>From: [EMAIL PROTECTED]
>To: [EMAIL PROTECTED]
>Subject: H-Net* Malam Yang Penuh Keistimewaan
>Date: Mon, 29 Oct 2001 09:45:13 +0800
>


_________________________________________________________________
Get your FREE download of MSN Explorer at http://explorer.msn.com/intl.asp


*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Malam yang penuh keistimewaan
KISAH SEJARAH
Oleh Sulaiman Jeem (Penulis Khas)

http://www.muis.gov.sg/headlines/berita26d-10-2001.asp

PADA suatu malam ketika mendatangi Rasulullah saw, malaikat Jibrail berkata:

Wahai Muhammad, malam ini Allah buka pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat. Bangkit dan bersembahyanglah, angkat kepalamu dan tadahkan kedua-dua tanganmu ke langit!

Rasulullah bertanya: "Wahai Jibrail, malam apakah ini?"

Malam ini dibukakan 300 pintu rahmat, jawab Jibrail, seraya menambah: Allah mengampuni kesalahan sesiapa sahaja yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu kecuali tukang sihir, ahli nujum, orang-orang yang bermusuhan dalam Islam, mereka yang terus-menerus meminum arak, sentiasa berzina, pemakan riba, penderhaka kepada ibu bapa, pengadu domba dan pemutus hubungan silaturahmi. Allah tidak mengampunkan mereka hingga mereka bertaubat meninggalkan kejahatan-kejahatan tadi.

Sebaik-baik mendengar penjelasan malaikat Jibrail tadi, Rasulullah saw lalu keluar dan mengerjakan solat serta menangis dalam sujudnya sambil memohon:

"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari azab seksa-Mu dan dari kemurkaan-Mu. Tiada kubatasi puji-pujianku kepada-Mu. Maka bagi-Mu-lah segala puji-pujian itu hingga Engkau meredainya."

Rasulullah lalu bersabda, yang bermaksud:

"Dinamakan dengan Syaaban (berserak) kerana didapati di dalamnya pelbagai kebajikan yang berserak-serak."

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Kelebihan Syaaban dari bulan-bulan lain adalah laksana kelebihanku dari nabi-nabi lain. Dan kelebihan Ramadan dari bulan-bulan lain adalah umpama kelebihan Allah dari seluruh hamba-Nya."

Nisfu bermaksud setengah. Jelasnya, malam pertengahan atau 15 hari bulan Syaaban. (Tahun ini ia disambut bersamaan dengan 31 Oktober 2001).

Baca Yasin

 

Lazimnya sambutan itu dilakukan dengan mengadakan bacaan Surah Yasin beramai-ramai di masjid atau di mana jua tempat yang sesuai.

Selesai membaca Yasin kali pertama mereka berdoa supaya terus dilanjutkan usia dan dijauhkan dari segala bala. Setelah bacaan kedua mereka memohon kepada Allah supaya dipertingkat dan diperteguh iman. Doa supaya dimurahkan rezeki dipanjatkan setelah selesai membaca Yasin kali ketiga.

Di dalam kitab Zubdatul War-izin tercatat hadis Nabi saw yang bermaksud:

"Sesiapa yang memuliakan bulan Syaaban dan takut kepada Allah, beramal dan patuh kepada-Nya serta mengekang diri dari perbuatan maksiat, nescaya diampuni Allah segala dosanya dan Allah memeliharanya pada tahun ini dari segala ujian dan dari pelbagai penyakit."

Sesiapa yang berpuasa pada bulan Syaaban juga akan Allah kurniakan kepadanya pahala berlipat ganda. Nabi saw dalam hubungan ini bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa berpuasa tiga hari pada awal Syaaban, tiga hari di pertengahannya dan tiga hari di akhirnya, nescaya Allah tulis baginya pahala 70 orang nabi dan jadilah dia laksana orang beribadah selama 70 tahun. Apabila dia meninggal keadaannya sebagai mati syahid."

Beberapa buah hadis lain menyatakan Rasulullah saw mengerjakan puasa sunat selama beberapa hari di dalam bulan ini.

Seorang sahabat, Yahya bin Mu-az, berkata bahawa seseorang yang menghormati bulan Syaaban dan memenuhinya dengan pelbagai ibadah, nescaya akan memperoleh kemuliaan, kedudukan tinggi dan kebajikan yang banyak pada sisi Allah serta memperoleh syafaat dan bersifat lemah-lembut dalam hidupnya.

Sesungguhnya, berbahagialah mereka yang berjaya meraih kelebihan ganjaran pahala Nisfu Syaaban. Malam itu banyak mengandungi kelebihan. Allah menurunkan pahalanya di samping menganugerahkan keampunan kepada para hamba-Nya yang memohon.

Sepotong hadis Nabi saw yang diriwayatkan Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah pada malam Nisfu Syaaban melakukan solat sendirian. Baginda kemudian berdoa memohon perlindungan dari azab dan seksa Allah sambil menadah kedua-dua tangan ke langit.

Justeru malam itu amat baik andai kita berpeluang memenuhinya dengan ibadah seperti melakukan solat-solat sunat, membaca Yasin, berzikir dan berdoa.

Baik berpuasa

 

Ini sesuai dengan hadis Nabi saw yang bermaksud bahawa doa Malam Nisfu Syaaban itu tidak akan ditolak Allah. Pada siangnya amat baik andai kita berpuasa demi merebut kelebihan Syaaban.

Seorang sahabat Rasulullah, Aatha bin Yasar, menyatakan:

"Setelah Lailatulqadar, malam Nisfu Syaabanlah yang paling utama. Banyak hadis menerangkan kelebihannya."

Pada zaman dahulu, para tabiin (para pengikut sahabat-sahabat) di negeri Syam (Syria) ramai yang menghormati dan memuliakan bulan ini dengan melakukan ibadah sungguh-sungguh. Antaranya Khalid bin Makdan, Makhul, Lukman bin Amir dan lain-lainnya.

Namun setelah peristiwa itu tersebar luas, ramai ulama berbelah-bagi pendapat mereka: sebahagian menyokongnya. Ada pula yang membidaahkan.

Sebuah hadis lain Rasulullah bertanya para sahabat bermaksud:

"Tahukah kamu mengapa bulan ini dinamakan Syaaban?"

"Allah dan Rasul-Nya sahaja yang mengetahuinya," jawab para sahabat.

Para bijak pandai Islam pula menyatakan: Rejab bulan untuk membersih diri; Syaaban bulan membersih hati, sementara Ramadan bulan membersih roh. Sesiapa yang bersih tubuhnya (fisik) pada bulan Rejab, bersih pula hatinya pada bulan Syaaban, nescaya bersih pula rohnya pada bulan Ramadan.

Para hukama (para pemikir Islam) menyimpulkan: Rejab bulan untuk memohon keampunan dari segala kesalahan dan dosa, Syaaban untuk memperbaiki jiwa dari sifat-sifat tercela dan Ramadan untuk menerangi hati.

Dengan terbukanya pintu langit dan pintu rahmat pada Malam Nisfu, maka Allah memberikan pengampunan umum kepada sesiapa sahaja yang tidak menyengutukan-Nya dengan sesuatu kecuali sembilan jenis manusia yang disebutkan awal tadi iaitu ahli sihir, ahli nujum, bermusuh sesama Islam, peminum arak berterusan, penzina tanpa henti, pemakan riba, penderhaka kepada ibu bapa, pengadu domba dan pemutus silaturahmi.

Namun demikian, keampunan Allah akan dianugerahkan kepada sembilan jenis manusia yang telah melakukan dosa-dosa besar tadi bertaubat dan menghentikan serta-merta sifat-sifat terkeji itu.

Ini kerana Allah sentiasa bersifat pengampun dosa para hamba-Nya meskipun sebanyak buih di lautan atau setinggi gunung. Malah Ia akan mengampunkan dosa-dosa para hamba-Nya walau di saat akhir menghadapi saat-saat kematian selagi mereka bertaubat.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Reply via email to