Surat Terbuka  Kepada  Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri
(Open  letter  to the  Home Affairs  Minister)

oleh:   Raja  Aziz Adruse   Presiden, Hakam.


Selama  dua  tahun  yang  lalu,  ramai  orang  yang telah ditangkap  kerana turut  serta  dalam perhimpunan yang  dianggap  menyalahi   undang-undang  (termasuklah  himpunan  tunjuk  perasaan  dan  perbarisan).


Beberapa kenyataan  pihak   polis dan kerajaan  membuat  rumusan  yang  menunjukkan  sebarang  perkumpulan   manusia  seramai lima orang ataupun  lebih  adalah secara automatis dikira  menyalahi  undang-undang  melainkan  ada  lessen ataupun  permit yang telah  dizinkan oleh  polis.

Sesiapa  yang  terlibat  dalam perhimpunan  terbuka  tanpa  sebarang  lessen  ataupun  permit  polis dikira dan dilayan sebagai  pesalah.

Beberapa aduan mengenai  keganasan  polis  yang  disiasat  oleh  Suhakam  (Suruhanjaya  Hak Asasi  manusia)  adalah berkaitan  dengan tuduhan   ketidaksabaran  dan  penggunaan secara berlebihan  kuasa  polis  dalam  menangani para   peserta dalam himpunan  rakyat  itu.


Kehadiran  bilangan  anggota  polis  yang  ramai  di persekitaran  tempat  perhimpunan rakyat   lengkap dengan segala peralatan canggih  untuk  merusuh  terhadap  kumpulan  orang  awam  yang  dianggap sebagai  perusuh, disertai  dengan  trak pancutan air, memberikan satu  tanggapan  bahawa  kerajaan  sebenarnya  sedang  berada  dalam  suasana yang  terkepung  daripada musuh  negara.


Amalan  pihak  polis  meredah  kumpulan  penunjuk perasaan untuk  menyuraikan  mereka,  dan mengejar serta  membalun  mereka dengan belantan  dan rotan,   pertama kalinya  ditayangkan   oleh  TV sejagat     pada  pertengahan  1999, sudah  pun  merupakan satu  pandangan  yang  terlalu  lumrah.


Seolah-olah menghenyak  kumpulan  itu  masih  tidak  mencukupi,  perserta  yang  menjadi  mangsa dan  dikenakan tuduhan di mahkamah  dan  didapati  bersalah, boleh kehilangan hak menggunakan pasport  negaranya  kerana  diambil balik  oleh jabatan  imigresen  setelah  mereka    melunaskan  tempoh  hukum yang  dijatuhkan oleh  mahkamah. Inilah  yang diberitakan oleh  laporan  akhbar.


Apakah  jabatan  imigresen  mempunyai  hak  perundangan  untuk  mengenakan  penalty ini  mencetuskan  beberapa  persoalan  yang  menyangkuti  hak asasi manusia  dan  perlembagaan negara.

Pada  bulan  Februari  tahun  lalu,  ‘Reuters’ telah  melaporkan dua  himpunan rakyat  pada  dua tempat berbeza   di  Kedah  yang terjadi dalam  jarak tempoh  dua  minggu. Satu  himpunan  rakyat  itu  berlaku di  hadapan sebuah  mahkamah  dan dihadiri  sekitar 500  manusia dan satu  lagi  adalah satu  perhimpunan  yang  disertai oleh  sekitar 5,000  orang  hasil   tajaan  parti  politik. Kedua-dua  perhimpunan  itu  telah  disuraikan oleh  polis  dengan  menggunakan gas  pemedih  mata  dan  pancutan  air.


Ada  satu  lagi  laporan  mengenai  majlis  perhimpunan   rakyat  sekitar 1,000 orang  yang  dianjurkan   di  waktu  yang  sama  di  Kuala  Lumpur. Satu  perhimpunan  rakyat  untuk  membuat  protes  terhadap salah guna kuasa  oleh  kerajaan, korupsi dan pelbagai   sanggahan  lagi  dilaporkan  sedang dirancang  pada  bulan  ini.

Untuk  menangani bertambahnya   perhimpunan  tunjuk  perasaan  ini, pihak  polis, seperti   yang dilaporkan  oleh media,  telah  menambahkan  bilangan  anggota  gerak   gempurnya  di  Kuala  Lumpur  lebih  tiga  kali ganda.

Mereka  yang  turut  serta  dalam demonstrasi jalanan  pada masa hadapan, boleh  menjangkakan  layanan ganas  daripada  pihak polis, dan   dalam  era  elektronik  ini,  gambar-gambar  ibukota   Malaysia  yang  sentiasa  dalam keadaan  terkepung  di  mana  polis  mengejar  dan  membalun  para  penunjuk  perasaan  akan   terus  menghiburkan  pemerhatian  sejagat.

Malaysia  sudah  tentu  akan terus dianggap  sebagai  sebuah  negara  yang tidak  menghormati  hak asasi  manusia.

Bukankah  sudah  tiba  masanya  pihak  polis  dan  pihak  yang berkuasa memikirkan  kedudukan  mengenai perhimpunan  rakyat  jelata?


Apakah  mereka  tidak  boleh  diberikan  ingatan  bahawa hak  berhimpun  secara aman  tanpa  sebarang  senjata  adalah satu  hak asasi yang terjamin   kepada  setiap rakyat  negara ini  di dalam  Perlembagaan negara  untuk  membolehkan  mereka menyatakan  secara  terbuka  ketidakpuasan  ataupun perasaan tidak setuju  terhadap  tindakan kerajaan  dan  langkah-langkah   kerajaan  itu?


Inilah  hak  yang  sama pentingnya  dengan  hak kebebasan bersuara   untuk  mendedahkan  salah guna kuasa   dan korupsi, dan  untuk  menentukan  ketelusan  dan akauntabiliti. Ini  adalah  sebahagian hak rakyat  untuk  membantah,  yang  merupakan  lunas  undang-undang  masyarakat yang bebas.


Namun, polis berkata bahawa hak  untuk berhimpun secara  aman  bukannya  sesuatu  yang  mutlak, tetapi  tertakluk kepada sekatan  yang  ditentukan undang-undang.  Mereka berpendapat  bahawa  mengikut  Akta Polis 1950 sebarang perhimpunan awam melibatkan lima  orang ataupun lebih tanpa  lesen  ataupun permit  polis dianggap  menyalahi undang-undang.


Mereka berkata  setiap perhimpunan  yang  tidak  diberikan lessen  ataupun  permit   ataupun tidak didahului  dengan  permohonan lessen  dianggap satu  kumpulan haram.  Petunjuk  jelas  bagaimana  mereka   menyaring sebarang permohonan  untuk  mendapatkan  lessen ataupun  permit  oleh  pihak pembangkang  telah  pun diterangkan baru-baru  ini oleh  Ketua  Polis   Negara.

Dia telah dilaporkan  sebagai  berkata  betapa  motif  di sebalik  demonstrasi  jalanan yang ditaja oleh  pembangkang  adalah mencabar  kerajaan dan  undang-undang  dan  dalam himpunan  manusia seperti  itu,  memang  selalu ada  unsur-unsur  keganasan.


Kalau   dikaji  prasangka  pihak   polis  itu, adalah  bukan satu  kejutan  apabila  permohonan  pembangkang   mendapatkan  lessen  dan  permit  untuk  berhimpun  secara  aman   tidak pernah mendapat  kejayaan dan  semua  perhimpunan  rakyat tajaan mereka  dianggap  sebagai haram  dan   tidak  mengikut lunas  undang-undang.


Apakah itu caranya polis  melayan  permohonan  untuk  rakyat  berhimpun secara  aman?


Mengikut  Perlembagaan  sekatan  yang boleh  dikenakan  terhadap  hak  untuk  berhimpun  secara  aman  mestilah  berasaskan   kepentingan  kepada  keselamatan negara  ataupun  ketenteraman  awam.



Di manakah letaknya percanggahan  yang melanggar kepentingan  keselamatan negara  ataupun awam  yang menyekat  hak  rakyat  berhimpun  secara  aman  untuk mengkritik  kerajaan  kerana tindakan  mereka  ataupun  tanggapan salah guna  kuasa, korupsi  dan  sebagainya  ataupun  untuk   menunjuk perasaan  bagi tujuan  menyerahkan  satu  memorandum  kepada  Suhakam  di  pejabatnya?


Ketua  Polis  Negara  berkata  bahawa  perhimpunan  ataupun  perbarisan  yang  ditaja oleh  pembangkang  mempunyai  motif  menyanggah  kerajaan.  Kalaulah  cadangan  itu benar,  ia bererti  kerajaan tidak boleh  dikritik langsung.


Tujuan  utama  menggunakan  hak untuk   mengkritik  adalah  untuk  mencabar  salah laku  tindakan kerajaan  ataupun  peraturan  yang  dicadangkannya. Selagi  tindakan  itu  dibuat  melalui  peraturan    perlembagaan  dan  undang-undang, polis  dan pihak  yang  berkuasa  harus  menghormati hak  itu.



Polis  dianggap  menyalahgunakan  kuasa apabila menyekat  pemberian  lessen  ataupun  permit  berasaskan alasan-alasan yang  pernah  disebut  oleh  Ketua  Polis Negara  ataupun  berasaskan sebab-sebab yang  disebut oleh timbalan  perdana  menteri,  seperti   yang  dilaporkan  oleh akhbar, betapa  masalah  boleh  tercetus  seandainya  ribuan  manusia  turut  terlibat  dalam  perhimpunan  yang ditaja   pada April 14, 2001 untuk  menyerahkan  satu  memorandum kepada  Suhakam.


Perasaan  takut-takut bahawa  rakyat  yang  berkumpul  itu boleh   menjadi  kucar-kacir   tidak boleh  digunakan  untuk  menyekat perhimpunan  aman ataupun  demonstrasi  ataupun  menghalang hak untuk berkumpul  secara aman. Jika  tidak  hak untuk  berkumpul  secara  aman  itu  akan  tidak membawa sebarang  makna  selain  menjadi  satu  ilusi  sahaja.


Tindakan  polis  terkini    menangkap  enam  ahli  Parti Keadilan  dan  seorang aktivis reformasi  telah  mencetuskan  banyak isu  yang  lebih  serius. Mengikut  polis, mereka itu  ditangkap  kerana  merancang untuk  mencetuskan  protes  sehingga 2004  ketika  pemilu memang  dijangkakan.


Rancangan itu  gamaknya  adalah  menggiatkan secara   bertingkat  tunjuk  perasaan  harian  sehingga  tercapai matlamatnya dan  polis  dikatakan  terpaksa bertindak  untuk  menyekat  rencana   menggugat   keamanan dan kestabilan  negara.

Tetapi  alasan  penangkapan tujuh orang  itu    berubah  pula pada  keesokan harinya  apabila  ia  dilaporkan  oleh media  (sila lihat  The Sun  April  12)  betapa mereka dikatakan adalah  sebahagian  kumpulan  militan  yang  bersedia  menggunakan   keganasan untuk  menggulingkan  kerajaan.


Mengikut  Ketua  Polis  Negara,  kumpulan  itu  sejak  akhir  tahun lalu, telah  mengambil  satu  strategy  serampang  dua  mata   untuk  (a)  meneruskan  perjuangan  melalui  proses  demokratik,  (b)  menggunakan  kaedah  menyalahi  perlembagaan  termasuk  aktiviti militan  seperti  demonstasi  jalanan,  sehinggalah  pemilu  2004  nanti;  aksi  militan  kumpulan  itu  yang  pertama ialah  untuk  menggembeling  sekitar 50,000 orang berhimpun  di pusat  Bandar pada April 14;  dan sebagai  umpan, pihak penganjur  telah  menggunakan  perhimpunan  itu  sebagai  satu  perkumpulan  untuk  menyerahkan  memorandum  rakyat  mengenai  hak asasi manusia  kepada  Suhakam.


Pada  kali pertamanya  dia  mengatakan  bahawa kumpulan  itu  pada  Oktober 1998, telah mencuba  mendapatkan  bahan  letupan, termasuk  bom dan pelancar grened dan  mempengaruhi sokongan   guru-silat  dan  beberapa  anggota  bekas pasukan  tentera  untuk turut serta  menunjuk  perasaan   yang akan dianjurkan  sebagai sokongan  terhadap  Anwar  Ibrahim.



Ketua Polis  Negara telah  memberitahu  media betapa  perhimpunan  itu  boleh  bertukar  menjadi  huru hara  dan  menasihatkan orang   awam agar tidak  menyertainya.

Dalam hal  ini   nampak jelas sekali  betapa  pihak   polis masih memikirkan  kemungkinan tercetusnya  huru hara. Anda sendiri  pun  telah dilaporkan  oleh ‘The  Sun’  pada  tarikh  yang  sama  sebagai berkata  bahawa  polis  mempunyai  bukti  betapa orang–orang itu  terlibat  dalam satu  percubaan  yang  membahayakan ketenteraman  awam  dan keselamatan  negara.  Cuma anda  tidak memberikan penjelasan lanjutan bahawa  adalah tanggungjawab  kerajaan  untuk  melindungi rakyatnya  daripada  sebarang  ugutan terhadap  keamanan dan keselamatan.


Anda  menasihatkan  bahawa  rakyat  tidak  perlu  berkumpul  ramai-ramai untuk  menyerahkan memorandum: itu  semua boleh dibuat  oleh  pemimpin  kumpulan.  Anda  tidak pula  menyebut  akan  usaha  mendapatkan  letupan  dan  pelancar grened,  sedangkan  itu  adalah  perkara   penting  dan serius, yang  kalau ada  kebenarannya tentu  sekali  anda telah  diberitahu  lebih awal  lagi.


Seseorang  boleh  merumuskan daripada beberapa laporan bahawa  bukti  konspirasi  untuk  menumbangkan kerajaan  secara  kekerasan dan  menggunakan senjata telah diperolehi  oleh  polis  untuk  satu waktu  yang lama. Kalaulah  benar  perkara  itu,  tidak pula  diterangkan  kenapa tidak  ada  tindakan  untuk  mengenakan  tuduhan  kepada  mereka  yang  terlibat  di  mahkamah  sebaik  sahaja  perkara itu  diketahui  dan  kenapakah pendedahan  itu  dibuat  hanya  beberapa  hari   sebelum  satu tunjuk  perasaan  yang  dirancang hampir  akan dilaksanakan.


Eloklah  dirakamkan  di  sini satu laporan  AFP betapa  Perdana  Menteri telah  memperakui  bahawa tidak ada sebarang bukti, sehingga  setakat  waktu  ini  untuk  menuduh tujuh  orang yang  ditahan itu di  bawah  undang-undang  biasa, dan dia ada berkata, “Saya  tidak tahu  sama  ada  mereka  memiliki  letupan ataupun  ada  kejadian  di  mana  petrol,  bom Molotov telah  dibuat  dan  dicuba  dulu”  dan  “ mereka (tujuh  orang  yang   ditahan  itu)  boleh  ditahan  di bawah  undang-undang  biasa  tetapi  undang-undang biasa  itu  memerlukan  bukti  tertentu  dan  prosedur  dan  proses  yang  saya  fikir  dari kaca mata  polis   tidak pun berkesan  untuk  menyekat  berlakunya  sesuatu. ….”


Akta  Keselamatan Dalam negeri  (ISA)  nampaknya, digunakan  lagi  dengan  tujuan  yang bercanggah  dengan tujuan  asalnya  dan  kerana  difikirkan  sesuai  untuk menggunakannya.


Persatuan hak Asasi Manusia  Nasional (HAKAM)  telah  kerap  meminta agar  ISA  itu  dimansuhkan  kerana  ia dicipta khas  untuk  menangani  masalah khusus   pencerobohan  komunis  dan  sabversif  (yang ketika itu  menghantui  Malaya  ketika  mengharungi  kemerdekaannya pada  1957) dan masalah itu  sudah pun   tamat  beberapa  tahun  yang lalu dengan  rencana penyerahan diri para  komunis  dan  penyokong  mereka  (yang  merupakan  jenis manusia  yang  disebut  dalam  Akta  itu).


HAKAM berpendapat    gelagat  menggunakan  terus  peruntukan  dalam  Akta  itu  adalah  tidak  bersesuaian  lagi.  Ia  menyanggah  keluhuran  kedaulatan  undang-undang  orang perseorangan  ataupun  pihak  berkuasa  yang diberikan hak  menggunakan budi bicara. Penangkapan arbitrari dan penahanan   tidak boleh  dibenarkan dalam sebuah negara  yang bermegah dengan  amalan demokrasinya.


HAKAM  meminta  jasa baik anda  sebagai Menteri Hal Ehwal  Dalam Negeri, menimbangkan beberapa rayuan oleh  beberapa  pihak bahawa  hak rakyat  negara  ini berkumpul  secara  aman  dihormati  dan  pihak polis  diberikan  didikan untuk memahami bahawa  adalah tanggungjawab  mereka  membolehkan  rakyat  negara  ini  melaksanakan  hak mereka untuk  membantah  melalui  hak terjamin  kepada kebebasan bercakap  dan  berhimpun  secara aman.


Apabila  perhimpunan  aman diganggu-gugat  oleh pihak luar  yang  berniat  untuk  mencetuskan  huru hara, mereka yang  melakukan pencabulan  itu  yang sepatutnya  ditangani oleh  polis  - bukan sebaliknya.   Sikap  polis  tidak mahu  mengeluarkan  lessen  ataupun permit untuk perhimpunan rakyat  yang  dianjurkan   oleh  pihak  pembangkang  adalah  sesuatu  yang boleh  dipersoalkan kerana   tidak mengikuti  keluhuran  perlembagaan.


HAKAM mengajak  anda  memikirkan  secara  serius  cadangannya,  dan cadangan  kumpulan bukan  kerajaan   (NGOs) dan  pertubuhan  lain,  agar  ISA dimansuhkan  kerana  sebab-sebab yang  dinyatakan tadi.


Untuk sementara  waktu,  tujuh aktivis  yang telah  ditahan  itu  haruslah  dibebaskan tanpa berlengah  lagi.  Kalau  ada  sebarang bukti   menunjukkan pembabitan  mereka dalam  sebarang  kegiatan   jenayah, mereka haruslah didakwa  di mahkamah  di  mana  mereka  berhak  membela  diri.



Raja  Aziz Addruse
Presiden Hakam
April 16, 2001.

Terjemahan MT

1

COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Auctions - buy the things you want at great prices

Kirim email ke