Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.

Babi dalam pelbagai mazhab fikah
SOALAN: Saya seorang buruh berasal dari seberang yang kini menetap di Malaysia. Saya 
kurang faham dengan hukum yang berkaitan dengan babi. Sesetengah orang menyatakan babi 
hanya haram dimakan, tetapi diharuskan untuk kegunaan-kegunaan lain.

Soalan saya, benarkah pendapat yang menyatakan penyapu cat yang diperbuat daripada 
bulu babi itu harus diguna. Demikian juga kasut yang diperbuat daripada kulit babi 
harus dipakai. Apa pula hukum makanan dan ubat-ubatan yang dicampurkan dengan 
bahan-bahan yang berasal daripada babi.

Harap ustaz jelaskan hukum dengan dalil-dalilnya daripada al-Quran dan hadis. Saya 
ucapkan terima kasih atas pandangan dan ulasan yang diberikan. - SURJANI, Johor Bahru.

JAWAPAN: Seperti yang diketahui oleh umat Islam, daging babi haram dimakan. 
Pengharamannya meliputi lemak, kulit, kuku, bulu dan seluruh juzuk badan yang 
dihubungkan dengan haiwan itu, sama ada yang mentah atau yang sudah dimasak, yang 
disembelih dengan cara syarii atau yang tidak disembelih, sama ada untuk kegunaan 
makanan atau peralatan seperti penyapu, kasut, tali pinggang dan lain-lain.

Beberapa ayat dalam al-Quran menyatakan dengan jelas hukum itu. Antaranya firman Allah 
yang bermaksud: Diharam atas kamu bangkai, darah dan daging babi (al-Maidah: 3) dan 
firman-Nya lagi yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad: Aku tidak dapati dalam apa 
yang telah diwahyukan kepada-Ku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak 
memakannya, melainkan benda itu bangkai, atau darah mengalir atau daging babi, kerana 
sesungguhnya ia adalah kotor (al-Anam: 145).

Ayat-ayat ini juga menyatakan babi sebagai najis yang bererti najis atau kotor. 
Justeru itu ulama dalam mazhab Syafie sepakat berpendapat haram diguna pakai semua 
barangan yang diperbuat daripada babi, sama ada bulunya, kulitnya atau juzuk-juzuknya, 
sama ada dalam bentuk barangan, peralatan atau lain-lain termasuklah membuat ubat bagi 
segala macam penyakit, kerana menurut mereka tiada ubat pada benda-benda najis. 
Pendapat ini menjadi pegangan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang bermazhab Syafie.

Babi diharamkan Allah sejak lama dahulu, namun baru sahaja ilmu manusia mengetahui 
bahawa di dalam daging babi, darahnya dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang 
sangat bahaya, iaitu cacing pita dan telur-telurnya yang keras.

Kini ada segolongan manusia yang berkata bahawa alat-alat pemasak moden telah 
melangkah maju dan membuat cacing-cacing itu tidak lagi menjadi sumber bahaya, kerana 
ia dapat dibasmikan dengan haba yang tinggi yang dapat disediakan oleh alat-alat 
pemasak yang moden itu, tetapi orang-orang ini lupa bahawa ilmu pengetahuan mereka 
kadang-kadang memerlukan beberapa abad lamanya untuk mengesahkan sesuatu penyakit.

Biarpun ulama fiqh sepakat tentang pengharaman makan daging babi, tetapi masih tidak 
sependapat dalam kegunaan-kegunaan lain. Memang dalam fikah Islam sukar didapati 
masalah yang disepakati serba-serbi, hingga pada semua cabang dan juzuk-juzuk 
kecilnya, kecuali ada sahaja perbezaan yang membabitkan hukum haram, halal dan 
sebagainya.

Persoalan babi antara yang hangat pernah dibincangkan ulama dalam mazhab-mazhab Islam 
sekitar penggunaan barangan yang diperbuat daripada babi.

Pertama: Imam Malik berpendapat daging babi haram dimakan tetapi badannya suci ketika 
hidupnya. Kedudukan hukumnya samalah dengan beberapa jenis haiwan yang haram dimakan 
dagingnya seperti harimau, gajah dan sebagainya.

Menurut beliau lagi, ayat-ayat al-Quran hanya menjelaskan babi haram dimakan 
dagingnya, tetapi tidak pula menyatakan najis. Imam Nawawi daripada mazhab Syafie juga 
mengakui, tidak ada dalil jelas menunjukkan babi itu najis.

Perkataan najis (kotor/najis/jijik) dalam surah al-Anam: ayat 145 yang merujuk kepada 
daging babi, tidak menunjukkan dengan jelas najis itu bersifat `aini atau najis yang 
tidak boleh disucikan lagi, kerana najis boleh dikatakan juga sebagai najis hukmi 
sahaja, seperti najis kafir musyrik yang disebut dalam firman-Nya yang bermaksud: 
Sesungguhnya orang kafir musyrikin itu najis (al-Taubah: ayat 28).

Tiada sesiapa pun kalangan ulama berpendapat kafir musyrik itu sebagai najis `aini, 
sebaliknya berpendapat hanya najis hukmi atau najis i'tiqad (kepercayaan) sahaja. 
Mengapa najis babi tidak boleh dianggap sebagai hukmi, dengan alasan dagingnya haram 
dimakan.

Ekoran mazhab Malik yang berpendapat babi itu suci, tidak timbul lagi hukum wajib 
membasuhnya tujuh kali seperti najis anjing, malah jarak antara dua mazhab Malik dan 
Syafie agak begitu jauh.  

Dalam beberapa hal pula, saya berpendapat mazhab Malik ini memberi nafas lega kepada 
sesetengah orang yang tabiat pekerjaannya terpaksa bergelumang dengan babi pagi dan 
petang seperti doktor haiwan dan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus doktor haiwan.

Kedua: Ulama memutuskan, apa jua haiwan yang mati tanpa sembelih, hukumnya najis 
kerana ia bangkai, tetapi semua bangkai kulitnya boleh disucikan melalui samak, 
kecuali kulit anjing dan babi menurut kebanyakan ulama termasuk Syafie.  

Bagaimanapun Imam Abu Yusuf dan al-Zahiri berpendapat, kulit-kulit anjing dan babi 
juga boleh disucikan dengan samak, kerana hadis riwayat Muslim menyatakan: Apa jua 
kulit haiwan, suci apabila disamak (Muslim, bilangan 366).

Hadis ini menurutnya umum kepada semua kulit termasuk anjing dan babi. Merujuk kepada 
pendapat dua imam di atas, nyata segala barangan yang diperbuat daripada kulit anjing 
dan babi yang disamak boleh dipakai.

Ulama menyatakan lagi, bulu dan kuku yang dicabut atau dipotong daripada bangkai 
adalah bangkai, hukumnya turut najis seperti bangkai juga. Bagaimana pula jika bulu 
dipotong daripada haiwan yang masih hidup?

Jawabnya, suci jika haiwan itu suci dan najis jika haiwan itu najis. Ini bermakna, 
bulu babi yang dipotong daripada babi yang masih hidup adalah suci di sisi Imam Malik.

Ini bermakna, penyapu yang diperbuat daripada bulu babi yang dipotong ketika hidupnya 
adalah suci dan harus diguna pakai. Sesetengah ulama pula berpendapat, bulu yang 
dipotong daripada haiwan yang masih hidup juga najis kerana dikira bangkai juga. 
Sehubungan ini sebuah hadis riwayat al-Hakim yang bermaksud: Juzuk yang dipotong 
daripada haiwan yang hidup dianggap bangkai (Tirmiz, bilangan 1480).

Ketiga: Merujuk kepada hukum babi yang diambil sebagai ubat-ubatan. Ulama sepakat 
memutuskan bangkai semua haiwan adalah najis kalaupun menurut Imam Abu Yusuf dan 
al-Zahiri kulit bangkai termasuk bangkai babi boleh disucikan dengan samak, tetapi 
juzuk-juzuk babi yang bukan kulitnya tidak boleh disucikan dengan samak.

Atas dasar ini ulama lebih cenderung kepada pendapat mengharamkan ubat-ubatan yang 
dimasukkan bahan babi padanya, kerana benda-benda najis tidak boleh dijadikan ubat, 
kecuali dalam keadaan darurat yang memaksakan.

Syed Atiyyah Saqr pula lebih cenderung kepada pendapat mengharuskan kegunaan 
ubat-ubatan itu, jika ia merupakan suntikan dalam badan dan ternyata keberkesanannya 
kepada pesakit. Kita ikuti pendapat beliau, katanya: Jika ubat-ubatan itu berupa 
suntikan dalam badan, maka diharuskan, kerana dalam badan memang berkumpul najis-najis 
kencing dan tahi, ini tidak pernah ditimbulkan bagi maksud kesahihan solat dan ibadat. 
Lain halnya jika diguna pada bahagian luaran, tentunya najis itu menghalang kesahihan 
solat.

Saya lebih cenderung kepada pendapat ini kerana sejauh pengharaman babi dalam beberapa 
ayat al-Quran hanya untuk dimakan. Suntikan ubat ke dalam badan tidak dikatakan makan, 
lagipun penggunaan barangan yang diperbuat daripada kulit babi, tidak disepakati ulama 
pada pengharamannya.

Mungkin ada pendapat menyatakan najis babi tidak boleh dimasukkan dalam badan manusia 
Muslim yang selalu mengerjakan ibadat solat dan sebagainya.  

Najis ini jika dibiar berkekalan dalam badan menjadikan seseorang itu terhalang 
daripada solat selama-lamanya.

Alasan ini telah dijawab oleh Syeikh Atiyyah Saqr seperti yang disebut sebelum ini, 
iaitu najis yang menghalang solat hanya najis di luar badan.

Adapun najis dalam badan tidak menghalang seseorang daripada solat dan ibadat, ini 
kerana dalam perut manusia dipenuhi najis darah, tahi dan kencing, sedang dia pada 
ketika itu bersolat, bertawaf dan beribadat. Tiada siapa pun mempertikaikan kesahihan 
ibadatnya.

Keempat: Ulama memutuskan, makanan yang dimasuki bahan-bahan najis haram dimakan. 
Gelatin atau jeli yang biasanya diproses di negara-negara bukan Islam, jika asalnya 
diperbuat daripada haiwan yang tidak disembelih atau babi, maka hukumnya najis dan 
tidak halal dimakan. Namun difahamkan bukan semua gelatin itu najis dan diperbuat 
daripada babi.

Kalau begitu halnya, perlulah dipastikan terlebih dahulu, sama ada ia benar diperbuat 
daripada babi atau haiwan yang disembelih dan haiwan yang harus dimakan.

Satu kaedah dalam menentukan halal haram makanan ialah dilihat pada pertukaran rupa 
dan benda, seperti arak yang kemudiannya bertukar rupanya menjadi cuka.

Menurut mazhab Syafie pertukaran rupa tidak mengubahkan hukum najis sesuatu benda, 
kecuali arak yang berubah menjadi cuka. Cuka ini bersih, sekalipun asalnya arak yang 
najis.

Imam Malik berpendapat, benda-benda najis yang bertukar kepada suatu rupa yang lain 
adalah suci, seperti najis babi yang dibakar kemudian bertukar menjadi debu hukumnya 
suci, sekalipun pertukaran itu dengan sendiri atau setelah diusahakan. Atas dasar ini, 
ramai berpendapat, gelatin itu suci dan boleh digunakan, sekalipun ditakdirkan asalnya 
babi atau bangkai yang tidak disembelih, kerana najis itu telah bertukar rupanya 
kepada rupa yang lain. Kedudukannya samalah dengan tulang bangkai yang dibakar menjadi 
debu. Tulang bangkai adalah bangkai, tetapi debu tulang setelah dibakar tidak lagi 
membawa hukum asalnya.

Saya lebih cenderung kepada pendapat ini, kerana hukum halal haram ditentukan mengikut 
namanya. Apabila tiada nama, maka tiada lagi hukum asalnya, tahi adalah tahi dan 
hukumnya adalah najis, tetapi apabila tahi menjadi tanah, maka hukumnya adalah tanah.

Dalam apa hal sekalipun, setiap makanan yang sampai kepada kita perlu diselidik halal 
haramnya terlebih dahulu, jika diragui kebersihannya, maka wajib ditinggalkan sahaja. 
Itulah pilihan yang terbaik.  

Baginda bersabda: Sesiapa memelihara dirinya daripada perkara yang meragukan, maka 
sebenarnya ia menjaga kebersihan agama dan kehormatan dirinya. - (Muslim, bilangan 
1599) Wabillah al-Hidayah Wa al-Tawfiq.

Kirim email ke