----- Original Message -----
From: jimhq
To:
Sent: Friday, August 24, 2001 7:15 PM
Subject: Kenyataan Akhbar JIM - 24 Ogos 2001/ 5 Jamadil Akhir 1422

Rujukan Kami : Q-10-3/9 2001(09)

24 Ogos 2001/ 5 Jamadil Akhir 1422H

Kenyataan Media

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)

Cubaan Pengaruhi Pelajar Angkat Senjata

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) dukacita dengan kenyataan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Mohd. Basri yang disiarkan beberapa akhbar hari ini. Kenyataan itu membawa implikasi JIM mempengaruhi pelajar untuk mengamalkan pendekatan bersenjata untuk menegakkan negara Islam.

JIM ingin menegaskan ia akan terus mendukung cita-cita dan aspirasi Islam yang unggul melalui pendekatan yang dibenarkan syarak dan tidak bertentangan dengan lunas perlembagaan negara. Sebarang andaian atau kenyataan yang mengaitkan JIM dengan pendekatan militan adalah tohmahan dan fitnah yang tidak berasas.

JIM juga amat kesal Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi telah tidak memetik kertas kerja "Ke Arah Pemantapan Mahasiswa Du’at" dengan tepat. Akhbar melaporkan petikan beliau sebagai, "Di Malaysia, jihad memerlukan keberanian menyatakan kezaliman, mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan hak rakyat yang menjadi-jadi. Hatta bukan mustahil, sampai ke tahap penggunaan kekerasan dan senjata.".

Sedangkan kertas kerja menyebut, "Saya ingin memperingatkan anda bahawa jihad memperjuangkan penegakkan sebuah negara Islam tidak semestinya dengan mengangkat senjata. Jihad ini mestilah dilakukan sesuai dengan tuntutan semasa dan setempat. Dalam konteks negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi, jihad yang kita perlukan ialah memberi kesedaran kepada rakyat bahawa hanya Islam yang mampu menyelesaikan masalah ummah. Jihad di negara ini memerlukan keberanian menyatakan kezaliman yang berlaku, mendedahkan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa, penyelewengan hak rakyat yang sudah menjadi rahsia umum. Walaupun bukan mustahil, saya berpendapat jihad di negara kita belum sampai ke tahap penggunaan kekerasan dan senjata."

Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi juga menyatakan penulis kertas kerja merujuk kepada sebuah buku Arab yang diterjemah kepada bahasa Melayu sedangkan penulis tidak merujuk kepada buku tersebut atau terjemahannya.

Hakikat petikan tidak jujur dan mengada-adakan rujukan yang tidak wujud amat malang dan boleh menjejaskan wibawa dan nama baik institusi akademik yang dipimpin oleh Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi.

JIM mengunjurkan akhbar akan memaparkan reaksi dan gesaan yang negatif terhadap JIM ekoran kenyataan Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi ini. Ini amat malang kerana ia berasaskan maklumat yang tidak tepat.

JIM berharap peristiwa seperti ini tidak berulang. JIM adalah pertubuhan yang berdaftar dan berusaha untuk menjadi anggota masyarakat madani (civil society) yang bertanggungjawab.

 

Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom
Presiden JIM
 

Kirim email ke