*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ISA dari perspektif hukum Islam 

Dipetik dari Minda Rakyat

http://mindarakyat0.tripod.com/2001mei/2001-1469.htm


1. Pengenalan ringkas 

ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang diwujudkan oleh 
parlimen Malaysia yang mula berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 1hb. Ogos 1960 
dan di Malaysia Timur pada ‘Hari Malaysia’ (16hb. September 1963). Akta yang 
dinamakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) dan tersohor 
dengan singkatan ISA ini bertujuan mencegah tindakan ancaman oleh sekumpulan 
orang yang substantial dari dalam dan luar Malaysia: 

i)                      untuk menyebabkan keganasan berancang terhadap orang 
atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan 
keganasan itu; dan 

ii)                     untuk mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara lain 
daripada cara yang sah, (terhadap) Kerajaan Malaysia yang sah ditubuhkan menurut 
undang-undang. 

Sehingga tahun 1969, akta ini telah mengalami perubahan dan pindaan sebanyak 
tidak kurang daripada 15 kali, iaitu sekali pada tahun 1962, tiga kali pada 1963 
dan juga 1964, dua kali pada 1965, masing-masing tiga kali pada 1966 dan 1969 
dan sekali pada 1989. Sejak 1989, tiada sebarang pindaan tercatat sehingga hari 
ini. (Lihat Panduan Undang-Undang Am, Jilid I, International Law Book Services, 
K. Lumpur, 1998, m.s: 177) 

Melihat kepada tujuan penggubalan akta ini, ia jelas bermaksud mencegah 
perbuatan keganasan yang mengancam keselamatan negara dan percubaan 
menggulingkan secara tidak sah (subversif) sebuah kerajaan yang tertubuh dengan 
sah di bawah perlembagaan negara (melalui pilihan raya demokrasi). Menurut bekas 
Presiden Majlis Peguam, Haji Sulaiman Abdullah, Majlis Peguam membantah akta 
ini kerana berpegang kepada sebab-sebab yang dikemukakan oleh Perdana Menteri 
Kedua (Tun Abdul Razak) ketika beliau membentangkan ISA di Parlimen dahulu atas 
sebab ancaman subversif dan pengganas komunis (Mingguan Malaysia, 25 Jun 2000). 
Sepatutnya bila pergerakan dan ancaman komunis telah tidak wujud lagi, akta ini 
dimansuhkan terus oleh Parlimen. Tetapi nampaknya kelebihan majoriti 2/3 wakil 
UMNO/BN di Parlimen sehingga kini lebih berminat untuk mengekalkan akta ini 
demi survival kediktatoran mereka mencengkam rakyat yang tidak mengikut arus 
perdana. 

Berdasarkan objektif mencegah ancaman keganasan dan subversif, nampaknya ia 
tidak bertentangan dengan prinsip maslahah `aammah (kepentingan awam) yang 
dibawa oleh Islam, jika kerajaan yang tertubuh itu adalah kerajaan yang adil 
dan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat. 

Tetapi sejarah membuktikan bahawa kewujudan akta ini menjadi lesen terbesar 
bagi pihak kerajaan untuk menjustifikasikan bahawa pihaknya sentiasa benar, 
sentiasa memelihara ketenteraman awam atau kepentingan rakyat. Dalam masa yang 
sama kerajaan memiliki super power untuk menekan suara kedua atau pendapat 
alternatif yang cuba dibangkitkan oleh sejumlah rakyat, yang tidak mampu dijawab 
dengan memuaskan oleh kerajaan. Sedangkan rakyat yang memerhati dapat memahami 
bahawa ‘ketenteraman awam atau kepentingan rakyat’ yang dilaung-laungkan itu, 
dalam banyak keadaan adalah ketenteraman dan kepentingan politik dan kedudukan 
pihak pemerintah. 

Penangkapan musuh-musuh politik para pemimpin pemerintah pada tahun 70-an 
seperti A. Samad Ismail, Said Azhari dan lain-lain, penangkapan di bawah Operasi 
Lalang 1987 dan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan seperjuangannya 
dengan bermulanya kes pemecatan beliau pada September 1998, adalah amat sukar 
untuk diterima bahawa akta ini digunakan untuk tujuan memelihara ketenteraman 
negara. Lebih-lebih lagi apabila memerhatikan sebab-sebab tangkapan di bawah 
akta ini terhadap tujuh aktivis reformasi pada 10 dan 11 April lepas (beberapa 
hari menjelang penyerahan memorandum rakyat kepada Suhakam, 14hb. April 2001), 
penangkapan Dr. Badrul Amin Baharom pada 20 April, Lokman Noor Adam 24 April 
dan Pak Din 27 April lalu. 

2. Seksyen yang digunakan dalam kes tahanan ISA terkini 

Dalam rencana ini saya akan menumpukan peristiwa penahanan sepuluh orang 
(setakat ini) aktivis reformasi sebagai bahan kajian, untuk melihat sejauh mana 
kedudukan akta yang juga ditafsirkan sesetengah orang sebagai ‘Ikut Suka Aku’ 
ini daripada pandangan Islam. 

Menurut sumber polis, para aktivis reformasi itu ditahan di bawah seksyen (s.) 
73 (1) ISA. Sebelum menyebutkan seksyen yang digunakan untuk membuat penahanan 
itu, eloklah kita sebutkan secara salinan semula beberapa seksyen penting yang 
menarik untuk kita ketahui daripada keseluruhan 85 seksyen (termasuk s. 9, s. 84 
dan beberapa subseksyen yang telah dimansuhkan) yang terdapat di bawah akta ini. 

Perlu diterangkan bahawa s. 8 akta ini dipecahkan kepada subseksyen-subseksyen 
seperti berikut: 

S. 8 (1) “Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang adalah 
perlu dengan tujuan mencegahnya daripada bertindak dalam apa-apa cara yang 
mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya 
atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kepada kehidupan 
ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah (yang kemudian daripada ini 
disebut perintah tahanan) mengarahkan bahawa orang itu ditahan bagi apa-apa 
tempoh tidak lebih daripada dua tahun. 

Melalui Akta A705 (1969) penambahan (pindaan) telah dibuat ke atas s. 8 (1) ini 
dengan menyatakan bahawa penahanan dalam ‘tempoh peralihan’ antara Akta ibu 
(iaitu akta asal, yang digubal pada 1960) dan Akta A705 ini (1969), adalah sah 
dan menurut undang-undang; dan dengan menyatakan bahawa “Tiada tindakan guaman, 
pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang lain daripada apa-apa 
perihalan atau dalam apa-apa bentuk , boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan 
di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan selepas mula berkuatkuasanya Akta 
ini…” 

S. 8 (2) Dalam subseksyen (1)  “perkhidmatan perlu”, ertinya apa-apa 
perkhidmatan, perniagaan, tred, perusahaan, pengilangan atau atau pekerjaan yang 
termasuk dalam Jadual Ketiga (senarai perkhidmatan perlu kepada orang awam – 
penyalin) 

S. 8 (3) Tiap-tiap orang yang ditahan menurut suatu perintah tahanan hendaklah 
ditahan di mana-mana tempat (yang kemudian daripada ini disebut tempat tahanan) 
sebagaimana Menteri boleh mengarahkan dan mengikut apa-apa arahan yang 
dikeluarkan oleh Menteri dan  apa-apa kaedah yang dibuat di bawah subseksyen 
(4). 

S. 8 (4) Menteri boleh melalui kaedah-kaedah memperuntukkan bagi penyenggaraan 
dan pengurusan tempat-tempat tahanan dan bagi disiplin dan perlakuan terhadap 
orang-orang yang ditahan di dalamnya, dan boleh membuat kaedah yang berlainan 
bagi tempat-tempat tahanan yang berlainan. 

S. 8 (5) Jika Menteri berpuas hati bahawa bagi apa-apa maksud yang tersebut 
dalam subseksyen (1) adalah perlu supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke 
atas mana-mana orang atau bahawa sekatan-sekatan dan syarat-syarat dikenakan ke 
atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat 
kediaman atau pekerjaannya, tetapi bahawa bagi maksud itu adalah tidak perlu 
untuk menahannya, Menteri boleh membuat satu perintah (yang kemudian daripada 
ini disebut perintah sekatan) mengenakan ke atas orang itu semua atau apa-apa 
sekatan dan syarat berikut: 

(a)     bagi mengenakan ke atas orang itu apa-apa sekatan sebagaimana 
dinyatakan dalam perintah itu berkenaan dengan aktiviti dan tempat kediaman dan 
pekerjaannya; 

(b)     bagi melarangnya daripada berada di luar rumah di antara apa-apa waktu 
sebagaimana dinyatakan dalam perintah, kecuali di bawah kebenaran suatu permit 
bertulis yang diberi oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang sebagaimana 
dinyatakan sedemikian; 

(c)     bagi menghendakinya memberitahu pergerakannya dalam apa-apa cara pada 
sesuatu masa dan kepada mana-mana pihak bverkuasa atau orang sebagaimana 
dinyakatan dalam perintah itu; 

(d)     bagi melarangnya daripada berucap di perjumpaan awam atau daripada 
memegang jawatan dalam, atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak 
sebagai penasihat kepada mana-mana organisasi atau persatuan, atau daripada 
mengambil bahagian dalam aman-mana aktiviti politik; dan 

(e)     bagi melarangnya daripada mengembara luar dari sempadan Malaysia atau 
mana-mana bahagiannya yang dinyatakan dalam perintah itu melainkan mengikut 
kebenaran yang diberikan kepadanya oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang 
sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu. 

S. 8 (6) Tiap-tiap perintah sekatan hendaklah terus berkuatkuasa bagi apa-apa 
tempoh, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan di dalamnya, dan 
boleh meliputi suatu arahan oleh Menteri bahawa orang yang berkenaan dengannya 
arahan itu dibuat, hendaklah mengikat suatu bon dengan atau tanpa penjamin dan 
dengan apa-apa jumlah sebagaimana dinyatakan bagi pematuhan sewajarnya sekatan-
sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan ke atasnya.   

S. 8 (7) Menteri boleh mengarahkan supaya jangka masa apa-apa perintah tahanan 
atau perintah sekatan dilanjutkan bagi apa-apa tempoh selanjutnya, tidak lebih 
daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan olehnya, sama ada – 

(a)     atas alasan-alasan yang sama seperti mana perintah asal dibuat; 

(b)     atas alasan-alasan berlainan daripada alasan-alasan atas mana perintah 
asal dibuat; atau 

(c)     sebahagiannya atas alasan-alasan yang sama dan sebahagiannya atas 
alasan-alasan yang lain; 

             Dengan syarat bahawa jika suatu perintah tahanan dilanjutkan atas 
             alasan-alasan yang berlainan atau sebahagiannya atas alasan-alasan 
             yang berlainan, orang yang kepadanya perintah itu berkaitan, 
             hendaklah mempunyai hak-hak yang sama di bawah seksyen 11 (salinan 
             perintah daripada Menteri dan  hak rayuan kepada Lembaga Penasihat 
             – penyalin) seolah-olah perintah yang dilanjutkan sebagaimana 
             tersebut dahulu adalah suatu perintah baru, dan seksyen 12 (1) 
             (Lembaga Penasihat menimbang dan membuat syor kepada Yang di-
             Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh rayuan diterima 
             atau lebih lanjut berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong – 
             penyalin) adalah terpakai dengan sewajarnya. 

S. 8 (8) Menteri dari semasa ke semasa dengan notis bertulis boleh menyampaikan 
kepada seseorang yang adalah subjek suatu perintah sekatan mengubah, memotong 
atau menambah apa-apa sekatan atau syarat yang dikenakan ke atas orang itu oleh 
perintah itu, dan sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang diubahkan dan apa-apa 
sekatan atau syarat tambahan yang dikenakan hendaklah, melainkan terlebih dahulu 
dipotong, terus berkuatkuasa bagi bahagian tempoh yang belum tamat yang 
dinyatakan di bawah subseksyen (6) atau (7)”. 

Selain subseksyen di atas, ada beberapa pecahan lain lagi yang tidak perlu 
disebutkan semuanya di sini. 

Manakala S. 73 (1) pula menyebutkan, “Mana-mana pegawai polis boleh menangkap 
dan menahan tanpa waran mana-mana orang sebelum selesai siasatan yang berkenaan 
dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai- 

a)                   bahawa ada alasan-alasan yang akan menjustifikasikan 
penahanannya di bawah seksyen 8; dan 

b)                   bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau 
mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada 
keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan 
perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.” 

S. 73 (2) “Mana-mana pegawai polis, sebelum selesai siasatan, boleh menangkap 
dan menahan tanpa waran mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu 
gagal untuk memuaskan hati pegawai itu mengenai identitinya atau mengenai 
maksud-maksud dia berada di tempat di mana dia dijumpai, dan pegawai itu 
mengesyaki orang itu telah bertindak atau hampir bertindak dengan apa cara yang 
mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di 
dalamnya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam atau kepada 
kehidupan ekonominya.” 

S. 73 (3) “Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan 
selama tempoh tidak lebih daripada enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan 
dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8.” 

Berdasarkan sebutan seksyen 73(1) di atas, adalah difahami bahawa aktivis 
reformasi itu ditahan dengan kuasa polis atas alasan-alasan yang sama seperti 
alasan arahan penahanan oleh Menteri dalam seksyen 8(1), iaitu untuk mencegah 
daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada 
keselamatan Malaysia; ATAU atas alasan bahawa para aktivis itu “telah bertindak 
atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang 
mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya 
atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada 
kehidupan ekonominya.” 

3. Tuduhan militan 

Maka Ketua Polis Negara pun memberitahu alasan penahanan mereka itu ialah 
kerana mereka didapati merancang mencetuskan demontrasi jalanan besar-besaran 
bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004. Dikatakan ‘bercorak militan’ 
kerana kononnya pihak polis mendapat maklumat mereka merancang menggunakan alat 
letupan seperti bom dan molotov cocktail. Namun sehingga kini polis belum 
berupaya menunjukkan kepada umum barang-barang kes, memaklumkan tempat di mana 
dan bila mereka membuat pertemuan sulit itu atau ucapan sulit mereka yang 
dikatakan ingin mengadakan demonstrasi ‘militan’. Apabila disoal tentang bukti 
‘rancangan jahat’ aktivis reformasi itu di Parlimen, Timbalan Menteri Dalam 
Negeri Chor Chee Heung berkata itu ‘top secret’ polis, tak boleh ditunjuk atau 
diberitahu kepada umum. 

Satu perkara yang amat tidak masuk akal, bahan bukti dan bukti tuduhan dianggap 
sebagai ‘top secret’. Kalau begitu sesiapa pun boleh ditahan oleh polis dan 
boleh diarah ditahan oleh Menteri Dalam Negeri dengan alasan ‘mengancam 
keselamatan awam’. Bila ditanya apakah bukti orang itu dituduh mengancam 
keselamatan awam, pihak berwajib pun menjawab, “itu top secret polis, tak boleh 
bagi tau…”. 

Ketua Polis Negara (KPN) pula apabila didesak bertubi-tubi oleh wartawan 
tentang adakah polis menemui sebarang senjata sebelum atau semasa penahanan 
aktivis itu, jawapan yang diberikan amat tidak bertanggungjawab, “… the tongue 
is mightier than weapons…”. (Harakah, 1-15 Mei, 2001) Ini jelas menunjukkan 
bahawa tiada sebarang senjata yang boleh dijadikan bukti kewujudan unsur 
perjuangan reformasi secara ‘militan’ yang menjadi alasan penahanan aktivis 
itu. Satu-satunya senjata yang mereka miliki ialah ‘lidah,’ yang disifatkan oleh 
KPN sebagai ‘lebih bahaya daripada senjata’. Jadi mereka ditangkap kerana 
berjuang dengan senjata ‘lidah’. 

Nampaknya di Malaysia sekarang, bercakap dan berucap menjadi kesalahan, apabila 
ucapan dan percakapan itu tidak searus dengan aliran perdana yang memerintah. 
Polis boleh menangkap anda kerana bersenjatakan lidah (atau pena) mengkritik 
elit politik negara atas dakwaan membangkitkan perjuangan ‘militan’ dan 
‘mengancam keselamatan negara’. ‘Militan’ tidak lagi merujuk kepada senjata 
api, bom dan pertempuran berdarah, tetapi dengan tafsiran baru iaitu ‘senjata 
lidah yang lebih bahaya daripada senjata api’. 

Ini sudah jadi macam sebuah police state, atau sebuah negara yang mempunyai 
polis rahsia seperti Israel. Polis menjadi polis, penyiasat, pendakwa dan hakim 
dalam satu masa untuk menjatuhkan hukuman di mahkamahnya sendiri (ibu pejabat 
atau balai polis). Apa sudah jadi dengan ‘negara Islam’ Malaysia ini? Polis 
bukan lagi memberi ketenteraman kepada rakyat, tapi sudah jadi alat untuk 
menekan dan menyakitkan rakyat, bermaharajalela dan berlagak seperti samseng di 
bawah seksyen 73 ISA, terutama terhadap rakyat yang tidak menyokong kerajaan. 

Apa tidak samsengnya kalau segala tindakannya langsung tidak boleh dipersoal? 
Kalau dipersoal pun, si penyoal tidak berhak untuk mendapat jawapan tentang 
alasan sebenar penahanan itu dan bukti bagaimana alasan itu timbul. Polis juga 
mendapat kuasa menceroboh tanpa arahan mahkamah (waran) premis-premis 
persendirian seperti tindakan ala Desprado yang berlaku semasa penahanan Datuk 
Seri Anwar Ibrahim di rumahnya. Polis juga telah membuktikan samsengnya di bawah 
akta ini melalui peristiwa lebam mata bekas Timbalan Perdana Menteri itu semasa 
dalam tahanan. Bahkan polis diberi lesen untuk melepaskan tembakan jika orang 
yang diperintah untuk ditahan cuba melarikan diri - S. 74 (2) ISA. Ini juga 
semacam polis rahsia Israel, Mossad. 

Mungkin polis berhujah mereka bertindak menurut kuasa dan undang-undang yang 
diperuntukkan dalam ISA. Undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen yang 
dianggotai oleh wakil-wakil rakyat sejak 1960. Soalnya adakah undang-undang 
yang bertentangan semangat demokrasi, Deklarasi Hak Asasi Manusia, Perlembagaan, 
lebih-lebih lagi bertentangan dengan hukum Islam, wajib dilaksana dan 
dikuatkuasakan juga oleh polis yang bertanggungjawab kepada ‘negara Islam’ 
Malaysia ini? Sedangkan banyak laporan tentang salah laku anggota pemerintah 
yang tidak dibuktikan proses penyiasatannya oleh polis, apatah lagi hendak 
menangkap. Dalam menguatkuasakan undang-undang yang memberi keuntungan kepada 
pemerintah dan melemahkan pembangkang, polis bertindak tegas seperti malaikat 
yang melaksanakan perintah Tuhan secara mutlak sebagaimana yang dirakamkan 
dalam sebuah ayat al-Quran yang bermaksud; 

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu 
daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan, 
ia dijaga oleh para malaikat yang kasar lagi keras, sedikit pun tidak 
mengingkari perintah Allah dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan.” (al-
Tahrim: 6) 

Dalam menguatkuasakan ISA ini, polis seolah-olah telah mempertuhankan orang 
yang memerintah undang-undang draconian itu digunakan, tanpa sebarang bantahan, 
seperti malaikat yang tidak membantah perintah Tuhan. Malaikat terpuji dengan 
sifat itu, tetapi manusia terkeji apabila bersifat seperti malaikat terhadap 
manusia lain yang diberi kedudukan seperti tuhan. 

Tulisan ini tidak sekali-sekali berniat untuk memburukkan imej polis di mata 
masyarakat, tetapi dalam kes penahanan ISA akhir-akhir ini, untuk ke sekian 
kalinya mempamerkan imej yang buruk itu. Dan ini juga tidak menggambarkan semua 
unit polis, kerana unit-unit yang lain didapati menjalankan tugas dengan baik 
dan cemerlang demi ketenteraman rakyat. Sekiranya apa yang ditulis tentang 
penahanan ISA kali ini tidak benar, masyarakat akan menolak mentah-mentah 
tulisan ini. Saya juga sedar, dengan menulis rencana ini, bahawa saya terdedah 
kepada pendakwaan di bawah beberapa akta reka cipta penjajah (yang dikekalkan 
oleh rejim UMNO/BN) seperti Akta Hasutan dan Akta ISA sendiri. Tetapi demi Islam 
yang benar, demi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam, demi Muhammad s.a.w. yang 
membawa ajaran rahmat untuk seluruh alam, saya menggagahkan diri untuk mencegah 
kemungkaran ISA setakat kemampuan saya dengan cara ini. 

4. Respon media kerajaan 

Pihak kerajaan dan penyokongnya sudah pasti mengatakan penahanan di bawah ISA 
ini wajar, dan kesal kerana kerajaan kononnya dituduh mencabul hak asasi 
manusia. Para pengampu yang dulu pernah ditahan di bawah akta yang sama pun 
kali ini menyokong penuh penahanan lapan aktivis itu sambil memberi kepercayaan 
kononnya polis mesti bertindak berlandaskan ‘bukti kukuh’. Ini juga seolah-olah 
meletakkan pasukan polis sebagai satu pasukan ‘malaikat’ yang tak pernah silap. 
Polis buatlah apa sahaja pun, sudah pasti polis betul, walaupun gagal 
membuktikan tuduhan ke atas orang yang kena tahan. 

Cuma seorang kolumnis Berita Harian (edisi 28 April 2001) yang agak rasional 
dalam kolumnya ‘Bila Sauh Dilabuh’. Wartawan veteran itu juga pernah diISAkan 
pada tahun 70-an selama hampir lima tahun tanpa tuduhan berasas dan sebarang 
perbicaraan. Beliau berpendapat bahawa ISA sering digunakan oleh pihak berkuasa 
untuk menentang suara yang tidak sehaluan, yang bukan komunis. Pihak yang 
memangsai beliau pada 70-an itu juga ialah para pemimpin UMNO, tegasnya. Dan 
UMNO itu jugalah yang menerkam dan menggigit mangsanya hari ini dengan kuku dan 
taring ISA. 

Sedangkan inilah satu bentuk kediktatoran (istibdad) dan perhambaan (isti`bad), 
apa sahaja yang dilakukan oleh pihak yang ada kuasa, justifikasinya adalah benar 
dan betul. Rakyat juga wajib menerimanya sebagai betul dan adil. Demi Allah, 
inilah gambaran masyarakat manusia yang hidup di zaman Firaun dulu. Apa sahaja 
kata Firaun, maka dia pasti betul. Apa sahaja tindakan orang suruhan Firaun (al-
Quran menamakan mereka sebagai al-Mala’), maka sudah pasti benar kerana mereka 
bertindak berasaskan ‘bukti kukuh’ dan ‘sah’ menurut timbangan undang-undang 
Firaun. Hari ini ISA adalah undang-undang yang sah menurut pertimbangan ISA 
yang diwujudkan di zaman ancaman komunis, BUKAN sah menurut perlembagaan negara, 
deklarasi hak asasi manusia, apatah lagi menurut prinsip keadilan Islam. 

Keangkuhan mereka yang memiliki kuasa amat melampau. Cadangan sebuah suruhan 
jaya yang ditubuhkan khas oleh Parlimen untuk memantau kebebasan asasi di 
Malaysia (Suhakam) dalam sebuah negara demokrasi dikatakan hanya semata-mata 
cadangan dan kerajaan tidak terikat dengan cadangan itu. Ada pula yang 
mengatakan Suhakam tidak berhak mempertikai tindakan tidak demokratik orang 
suruhan kerajaan (polis), kerana kononnya Suhakam tidak diberi tanggungjawab 
menjaga keselamatan awam. 

Polis pula nampaknya berdolak-dalik. Mula-mula KPN berkata boleh buat 
permohonan rasmi untuk bertemu dengan aktivis reformasi yang ditahan itu dan 
tiada masalah untuk menimbang permohonan yang mengikut prosedur (Utusan 
Malaysia, 13 April 2001). Kini, mahkamah diberitahu bahawa KPN tidak membenarkan 
lawatan terhadap tahanan kerana tidak mahu menjejaskan siasatan (Mingguan 
Malaysia, 29 April). Apakah jenis siasatan pun kita tak tahu, sehingga nak 
bertemu dan melihat sekejap mangsa tahanan pun tak boleh. Apa yang hendak 
disiasat sehingga perlu ditahan selama 60 hari tanpa arahan hakim di mahkamah, 
melainkan pegawai polis itu sendiri yang menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman 
60 hari penjara. Cuma kita pernah dengar daripada bekas Pengarah Cawangan Khas, 
Datuk Mohd Said Awang memberitahu mahkamah bahawa polis mengamalkan teknik 
torture (fizikal dan mental) dan brainwash untuk mengubah pendirian mangsa 
kepada pendirian yang sama dengan kehendak polis. Ini dinamakan proses turn-
over atau neutralise. Mungkin ini yang memerlukan masa sehingga 60 hari dan 
perbuatan kotor yang tiada peri kemanusiaan ini perlu dirahsiakan daripada 
pengetahuan awam, termasuk Suhakam. 

Adakah polis memiliki sebarang hak untuk menyekat wakil Suhakam, ahli keluarga 
dan doktor daripada bertemu dengan tahanan ISA? Ataupun kerana ada sesuatu 
perkara yang hendak disembunyikan? Kemungkinan polis melakukan sesuatu di luar 
bidang kuasa dan undang-undang tidak dapat ditolak lagi apabila ada bukti kes 
mata lebam angkara perbuatan jahat orang yang berpangkat KPN juga (kini bekas). 
Jaminan mulut Timbalan KPN, Datuk Jamil Johari bahawa ‘semua tahanan selamat di 
bawah jagaan polis dan tiada siapa yang lebih selamat jagaannya daripada polis’, 
tidak mudah untuk diterima begitu saja. Ini memandangkan bekas KPN itu dulu pun 
bermanis muka di depan orang awam kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam 
jagaan polis dengan selamat dan beliau sihat walafiat. Sedangkan dia baru sahaja 
selesai memukul mangsa ISA sehingga pengsan dan lebam mata yang kesan deritanya 
ditanggung mangsa itu sehingga sekarang. (Sehingga saat ini diberitakan enam 
tahanan Isa tersebut telah dibenarkan bertemu anak isteri mereka) 

Itulah dia gambaran nasib ‘penjenayah’ yang dihukum menurut ISA. Kesalahannya 
ialah memerangi kerajaan dengan senjata ‘lidah’ yang dianggap lebih bahaya 
daripada senjata api. Soalnya sekarang, (kalau benar demonstrasi jalanan 
mengancam keselamatan), sekiranya salah satu cadangan Suhakam (yang telah 
dicadangkan oleh Barisan Alternatif lama sebelum kewujudan Suhakam) diterima 
pakai, iaitu berkenaan hak berhimpun di tempat yang terkawal seperti stadium, 
dewan seperti di PWTC, tanah lapang hak persendirian dan lain-lain seperti yang 
dibenarkan kepada perhimpunan anjuran UMNO/BN, adakah para aktivis reformasi 
itu akan berarak dan berdemonstrasi lagi di tengah jalan? Tetapi kerajaan 
nampaknya tidak berani membenarkan perhimpunan aman di tempat yang terjamin 
keamanannya itu dengan menggunakan kuasa polis (tidak mengeluarkan permit 
perhimpunan) berbanding kalau perhimpunan itu anjuran UMNO/BN. Bahkan kalau 
anjuran UMNO/BN, tiada permit polis pun tidak dikira perhimpunan haram walaupun 
perhimpunan yang membakar api perkauman. Jadi perhimpunan yang tiada permit 
hanya haram untuk BA, tidak untuk UMNO/BN. 

Lebih merimaskan lagi apabila ada orang yang berada di kelas intelek tetapi 
telah memberi pandangan yang mencemarkan intelektualismenya dengan mendakwa 
Suhakam menyusahkan kerajaan dan memberi pandangan yang sama dengan suara 
minoriti iaitu pembangkang (kenyataan seorang menteri luar yang berkelulusan 
undang-undang). Kenyataan ini telah membodohkan si penanya dan si penjawab yang 
mengadakan wawancara yang disiarkan oleh sebuah akhbar perdana yang tabiatnya 
menyiarkan berita politik yang meloyakan dengan perencah pembohongan (seperti 
mengatakan John R. Mallot dan para pemimpin BA menghadiri ‘pertemuan sulit’ 
KeADILan di Kuala Lumpur). Para wartawannya pula nampak terlalu bodoh dan 
kehingusan tentang undang-undang perlembagaan apabila mengemukakan soalan 
(sebenarnya pegangan) di depan Timbalan Pengerusi Suhakam kononnya ‘Suhakam 
jelas hanya condong kepada pihak pembangkang sahaja’ dan mendakwa ‘Suhakam 
sebagai lebih sudu daripada kuah’. (Lihat Mingguan Malaysia, 29 April 2001) 

Namun inilah mentaliti pihak kerajaan dan para penyokong kerajaan. Mereka 
seolah-olah telah menelan kepercayaan bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah 
sebuah kerajaan yang diturunkan dari langit (the revealed rulers) atau pemimpin 
kerajaan itu semua telah dilahirkan, bahkan telah ditakdirkan sejak azali untuk 
menjadi pemimpin kerajaan Malaysia, bukan menjadi kerajaan atas dasar pilihan 
raya demokrasi dan mereka hanyalah wakil-wakil kepada rakyat yang berkuasa. 
Oleh itu, rakyat tidak harus membantah atau merentangi arus perdana kerajaan 
‘yang diturunkan dari langit’ walaupun kerajaan berada dalam situasi yang salah 
(antara kesalahannya ialah mengekalkan ISA yang zalim dan bercanggah dengan 
nilai keadilan sejagat). Pihak penyokong kerajaan seolah-olah telah menjadikan 
diri mereka berfikir seperti hamba kulit hitam di Eropah yang mempercayai bahawa 
tuan mereka tidak boleh dilawan kerena tuan itulah yang memberi mereka makan. 
Macam mana zalim pun tuan itu, dia mesti dipatuhi. Kalau tidak si hamba tidak 
boleh hidup, kerana bekalan makanan hanya terdapat di tangan si tuan. 

Ini sebenarnya satu bentuk pengabdian kepada al-Toghut (iaitu segala perkara 
selain Allah s.w.t. yang ditaati tanpa soal), sedangkan setiap rasul diutuskan 
kepada setiap umat untuk menghapuskan pengabdian kepada al-Toghut ini. Maksud 
firman Allah s.w.t: 

“Sesungguhnya Kami telah utuskan rasul bagi setiap umat untuk menyeru supaya 
mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhi al-Toghut…” (al-Nahl: 36) 


5. ISA undang-undang draconian zaman purba dan pertengahan 

Raja Namrud, dinasti Firaun dan pemerintahan Raja-Paderi (atau King-Pope) di ...


... bersambung bahagian 2






 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke