Ulama' Umno bisu bila kenyataan BN hina amalan Islam
Oleh Nur Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Para ulama' Umno diminta memainkan peranan terhadap beberapa kenyataan rakan komponennya dalam Barisan Nasional akhir-akhir ini yang didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato' Fadzil Nor berkata, mereka (BN) boleh mengkritik PAS tetapi jangan sekali-kali menyentuh mengenai amalan-amalan dan ajaran Islam.

Menurut beliau, wakil DAP Kota Melaka, Kerk Kim Hock sebelum ini pernah membangkitkan mengenai satu kenyataan dalam bahasa Cina yang dibuat oleh pemimpin parti MCA dengan menyebut jika DAP bekerjasama dengan PAS, mereka (orang bukan Islam) tidak ada kebebasan untuk beragama.

"Pemimpin komponen BN berani berbuat demikian dan membelakangkan sensitiviti umat Islam kerana mereka melihat pemimpin-pemimpin Umno sendiri memperlekehkan hukum-hukum Islam.

"Sebab itu saya minta Umno yang menjadi pemimpin BN, mestilah berhati-hati dalam membuat kenyataan-kenyataan dan jangan cuba membuat kenyataan yang mengelirukan," katanya ketika membahaskan Belanjawaan 2002 di Dewan Rakyat hari ini.

Tegas Dato' Fadzil, Islam menjamin kebebasan kepada manusia untuk memilih kepercayaan mereka masing-masing kerana tidak ada paksaan dalam menganut Islam.

"Sebab itu di Kelantan dan Terengganu, PAS tidak menganggu kebebasan orang bukan Islam mengamalkan ajaran agama mereka. Sebagai bukti, baru-baru ini satu perhimpunan penganut Budha terbesar di Asia berlangsung di Tumpat, Kelantan.

"Ini menujukkan bahawa kebebasan itu wujud dalam Islam. Kalau nak kritik PAS, boleh tapi jangan menyentuh perasaan umat Islam dengan mempersoalkan amalan-amalan yang difardukan dalam Islam," katanya.

Kenyataan Dato' Fadzil itu disokong oleh Mohammad Sabu (PAS-Kuala Kedah) apabila beliau turut memberikan contoh di mana terdapat pemimpin Gerakan wanita menghina amalan-amalan Islam seperti kata mereka "kita minta lelaki muslim memakai tudung, alangkah panasnya".

"Kenapa ulama' Umno senyap dalam perkara yang cukup sensitif ini," soal beliau.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Make a great connection at Yahoo! Personals.

Kirim email ke