WAWANCARA : ‘Biarpun Dihalang, Teruskan!’

Ketua Dewan Pemuda PAS, MAHFUZ OMAR, berbicara tentang sekatan terhadap ceramah BA, kemungkinan Malaysia menjadi negara polis, pilihan yang ada buat pembangkang untuk menyampaikan penerangan serta isu tangkapan ISA terhadap pelajar. Wawancara ini dipetik dari akhbar MEMO5, editor AHMAD LUTFI OTHMAN

MEMO: Tindakan dan sekatan yang dikenakan ke atas pembangkang oleh kerajaan kebelakangan ini semakin keras dan ketat. Program-program ceramah dan perhimpunan semakin sukar diadakan dan kalau diadakan pun sering diganggu dan terpaksa dibatalkan di tengah jalan. Bagaimanakah saudara melihat perkara ini.

MAHFUZ: Bagi saya, langkah-langkah itu memperlihatkan kekalutan dan ketakutan kerajaan Barisan Nasional (BN) berdepan kebangkitan rakyat yang semakin hangat membincangkan soal-soal berkaitan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan pemerintah. Sebab itu, apa jua alasan yang diberikan oleh kerajaan dalam hal ini didapati tidak munasabah. Umpamanya, alasan keselamatan; ini langsung tidak munasabah kerana negara kita telah lama bebas dari ancaman komunis. Jadi, pihak kerajaan atau pihak keselamatan tidak perlu menghadkan atau menghalang ceramah-ceramah yang diadakan, sebagaimana sebelum ini. Kecuali jika kerajaan merasakan terdapatnya ancaman komunis yang baru. Dan pada ketika itu darurat perlu diisytiharkan. Semalam (18/7/2001) kerajaan mengatakan syarat-syarat lama berkaitan hal ini akan diperketatkan. Kita ingin bertanya; apakah masalahnya dengan syarat-syarat lama itu? Pembangkang tidak pernah mengingkari syarat-syarat yang dikenakan selama ini. Mereka juga mengatakan ceramah-ceramah terbuka tidak lagi akan dibenarkan. Apa masalahnya? Sebelum ini tidak pernah berbangkit masalah kesan-kesan buruk yang timbul dari ceramah-ceramah terbuka. Dan polis memberikan kerjasama yang sangat baik. Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan dan juga pihak keselamatan supaya memberikan alasan yang lebih munasabah, bukannya alasan berdasarkan ego pangkat.

Ego pangkat?

Ya. Umpamanya pihak polis; hanya disebabkan mereka rasa mereka ada kuasa, maka syarat-syarat dibuat sewenang-wenangnya. Begitu juga dengan menteri-menteri. Syarat-syarat yang dibuat sepatutnya diberikan alasan-alasan yang rasional.

Apakah kesannya pada kegiatan pembangkang apabila presiden PAS Ustaz Fadzil Noor dan Mohamad Sabu dihalang meneruskan ceramah, sedangkan kejadian seperti ini belum pernah berlaku sebelumnya?

Bagi PAS, kita akan terus mengadakan program-program ceramah di seluruh negara. Tapi ini tidak bermakna kita mahu berlawan dengan pihak polis. Apa yang kita lakukan itu berasaskan tuntutan hak yang sepatutnya diberikan kepada kita seperti termaktub dalam fasa 10 Perlembagaan negara. Sebarang penangkapan atau gangguan yang dikenakan, seperti dalam kes Ustaz Fadzil dan Mohamad Sabu ini, tidak sedikit pun akan menghalang PAS dari meneruskan ceramah.

Bagaimana jika tindakan yang lebih aggresif diambil pemerintah?

Itu terpulang, tapi jika ia berlaku maka akan lebih buruklah nasib negara kita ini. Dunia akan melihat Malaysia semakin hampir untuk menjadi police state atau negara polis. Dan pada waktu itu ekonomi negara akan turut terjejas kerana pelabur-pelabur asing semakin menjauhkan diri dan pelancong juga tidak akan datang ke mari. Di samping itu, dari sudut politik, suasana yang lebih tidak sihat akan timbul. Apabila ceramah dan perhimpunan disekat dan dihalang terus, natijahnya mungkin akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti demonstrasi jalanan dan gerakan yang menjurus ke arah militan. Sekatan seperti ini seolah-olah mengundang dan memprovokasi supaya perkara seperti itu berlaku, sedangkan kerajaan berkali-kali memberi amaran ‘jangan berdemonstrasi’, ‘demonstrasi bukan cara kita’ dan sebagainya.

Bagaimanakah jika semua itu memang bertujuan memprovokasi supaya apabila berlaku kejadian yang tidak diingini kerajaan dapat mewajarkan dakwaan dan tindakannya selama ini, seperti penggunaan ISA dan tuduhan terdapat kegiatan bercorak militan.

Kalaulah benar tujuannnya begitu, apakah keuntungannya pada negara? Tidak ada untungnya. Tindakan jahat seperti itu hanya akan memporak-porandakan negara dan sangat merugikan. Apabila rakyat mula turun ke jalan raya tanpa dapat dikawal, kekacauan akan wujud.

Tapi kerajaan pada waktu itu dapat menjustifikasikan pemakaian ISA …

Kerajaan sekarang tidak memerlukan sebarang justifikasi untuk memakai ISA. Sebab, jika kita tengok, orang yang tidak keluar ke jalan raya pun ditangkap menggunakan ISA. Bagi saya dalam hal ini kerajaan sebenarnya hilang arah dalam menghadapi kebangkitan rakyat.

Memandangkan program ceramah terus disekat dan dihalang, apakah pembangkang, khususnya PAS akan menggunakan cara yang lebih kreatif untuk menyampaikan mesejnya?

Salah satu program ‘tradisional’ Pas ialah ceramah. Pas tidak akan meninggalkan program tradisionalnya ini dan dari semasa ke semasa kita akan terus mempertingkatkan mutu dan persembahannya. Di samping itu kita menggalakkan organisasi parti di semua peringkat mempelbagaikan kegiatan untuk menyalurkan mesej dan maklumat kepada orang ramai. Ini tertakluk kepada kreativiti organisasi setempat supaya kegiatan yang dijalankan itu bersesuaian dengan kehendak persekitaran. Tapi satu perkara yang agak menyulitkan kita ialah apabila kegiatan-kegiatan itu melibatkan kos yang tinggi. Itu sebabnya kita lebih menumpukan perhatian pada ceramah-ceramah; ia tidak melibatkan kos yang tinggi, malah sebaliknya dapat memberikan pulangan yang seterusnya akan digunakan pula untuk melaksanakan program-program lain. Justru, apabila program-program ceramah disekat, sumber kewangan parti turut terjejas.

Komen mengenai pemimpin pelajar yang baru dibebaskan sehari dua lalu?

Ini membuktikan pelajar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan militan seperti yang didakwa sebelum ini. Perdana Menteri pernah membuat tuduhan mengatakan kebakaran Dewan Tunku Canselor (DTC) di UM adalah angkara sabotaj dan perbuatan khianat pelajar. Dan selain itu dia juga mengaitkan pelajar dengan kegiatan bercorak militan. Tapi apabila Fuad dibebaskan, dengan sendirinya menunjukkan polis tidak mempunyai bukti tentang itu. Saya melihat, akibat tuduhan-tuduhan liar yang dibuat PM dan pemimpin-pemimpin Umno, kerajaan kini cuba mengekang pelajar dan ahli-ahli akademik dengan meletakkan terma-terma baru dalam perjanjian bagi setiap kemasukan baru pelajar atau pensyarah. Bagi saya, kalaulah perkara ini dilaksanakan, kerajaan secara tidak langsung mahu memberitahu dunia bahawa golongan akademik dan intelektual tidak lagi bersamanya. Untuk memastikan mereka ini menyokong semula kerajaan, diadakan perjanjian baru. Inilah mesejnya sekiranya syarat-syarat baru itu dilaksanakan.

Apa agaknya kesan tindakan mengenakan syarat-syarat baru ini?

Tujuan syarat-syarat ini dikenakan adalah untuk mengekang dan mengongkong pergerakan dan idealisme pelajar dan juga golongan intelek. Tapi perlu diingat bahawa idealisme golongan ini tidak berasaskan emosi dan egoisme. Idealisme anak-anak muda dan juga ahli-ahli akademik ini, berasaskan budaya ilmu. Jadi, oleh kerana idealisme itu berasaskan budaya ilmu, maka kerajaan seharusnya menghadapi mereka dengan budaya ilmu, bukannya melalui keegoan kuasa. Menggunakan ego kuasa untuk menangani hal-hal seperti tentu sahaja tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Kerajaan mungkin boleh meletakkan syarat bagi kemasukan pelajar tapi kerajaan tidak akan berjaya meletakkan syarat pada pemikiran mereka.

Menurut penelitian, apakah kejadian menangkap pelajar di bawah ISA baru-baru ini telah melemahkan atau membantutkan gerakan pelajar?

Satu hal perlu di perhatikan di sini ialah, peritiwa penangkapan itu menunjukkan kerajaan semakin sedar dan bimbang terhadap kebangkitan anak-anak muda, pelajar-pelajar dan belia. Mereka cukup takut pada student power dan juga youth power. Bagi saya penangkapan itu dibuat memang bertujuan untuk melemah dan membantutkan pergerakan pelajar; untuk menjadikannya pasif. Itulah maksud mereka. Tapi saya lihat apa yang berlaku adalah sebaliknya; mahasiswa kini semakin sedar mengenai kuasa dan kekuatan yang mereka miliki. Mereka boleh berperanan untuk menentukan kedudukan dan corak politik dalam negara. Peristiwa penangkapan ISA itu tidak membuatkan pergerakan mereka terencat, bahkan semakin memperkasakan idealisme mereka.

Kirim email ke