wawancara itu) untuk menyusahkan SHAHRIR dan Dr. Mahathir." Ikuti wawancara bersama SHAHRIR yang diadakan di pejabatnya baru-baru ini. Datuk pernah berada di luar UMNO, bertanding atas tiket bebas dan digantung keahlian. Berdasarkan pengalaman ini, apakah perbezaan jelas dalam UMNO, dahulu dan sekarang? Saya rasa perubahannya bermula pada 1987 apbila pemilihan berakhir. Mereka yang kalah dibuang dan dipecat. Ketika itu pun, saya pernah berhujah, bahawa walaupun ada pertandingan hebat (1987) tetapi UNMO tidak berpecah. Buktinya selepas pemilihan, satu pilihan raya kecil diadakan di Bukit Tuku, Kelantan. Pas melawan UMNO dan UMNO menang. Maknanya ketika itu walaupun ada pertandingan dalaman dan dikira paling sengit, tetapi apabila berhadapan dengan rakyat dan pengundi, UMNO masih mendapat kepercayaan. Apabila UMNO dibawa ke mahkamah dan diisytiharkan tidak sah, saya melihat pimpinan parti mngambil kesempatan mengubah keseluruhan UMNO dengan meminggirkan atau tidak melantik ketua bahagian UMNO sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja UMNO baru. Di sini berlakunya pencantasan pemimpin di peringkat bawahan. Sungguhpun saya dan beberapa rakan menang dalam MT, tetapi kami dikecualikan daripada menjadi penaja. Ketika itu juga saya berhadapan dengan pilihan raya kecil di Tanjung Puteri. Saya merupakan pengarah pilihan raya untuk calon UMNO baru yang pertama . Saya buat kerja sungguhpun keadaan begitu susah kerana orang Johor Bahru mempunyai sentimen yang begitu tinggi terhadap UMNO dan memprotes wujudnya UMNO baru, tetapi kita menang. Selepas itu apabila saya mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas (ketika itu Ahli Parlimen Johor Bahru mewakili UMNO), saya dicabar. Saya letak jawatan dan bertanding sebagai calon bebas. Apabila saya menang, bermulalah perubahan untuk membenarkan orang masuk UMNO baru. Ketika itu , UMNO seolah-olah parti yang hanya terhad kepada mereka yang menyokong presiden. Penentangan demi penentangan terhadap UMNO baru ini berlaku sehingga ditubuhkan Semangat 46. Dari situ , Dr. Mahathir Mohamad memimpin UMNO dengan cara dan ideanya tersendiri. Perubahan dalam UMNO berlaku dalam masa 10 tahun semenjak 1988 dan memuncak apabila pada pilihan raya 1999, kelihatan jelas penentangan terhadap UMNO sehingga hasilnya, ramai calon UMNO kalah. Adakah kekalahan pada 1999 ada kaitan dengan perkembangan dalam UMNO 10 tahun lalu? Kekalahan di Kelantan, Terengganu serta calon-calon peringkat Parliman dan negeri termasuk di Kedah, kemerosotan undi UMNO adalah hasil perubahan yang berlaku dalam tempoh 1988 sehinggalah 1999. Kalau dahulu UMNO ini merupakan Parlimen orang-orang Melayu dan pernah dianggap bahawa kalau hendak bersuara dengan bebas, kita boleh bersuara dengan bebas, hanya dalam UMNO. Dalam setiap Perhimpunan Agung UMNO sebelum tahun 1987, memang perwakilan UMNO bersuara secara bebas, secara terang menegur kerajaan untuk menentukan agar kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya yang memimpin parti, tidak menyimpang daripada perjuangan parti. Tetapi antara 1988 hingga 1999, keadaan sudah berubah apabila ucapan para perwakilan sudah diskripkan, dilulus dan ditapis oleh pimpinan negeri unuk menentukan jangan pula nanti terguris hati pemimpin apabila perwakilan memberi pandangan atau ucapan. Ini memang berlaku dalam UMNO baru, UNMO dalam tahun 90-an. Jadi oleh sebab itu, nampak bahawa tidak ada pandangan, tidak ada pendapat, tidak ada teguran kepada pucuk pimpinan untuk menentukan perjalanannya sesuai dengan kehendak dan agenda orang Melayu. Itu satu perbezaan yang sangat besar dan dengan sendirinya UMNO yang dulu dikatakan pejuang demokrasi dan mempunyai sifat demokrasi yang benar-benar wujud di dalamnya , dianggap sebagai tidak lagi demokratik oleh pemerhati dan orang Melayu yang berada di luar. Sebab itu dalam pilihan raya lalu umpamanya, UMNO dituduh tidak demokratik, tidak memperjuangkan keadilan, tidak adil, tidak menentang rasuah, malah terlibat dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Hakikat sebenarnya UMNOlah yang memperkenalkan demokrasi dalam negara, mempertahankan demokrasi, mempertahankan keadilan, menentang kezaliman dan penyalahgunaan kuasa tetapi akhirnya ia beralih menjadi sebaliknya. Jadi keadaan ini berlaku kerana UMNO bertukar coraknya daripada sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, kepada yang mengutamakan perasaan hati pemimpin, lebih daripada pandangandan dan teguran para ahli serta masyarakat Melayu secara keseluruhan. Ini saya rasa perbezaan besar di antara UMNO dahulu dan sekarang. Dalam hal ini apakah langkah yang perlu diambil? Sudah tentu UMNO kena memperlihatkan ia mempunyai agenda Melayu dan sanggup menerima berbagai-bagai pandangan, teguran dan pendapat bukan hanya mewakili satu pandangan atau kumpulan semata-mata. Apa yang perlu dilakukan oleh UMNO sekarang, sudah pun berlaku. Dalam Perhimpunan Agung baru-baru ini, jelas berbeza dari perhimpunan-perhimpunan sebelumnya, dalam masa 10 tahun atau sedekad dulu.Bila saya bandingkan ucapan Dr. Mahathir Mohamad, semasa ucapan dasar dengan ucapan penggulungan, kedua-duanya berbeza dari segi nada, hala tuju dan arahnya. Matlamatnya berbeza. Umpamanya Presiden mengatakan, tentang UMNO perlu mesti bersikap sebagai parti pembangkang, pemimpin harus turun ke bawah, turun ke padang. UMNO mesti lebih terbuka dan sebagainya. Ianya berbeza dengan ucapan awalan dan ini menunjukkan presiden mendengar pandangan dan ucapan daripada perwakilan-perwakilan. Mungkin ini langkah permulaan ke arah perubahan dalam UMNO di mana pemimpin harus mendengar dan rapat dalam parti dan kepimpinan di peringkat akar umbi juga mendengar semua pendapat bukan sahaja daripada kalangan orang UMNO tetapi juga daripada kalangan masyarakat Melayu di luar UMNO. Walaupun wujud unsur pinggir-meminggir tetapi Datuk menang pada pemilihan MT. Adakah ini juga perubahan dalam UMNO? Semasa penubuhan semula selepas keputusan mahkamah mengatakan UMNO tidak sah, UMNO baru rakus untuk memisah atau meminggirkan pemimpin yang dianggap tidak sehaluan. Jadi kemunculan saya semula umpamanya dalam MT menggambarkan bahawa apa yang dilakukan sedekad akhirnya terpaksa kembali kepada perjuangan asal bahawa kita tidak boleh pinggirkan sesama kita kerana yang akhirnya, kesan dan mudarat adalah kepada kedudukan parti itu sendiri. Datuk dilihat sebagai pemimpin yang berpandangan songsang? Tidak. Saya bukan sentiasanya songsang. Tindakan saya bukan membuta tuli. Sebenarnya saya seolah-olah sentiasa menentang arus. Idea saya lain daripada orang lain. Orang lain ikut Anwar Ibrahim, saya sokong Ghabar Baba. Orang sokong Dr. Mahathir, saya sokong orang lain. Ini yang dilihat sentiasa menentang arus. Orang hendak mengampu-ampu, saya tak suka, orang tak buat kerja, saya tak suka, orang rasuah, saya tak suka orang tahu. Jadi sebab itu orang tak suka panggil saya berunding. Saya bukan tak boleh berunding, hendak berunding dengan saya jelas. Kalau betul, kita sokong. Datuk akan terus berperanan seperti ini? Bila menang sebagai ahli MT, saya isytiharkan tidak hendak apa-apa jawatan. Bagi saya di peringkat tertinggi sekali pun, di dalam UMNO mesti ada yang hadir di situ bukan kerana jawatan. Perjuangan dalam politik bukan semata-mata untuk kedudukan dan jawatan, sungguhpun orang boleh membuat berbagai-bagai rasional mengatakan tanpa jawatan, kita tak boleh buat apa-apa dan sebagainya. Kepada saya tanpa jawatan, lebih mudah. Saya menjadi bebas dan memberi pandangan yang bebas. Saya tidak perlu menjaga kedudukan dan kepentingan jawatan. Kalau saya diberikan jawatan, bila-bila pun saya tidak akan meletakkan kepentingan jawatan itu daripada kepentingan yang lebih besar iaitu kepentingan kebenaran dan menyampaikan pendapat secara ikhlas dan sebagainya. Mungkin saya terpaksa meletak jawatan kerana hendak mempertahankan kedudukan saya dalam parti. Jadi lebih baik saya tidak ada jawatan. Dalam mesyuarat MT, Datuk diberi kebebasan untuk bersuara? Saya bebas bersuara dan bebas tidak bersuara. Dah tiga kali mesyuarat, pada mesyuarat yang pertama saya bercakap. Dua kali lagi saya tidak bercakap. Banyak sangat yang bercakap. Saya dengar sahaja. Adalah sebab-sebabnya. Saya rasa ketika itu, ramai sangat yang hendak bercakap, jadi saya diamlah. Biarlah mereka bercakap. Ramai melihat Datuk berbeza dengan kebanyakan pemimpin lain. Saya tidak terikat dengan apa-apa. Saya rasa yang penting ialah untuk menentukan perjuangan UMNO itu balik kepada asal. Ini bermakna, ianya bukan perjuangan Dr. Mahathir, Abdullah Badawi dan juga bukan perjuangan Shahrir tetapi perjuangan orang Melayu, untuk kepentingan Melayu. Apa yang penting sekarang ialah bukan untuk menyakinkan orang UMNO menyokong UMNO tetapi mesti menyakinkan orang Melayu di luar UMNO menyokong UMNO. Orang UMNO pada saya dah tak ada problem. Dia nak sokong, mesti dia sokong UMNO. Tapi saya bercakap kepada orang di luar, macam mana saya harus menarik minat mereka untukmenyokong UMNO. Pendirian saya simple. Sebagai orang politik, saya percaya bahawa saya mesti melakukan sesuatu itu secara ikhlas, berusaha seberapa kuat yang boleh dan lakukannya secara ikhlas dan bertawakal kepada Allah untuk balasan bagi apa yang saya lakukan memenuhi tanggungjawab sebagai seorang insan, manusia yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan akal fikiran dan macam-macam lagi. Datuk menimbulkan kenyataan yang agak kontroversi apabila berkata, orang Melayu tidak boleh dipaksa berterima kasih kepada UMNO. Bila saya bercakap begitu, orang kata saya ikut cakap Pas. Sebenarnya tidak. Fikirkan balik kepada soal yang penting pada 1999. Mengapakah dalam keadaan UMNO dah banyak berjasa itu, orang Melayu sebahagian golongan muda, sanggup meninggalkan sifatnya yang berbudi dan berterima kasih? Mengenang budi, disimpannya di rumah tetapi di peti undi, mengundi pembangkang. Itu persoalannya kepada saya. Takkanlah kita hendak kata, itu salah pengundi. Mungkin kita dan UMNO juga ada salah. Jadi ini yang menjadi penyebab perbahasan dan perdebatan yang saya nampak sedang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO dan masyarakat. Pada pendapat saya, bahawa bukan sahaja pengundi yang silap. Kalau dah betul UMNO dah berjasa, sudah tentu mereka pun tahu UMNO berjasa. Tetapi mengapa pula pemimpin UMNO mengatakan mereka mesti terus berterima kasih... tak boleh lupa dan sebagainya. Kepada saya, apa yang saya nampak ialah bahawa pemimpin-pemimpin UMNO terlupa sebenarnya mereka duduk sebagai pemimpin atas sokongan orang Melayu dan rakyat Malaysia dan apa pun yang mereka lakukan adalah untuk kepentingan