Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
 
Saudara-saudara warga hizbi yang saya hormati.
Diharap dapat membaca sedikit penerangan dari saya ini untuk kebaikan kita bersama semuga kita sama-sama mendapat keredaan Allah Ta'ala.
 
Sekian, Wassalam.
 
RUZLAN AB. RAHMAN.
 

TASAUF DALAM ISLAM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaratuh.

Saudara-saudara warga Hizbi.

Saya sering mengikuti perkembangan perbincangan saudara-saudara sekelian. Saya akui perbincangan yang sihat amat dialu-alukan untuk perkembangan minda kita tetapi setiap perkara yang kita lakukan mesti ada batasannya dan kita mestilah mempunyai pengetahuan didalam perkara yang kita perkatakan. Saya amat sedih apabila ada diantara saudara-saudara sekelian yang mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak baik terhadap tasauf yang mana saya rasa terpanggil untuk memberi sedikit penerangan. Penerangan ini adalah berdasarkan dari pengajian saya semasa saya belajar dari beberapa guru di kampung saya dan melalui pembacaan saya. Diharap penerangan saya ini dapat memberi sedikit kefahaman apa itu tasauf dan saya juga menerima segala pertanyaan atau teguran demi untuk memperolehi keredaan Allah Ta’ala.

Apa itu Tasauf ?

Tasauf adalah salah satu cabang ilmu dalam Islam. Ia adalah ilmu untuk mendekati atau mengenal Allah Taala iaitu tuhan kita yang satu. Didalam sejarah dakwah Rasulullah pengenalan terhadap Allah Taala atau tauhid amat ditekankan. Rasulullah pernah bersabda " Awwaluddin Ma’rifatullah" yang bermaksud ‘ Pokok beragama ialah mengenal/mengakui adanya Allah". Maka disinilah lahirnya ilmu tasauf. Ayat Al Quran tentang tasauf ialah " Alastu bi Rabbikum ? Qaalu balaa, syahidna." Yang bermaksud " Apakah Aku ini (Allah) Tuhan mu? Maka menjawap jiwa (roh), bahkan, Ya kami telah naik saksi". Dua dalil di atas adalah diantara banyak dalil tentang keperluan mempelajari mengenal Allah Taala yang mana rata-rata umat Islam hanya mengenal Allah Ta’ala secara umum tetapi apabila di tanya bagaimana sifat-sifat Allah dan kaitan dengan manusia maka ramai yang tidak tahu. Maka disinilah ilmu tasauf memainkan peranan memperjelaskan perkara yang menjadi tunjang di dalam perkara keimanan sehingga kita berada di dalam liang lahad.

Mengapa kita perlu belajar tasauf ?

Sepakat alim ulama tasauf mengatakan mempelajari tasauf adalah hukumnya jatuh kepada fardhu kifayah. Kita perlu mempelajari tasauf kerana kita tiada jalan lain untuk mendekati dan mengenal Allah Taala dan lebih lagi ilmu ini adalah dari Rasulullah sendiri maka adalah mustahil untuk kita menolaknya. Intipati ilmu tasauf adalah untuk membersihkan jiwa dari segala sifat kekotoran duniawi dan diisi dengan sifat terpuji. Apabila sifat terpuji telah terserlah dan diisi dengan ilmu mengenal diri ( Ilmu syariat, tarikat, hakikat dan makrifat) maka jadilah ia insan yang mendapat keredaan Allah Taala yang sanggup menegakkan Kalimah Allah di muka bumi ini. Sejarah membuktikan kebanyakan sahabat-sahabat nabi adalah ahli-ahli tasauf seperti Abu Bakar (Tarikat Naqsabandi) dan Ali (Tarikat Satariah). Apabila telah memperolehi keredaan Allah Ta’ala maka bermacam-macam kelebihan akan diperolehi sehingga menjadi Wali Allah.

Apa itu tarikat ?

