Kenyataan Ulamak: Ulamak Islam Mengecam Serangan Ke Atas Amerika Syarikat
----------------------------------

Para ulamak Islam dari semua mazhab telah mengutuk serangan yang dilakukan di Amerika Syarikat (AS) pada Selasa 11/9/2001. Mereka mengatakan bahawa haram hukumnya melakukan serangan ke atas orang awam, bagaimana sekalipun permusuhan yang wujud antara mereka.

Syeikh Yusof al-Qardhawi berkata, mereka yang melakukan serangan ini menurut Islam wajib menerima hukuman secara syarak. Tidak kita apa bangsanya, apa agamanya dan apa warga negaranya.

Kutukan serangan ini juga dinyatakan oleh al Azhar al-Syarif, Mesir: “Perbuatan ini tidak diakui oleh mana-mana agama samawi.”

Syeikh al-Qardhawi menyeru agar kaum muslimin menderma darah mereka untuk menyelamatkan mangsa-mangsa letupan di AS. Katanya, menderma darah, harta dan bentuk-bentuk bantuan lain adalah sedekah. Mereka akan diberi pahala untuk sedekah ini.

Selanjutnya Syeikh al-Qardhawi menyatakan, “apa yang berlaku ini, tidak mungkin sedikitpun, dilakukan oleh seorang muslim yang waras fikirannya dan kuat agamanya. Syarak menafikan perbuatan berkenaan yang menjadikan orang awam sebagai sasarannya.”

Katanya lagi, mengenai pendirian AS terhadap kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, sekalipun ia adalah perbuatan yang sangat tidak adil, namun ia tidak boleh membawa kita kepada tindakan permusuhan terhadap orang awam yang terdiri dari kanak-kanak, wanita dan orang-orang yang lemah.

Beliau menegaskan, bahawa bumi Palestin adalah tempatnya untuk diarahkan permusuhan terhadap Zionist, sekalipun AS adalah sekutu rapat Zionist, namun Islam tidak membenarkan cara yang berlaku di AS dilakukan. Bahkan, Islam menolaknya. Kaum muslimin juga tidak boleh ada rasa permusuhan terhadap rakyat AS walau besar manapun perbezaan mereka dengan sistem pemerintahannya.

Selanjutnya, menurut Syeikh al-Qardhawi, Islam melarang membunuh mereka yang tidak melawan, walaupun ketika peperangan dan pertempuran. Sebagaimana halnya Islam melarang dari membunuh kaum wanita, kanak-kanak dan orang tua. Begitu juga dengan paderi dan pendeta yang sedang beribadat di tempat peribadatan mereka.

Seperkara lagi, katanya, asas dalam Islam ialah, seseorang itu tidak menanggung beban dosa orang lain. Di mana setiap manusia bertanggungjawab atas apa yang dikerjakan, tidak atas apa yang dikerjakan oleh orang lain.

------------
Manakala al-Azhar al-Syarif Mesir pula mengeluarkan kenyataannya pada hari Rabu 12/9/2001. Al-Azhar mengutuk tindakan berani mati menyerang Pusat Dagangan Dunia New York dan Kementerian Pertahanan AS. Al-Azhar menegaskan bahawa mereka tidak bersetuju samasekali dengan tindakan keganasan tidak kira siapa yang melakukan dan ia dilakukan di mana. Mereka menyifatkan bahawa tindakan keganasan adalah perbuatan yang tidak diterima dan tidak diakui baik oleh mana-mana agama samawi ataupun oleh akal manusia.

Turut sama mengutuk serangan berkenaan adalah Syeikhul Azhar, Imamul Akbar Dr. Muhamad Syed Thanthawi, Dr. Yahya Ismail setiausaha Jabhah Ulama’ al-Azhar, Dr. Ahmad Umar Hasyim Ra’is Jami’ah al-Azhar dan Dr. Nasr Farid Washil Mufti Mesir.

Di Lebanon, Syeikh Muhamad Husain Fadhlullah salah seorang dari ulamak besar Syi’ah mengeluarkan kenyataannya pada hari Rabu 12/9/2001 yang tidak bersetuju dengan serangan berkenaan. Menurutnya, “sekalipun kami bermusuhan dengan pemerintah AS mengenai pendirian politik mereka ke atas umat Arab dan Islam, khasnya rakyat Palestin namun kami tidak mengambil pendirian untuk memusuhi rakyat AS. Kami tidak menerima sebarang bentuk permusuhan terhadap mana-mana rakyat, sepertimana yang telah berlaku di mana rakyat AS telah dimusuhi. Ini adalah cara yang tidak diakui oleh agama dan risalahnya.”

Katanya lagi, mereka yang melakukan serangan telah melakukan dua jenayah, pertama, ketika mereka melakukan rampasan kapalterbang dan menyebabkan penumpang dari kalangan orang awam terbunuh. Kedua, ketika mereka merempuh penempatan orang awam dan membunuh orang awam yang tidak berdosa.

Menurutnya lagi, “kami merasa amat terkejut sekali terhadap apa yang berlaku ini yang tidak mungkin akan dipersetujui oleh mana-mana agama ataupun mana-mana logik akal manusia ataupun mana-mana ideologi politik yang waras.

--------------------------------------------
Disaring dari http://islam-online.net oleh:
zain y.s


---
Outgoing mail is certified Virus Free.
Checked by AVG anti-virus system (http://www.grisoft.com).
Version: 6.0.277 / Virus Database: 146 - Release Date: 2001-09-05

Reply via email to