mereka. Tapi mungkin kali ini kalau UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO harap untuk bergantung kepada nostalgia semata-mata, itu tidak dapat meyakinkan pengundi-pengundi terutama generasi muda. Saya ada menerima pandangan daripada seorang ahli UMNO, dia kata, kita mesti mengenang nostalgia dan berterima kasih kerana kita hendak bergerak ke depan mencapai satu wawasan. Saya setuju tetapi kita tak boleh bergantung atau berpaut kepada nostalgia, kita mesti juga mempunyai satu wawasan yang boleh meyakinkan orang Melayu untuk terus menyokong kita. Bagi saya, sebenarnya orang Melayu yang muda ini bukan tidak berterima kasih, tetapi dia tak hendak berpaut kepada nostalgia semata-mata. Sebenarnya mereka tak nampak apakah rupa bentuk, hala tuju dan arah masa depan bagi generasi yang ada hari ini. Sebagai contoh, ketika saya membesar dalam zaman 70-an, di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), kaum bapa, saya boleh melihat ke depan dan membayangkan apakah kedudukan dan jaminan untuk anak-anaknya pada masa 20 tahun akan datang kerana adanya DEB, adanya satu wawasan, gambaran yang jelas tentang kedudukan bangsa Melayu, agama Islam, negara Melayu dalam tempoh 1970 sampai 1990. Tetapi hari ini generasi saya, yang sekarang ada anak, mungkin tidak boleh nampak apa bayangan dan jaminan masa depan generasi akan datang. Inilah yang saya kata, kalau setakat untuk berpaut pada nostalgia tetapi tidak kelihatan wawasan yang boleh kita bergerak ke depan, mungkin ini yang menyebabkan generasi muda Melayu mengatakan bahawa UMNO tak boleh disokong dan mereka tidak menyokong. Ini pandangan saya. Tetapi kita ada Wawasan 2020? Mungkin mereka juga menolak wawasan itu yang tidak kelihatan sebagai wawasan Melayu. DEB untuk Melayu dan negara kerana ia meletakkan Melayu sebagai teras negara kerana kalau teras itu baik, maka negara akan selamat. Wawasan 2020 mungkin dilihat tidak sebegitu. Ia dilihat sebagai satu wawasan untuk semua bangsa... bangsa Malaysia umpamanya dan negara maju. Apa maksudnya negara maju dalam tahun 2020 kepada seorang yang berumur 21 atau 22 tahun ataupun untuk anak-anak generasi saya, anak-anak muda Melayu generasi akan datang? Apa maknanya? Adakah bermakna mereka perlu menjadi seperti Tajudin Ramli, semata-mata untuk berjaya? Atau mereka mesti pandai menyediakan kertas kerja penswastaan atau mesti berbaik-baik dengan pemimpin UMNO? Apa gambaran untuk masa depan bangsa Melayu, generasi muda Melayu dalam 20 atau 30 tahun akan datang? Ini persoalannya. 'UMNO mesti ada wawasan baru bagi meyakinkan generasi muda seperti mana UMNO meyakinkan generasi Melayu 70-an dengan DEB' Maknanya Melayu masih dalam kepompong Melayu dan belum bersedia membina bangsa Malaysia? Saya tak tahu tetapi seolah-olah Wawasan 2020 tak menarik. Mungkin dia boleh terima bangsa Malaysia tetapi pokoknya Wawasan 2020 itu tak menarik seperti DEB. Kalau kita perhatikan Dr. Mahathir, dalam ucapan-ucapannya, semenjak 1985, 1986, kurang bercakap tentang DEB dan mula bercakap mengenai DEB apabila beliau diserang tentang soal kroni dan nepotisme. Jadi dalam tempoh 1987 dan 1997, sepuluh tahun, saya rasa, kepimpinan negara, UMNO dan sebagainya agak terlupa, meletak tepi DEB. Hanya apabila soal nepotisme dan kronisme timbul, sebagai serangan daripada Anwar Ibrahim dan kawan-kawannya, baru DEB ditimbulkan balik. Saya ambil contoh dalam tempoh itu ada usaha untuk menghapuskan subsidi. Orang Melayu jangan mempunyai mentaliti subsidi. Kita jangan bagi subsidi kepada petani, nelayan, pelajar dan sebagainya. Orang Melayu patut belajar berdiri atas kaki sendiri. Orang Melayu pun dah okey. Tetapi sebaliknya banyak pula subsidi diberikan kepada industri, kepada usaha-usaha dan kegiatan peniaga besar orang korporat. Jadi subsidi ditarik daripada kumpulan bawahan dan diberikan kepada kumpulan atasan. Ini juga subsidi. Walau apa pun pertolongan kerajaan, adalah subsidi. Memang rasionalnya kerana kilang atau syarikat ini membawa cukai dan memberi pekerjaan, tetapi dari sudut sosioekonomi kumpulan bawahan ini, petani dan nelayan ketinggalan sementara proses pendidikan, penyertaan orang Melayu dalam pendidikan ketinggalan. Apa cadangan terbaik Datuk berhubung perkara ini? Saya fikir mesti ada satu usaha untuk menarik dan mengumpulkan cerdik pandai Melayu menyediakan satu wawasan baru bagi memberi jaminan pada generasi muda Melayu dan Malaysia pada masa ini. Ianya mesti berlandaskan kepada Melayu sebagai teras bangsa negara. Ianya mesti berlandaskan kepada pembangunan dan kemajuan Islam seperti mana juga DEB. Kalau kita tengok DEB umpamanya. Satu ketika dahulu DEB ini dikritik sebagai satu program, dasar ekonomi anti-Islam kerana mendakwa DEB ini berasaskan kepada sistem ekonomi berunsur riba. Oleh yang demikian, DEB ketika itu dianggap anti-Islam. Tetapi sebaliknya kemajuan dan pembangunan Islam berlaku secara tersirat melalui DEB. Melalui DEB tertubuhnya Bank Islam dan Takaful Islam. Untuk mewujudkan Bank Islam, dari segi nama memang mudah. Tetapi untuk diwujudkan bank, mesti ada satu kumpulan yang menabung modal, mesti ada kumpulan yang hendak meminjam dan mesti ada satu kumpulan yang boleh menguruskan bank itu. Kumpulan orang yang boleh menabung mestilah kerana pendapatan mereka bertambah, jadi bermakna mestilah datangnya dar dari pendapatan masyarakat Islam di Malaysia. Sebagai prasyarat penubuhannya, mestilah ada sebahagian masyarakat Islam Malaysia yang mempunyai pendapatan yang boleh ditabung. Pendapatan mereka mesti naik. Itu yang diusahakan dalam DEB. Mesti ada satu kumpulan masyarakat Islam yang meminjam duit dari bank itu, untuk ia menjadi sebuah bank. Kalau kita tubuh bank tak ada orang Islam hendak pinjam wang tak guna juga. Mesti ada sebahagian daripada masyarakat yang terlibat secara langsung dan secara besar dalam industri, dalam perniagaan supaya mereka akan menjadi peminjam kepada bank. Untuk menggerakkannya juga mesti ada kumpulan masyarakat Islam yang boleh mentadbir dan mengurus bank itu. Mereka ini tentunya akan datang daripada golongan yang telah mendapat pendidikan, pelajaran, ilmu pengetahuan dan seterusnya menguasai dan memahami kewangan, ekonomi dan berbagai-bagai ilmu yang diperlukan untuk mengurus sebuah bank. Jadi ketiga-tiga kumpulan itu memang diwujudkan oleh DEB. Sebab itu hari ini Bank Islam berjaya, kerana adanya DEB yang tertumpu kepada pewujudan dan kelahiran ketiga-tiga kumpulan tadi. Begitu juga dengan Takaful. Ianya berjaya apabila ada yang mengurus dan ada yang sanggup menerima dan mempunyai wang untuk menyertai skim Takaful. Kalau tidak ada DEB dan dibiarkan pembangunan ekonomi sahaja dalam DEB, saya tidak rasa kedua-dua institusi yang penting dalam ekonomi Islam boleh berjaya. Jadi dalam DEB yang dulu pun sudah memang tersirat kemajuan Islam itu sendiri. Jadi dalam dasar yang baru, wawasan yang baru mestilah ada sesuatu yang mesti berlandaskan kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat Islam itu sendiri. Sekiranya sikap pemimpin UMNO masih juga tidak berubah, dapat Datuk bayangan tentang masa depannya? Lenyaplah! Kalau UMNO tidak serius untuk mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan yang ianya menjadi teras dan tonggak, parti yang terbesar, tulang belakang, mengubah persepsi dari sebuah kerajaan yang rasuah, yang hanya mementingkan kumpulan yang tertentu sahaja, maka akhirnya sudah tentu UMNO tidak akan dapat mengekalkan sokongan dalam pilihan raya akan datang. Yang mustahak persepsi rakyat. Ada yang kata, UMNO terlalu bertindak sebagai kerajaan berbanding MCA. Apa bentuk tindakan UMNO sebenarnya, kerajaan atau parti? Umno mewakili atau mempunyai kedudukan yang besar atau kuat dalam kerajaan. Dengan kedudukan itu banyak boleh dilakukan untuk memberi keyakinan semula kepada pengundi-pengundi untuk menyokong BN. Jadi peranan UMNO penting. Kalaulah pemimpinUMNO di dalam kerajaan boleh menyakinkan pengundi dan rakyat, boleh melaksanakan program-program dan dasar serta strategi yang menguntungkan masyarakat dan rakyat, saya rasa kerja UMNO dan parti senang. Jadi sekarang ini kerana kerajaan tidak berkesan, maka UMNO mesti menentukan bahawa pemimpin UMNO yang duduk dalam kerajaan membuat kerja dengan sebaik-baiknya dan melaksanakan dasar yang boleh diterima oleh sebahagian besar masyarakat. Tugas UMNO sebenarnya ialah untuk menentukan kerajaan, pemimpin-pemimpin UMNO dalam kerajaan menghilangkan persepsi rakyat bahawa ianya sebuah kerajaan yang mengamalkan rasuah. Jadi UMNO mesti menegur pemimpinnya dalam kerajaan yang mengamalkan rasuah sebab UMNO mesti membetulkan kerajaan. Itu tugas yang besar. Soal UMNO hendak bergerak untuk program-program ini, itu perkara biasa, kita bergeraklah macam biasa. Tapi UMNO punya tanggungjawab berbeza dengan tanggungjawab parti-parti komponen BN yang lain. UMNO mempunyai tanggungjawab untuk menegur kerajaan agar imej kerajaan itu berubah. Baru-baru ini juga ditimbulkan persoalan tentang PM bukan Melayu. Itu cakap politic. Memanglah dari segi hakikatnya, siapa yang menguasai Parlimen, dialah yang menjadi PM. Dalam Perlembagaan kata, sesiapa sahaja boleh menjadi PM Malaysia, asalkan mendapat kepercayaan dan sokongan daripada semua parti, sebilangan besar anggota Dewan Rakyat. Itu hakikatnya. Pada saya itu bukan isu yang penting. Lebih penting pada saya ialah bagaimana UMNO harus terus membawa wadah perjuangan yang boleh diterima, yang mewakili sebahagian besar masyarakat Melayu. Ada cadangan supaya Timbalan Presiden, Naib Presiden dimansuhkan. Saya tidak tahu apa sebabnya tidak payah bertanding Timbalan Presiden dan naib presiden. Adakah kerana adanya naib presiden dan timbalan presiden, UMNO tidak mendapat sokongan orang Melayu? Jadi inilah masalah UMNO sekarang... masih lagi memikirkan bahawa kita tak ada masalah di luar. Kalau kita menumpukan perhatian kepada kedudukan dan jawatan dalaman, apa hal? Jadi masih ada problem dalam UMNO ini yang mana segolongannya memikirkan yang penting UMNO tak payah ada timbalan, tak payah ada naib, mesti kurangkan politik wang dan sebagainya. Apa fasal hendak ditumpulkan kepada persoalan ini? Pada saya tak mustahak persoalan ini. Kalau kita dapat menyakinkan orang Melayu menyokong UMNO, kita tak kisahlah siapa jadi Presiden, timbalan ke, jadilah. Itu pendapat saya. Ini semua remeh-temeh. Fungsi Pemuda dan Wanita UMNO sekarang ini, apa pandangan Datuk? Saya rasa Pemuda tentu ada peranannya sendiri. Tetapi saya rasa dia mungkin terpengaruh dengan suasana...suasana di mana sebahagian besar mereka berada iaitu suasana korporat, suasana mencari rezeki. Itu adalah sebahagian daripada mereka yang terpengaruh. Tetapi kita kena bagi peluang untuk mereka melakukan apa yang mereka kata akan mereka lalukan. Seperti mereka kata hendak mendekatkan diri dengan mahasiswa, dengan orang muda. Kita tunggu dan lihat. Saya berpendapat, apa pun perubahan yang hendak kita lakukan mestilah dilalukan di dalam parti induk. Kerana pada suatu ketika dahulu ada orang suruh saya bertanding Ketua Pemuda, tapi saya rasa Pemuda sendiri tidak boleh mempengaruhi parti induk kalau badan induk itu rosak. Pemuda tidak boleh buat apa-apa. Jadi maknanya kena badan induk yang bertindak mengubah. Pemuda akan ikut. Wanita saya ingat tak ada masalah. Tentang UMNO Johor. Apa masalah sebenar antara Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin? Saya ingin berterus terang mengenai Ghani dan Muhyiddin. Bagi saya, Muhyiddin itu lebih marah kepada Ghani daripada Ghani lebih marah kepada Muhyiddin. Inilah suasana sebelum pemilihan Naib Presiden UMNO. Muhyiddin marah pada Ghani kerana dia anggap Ghanilah yang menyebabkan dia kalah dalam pemilihan yang dulu. Sebenarnya bukan Ghani... yang menyebabkan Muhyiddin kalah ialah Shahrir. Tapi Muhyiddin tak hendak marah saya, dia marah Ghani. Jadi sekarang dia dah menang dan Ghani tak menang, jadi kuranglah Muhyiddin marah pada Ghani. Dia tak boleh marah saya pasal dia tahu, kalau orang tak kacau, saya tak kacau... jangan kacau Johor Bahru. Kalau awak tak kacau, saya tak kacau. Saya very fair. Jadi sekarang dengan kemenangan Muhyiddin, selesailah. Lainlah kalau dia kalah. KENAPA TETAP SETIA PADA UMNO? Saya memang percaya bahawa akhirnya kebenaran dan perjuangan asal akan kembali dalam UMNO. Saya tahu tindakan terhadap saya dulu (digantung keahlian) memang dengan cara yang tidak adil, tidak ada peluang untuk membela diri dan sebagainya. Tetapi saya tidak lari daripada UMNO kerana saya rasa wadah perjuangan Melayu memang dalam UMNO mungkin kerana saya orang Johor. Bagi orang Johor, ada beza sikit. Orang Johor memikirkan (dan sesetengah negeri) bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Kita memahami bahawa melalui UMNO sahajalah kita boleh membawa perjuangan bangsa, agama dan negara. Tetapi bagi orang Melayu di Kuantan, Kedah, Terengganu, UMNO itu UMNO, Pas itu Pas. Jadi Melayu itu boleh UMNO, Melayu itu juga boleh Pas. Mungkin saya punya perasaan dan sikap terpengaruh oleh keadaannya sekeliling kerana saya datang dari Johor. Mungkin itulah... Tapi kalau saya bukan dari Johor, mungkin keadaan berubah. Kalau kita lihat di sesetengah tempat di negeri Johor sendiri, kemunculan ranting-ranting Pas umpamanya atau penyertaan orang Melayu dalam Pas, bukan kerana ideologi atau fahaman politik tetapi kerana perkelahian di peringkat kampung, bergaduh dengan Ketua Cawangan, tewas bertanding dalam cawangan, merajuk lari keluar. Apatah lagi di negeri-negeri di mana Pas itu kuat, akan berlakulah perubahan ahli UMNO meninggalkan UMNO kalau kena marah dengan Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian, berpindah kepada parti pembangkang. Mengenai demokrasi dalam UMNO, saya percaya kalau ramai yang berani, demokrasi dalam parti akan dapat dipertahankan. Maknanya, kita kena berani. Janganlah takut dan sayang sangat pada kedudukan. _________________________________________________________________________ Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com. Share information about yourself, create your own public profile at http://profiles.msn.com. ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "salam sejahtera" <[EMAIL PROTECTED]>