*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 
Berita Harian : Mukadepan


Nik Adli ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia


KUALA LUMPUR, Rabu – Nik Adli Nik Abdul Aziz, anak
Menteri Besar Kelantan yang ditangkap mengikut Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Sabtu lalu, dikenal
pasti sebagai ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).

Anak keempat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu
dikatakan mengetuai KMM selepas mengambil alih jawatan
berkenaan pada 1999 daripada pengasas kumpulan itu
yang dikatakan tidak agresif, tidak berpandangan jauh
serta tiada perancangan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin
Zin, berkata maklumat itu diperolehi hasil siasatan
polis terhadap lelaki yang terbabit dalam rompakan
Hong Leong Bank di Puchong dan Southern Bank di
Petaling Jaya, baru-baru ini.

Katanya, Nik Adli mengambil alih kepemimpinan KMM pada
satu mesyuarat yang berlangsung di Kampung Sri Aman,
Puchong, Selangor dan dihadiri 12 ahli kumpulan
berkenaan.

“Dalam pertemuan di Puchong pada 1999, seorang anggota
KMM, Tajuddin Abu Bakar mencadangkan supaya Nik Adli
hadir dan mengambil alih kepimpinan serta tiada
bangkangan daripada pihak lain,” katanya di Dewan
Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul
tergempar yang dikemukakan Ketua Pembangkang, Datuk
Fadzil Nor (Pas-Pendang) mengenai penahanan 10 orang
mengikut ISA kerana dikaitkan dengan kumpulan KMM.

Seramai empat Ahli Parlimen mengambil bahagian
membahaskan usul berkenaan yang berlangsung selama
satu jam mulai 4.30 petang.

Selain Fadzil, turut mengambil bahagian ialah Dr Tan
Seng Giaw (DAP-Kepong), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail (Keadilan-Permatang Pauh) dan Datuk Napsiah
Omar (BN-Kuala Pilah).

Nik Adli yang juga ahli Pas Pulau Melaka, Kota Bharu,
adalah antara 10 anggota KMM ditahan menurut ISA sejak
Jumaat lalu kerana kegiatan mereka yang dianggap
mengancam keselamatan negara.

Sembilan lagi anggota KMM yang ditahan ialah tujuh
ahli Pas, seorang penyokong Pas, manakala seorang lagi
bekas ahli Pas.

Mereka ialah Exco Pas Kedah, Md Lothfi Ariffin; Ketua
Pemuda Pas Sungai Benut, Norashid Sakip; Ketua Pemuda
Pas Larut, Ahmad Tajudin Abu Bakar; ahli Pas Guar
Chempedak, Salehan Abdul Ghafar; Ahli Pas Kampung
Tembok, Baling, Abu Bakar Che Doi; penyokong Pas,
Alias Ngah; bekas ahli Pas, Zainun Ismail dan ahli Pas
Kampung Tembok, Baling, Asfawani Abdullah.

Zainal Abidin berkata, siasatan mendapati ketika
menuntut di Pakistan, Nik Adli sering ke Afganistan
termasuk selepas tentera Rusia sudah meninggalkan
negara itu.

Katanya, polis sedang menyiasat butiran terperinci
mengenai tarikh kunjungan Nik Adli ke Afganistan,
termasuk tarikh akhir beliau ke negara itu.

Beliau berkata, antara anggota KMM yang ditahan
termasuk seorang rakyat Indonesia, Mohd Iqbal Abdul
Rahman, 40, yang pernah menuntut di Pakistan dan turut
serta dengan anggota KMM ketika berada di Afganistan.

Zainal Abidin berkata, semua tangkapan itu tidak
bermotifkan politik, sebaliknya untuk menyekat mereka
daripada meneruskan kegiatan yang boleh menjejaskan
keselamatan negara.

“Mereka berpegang kepada kata-kata pemimpin mujahidin
Palestin, Dr Abdullah Azam, bahawa semangat jihad
tidak boleh berkembang kecuali atas limpahan darah
iaitu pembunuhan.

“Bagaimanapun, yang menyusahkan hati kerajaan ialah
apabila mereka mengatakan pembunuhan itu satu jihad,
rompakan harta orang bukan Islam itu jihad. Ini amat
menakutkan,” katanya.

Beliau berkata, gerakan KMM bermula sejak Peristiwa
Memali pada 1985, diikuti pembakaran tapak perhimpunan
Semarak di Baling pada Ogos 1988, serangan ke atas
Balai Polis Guar Chempedak, Kedah pada 4 Februari
lalu, Peristiwa Bukit Jenalek, pembunuhan bekas ahli
Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Lunas Dr Joe
Fernandez dan rompakan dua bank baru-baru ini.

Katanya, pihak keselamatan sudah mengesan kegiatan KMM
sejak dulu lagi tetapi tidak membuat tangkapan kerana
mereka tidak melakukan gerakan yang menggugat
keselamatan negara dan menakutkan rakyat 


____________________________________________________________
Do You Yahoo!?
Get your free @yahoo.co.uk address at http://mail.yahoo.co.uk
or your free @yahoo.ie address at http://mail.yahoo.ie

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: =?iso-8859-1?q?hadi=20hadad?= <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke