*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Secara umumnya rakyat di negara ini tidak kira golongan pelajar ataupun
tidak memang ketara kepada kita terdapatnya pemisahan mengikut kaum
dalam menjalani aktiviti-aktiviti kehidupan seharian mereka. Kita
sebagai rakyat Malaysia harus terima hakikat bahawa kita tinggal di
dalam satu negara dan sepatutnyalah kita kena hidup secara bersama.
Kadang-kadang mungkin secara semulajadi rakyat negara ini lebih senang
atau lebih selesa dengan cara hidup secara berpisah-pisah mengikut kaum
atau kelompok mereka kerana budaya dan nilai antara satu kaum dengan
kaum lain itu menyulitkan mereka untuk berhubung atau bersama. Malah
parti-parti politik di dalam negara ini juga banyak terbentuk berasaskan
suku kaum.

Untuk kestabilan negara dan untuk Malaysia yang lebih baik dan lebih
makmor pengasingan rakyat mengikut kaum ini tidak sepatutnya wujud walau
atas apa alasan sekalipun.  Sebenarnya pihak kerajaan juga boleh
memainkan peranan penting dalam memupuk perpaduan nasional ini. Kerajaan
boleh membuat dasar-dasar yang dapat menjana rakyat negara ini ke arah
matlamat mencapai perpaduan nasional ini jika benar-benar kerajaan mahu
mengatasi masalah ini.

Kalau diperhatikan di kawasan taman perumahan di negara kita ini,
terutamanya rumah-rumah kos rendah, kawasan-kawasan rumah tersebut di
bahagikan mengikut kaum. Satu kelompok rumah didiami oleh orang Melayu,
satu kelompok  diagihkan kepada orang Cina dan satu kelompok lagi
diberikan kepada orang India. Oleh kerana kawasan perumahan itu
dibahagikan berasingan mengikut kaum maka mereka pun hiduplah secara
berasingan mengikut kaum, walaupun mereka tinggal di taman perumahan
yang sama. Kalau anak-anak mereka main bola maka adalah tiga pasukan
bola yang mewakili tiga-tiga kaum terbesar itu. Begitulah juga kalau
dengan aktiviti-aktiviti lain, kalau orang Melayu buat aktiviti, orang
Cina dan orang India di taman itu tidak akan ambil tahu atau ambil
bahagian begitu jugalah sebaliknya.

Kalaulah dasar pengagihan rumah ini boleh diubah tentu ia akan memberi
implikasi yang besar kepada perpaduan nasional. Sebaiknya rumah-rumah
itu hendaklah diagih-agihkan secara berselang-selang antara kaum.
Anak-anak orang Melayu tentu dapat bermain bersama dengan anak jiran
mereka di kalangan orang Cina dan orang India. Secara tidak langsung
mereka dapat dididik hidup bersama, saling hormat menghormat dan
sentiasa bekerjasama  dalam apa saja aktiviti yang diadakan di taman
perumahan mereka.  Tidak timbul lagi soal perlunya tiga pasukan bola di
satu taman perumahan. Perasaan prasangka dan prejudis terhadap kaum lain
akan hilang bila mereka telah dapat mengenal hati dan budi
masing-masing, dan nilai ini akan terus kekal dan tentunya mereka tidak
berasa canggung bila berdepan dengan kelompok masyarakat yang lebih
besar.

Selain dari dasar perumahan, kerajaan juga boleh menggunakan sekolah
untuk menggalakkan kewujudan perpaduan nasional ini.  Kalau kita lihat
sekarang ini di atas kehendak rakyat negara ini mereka menghantar
anak-anak mereka ke sekolah yang berteraskan kaum. Orang Melayu akan
menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan, orang cina menghantar anak
mereka ke sekolah kebangsaan jenis Cina dan orang India menghantar anak
mereka ke sekolah kebangsaan jenis Tamil. Dari kecil kanak-kanak ini
telah dipisahkan mengikut kaum. Oleh itu mereka tidak dapat latihan atau
didikan yang memungkinkan mereka untuk hidup bersama. Untuk kepentingan
nasional kerajaan harus berani mengambil langkah-langkah supaya
murid-murid ini dapat belajar dan duduk di sekolah yang sama. Kerajaan
sepatutnya perlu mencari jalan supaya dapat menarik ibubapa tanpa
mengira kaum dapat menghantar anak-anak mereka di sekolah yang sama.
Kalau perlu di satu-satu sekolah itu perlu juga diajarkan bahasa
Mandarin dan bahasa Tamil atau lain-lain yang diperlukan oleh ibubapa di
kalangan orang Cina dan India jika mereka mahu itu jadikan sebagai
syarat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang sama.


Kita memang tidak ada pilihan lain, tidak mungkin kita boleh
mengenepikan atau menghapuskan kaum lain semata-mata untuk kaum kita
hidup lebih selesa. Mahu atau tidak kita harus kena terima hakikat kita
perlu hidup secara bersama dengan kaum-kaum lain di dalam satu negara.

Lebih dari itu………… apa nama………..   sebagai orang Islam sepatutnya
kitalah lebih dulu berbuat baik dengan kaum-kaum lain yang bukan Islam.
Sepatutnya kitalah yang patut mendekati mereka, berkawan dengan mereka
dan lebih pandai mengambil hati mereka. Sebaliknya janganlah kita hanya
menunggu mereka saja untuk mendekati kita sedangkan kita tidak ada usaha
ke arah itu. Oleh kerana kita yakin ugama kita lebih baik dari agama
mereka maka kalau mereka tidak mahu berkawan dengan kita atau tidak
memperdulikan kita, tidaklah kita hairan sangat. Pada satu masa dulu
ketika saya menaiki bas tiba-tiba seorang pemuda Inggeris yang duduk di
belakang saya bergegas ke depan. Rupa-rupanya  dia dia hendak memimpin
seorang tua yang hendak menaiki bas tersebut. Peristiwa itu telah
membuatkan saya hairan dan berfikir sejenak, sepatutnya sayalah yang
lebih dahulu pergi memimpin orang tua itu kerana saya tahu ugama saya
lebih baik dari ugama pemuda Inggeris itu. Wallahualam.




 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: alias yusof <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke