Berjayakah strategi Puteri Umno? 
 

Oleh : Aman Rais 

Tersenarai sudah barisan pemimpin penaja Puteri Umno, antaranya 
termasuklah penyanyi dan pelakon popular Erra Fazira. Ramai golongan 
adam dalam Umno tergamam melihat barisan pelapis yang dipilih oleh 
Azalina Othman itu. 

Nampaknya Ketua Puteri Umno itu telah membuat satu pilihan dan 
perhitungan yang bijak. Beliau membariskan muka-muka yang segar, 
cantik, berpendidikan dan profesional untuk membantunya mengharungi 
cabaran besar dan tugas berat di hadapannya. 

Tugas besar Azalina sekarang ialah untuk merapatkan golongan muda 
dengan Umno. Beliau tahu bukan mudah untuk menarik orang muda 
mendekati parti itu, apatah lagi untuk menjadi ahli. Dalam keadaan 
Umno kelam kabut, tercari-cari identiti dan asas perjuangannya, 
dibebani masalah politik wang serta perebutan kuasa, tugas Azalina 
menjadi lebih sukar. 

Beliau perlu melaksanakan tugas dengan segera dan terpaksa mencari 
jalan pintas. Sebagai insan yang pernah melalui zaman remaja, Azalina 
tahu kelemahan dan minat anak-anak muda. Beliau tahu remaja sukakan 
hiburan dan mudah terikut-ikut dengan gelagat personaliti pujaan 
mereka. 

Oleh itu peguam muda ini menggunakan pendekatan lama yang selalu 
digunakan oleh Umno sebelum ini iaitu menggunakan penghibur sebagai 
daya tarikan. Taktik ini sering digunakan oleh Umno dalam kempen-
kempen pilihanraya atau perhimpunannya bersama rakyat sebelum ini. 

Siti Nurhaliza, Raihan dan ramai lagi artis popular pernah berada di 
pentas ceramah Umno untuk membantu kempen parti itu. Kini tiba 
giliran Erra Fazira, tetapi peranannya lebih besar, bukan sekadar 
menari dan menyanyi sahaja. Beliau terlibat secara langsung, sebagai 
ahli dan pemimpin Puteri Umno. 

Adakah strategi Azalina akan berjaya? Sukar dijangkakan tetapi 
berdasarkan rekod-rekod lalu, taktik menggunakan artis - untuk 
menarik rakyat datang ke majlis-majlis Umno - tidak mendatangkan 
kesan yang diharapkan. 

Artis ya, PM tidak 

Rakyat akan datang berduyun-duyun tetapi bukan untuk mendengar 
retorika Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad atau ucapan berdegar-degar 
Datuk Paduka Ibrahim Ali, mereka mahu mendengar suara lunak Siti 
Nurhaliza atau nasyid moden Raihan. Rakyat mahukan hiburan. 

Harga tiket untuk menyaksikan konsert Siti, Raihan atau KRU sekarang 
bukannya murah - pendapatan seminggu seorang penoreh getah, nelayan 
atau pemandu teksi belum tentu dapat membelinya. 

Jadi apa salahnya pergi mendengar nyanyian KRU atau Raihan dan 
mendapatkan autograf Erra Fazira - asalkan semuanya percuma! 

Selesai persembahan para artis, rakyat akan kembali kepada asal - 
mesej yang hendak disampaikan oleh pemimpin Umno hanya masuk telinga 
kanan, keluar telinga kiri. Mereka tetap memangkah parti pembangkang 
sebagaimana dalam pilihanraya umum lalu. 

Adakah penampilan Erra dalam Puteri Umno akan menerima nasib yang 
sama? Adakah peminatnya akan menyertai Umno semata-mata kerana idola 
mereka juga menyertai dan memimpin sayap Umno itu atau mungkinkah 
Erra dan Puteri akan menerima kesan sebaliknya. 

Ramai artis yang dikaitkan dengan Umno sebelum ini telah menjadi 
sasaran kempen boikot. Erra juga mungkin menerima risiko yang sama. 

Azalina tentu tahu pro dan kontra tindakannya melantik seorang artis 
sebagai seorang daripada barisan exconya. Kalau beliau melihat 
pelantikan itu satu gimik sahaja - untuk menarik perhatian ramai - 
nyata sekali tindakannya telah berhasil. 

Erra tenggelamkan Azalina 

Kini orang ramai tidak henti-henti memperkatakan tentang sayap baru 
Umno itu. Sekelip mata sahaja Erra menjadi hampir sinonim dengan 
Puteri Umno. Malahan ada ahli Umno mengatakan Erra telah 
menenggelamkan kehadiran Azalina dalam Puteri. 

Banyak pihak mengalu-alukan tindakan Azalina itu dan tidak kurang 
juga yang mengkritiknya. Golongan taksub Umno berpendapat langkah ini 
sangat bijak kerana Erra Fazira mempunyai ramai peminat dan mereka 
boleh dipengaruhi dengan mudah untuk menyertai Puteri. 

Formula lapuk yang tidak berkesan diadun semula - nampaknya Umno 
masih menganggap rakyat mudah dibeli dengan hiburan dan artis-artis 
cantik? 

Sementara itu mereka yang kritis pula menganggap langkah menggunakan 
Erra itu menunjukkan Umno ketandusan bakat-bakat baru untuk 
diketengahkan dan kekeringan idea. Langkah menggunakan artis dan 
melantik barisan exco Puteri daripada kalangan anak-anak pemimpin dan 
bekas pemimpin Umno ini jelas menunjukkan pengaruh parti itu hanya 
pekat di kalangan suku-sakat para pemimpinnya. 

Dengan membariskan exco yang masih mentah dan tidak berpangalaman 
ini, tugas Azalina menjadi lebih banyak. Beliau kena membimbing dan 
memantau mereka bagi memastikan setiap program dapat dijalankan 
dengan berkesan. 

Masalah menubuhkan jawatankuasa penaja di peringkat nasional telah 
selesai tetapi perkara yang lebih rumit menunggu di peringkat 
bahagian dan cawangan. Apakah wujud puteri-puteri Melayu yang mahu 
membabitkan diri di peringkat akar umbi? 

Dalam keadaan suasana politik lebih memihak kepada parti-parti 
pembangkang sekarang, Puteri Umno memerlukan lebih daripada hanya 
raut wajah dan potongan badan untuk menjayakan matlamatnya! 



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sedarlah Wahai Rakyat Malaysia Yang Beriman...
E-mail -> [EMAIL PROTECTED] 
Untuk melanggan -> [EMAIL PROTECTED]
Laman Rasmi di www.sedarlah.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ 

Your use of Yahoo! Groups is subject to http://docs.yahoo.com/info/terms/ 




Reply via email to