Jakim larang tazkirah semasa solat tarawih

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua Jabatan Agama Islam negeri tidak membenarkan tazkirah diadakan sewaktu sembahyang sunat tarawih di setiap masjid sepanjang bulan Ramadan tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin berkata, pada masa ini, arahan tersebut akan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi memantau masjid-masjid di seluruh Wilayah Persekutuan.

Katanya, Jawi akan melaksanakan arahan tersebut bermula pada bulan Ramadan akan datang.

``Saya meminta kepada semua Jabatan Agama Islam negeri melaksanakan perkara tersebut untuk mengelakkan penyalahgunaan pentas tazkirah bagi kepentingan politik,'' katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau merasmikan Pelancaran Buku Terbitan Jakim di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, sembahyang tarawih merupakan ibadah khusus umat Islam di bulan Ramadan.

Kata beliau, umat Islam perlu menghayati sepenuhnya amalan tersebut terutamanya pada bulan yang mulia itu.

``Bukan itu saja, malah umat Islam perlu sembahyang sunat witir dan bertadarus Al-Quran jangan diselang seli dengan perkara yang tidak kena-mengena dengan ibadah khusus itu,'' tegasnya.

Isu tazkirah sewaktu solat tarawih telah menjadi tumpuan pada Ramadan tahun lepas apabila terdapat masjid-masjid yang menggunakan pentas tazkirah sebagai medan menghentam kerajaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2001&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm


_____________________________________________________________________
This message has been checked for all known viruses by the
MessageLabs Virus Scanning Service. For further information visit
http://www.messagelabs.com/stats.asp

Reply via email to