Ramai umat Islam pada hari ini keliru tentang tarikat. Mereka beranggapan tarikat itu adalah sesuatu yang menyelewing seperti tidak sedar diri dan seumpamanya. Tarikat itu adalah bahasa arab yang bermaksud jalan. Tarikat yang hak ialah berupa zikir-zikir yang berikan oleh guru-guru kepada murid-muridnya. Sama ada kita sedar atau tidak kita telah lama mempraktikkan ini iaitu melalui zikir " Laa Ilaaha Illallah" yang bermaksud Tiada Tuhan melaikan Allah di dalam zikir selepas sembahyang kita. Zikir ini adalah adalah zikir yang dikira umum dan selalu diamalkan oleh para ahli tasauf.

Bagaimana mengenal Guru Tasauf yang benar ?

Dewasa ini tidak dinafikan ramai guru-guru yang mengaku mengajar tasauf tetapi hakikat nya menyeleweng dan mengambil kesempatan dengan berbagai-bagai cara. Oleh itu berbagai fitnah dilemparkan ke atas tasauf dan ini membuatkan pandangan negatif masyarakat terhadap tasauf dan menyebabkan tasauf semakin terpinggir sedangkan tasauf adalah pakaian para wali dan merupakan ajaran Rasulullah. Di tanah arab lagi menyedihkan dimana keadaan tasauf dilaporkan semakin pupus. Guru yang betul atau mursyid adalah tidak sukar untuk kita kenali. Guru yang betul itu mestilah berpegang kuat pada syariat iaitu sembahyang, puasa, zakat dan haji. Perlakuannya mestilah berlandaskan Al-Quran dan Hadis. Jika kedapatan guru-guru yang tidak berpegang pada syariat hendaklah ditinggalkan.

Kandungan Asas lmu Tasauf

Ilmu tasauf mengajar mengenal kedudukan kita sebagai hamba disisi Allah Taala. Apabila kita adalah hamba maka kita perlu mengenal tuhan kita. Maksud ayat Al-Quran yang disebutkan sebelum ini iaitu pengakuan roh di hadapan Allah Ta’ala menunjukkan bahawa kita ini telah berjanji didepan Allah Ta’ala di alam roh untuk mentaati segala suruhannya. Akan tetapi apabila kita dilahirkan di muka bumi ini kita lupa akan janji itu. Maka tasauf berperanan untuk mengingatkan kembali janji-janji itu untuk mempastikan manusia berada dijalan yang benar.

Dengan ayat Al-Quran ini maka tiada jalan lain mengenal Allah adalah dengan ROH. Disebut jua di dalam Al-Quran bahawa Roh adalah sesuautu yang rahsia. Tetapi yang diketahui adalah sifat-sifat roh seperti jua sifat-sifat Allah Taala. Dengan sifat-sifat roh ini lah kita akan kenal siapa kita, kaitannya dengan kita dan kita pula akan kenal Allah melalui sifat ini. Kenal Allah bukan mengenal wajah Allah tetapi roh kita yang telah mengenal Allah Taala. Perkara ini disokong oleh ayat Al-Quran yang disebutkan dalam perenggan ‘apa itu tasauf’ diatas. Ini adalah asas kandungan ilmu tasauf.

Mengapa tasuf tidak mendapat sambutan dan disalah ertikan ?

Ada banyak faktur yang menyebabkan tasauf tidak mendapat sambutan yang mana diantaranya ialah sistem kehidupan dan pendidikan kita yang menjurus kepada kebendaan, sikap tidak ingin mengambil tahu, kelemahan iman dan sebagainya. Dari apa yang saya ketahui selain dari sebab yang disebutkan tadi sebab utama kita tidak dapat kesempatan belajar tasauf ialah kita tidak mendapat keizinan Allah Ta’ala. Ilmu Tasauf adalah suatu ilmu yang memerlukan kebersihan hati, sabar dan ikhlas dan mereka yang beroleh mempelajarinya adalah dikira bernasib baik kerana telah dipilih oleh Allah Ta’ala. Dan diantara yang berkesempatan mempelajarinya ada yang tidak faham. Ini adalah kerana kefahaman ilmu tasauf adalah dari Allah Ta’ala jua. Ulamak Tasauf yang terkenal iaitu Syeikh Kadir Al Jailani mengambil masa 30 tahun untuk mencapai tahap wali. Bayangkan adakah kita mampu melakukan untuk berbuat seperti apa yang dilakukan oleh beliau. Oleh itu kita harus terus berdoa kepada Allah Ta’ala agar kita dipilih untuk menguasai ilmu tasauf untuk kita gunakan di dalam menyebarkan sinar Islam di muka bumi Allah ini.

Ringkasan kisah peristiwa Imam Ghazali mempelajari tasauf

Imam Ghazali memang sudah terkenal di zamannya sebagai ulama biasa iaitu yang arif tentang perkara-perkara syariat. Dengan kehendak Allah Ta’ala jua pada suatu hari ia mengimamkan sembahyang dan diantara para makmumnya ialah adiknya iaitu Imam Ahmad. Imam Ahmad adalah seorang ulama tasauf. Semasa di dalam sembahyang Imam Ahmad telah bertindak untuk keluar dari sembahyang itu dan ini menyebakan Imam Ghazali menanyakan sebabnya pada Imam Ahmad. Imam Ahmad memberitahu bahawa Imam Ghazali tidak khushuk dalam sembahyang dan Imam Ahmad berupaya memberitahu kelemahan Imam Ghazali. Dari saat itu Imam Ghazali telah mempelajari ilmu tasauf hingga berjaya mencapai tahap yang tinggi dan berjasa kepada umat Islam. Imam Ghazali adalah salah satu pelopor mazhab ahli sunnah wal jamaah iaitu mazhab Syafie.

Tasauf di Malaysia.

Saya masih ingat semasa saya masih kecil di kampung saya di Negeri Sembilan disekitar tahun 70an, pengajian tasauf adalah masih aktif. Di tahun 90an pun masih ada sedikit. Saya pernah melihat di kaca tv iaitu Ustaz Harun Din di dalam satu program agama menyatakan bahawa ilmu tasauf adalah ilmu dalam Islam yang paling tinggi. Pendek kata pengajian tasauf masih wujud tetapi tidak mendapat publisiti. Oleh kerana tiadanya publisiti dan pendedahan dari pihak yang bertanggungjawab maka masyarakat semakin tidak mengenali ilmu ini dan seterusnya mengatakannya menyeleweng.

Pengakuan saya

Saya masih lagi diperingkat murid di dalam pengajian ilmu tasauf ini. Saya mempunyai banyak kelemahan justeru itu saya berazam untuk memperbaikkinya. Saya bertanggungjawab di atas tulisan saya ini dan segala teguran akan saya terima dengan berlapang dada demi untuk mendapat keredaan Allah Ta’ala. Untuk pengetahuan warga hizbi, kitab rujukan yang saya gunakan ialah "Mengenal diri dan Wali Allah" yang dicetak oleh Pustaka Aman Press. Kitab ini mudah didapati dan kandungannya mudah difahami.

Kesimpulan

Saya menyarankan semua Umat Islam hendaklah berlapang dada terhadap tasauf seperti kita menerima ilmu Islam yang lain. Ini adalah kerana ditakuti jika kita tidak berlapang dada akan menjadi penyebab dari kita mendapat rahmat Allah Ta’ala. Mempelajari, meneliti dan membuat perbincangan dengan alim ulama adalah jalan terbaik dari membuat kenyaaan yang tidak baik terhadap tasauf. Alasan saya adalah mudah saja iaitu Imam Ghazali dan Syeikh Kadir Al-Jailani adalah ulama besar tasauf telah banyak menyumbang jasa di dalam Islam dan telah tertulis dan diakui di dalam lipatan sejarah Islam maka siapalah kita jika dibandingkan dengan mereka. Mereka akan bahagia apabila berdepan dengan Allah Ta’ala tetapi kita bagaimana ?. Adakah kita merasa kita boleh lulus atau dihumban kedalam api neraka ? Oleh itu warga hizbi saya berpendapat perlu mempertimbangkan saranan saya untuk kesejahteraan kita semua.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

,

Kirim email ke