*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Berita Harian  12/3/01

PETALING JAYA, Ahad - Keadaan di Taman Lindungan Jaya dan sekitarnya di Jalan 
Klang Lama di sini, tempat berlakunya pergaduhan membabitkan dua kumpulan 
penduduk sejak Khamis lalu, kembali tenang dan terkawal hari ini.

Walaupun, dua lagi kematian dilaporkan malam tadi dan awal pagi ini serta 
kehadiran lebih 600 anggota polis tambahan dari pelbagai unit, penduduk kawasan 
berkenaan meneruskan kegiatan harian seperti biasa.

Tinjauan Berita Harian di sekitar Taman Lindungan Jaya, Kampung Medan, Taman 
Datuk Harun, Taman Desaria dan Kampung Gandhi mendapati kegiatan penduduk tidak 
terjejas dengan pergaduhan yang setakat ini sudah mengorbankan lima nyawa.

Malah, dua keluarga Melayu di Taman Lindungan Jaya dan Taman Datuk Harun 
mengadakan majlis perkahwinan anak masing-masing, manakala satu keluarga lain 
menganjurkan majlis kesyukuran.

Beberapa keluarga India yang tinggal berjiran dengan keluarga pengantin turut 
menyertai gotong-royong untuk memasak, manakala yang lain hadir bagi memeriahkan 
majlis.

Kegiatan harian peniaga dan orang ramai di pasar Kampung Medan juga berjalan 
lancar tanpa gangguan. Pasar itu beroperasi seperti hari biasa dengan dikunjungi 
orang ramai daripada pelbagai keturunan.

Kedai milik orang Melayu dan India juga dibuka, walaupun kedudukannya 
bersebelahan, sekali gus membuktikan tidak berlaku masalah dari segi hubungan 
kaum.

Taman Tema Sunway Lagoon yang terletak berhampiran taman perumahan berkenaan 
juga tetap menjadi tumpuan orang ramai daripada pelbagai kaum untuk beriadah 
bersama keluarga.

Ketua Polis Selangor, Datuk Nik Ismail Nik Yusof, yang yakin keadaan bertambah 
baik dan akan pulih tidak lama lagi, berkata penduduk melakukan kegiatan harian 
seperti biasa tanpa rasa takut atau bimbang.

"Polis dengan kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk 
setempat juga memulakan beberapa program untuk membendung pergaduhan daripada 
berterusan.

"Antara kegiatan itu ialah meningkatkan rondaan, pengawasan dan pemantauan, 
membabitkan pasukan kawalan tempatan yang dianggotai penduduk pelbagai kaum 
dengan seliaan polis," katanya pada sidang akhbar di sini, petang ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Jamil Johari, berkata dua 
mangsa terbaru itu ialah seorang lelaki India yang mati di Pusat Perubatan 
Universiti Malaya (PPUM) dan seorang lagi warga Indonesia.

Katanya, lelaki India itu mengalami kecederaan selepas terbabit dalam pergaduhan 
di Sungai Way dekat sini pada jam 1.45 pagi tadi, manakala warga Indonesia 
terbunuh dalam pergaduhan lain di Kelana Jaya, pada jam 11.15 malam tadi.

Selain itu, beliau berkata jumlah mangsa yang cedera meningkat kepada 37 orang, 
termasuk empat parah.

Jamil berkata, sejak Khamis lalu polis sudah menahan 154 orang di Taman Datuk 
Harun, Kampung Medan, Taman Lindungan Jaya, Taman Desaria dan sekitarnya, iaitu 
89 Melayu, India (56) dan sembilan warga Indonesia, termasuk dua wanita.

Beliau meminta orang ramai, khususnya penduduk sekitar kawasan terbabit, supaya 
bertenang dan tidak mendengar khabar angin.

"Orang ramai perlu bertenang kerana keadaan sudah terkawal, walaupun masih wujud
kebimbangan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sejak kejadian Khamis lalu, polis merampas 106 senjata pelbagai jenis termasuk 
lapan bom petrol, rotan, rantai besi, parang, pedang samurai, pisau, cota dan 
lastik.

Sebanyak 16 kenderaan mengalami kerosakan, termasuk sebuah lori dan dua 
motosikal dibakar dan sembilan motosikal rosak teruk.

Bagi meningkatkan tahap keselamatan, Jamil berkata polis menambah jumlah 
anggotanya bagi mengawasi sekitar kawasan berkenaan.

Antaranya, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Anjing Pengesan, Pasukan Simpanan 
Persekutuan, unit peronda serta dua helikopter Unit Udara Polis.

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai masalah menghubungi Bilik Gerakan 
di pusat kawalan Taman Medan di talian 03-77841223 atau billik gerakan IPD 
(03-79559222).


______________________________________________________________
This email has been sent through 2b at http://www.2bmail.co.uk


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Temingat Di Belantara" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke