*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dalam kita asyik sebut-sebut nama si Yati budak UTM yg kantoi
tu, ni ada kisah buat renungan orang-orang lelaki yang bergelar
suami!


Meniti Hari: ‘Suami minta wang isteri bayar denda khalwat’
Oleh Shamsiah Sanin


LEWAT pagi itu, saya melangkahkan kaki perlahan menuju ke pejabat 
pentadbiran Mahkamah Syariah di kawasan saya. Sebenarnya, saya ada janji 
temu untuk makan tengah hari dengan seorang kawan saya, Hasnah yang juga 
salah seorang kakitangan di bahagian pentadbiran mahkamah itu.

Ketika saya sampai, hari masih awal, jadi saya mengambil keputusan meninjau 
perbicaraan yang sedang berlangsung di mahkamah.

Saya melihat beberapa orang sedang menunggu di situ. Perasaan saya tiba-tiba 
tersentuh. Teringat saya ketika baru bertugas sebagai wartawan kira-kira 20 
tahun lalu.

Antara tugas yang pernah diarahkan kepada saya ialah meliputi perbicaraan di 
Mahkamah Syariah. Antaranya termasuk kes khalwat, zina, nikah di luar 
kawasan dan memberi ceramah agama tanpa izin. Ketika itu, saya cukup arif 
dengan fasal dan seksyen yang ada dalam enakmen pentadbiran agama Islam 
negeri.

Sesetengah kes yang dibicarakan kadangkala meloyakan, tetapi disebabkan 
tugas saya lakukan juga.

Ketika tertinjau-tinjau di luar mahkamah itu, pandangan saya tertumpu kepada 
seorang wanita yang agak muda bersama seorang kanak-kanak duduk di bangku 
bawah pokok tidak jauh dari mahkamah.

Wajahnya nampak lembut dan perutnya yang memboyot menunjukkan kandungannya 
sudah sampai ke penghujung dan mungkin sedang menunggu masa melahirkan.

Saya memandangnya dan melempar senyuman. Dia membalas senyuman dan saya pun 
terus menuju ke arahnya, lalu duduk di sampingnya.

Kami bersalaman dan dia memperkenalkan dirinya sebagai Leha. Kanak-kanak 
berusia lingkungan lima tahun itu adalah anaknya.

“Saya ni kak tunggu suami bicara hari ini, kes khalwat. Dia dalam dewan 
mahkamah. Saya duduk di luar ni, malas nak tunggu. Entahlah kak, dah nasib 
saya agaknya,” kata Leha sambil mengeluh panjang.

Kata Leha, suaminya bekerja sebagai pembantu tadbir dan pada masa terluang 
dia menjadi jurujual.

“Saya ni suri rumah saja. Anak kami ada tiga dah nak masuk empat. Duduk di 
Kuala Lumpur ni manalah cukup kalau suami isteri tak bekerja,” keluhnya 
lagi.

“Masa jadi jurujual itulah agaknya dia berkenalan dengan perempuan tu. Jadi 
rapat sampai dah tak ingat anak dan isteri yang dah nak bersalin ni,” kata 
Leha.

“Saya tanya nak kahwinkah dengan perempuan tu. Kalau nak, kahwinlah, saya 
rela dimadu, asalkan jangan dia buat dosa sudahlah. Tapi dia kata tak hendak 
pulak. Saya tanya kalau begitu kenapa asyik kepit perempuan tu ke sana ke 
mari? dia tak jawab pula. Mati akal saya dibuatnya.

“Dah puas saya nasihat dia tak dengar. Saya ni bukan jenis yang tahu nak 
berkeras-keras sangat. Nak saya turut ke intip dia, perut saya dah terboyot. 
Saya cuma boleh sabar. Sampailah suatu hari orang datang ke rumah beritahu, 
dia kena tangkap khalwat. Saya macam nak meraung dibuatnya, tapi kenangkan 
anak dalam kandungan, saya sabarkan hati.

“Masa saya jumpa ketika dia sedang disoal siasat, dia menangis insaf, janji 
tak buat lagi dan merayu saya maafkan dia. Saya ni cuma ingat anak, ingat 
diri tak bekerja dan ingat emak ayah di kampung yang selalu harap saya 
bahagia. Kalau tidak entahlah,” katanya lagi.

Saya pandang wajah Leha dan rasa simpati mendadak dalam diri. Saya amati 
wajahnya, tiada apa yang kurang nampaknya. Orangnya cantik, lembut dan 
berbudi bahasa, kalau melihat wajahnya saya boleh katakan dia seorang yang 
sabar.

Ketika masing-masing melayan fikiran sendiri, saya nampak beberapa orang 
keluar dari mahkamah. Seorang lelaki memandang ke arah kami. Saya yakin 
itulah suaminya. Leha bersama anaknya bangun lalu menuju ke arah lelaki itu. 
Saya mengikut dari belakang.

“Abang kena denda RM500 atau penjara dua minggu. Ada duit tak Leha?” Lelaki 
itu bertanya bertubi-tubi dan nampak amat cemas.

“Mana ada, bang? Tak usah RM500, RM100 pun Leha tak ada,” kata Leha dengan 
mata kemerahan.

“Leha... Leha kena tolong abang. Kalau abang kena penjara, nanti abang kena 
buang kerja, kita juga susah nanti,” katanya.

Saya lihat Leha memandang tajam ke arah suaminya. Air mata mula merembes. 
Dia tidak menjawab sepatah pun, lalu berpaling membimbing anaknya dan 
berjalan meninggalkan suaminya, yang masih memanggil namanya.

Saya melangkah cepat mengekori Leha.

“Leha nak ke mana?” tanya saya.

“Saya nak balik Kak, anak saya balik sekolah sekejap lagi. Kasihan mereka, 
kalau saya tak ada di rumah. Abang Man tu, nasib dialah, apa saya nak kata. 
Saya tak dapat nak tolong. Saya nak bersalin ni pun tak tahu nak cari duit 
di mana,” katanya sebak.

Hati saya terasa benar-benar sayu. Saya meraba-raba di dalam beg dan bertemu 
gumpalan wang kertas yang saya tidak tahu berapa jumlahnya.

Saya memegang bahunya, lalu memasukkan gumpalan wang kertas itu ke dalam 
genggamannya.

“Untuk belanja bersalin. Ini nombor telefon saya. Kalau ada masalah 
telefonlah. Balik rumah ni, naik teksi, jangan naik bas,” kata saya.

Leha mengangguk. Air matanya makin lebat. Tanpa sedar, air mata saya turut 
meleleh. Saya menghantarnya ke tepi jalan dan menahan sebuah teksi untuknya. 
Leha masuk dan melambai tangan ke arah saya. Saya mengangkat tangan dan 
memberi senyuman.

Saya melihat jam di tangan. Alamak sudah jam 1.15 tengah hari, bergegas saya 
ke pejabat pentadbiran Mahkamah Syariah. Hasnah tentu sudah lama menunggu.

– [EMAIL PROTECTED]






















MAWAR BERDURI


_________________________________________________________________
Get your FREE download of MSN Explorer at http://explorer.msn.com/intl.asp


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "mawar berduri" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke