*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
TAHLIL DAN DOA SELAMAT MENURUT MAZHAB IMAM SYAFIE
BAB PERTAMA MENGIRIM PAHALA BACAAN KEPADA MAYAT

Bertahlil merupakan satu perbuatan bacaan yang dilakukan untuk dikirimkan
kepada seseorang yang meninggal dunia atau roh mayat. Ia merupakan satu
tradisi tetap yang diamalkan di kalangan masyarakat kita pada hari ini.

Lazimnya, bacaan yang diucapkan semasa bertahlil ialah sedikit daripada
ayat-ayat al-Qur'an yang tertentu, kalimah La Ilaha Illa Allah atau
Subhanaallah atau lain-lain dengan niat bacaan-bacaan tersebut dapat
dihadiahkan atau dikirimkan kepada orang yang meninggal dunia atau roh mayat
di kalangan orang Islam.

Terdapat seperkara yang belum diketahui oleh banyak di kalangan orang Islam
sama ada yang benar-benar mengikut mazhab imam Syafie atau mereka yang hanya
mengikut-ikut sahaja, adalah amalan bertahlil dan doa selamat yang kononnya
dikirimkan untuk seseorang yang mati sebenarnya bertentangan dengan banyak
pendapat di kalangan ulama-ulama yang bermazhab imam Syafie.  Ini
termasuklah imam Syafie sendiri yang tidak sependapat atau tidak setuju
dengan amalan bertahlil dan doa selamat.

Terdapat juga ulama-ulama yang berpendapat amalan tersebut boleh dilakukan,
namun pandangan tersebut adalah sangat lemah dan amat bertentangan dengan
ajaran al-Qur'an (pada surah an-Najm ayat 39 dan sunnah nabi serta para
sahabatnya).

Di bawah ini penulis cuba membawakan sebahagian daripada pendapat ulama
Syafieyah berikutan masalah amalan tersebut.  Pendapat-pendapat ini telah
diambil dari kitab-kitab tafsir, kitab-kitab feqah dan kitab-kitab syarah
hadith.  Pendapat tersebut juga merupakan pegangan kuat bagi penulis.

1. Pendapat Imam Syafie rahimahullah.

Imam Nawawi menyebutkan di dalam kitabnya, Syarah Muslim iaitu,
Adalah, bacaan al-Qur'an (yang pahalanya dikirimkan kepada mayat), maka
pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie ialah amalan tersebut tidak akan
sampai kepada mayat.  Sebagai dalilnya, imam Syafie dan para pengikutnya
mengambil daripada firman Allah SWT (yang bermaksud),

"Dan seseorang itu tidak akan memperoleh melainkan pahala daripada daya
usahanya sendiri".  Serta dalam sebuah sabda Nabi SAW yang bermaksud,
"Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah segala amal
usahanya kecuali tiga daripada amalnya, sedekah jariah, ilmu yang
dimanfaatkan dan anak (lelaki atau perempuan) soleh yang berdoa untuk
simati" (an-Nawawi, Syarah Muslim : juz 1 hal; 9)

Lagi daripada imam Nawawi di dalam kitab Taklimatul Majmu', Syarah Muhazab
ada mengatakan, "Adalah, membaca al-Qur'an dan mengirimkannya sebagai pahala
untuk seseorang yang mati dan menggantikan sembahyang untuk seseorang yang
mati atau sebagainya adalah tidak sampai kepada mayat yang dikirimkan
menurut Jumhurul Ulama dan imam Syafie. Keterangan ini telah diulang
beberapa kali oleh imam Nawawi di dalam kitabnya, Syarah Muslim" (as-Subuki,
Taklimatul Majmu', Syarah Muhazab: juz 10, hal; 426)

Menggantikan sembahyang untuk si mati bermaksud menggantikan sembahyang yang
telah ditinggalkan oleh si mati semasa hidupnya.

2. Al-Haitami di dalam kitabnya, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah, berkata
sebagai,

"Bagi seseorang mayat, tidak boleh dibacakan kepadanya apa-apa pun
berdasarkan keterangan yang mutlak dari ulama Mutaqaddimin (terdahulu) iaitu
baca-bacaan yang disedekahkan kepada si mati adalah tidak akan sampai
kepadanya kerana pahala bacaan tersebut pembaca sahaja yang menerimanya.

Pahala yang diperolehi hasil daripada sesuatu amalan yang telah dibuat oleh
amil (orang yang beramal) tidak boleh dipindahkan kepada orang lain
berdasarkan sebuah firman Allah yang berbunyi,
"Dan manusia tidak memperolehi kecuali pahala dari hasil usahanya sendiri".
(Al-Haitami, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyah : juz 2, hal; 9)

3. Imam Muzani, di dalam Hamisy al-Umm, juga berkata,

"Rasulullah SAW telah memberitahu sebagaimana yang telah pun diberitakan
dari Allah bahawa dosa seseorang akan menimpa dirinya sendiri seperti halnya
sesuatu amal yang telah dikerjakan adalah hanya untuk dirinya sendiri bukan
untuk orang lain dan ia tidak dapat dikirimkan kepada orang lain". (Tepi
al-Umm as-Syafie : juz 7, hal ; 269)

4. Imam al-Khazin di dalam tafsirnya mengatakan,
"Dan yang masyhur di dalam mazhab Syafie adalah, bahawa bacaan al-Qur'an
(yang pahalanya dikirimkan kepada mayat) adalah tidak dapat sampai kepada
mayat yang dikirimkan"
(Al-Khazin, al-Jamal : Juz 4, hal ; 236)

5. Di dalam tafsir Jalalain telah disebutkan seperti berikut,
"Maka seseorang tidak akan memperolehi pahala sedikit pun dari hasil usaha
orang lain". (Tafsir Jalalain : juz 2, hal ; 197)

6. Ibnu Katsir di dalam tafsirnya, Tafsirul Qur'anil Azim telah menafsirkan
surah an-Najm ayat 39 sebagai,

"Iaitu, sebagaimana dosa seseorang tidak boleh menimpa ke atas orang lain,
begitu juga halnya seseorang manusia juga tidak boleh memperolehi sebarang
pahala melainkan dari hasil usaha amalannya sendiri. Dan daripada surah
an-najm ayat 39 ini, Imam Syafie r.a dan para ulama yang mengikutnya telah
mengambil kesimpulan bahawa, sebarang pahala bacaan yang dikirimkan kepada
mayat adalah tidak akan sampai kepadanya kerana amalan tersebut bukan
daripada hasil usahanya sendiri. Oleh sebab itu,Rasulullah SAW tidak pernah
menganjurkan umatnya agar mengamalkan (pengiriman tahlil atau doa selamat).
Baginda juga tidak pernah memberikan bimbingan sama ada dengan nas atau
berupa isyarat di dalam hal tersebut.  Terdapat juga di kalangan para
sahabat ada yang melakukan amalan tersebut tetapi sekiranya amalan tersebut
memang satu amalan yang digalakkan, tentunya mereka telah mengamalkannya
lebih dari dulu lagi sedangkan amalan korban (mendekatkan diri kepada Allah)
juga terdapat batasan-batasan nas yang terdapat di dalam di dalam al-Qur'an
dan sunnah Rasul SAW dan tidak boleh dipalingkan dengan qias-qias atau
pendapat-pendapat ulama". Demikianlah beberapa pendapat ulama Safiyah yang
menyentuh tentang amalan bertahlil dan pengiriman pahala bacaan kepada si
mati.

Namun begitu, ternyata pendapat-pendapat tersebut telah bersepakat dan
mempunyai satu pandangan yang teguh iaitu mengirimkan pahala bacaan
al-Qur'an kepada si mati adalah tidak akan sampai kepada si mati atau roh
yang dikirimkan.

Kini, jelaslah bahawa pengiriman pahala melalui amalan tersebut tidak akan
sampai kepada si mati. Jadi, segala amalan yang dilakukan seperti itu
merupakan satu amalan yang sia-sia atau membazir sedangkan Islam amat
melarang umatnya supaya tidak membazir.

Dasar hukum yang telah para ulama tersebut ambil adalah dari firman Allah
SWT di dalam surah an-Najm ayat 39 dan melalui hadith nabi SAW yang
menerangkan bahawa apabila seseorang manusia itu mati, segala amalannya di
dunia telah terputus kecuali tiga keadaan iaitu, sedekah jariah, ilmu yang
dimanfaatkan dan doa anak-anak yang soleh untuk kedua ibu bapanya.

Apabila sudah jelas tentang hukum mengamalkan tahlil dan doa selamat, kini
timbul pula masalah lain iaitu di dalam bacaan tahlil sendiri ada menyebut,
"Allahumma ausil tsawaba ma wara'nahu ila ruhi fulan". Maksudnya, "Ya Allah,
sampaikanlah pahala bacaan tahlil kami tadi kepada roh si Fulan".

Persoalan tersebut bolehlah dijawab, bahawa para ulama telah bersepakat,
pengiriman pahala melalui bacaan tidak akan sampai kepada roh yang
dikirimkan kerana ianya bertentangan dengan firman Allah di dalam surah
an-Najm ayat 39.

Jika difikirkan secara dalam, amalan bertahlil ini amat canggung di sisi
Islam.  Mana tidaknya, bertahlil atau mengirimkan pahala melalui bacaan
kepada seseorang mayat merupakan satu perbuatan yang melanggar syariat
Allah,  tetapi kemudian dimohon pula agar tahlil tersebut diberikan pahala
dan pahalanya pula dimohon agar disampaikan kepada si mati atau roh si
Fulan.  Tidakkah ianya satu perbuatan yang janggal?






BAB KEDUA DOA SELAMAT UNTUK KEMATIAN
Doa selamat boleh digambarkan dengan berkumpul bersama-sama (keluarga dan
masyarakat sekampung atau lain-lain) dengan dihidangkan makanan oleh
keluarga yang mengalami kematian.  Ianya dilakukan di rumah keluarga yang
mengalami kematian pada hari kematian atau hari kedua, ketiga, ketujuh,
keempat puluh, keseratus atau sebagainya.

Sebenarnya, apabila diperiksa, dirungkai dan diperhatikan satu persatu di
dalam kitab-kitab Syafieyah sama ada pada kitab Feqah, tafsir mahu pun
syarah-syarah hadith, amalan doa selamat telah ditemui di situ bahawa ianya
adalah amalan yang dilarang atau dengan kata lain ialah haram

Hal ini sebenarnya belum diketahui oleh banyak pengikut mazhab Syafie di
kalangan kita sendiri.  Jika ada yang tahu, tentu jumlahnya hanya segelintir
sahaja.  Oleh itu, mari kita ikuti bersama bagaimana pandangan ulama-ulama
mazhab Syafie di dalam hal ini

1. Di dalam kitab Feqh I'anatut Talibin telah menyatakan,
 "Ya, apa-apa yang dilakukan oleh orang iaitu berkumpul di rumah keluarga
mayat dan dihidangkan makanan untuk perkumpulan itu, ia adalah termasuk
bid'ah mungkarat (bid'ah yang diengkari agama).  Bagi orang yang
membanterasnya akan diberi pahala".  (I'anatut Talibin, syarah Fathul Mu'in
: juz 2, hal 145)

2. Imam Syafie sendiri tidak menyukai amalan berkumpul di rumah kematian
sepertimana yang telah beliau kemukakan di dalam kitab al-Umm,

"Aku tidak sukakan mat'am iaitu berkumpul (di rumah keluarga mayat) meskipun
di situ tiada tangisan kerana hal tersebut malah akan menimbulkan
kesedihan". (As-Syafie al-Umm : juz 1; hal 248)

3. Selanjutnya di dalam kitab I'anatut Talibin juga ada menyebut lagi,

 "Dan perkara yang sudah menjadi kebiasaan iaitu keluarga mayat
menghidangkan makanan untuk para jemputan yang berkumpul, adalah satu
perkara bid'ah yang tidak disukai agama (Islam).  Hal ini samalah seperti
berkumpul di rumah keluarga kematian itu sendiri kerana terdapat hadith
sahih yang telah diriwayatkan oleh Jarir r.a yang berkata, "Kami menganggap
bahawa berkumpul di rumah keluarga kematian yang menghidangkan makanan untuk
jamuan para jemputan adalah sama dengan hukum niyahah (meratapi mayat) iaitu
haram".  (I'anatut Talibin, juz 2, hal 146)

4. Pengarang kitab I'anah juga ada mengambil keterangan sahih di dalam kitab
Bazzaziyah iaitu,

 "Dan ianya dibenci, menyelenggarakan makanan pada hari pertama (kematian),
hari ketiga, sesudah seminggu dan juga memindahkan makanan ke tanah kubur
secara bermusim-musim".  (I'anatut Talibin, juz 2, hal 146)


5. Di dalam kitab Fiqh Mughnil Muhtaj ada menyebutkan,

 "Adalah, keluarga kematian yang menyediakan makanan dan orang ramai
berkumpul di rumahnya untuk menjamu, merupakan bid'ah yang tidak disunatkan,
dan di dalam hal ini Imam Ahmad telah meriwayatkan hadith yang sahih
daripada Jarir bin Abdullah, berkata, "Kami menganggap bahawa berkumpul di
rumah keluarga kematian dan keluarga tersebut menghidangkan makanan untuk
menjamu para hadirin, adalah sama hukumnya seperti niyahah (meratapi mayat)
iaitu haram".  (Mughnil Muhtaj, juz1, hal 268)

6. Di dalam kitab Fiqh Hasyiyatul Qalyubi ada menyatakan,
 "Syeikh ar-Ramli ada berkata, "Di antara bid'ah yang mungkarat (yang tidak
dibenarkan agama), yang dibenci apabila diamalkan sebagaimana yang telah
diterangkan di dalam kitab ar-Raudhah, iaitu apa-apa yang telah dilakukan
oleh orang yang dinamakan "kifarah" dan hidangan makanan yang disediakan
oleh tuan rumah kematian untuk jamuan orang yang berkumpul di rumahnya sama
ada sebelum atau sesudah kematian, serta penyembelihan di tanah kubur".
(Hasyiyatul Qalyubi, juz 1, hal 353)

7. Di dalam kitab Fiqh karangan imam Nawawi iaitu kitab al-Majmu' syarah
Muhazab, ada menyebutkan,

 "Penyedian makanan yang dilakukan oleh keluarga kematian dan berkumpulnya
orang yang ramai di rumahnya, adalah tidak ada nasnya sama sekali, yang
jelasnya semua itu adalah bid'ah yang tidak disunatkan".  (an-Nawawi,
al-Majmu' syarah Muhazab, juz 5, hal 286)

8. Pengarang kitab I'anatut Talibin juga turut mengambil keterangan di dalam
kitab al-Jamal syarah al-Minhaj yang berbunyi seperti berikut, "Dan di
antara bid'ah mungkarat yang tidak disukai ialah sesuatu perkara yang sangat
biasa diamalkan oleh individu iaitu majlis menyampaikan rasa duka cita
(kenduri arwah), berkumpul dan membuat jamuan majlis untuk kematian pada
hari keempat puluh, bahkan semua itu adalah haram". (I'anatut Talibin, juz
2, hal 145-146)

9. Selanjutnya, pengarang kitab tersebut juga ada mengambil lagi keterangan
daripada kitab Tuhfatul Muhtaj syarah al-Minhaj yang berbunyi,

"Sesuatu yang sangat dibiasakan oleh seseorang dengan menghidangkan makanan
untuk mengundang orang ramai ke rumah keluarga kematian merupakan bid'ah
yang dibenci sebab ada hadith yang telah diriwayatkan oleh Jarir yang
berkata, "Kami (para sahabat nabi SAW) menganggap bahawa berkumpul di rumah
keluarga kematian dan keluarga tersebut menghidangkan makanan untuk majlis
itu adalah sama dengan hukum niyahah iaitu haram". (I'anatut Talibin, juz 2,
hal 145-146)

10. Pengarang kitab tersebut mengambil lagi fatwa dari mufti mazhab Syafie,
Ahmad Zaini bin Dahlan,
"Dan tidak ada keraguan sedikit pun bahawa mencegah umat daripada perkara
bid'ah mungkarat ini sama seperti halnya menghidupkan sunnah nabi SAW.
Mematikan bid'ah seolah-olah membuka pintu kebaikan seluas-luasnya dan
menutup pintu keburukan serapat-rapatnya kerana orang lebih suka
memaksa-maksa diri mereka berbuat hal-hal yang akan membawa kepada sesuatu
yang haram".  (I'anatut Talibin, juz 2, hal 145-146)

11. Dan di dalam kitab Fiqh Ala Mazahibil Arba'ah menyatakan,
"Dan di antara bid'ah yang dibenci agama ialah sesuatu yang dibuat oleh
individu iaitu menyembelih haiwan-haiwan di tanah kubur tempat mayat di
tanam dan menyediakan hidangan makanan  yang diperuntukkan bagi mereka yang
datang bertakziah". (Abdurrahman al-Jaza'iri, al-Fiqhu Ala Mazahibil
Arba'ah, juz 1, hal 539)

Demikianlah di antara pendapat-pendapat para ulama Syafi'iyah berkenaan doa
selamat atau kenduri arwah.  Mereka telah bersepakat bahawa amalan tersebut
adalah bid'ah mungkarat atau bid'ah yang dibenci.  Dasar hukum yang mereka
ambil (mengikut kata sepakat atau ijma' para sahabat nabi SAW) ialah haram
hukumnya mengamalkan amalan tersebut. Bukankah lebih baik jika tuan rumah
kematian menggantikan kenduri doa selamat untuk kematian atau lebih mudah
disebut sebagai kenduri arwah kepada satu amalan bersedekah kepada ahli
faqir dan miskin yang bukan dari harta waris simati.  Sebabnya ialah, jika
kenduri tersebut diniatkan untuk bersedekah makanan kepada orang yang
menjamu hidangannya, kebanyakan orang yang hadir di dalam jamuan tersebut
tentunya di kalangan orang yang berkemampuan dan sudah tentu sedekah
tersebut kurang bererti bagi mereka atau tidak bererti sama sekali.

Tambahan pula, jika amalan tersebut diniatkan sebagai amalan bersedekah,
maka akan terjadilah satu amalan yang mencampuradukkan antara yang hak dan
yang batil kerana amalan tersebut melibatkan dalam dua hal iaitu, ia
diniatkan sebagai bersedekah iaitu amalan yang disukai agama dan dalam masa
yang sama, berkumpul di dalam satu majlis jamuan yang telah diadakan di
rumah kematian pula adalah satu perkara yang amat dilarang oleh agama atau
disebut haram.  Mengirimkan pahala bacaan tahlil itu juga merupakan satu
amalan yang sia-sia.  Oleh itu, kedua-duanya sama sekali tidak boleh
dilakukan kerana telah mencampuradukkan yang hak dan yang batil.


BAB KETIGA
MENGHORMATI KELUARGA KEMATIAN

MENURUT sunnah nabi SAW, jiran tetangga hendaklah menghormati ahli keluarga
yang sedang mengalami kematian dengan membantu seperti menghadiahkan kepada
mereka makanan atau lain-lainnya agar keluarga tersebut merasa ia dihormati
dan seolah-olah meringankan bebanan yang dialaminya.  Hal ini benar-benar
dianjurkan agama Islam lebih-lebih lagi keluarga tersebut lahir daripada
orang-orang yang tidak berkemampuan.

Imam Syafie berkata di dalam kitabnya al-Umm yang berbunyi,

"Dan aku sangat suka kepada para jiran tetangga dan kaum kerabat keluarga
yang mengalami kematian menghadiahkan makanan yang mengenyangkan untuk
keluarga kematian sama ada pada hari pertama kematian atau pada malamnya.
Amalan demikianlah adalah sunnah". (as-Syafie, al-Umm, juz1, hal 247)

Seterusnya, Imam Syafie mengatakan bahawa hal tersebut ada disentuh di dalam
satu riwayat daripada Abdullah bin Ja'far r.a, "Abdullah bin Ja'far berkata,
"Apabila sampai sahaja berita Ja'far terbunuh, nabi SAW bersabda, "Hendaklah
kamu membuatkan makanan untuk keluarga Ja'far kerana mereka telah ditimpa
kesusahan". (HR as-Syafie, al-Umm, juz1 hal 247)

Hadith ini menunjukkan bahawa mengikut sunnah nabi SAW, kaum muslimin iaitu
sama ada kaum kerabat daripada keluarga yang mengalami kematian atau jiran
tetangga hendaklah berusaha menghiburkan keluarga kematian yang sedang
mengalami kesedihan dengan cara memberikan bantuan yang berupa makanan atau
selainnya lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut adalah daripada golongan
miskin atau tidak berkemampuan.

Oleh sebab itu, imam Syafie r.a juga menganjurkan kepada kaum muslimin agar
mengamalkan ajaran yang mulia ini, kerana ianya sesuai dengan sunnah nabi
SAW.

Namun begitu, tradisi masyarakat pada hari ini melakukan amalan yang
sebaliknya bertentangan dengan anjuran yang telah disarankan oleh imam
Syafie. Mereka juga masih lagi mengamalkan tradisi bertahlil, doa selamat,
kenduri arwah hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus dan
lain-lainnya dengan di samping itu menyediakan hidangan makanan untuk tetamu
yang membacakan tahlil dan doa.  Sebenarnya amalan itu adalah salah dan amat
tidak dibenarkan oleh para ulama Syafi'iyah yang berpedomankan kitab Allah
dan sunnah Rasulullah SAW.

Sebagai kesimpulannya,
1. Menurut pendapat para ulama dari kalangan mazhab Syafi'e (Syafi'iyah),
bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang dikirimkan kepada si mati
adalah tidak sampai kepada roh si mati.
2. Pendapat-pendapat tersebut berdasarkan firman Allah di dalam al-Qur'an
surah an-Najm, ayat 39 yang memberi maksud, manusia tidak akan memperoleh
pahala kecuali daripada hasil amalannya sendiri.
3. Segala amalan bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang dikirimkan
kepada roh si mati tidak akan sampai kepadanya bahkan sia-sia sedangkan
Islam amat melarang umatnya berbuat perkara yang sia-sia.
4. Majlis bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah atau berkumpul di rumah
keluarga si mati dengan disediakan hidangan makanan untuk para tetamu adalah
dilarang, mengikut para ulama yang bermazhab imam Syafie.Malah ada di antara
mereka mengatakan bahawa ia adalah Bid'ah Mungkarat iaitu bid'ah yang tidak
diakui Islam. Ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah Bid'ah Ghairu
Mustahab iaitu bid'ah yang tidak pernah disunatkan dan segelintir daripada
ulama tersebut mengatakan amalan tersebut adalah Bid'ah Makruhah iaitu
bid'ah yang dibenci.
5. Segala amalan Bid'ah Mungkarat adalah haram.
6. Bertahlil dan kenduri arwah di rumah keluarga si mati yang menyediakan
makanan hukumnya haram berdasarkan sebuah hadith sahih yang diriwayatkan
oleh seorang sahabat nabi SAW, Jarir bin Abdullah yang berkata, "Kami (para
sahabat nabi SAW) menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga si mati di
samping dihidangkan makanan adalah sama hukumnya dengan niyahah iaitu
haram".
7. Hukum haram berkumpul di rumah keluarga si mati dengan dihidangi makanan
telah pun disepakati oleh para ijma' ulama dan para sahabat nabi SAW kerana
hadith daripada Jarir r.a yang berkata, "Kami (para sahabat nabi SAW)
menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga si mati di samping dihidangkan
makanan adalah sama hukumnya dengan niyahah iaitu haram". Tidak ada seorang
pun di antara mereka yang membantahnya.
8. Menurut sunnah nabi SAW, jika terdapat salah sebuah keluarga yang ditimpa
kematian daripada anggota keluarganya, hendaklah kaum muslimin sama ada di
kalangan kaum kerabat atau sebagai jiran mereka, memberikan kehormatan
dengan menghadiahkan bahan makanan lebih-lebih lagi jika keluarga tersebut
lahir daripada golongan yang tidak berkemampuan atau miskin.
9. Dapat dikatakan di sini, bertahlil, doa selamat dan kenduri arwah yang
sering diamalkan oleh masyarakat pada hari ini adalah satu amalan yang amat
bertentangan dengan ajaran Islam iaitu melalui al-Qur'an dan sunnah nabi
SAW.
10. Walau bagaimanapun, kaum muslimin seharusnya menjalinkan ukhuwah
Islamiyah dan memberikan sikap toleransi kepada sesama muslim yang lain
meskipun mereka mengamalkan bermacam amalan tradisi. Kaum muslimin juga
digalakkan supaya selalu membaca dan meneliti serta berusaha meningkatkan
ilmu pengetahuan agar dapat meluaskan pandangan dan pengetahuan supaya dapat
memilih di mana yang hak dan yang batil serta tidak hanya mengikut-ikut di
dalam bermazhab.  Dengan demikian, tentunya tali ikatan ukhuwah Islamiyah
dapat dijalinkan dengan lebih erat dan kukuh.
---------------------------------

Juga article dari M Yaacob Yunus (bsn-KL) Terlebih dahulu harus kita
bertanya apakah niat kita untuk membaca membaca yasin kepada individu yang
telah meninggal dunia. Jika pun bacaan Yassin itu tujuannya untuk
mengirimkan pahalanya kepada individu yang telah meninggal dunia, maka
menurut Mazhab Syafiee adalah seperti berikut :-

Pendapat Imam syafiee Rahimahullah, Imam Nawawi menyebutkan di dalam
kitabnya, Syarah Muslim, demikian :- "Adapun bacaan Quraan (yang pahalanya
dikirimkan) maka yang mashur dalam Mazhab Syafiee tidak dapat sampai kepada
simati yang dikirim....sedang dalilnya Imam Syafie dan
pengikutnya-pengikutnya iaitu firman Allah SWT (yang ertinya) "Dan seseorang
tidak akan memperoleh, melainkan pahala usahanya sendiri (An-Najm:39) dan
Sabda Nabi SAW (yang ertinya)

"Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya
kecuali tiga hal iaitu sedakah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh
yang berdoa untuknya." (An Nawawi, Syarah Muslim, Juzuk 1, Halaman 90)

Al-Haitami didalam kitabnya Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fikhiyah mengatakan
demikian, "Simati tidak boleh dibacakan apa pun berdasarkan keterangan yang
mutlak dari Ulama Mutaqad-dimin (terdahulu) bahawa bacaan (yang pahalanya
dikirimkan kepada simati) adalah tidak dapat sampai kepadanya sebab pahala
bacaan itu adalah untuk pembacanya sahaja. Sedang pahala hasil amalan tidak
dapat dipindahkan dari amil (yang mengamalkan) perbuatan itu berdasarkan
firman Allah SWT (yang ertinya),"Dan manusia tidak memperoleh, kecuali
pahala dari hasil usahanya sendiri."(An-Najm:39)
(Al-Haitami, Al Fatawa Al-Kubra Al-Fikhiyah, juz 2, hal 9)

Imam Muzani didalam hamisy Al-Umm mengatakan demikian : "Rasulullah SAW
memberitahu sebagaimana yang diberitakan Allah, bahawa dosa seseorang akan
menimpa dirinya sendiri seperti halnya amalnya adalah untuk dirinya sendiri
bukan untuk orang lain dan tidak dapat dikirimkan kepada orang lain."
(Al-Umm, As-Syafie, juz 7, halaman 269)

Imam Al-Khazin didalam tafsirnya mengatakan ; "Dan yang masyhur dalam mazhab
Syafie bahawa bacaan Quraan yang pahalanya dikirimkan) adalah tidak sampai
kepada simati yang dikirim."
(Al-Khazim, Al-Jamal, Juz 4, Hal 236)
Didalam Tafsir Jalalain disebutkan demikian : "Maka seseorang tidak
memperoleh pahala sedikitpun dari hasil usaha orang lain." (Tafsir Jalalain,
Juz 2 halaman 197) Ibnu Katsir dalam tafsirnya, Tafsirul Quranil Azhim
mengatakan (dalam rangka menafsirkan ayat 39, An Najm), " yakni, sebagaimana
dosa seseorang tidak dapat menimpa kepada orang lain, demikian juga manusia
tidak dapat memperoleh pahala melainkan dari hasil amalnya sendiri dan dari
ayat yang mulia ini (ayat 39 An Najm), Imam As-Syafie dan ulama-ulama yang
mengikutinya mengambil kesimpulan, bahawa bacaan yang pahalanya dikirimkan
kepada simati adalah tidak dapat sampai kerana bukan dari hasil usahanya
sendiri. Oleh kerana itu Rasulullah SAW tidak pernah menganjurkan umatnya
mengamalkan (pengiriman pahala bacaan) dan tidak pernah memberikan bimbingan
baik dengan nas maupun dengan isyarat dan tidak ada seorang sahabatpun yang
pernah mengamalkan perbuatan tersebut, kalaulah amalan semacam itu memang
baik tentu mereka lebih dahulu, mengerjakannya padahal amalan qurban
(mendekatkan diri kepada Allah) hanya terbatas yang nas-nasnya (dalam
al-Quraan dan Sunnah Rasulullah SAW) dan tidak boleh dipalingkan dengan
Qiyas-Qiyas dan pendapat-pendapat."

Demikianlah antara pendapat-pendapat yang masyhur dikalangan Ulama'
bermazhab Syafie (yang telah disusun oleh DRS. Ubaidullah) tentang
pengiriman Bacaan Ayat Suci Al-Quraan kepada simati dengan bertujuan untuk
mengirim pahalanya kepada individu yang telah meninggal dunia. Maka boleh
lah dirumuskan bahawa pahalanya tidak dapat dikirimkan kepada si mati.

Saya juga menantikan pendapat netters yang lain tentang isu ini dan
seharusnya kita berlapang dada dalam isu ini. Jangan perbincangan ini akan
menjurus kepada perbalahan yang tidak membawa manfaat. Kerana saya
perhatikan ada sesetengah netters begitu mudah menuduh sesuatu pihak itu
sebagai Wahabiyyah, Golongan Muda atau bukan As-Sunnah Wal Jamaah yang tulen
jika pendapat yang diutarakan itu berlainan dari amalan kita selama ini.
Semoga perbincangan kita ini dapat menjadi sumbangan kearah terwujudnya
Ukhwah Islamiyyah dan toleransi sesama Muslim sehinggan akan turun rahmat
Allah kepada kita semua. InsyAllah -------------------



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "izani" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke