Jika tidak setuju, lantik saja MT Umno jadi Suhakam - Musa

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Hrkh) - Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Dato' Musa Hitam berkata, jika kerajaan tidak menghormati setiap pandangan dan cadangan Suhakam kepada kerajaan, lebih baik melantik ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menjalankan fungsi dan peranan tersebut.

"Setahu sayalah, apabila saya dilantik sebagai pengerusi oleh pucuk pimpinan dan atas nama Yang di-Pertuan Agong... kerajaan serius.

"Sekiranya kerajaan tidak mahu serius, jangan lantik orang seperti kita.

"Barangkali lebih baik melantik ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk memegang jawatan ini, habis kerja kerana tidak akan ada sebarang kritikan."

Musa Hitam berkata demikian dalam wawancara sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian hari ini.

Menurut laporan itu lagi, Musa Hitam turut melahirkan rasa kesalnya dengan sikap kerajaan yang tidak menghormati pandangan dan cadangan Suhakam supaya memansuhkan atau memindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dalam soal ISA, katanya ia membabitkan fungsi kedua Suhakam, iaitu untuk menasihati kerajaan berhubung undang-undang dan buat cadangan.

"Jadi, kita kenal pasti ISA dan ia adalah undang-undang yang kita dapati bercanggah dengan hak asasi manusia, dan kita hanya menjalankan kerja... setuju tidak setuju itu pendapat lain, yang penting ialah kami jalankan kerja.

"Di samping itu, pada fikiran kami, ia harus dipinda atau dimansuh (mengikut prinsip hak asasi manusia), jadi apa salahnya.

"Tetapi kena pula di dalam penyenaraian ini (yang mencadangkan supaya ISA dipinda) bersesuaian dengan tuntutan parti pembangkang dan bertentangan dengan kehendak kerajaan."

Beliau juga turut menafikan, peranan Suhakam berhubung isu hak asasi manusia termasuk ISA yang didakwa oleh sebahagian pemimpin parti kerajaan sebagai pro pembangkang.

"Kalau hendak mengikut kehendak kerajaan bahawa kita tidak menyebelahi pembangkang atau seolah-olah menyebelahi pembangkang atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mengkritik kerajaan, cara yang paling baik ialah kami berdiam diri dan tidak menyenarai atau membuat apa-apa cadangan seperti yang dikehendaki undang-undang," katanya dalam wawancara itu.

Musa turut menyarankan kerajaan supaya melihat Suhakam sebagai `godfather'.

"Apa yang kami suarakan adalah benar... kita bercakap benar mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

"Misalnya, kalau kita kata dari segi prinsip, sesuatu kerajaan atau pihak berkuasa menahan rakyat sesuka hati dan tidak dibawa ke muka pengadilan adalah salah, jadi itu yang kami utarakan dan siapa pun boleh tidak bersetuju dengan kami.

"Ikut mana-mana peraturan pun di dunia, ini adalah salah. Jadi, kenyataan kami adalah mengikut prinsip asas hak asasi manusia, iaitu adalah salah untuk menahan seseorang tanpa perbicaraan... apa yang (kita lakukan) melanggar atau berupakan anti-kerajaan," katanya.

Comments ? E-mail Us

 



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get personalized email addresses from Yahoo! Mail - only $35 a year!
http://personal.mail.yahoo.com/

Reply via email to