*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Hukum sembelihan korban

Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian
Islam

Soalan: Menjelang Hari Raya Korban pada setiap tahun, biasanya
saya berkongsi dengan orang lain untuk berkorban seekor lembu.

Soalan saya, bolehkah saya kongsikan pahala satu bahagian
daripadanya dengan isteri dan anak-anak saya? Perlukah saya hadir
di tempat penyembelihan itu atau cukup dengan mewakilkan sahaja
kepada penganjur korban? Bolehkah korban itu ditukar dengan
harganya seperti zakat fitrah untuk disedekahkan kepada fakir miskin
kerana kemungkinan daging berlebihan pada hari itu, tambahan pula
sesetengah orang tidak suka makan daging dan mereka lebih
memerlukan wang bagi menampung perbelanjaan harian keluarga
mereka.

Harap ustaz jelaskan juga hukum dan hikmat ibadat korban ini
dengan lebih lanjut. - A. Manaf, Kota Kinabalu.

Jawapan: Sebelum saya mengulas dengan lebih terperinci
soalan-soalan yang dikemukakan mengenai ibadat korban, mustahak
rasanya dinyatakan terlebih dahulu hukum ibadat itu.

Menurut mazhab Syafi'i, hukumnya sunat muakad iaitu sebagai
ibadat tambahan yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w pada
masa hayatnya. Baginda dilaporkan pernah berkorban dua ekor
biri-biri besar bagi diri, keluarga dan seluruh umatnya yang tidak
sempat atau tidak mampu berkorban.

Imam Abu Hanifah berpendapat korban hukumnya wajib tetapi tidak
fardu sesuai dengan metodologi yang dipakai dalam mazhabnya
bahawa tuntutan wajib lebih ringan berbanding tuntutan fardu.

Imam Abu Hanifah mengambil faham kaedah itu daripada hadis
yang membawa terjemahan: Sesiapa yang berkemampuan hendaklah
berkorban, jika tidak berkorban janganlah hadir ke masjid kami.

Bagaimanapun kebanyakan ulama berpendapat korban hanya sunat
jua. Seseorang tidak dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah
berkorban seumur hidupnya. Jika anda tidak berkorban kerana tidak
berkemampuan, anggaplah bahawa Nabi s.a.w telah berkorban bagi
pihak anda.

Berpandukan amalan korban yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w
yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak diri, keluarga dan
umatnya, maka ulama berpendapat memadai jika seorang ketua
dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi
anak-anaknya berkorban bagi pihak semua orang di bawah
tanggungannya.

Jika ada anggota keluarga berminat membantu fakir miskin yang
kurang berada, bantulah mereka dengan menyumbang
barang-barang keperluan dalam bentuk-bentuk yang lain.

Menggantikan korban dengan sedekah sebanyak harganya kepada
fakir miskin, hukumnya tidak sah menurut mazhab Imam Syafi'i dan
kebanyakan ulama, sekalipun dengan alasan daging tidak diminati
oleh sesetengah keluarga dan mereka memerlukan wang bagi
menampung pelbagai keperluan harian yang lain.

Sehubungan ini, sila ikuti terjemahan fatwa Syeikh Hasanain
Makhluf, Rektor Universiti al-Azhar yang dikeluarkan pada 22
Oktober 1974.

Katanya: Tidak harus ditukar korban dengan harganya bagi
menampung keperluan fakir miskin yang memerlukan bantuan,
kerana tujuan utama ibadat ini ialah menumpahkan darah haiwan.
Andainya korban ditukar dengan harga, nescaya tiada lagi pihak
berminat dengan korban, sedangkan amalan ini adalah syiar Islam
yang tersirat di sebaliknya pengorbanan nabi Allah Ibrahim a.s
tatkala baginda menjunjung perintah Allah supaya menyembelih
anaknya Ismail a.s.

Saya cenderung kepada fatwa ini kerana ia sesuai dengan pendapat
Imam Syafi'i serta kuat pula dari segi hujah dan dalilnya.

Syiar perlu dipertahankan sekalipun kelihatan kecil bagaikan sehelai
rambut. Syiar apabila dihubungkan dengan Islam kelihatan ia
seolah-olah terjemahan sebenar kepada Islam dan masyarakatnya
yang menghayati nilai-nilai Islam secara keseluruhannya.

Pentingnya syiar ini dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Ibn
Majah dan al-Tirmizi daripada Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda
yang bermaksud: Tiada amalan yang lebih dikasihi Allah daripada
sembelihan korban. Sembelihan itu datang pada hari kiamat dengan
tanduk, kuku dan bulunya. Darah korban mendapat tempatnya di sisi
Allah sebelum ia tumpah ke bumi. Oleh itu cantikkanlah korban
kamu.

Kehadiran sembelihan korban dengan kuku, bulu dan tanduknya pada
hari kiamat membayangkan bahawa tujuan sebenar korban bukanlah
kerana dagingnya yang boleh dimakan, tetapi penghayatan syiarnya
yang lebih penting, manakala faedahnya pula akan disaksikan pada
hari kiamat.

Ibn Hazm menyatakan, lebih afdal sama ada bagi lelaki dan wanita
menyembelih sendiri haiwan korbannya kerana cara itu lebih
menepati dengan sunah Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, ia boleh
diwakilkan kepada sesiapa jua yang beragama Islam.

Saya berpendapat kalaupun individu yang berkorban itu tidak mampu
menyembelih sendiri korbannya, sekurang-kurangnya hendaklah dia
hadir di tempat sembelihan dan menyaksikan sendiri haiwan pada
saat-saat ia dikorbankan. Kehadirannya pada saat-saat itu membantu
untuk mengimbas kembali sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim tatkala
menyembelih anaknya Ismail.

Baik juga jika anak-anak remaja dibawa bersama menyaksikannya
kerana korban selain ibadat yang merapatkan hubungan seseorang
dengan Allah, padanya tersirat pendidikan jihad yang mendidik
anak-anak supaya berjiwa berani.

Darah yang mengalir ke bumi melambangkan keberanian yang
sangat dihargai Islam. Saya percaya anak-anak yang tidak pernah
menyaksikan penyembelihan haiwan merasa takut dan panik apabila
berhadapan dengan detik-detik cemas seumpama itu.

Waktu korban bermula apabila selesai solat Hari Raya yang didirikan
di masjid-masjid. Sebagai contoh, Masjid Negara bagi penduduk
sekitar Kuala Lumpur, atau Masjid Sultan Salahuddin, Shah Alam
bagi penduduk di negeri Selangor. Jika sembelihan dilakukan sebelum
solat hari raya, maka sembelihan tidak memadai bagi maksud
korban. Bagaimanapun, haiwan itu halal dimakan dagingnya,
sekalipun kesahihan korban dipertikaikan kerana penyembelihannya
dilakukan sebelum tiba waktunya.

Hakikatnya korban adalah ibadat yang berwaktu, sama juga dengan
lain-lain ibadat yang wajib ditunaikan dalam waktunya seperti
sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Sesetengah ulama
berpendapat, korban hendaklah disempurnakan selepas solat raya di
Masjid al-Haram, dengan alasan tarikh raya bergantung sepenuhnya
dengan tarikh wukuf di Arafah. Pendapat ini saya kira tidak kukuh
dari segi hujah dan alasannya, bahkan tidak relevan dengan suasana.

Penyembelihan korban harus dilakukan pada hari-hari raya pertama,
kedua dan ketiga, bahkan ada ulama berpendapat boleh juga
disembelih pada hari keempat. Saya berpendapat tidak penting bagi
pihak-pihak yang berkorban berebut-rebut menyembelih korbannya
pada hari pertama kerana semua orang sibuk pada hari itu.

Fakir miskin pada hari itu juga kebanyakannya dihujani dengan
daging yang datang dari sana sini. Semua pihak dipercayai lebih
selesa jika korban diuruskan pada hari kedua dan ketiga.

Ternakan yang sah disembelih untuk tujuan korban ialah unta, lembu,
kambing dan sebagainya. Seekor kambing hanya memadai bagi satu
korban atau seorang sahaja. Unta, lembu dan kerbau pula boleh
dikongsi hingga tujuh orang. Tidak pula salah jika dikongsi kurang
daripada tujuh orang. Sebaik-baik korban ialah haiwan yang sihat,
gemuk dan banyak dagingnya.

Ternakan yang hendak dikorbankan juga hendaklah cukup umurnya
iaitu biri-biri berumur lima bulan dan masuk bulan keenam, kambing
berumur setahun dan masuk tahun kedua, lembu pula berumur dua
tahun dan masuk tahun ketiga. Imam Abu Hanifah menambahkan
lagi syaratnya iaitu hendaklah haiwan-haiwan itu gemuk dan banyak
daging.

Ternakan yang hendak dikorban hendaklah yang terbaik dagingnya,
tidak mengandungi kuman yang berbahaya dan tidak pula haiwan
yang terlalu tua, sesuai dengan korban yang merupakan hadiah
seorang hamba kepada Tuhannya.

Sayugia bagi seorang muslim menghadiahkan sesuatu yang terbaik
kepada Allah, ia tidak harus berkorban binatang yang terlalu kurus,
berpenyakit, cacat anggota, dijangkiti kuman dan sebagainya, atau
haiwan yang lebih umur atau yang terlalu tua, sehingga tiada lagi
rasa lazat pada dagingnya.

Ada orang bertanya, bolehkah korban dilakukan bagi pihak orang
yang telah meninggal dunia. Masalah ini masih diperselisihkan oleh
ulama fiqh termasuk Imam-Imam Abu Hanifah dan Syafi'i. Imam
Syafi'i berpendapat korban tidak boleh dilakukan bagi pihak orang
yang telah meninggal dunia. Bagaimanapun, sedekah boleh dilakukan
bagi pihak mereka dan diharapkan sampai pahalanya kepada
mereka.

Saya lebih cenderung untuk mengatakan jika ada pihak yang ingin
berbuat kebajikan kepada keluarganya yang telah meninggal dunia,
elok bersedekah dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati
kerana ulama masih mempertikaikan amalan korban bagi orang yang
telah meninggal dunia, sebaliknya mereka sepakat menyatakan
pahala sedekah berfaedah kepada mereka. Cara ini tentunya lebih
baik daripada langsung tidak berbuat apa-apa.

Ulama juga mengingatkan pihak-pihak yang ingin mengambil
bahagian korban supaya tidak memotong kuku dan rambutnya
bermula 1 Zulhijah sehingga selesai korban. Dalam sebuah hadis
riwayat Muslim daripada Ummi Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w
bersabda: Apabila kamu menyaksi anak bulan Zulhijah dan ingin
berkorban, maka hendaknya janganlah ia memotong kuku dan
rambutnya.

Berpandukan kepada hadis ini, sebahagian ulama berpendapat haram
bagi mereka yang ingin berkorban memotong kuku dan rambut
hinggalah selesai korbannya. Imam Syafi'i berpendapat hanya
makruh manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat harus
berbuat demikian.

Golongan yang berpendapat haram memberi beberapa alasan.
Antara alasannya ialah kerana korban diharap akan membebaskan
seseorang daripada neraka. Andainya kuku dan rambutnya dipotong,
dibimbangi nanti rambut dan kukunya tidak diselamatkan daripada
azab itu. Ada lagi alasan-alasan lain yang diberi, namun semuanya
tidak bersandarkan dalil yang jelas dan terang.

Tentang hukum memotong kuku dan rambut sebelum berkorban,
pendapat ulama berkisar sekitar haram, makruh dan harus. Saya
berpendapat ia terpulang kepada pihak-pihak berkenaan menimbang
suasananya sendiri. Jika ia selesa dengan rambut dan kuku yang
panjang, tidak salah baginya berbuat demikian. Wallah a'lam.


______________________________________________________________
This email has been sent through 2b at http://www.2bmail.co.uk


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Temingat Di Belantara" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke