Jagalah iman anda dari tercebur dalam kemurtadan

Oleh: MUSTIKA HADIS

Apabila seorang Islam menjadi murtad sama ada tepesong disebabkan iktikadnya, atau tutur katanya ataupun perbuatannya, maka bermakna ia telah melakukan jenayah bukannya pada dirinya sendiri tetapi juga kepada keluarganya dan masyarakat serta umat Islam umumnya. Di antara jenayah-jenayahnya itu ialah:

1. Ia memandang dirinya betul dan pandai dengan bersikap murtad dan umat Islam semuanya salah dan bodoh belaka. Ini bermakna ia menghina dan memusuhi masyarakatnya.

2. Ia menyalahkan ajaran Islam kerana didorong oleh hawa nafsu: tidak mahu terikat kepada suruhan Allah dan larangan-Nya. Ini bermakna ia engkarkan perintah Allah dan Rasul setelah ia mengakui benarnya semasa ia beragama Islam. Dan ini juga bermakna menghina agama Islam yang menjadi pegangan hidup dan dihormati oleh umat Islam seluruhnya.

3. Ia menjadi contoh yang buruk bagi orang-orang lain yang akan terpengaruh kepada fahaman dakyahnya, dan dengan itu akan runtuhlah ajaran-ajaran Islam, kebudayaannya, dan nilai-nilai akhlaknya yang suci murni, yang dibina dan dikembangkan silih berganti oleh pengembang Islam semenjak zaman Nabi Muhammad s.a.w hingga hari ini, dan yang diharap akan berlanjutan seterusnya. Jika demikian keadaan jenayah orang yang murtad itu, maka hukuman Islam yang ditetapkan untuk menghukumnya di dunia, dan balasan azab seksa yang dijanjikan baginya di akhirat kelak amatlah adil dan padan dengan jenayahnya yang besar itu.

Ia tidak boleh dipandang sebagai soal perseorangan sahaja tetapi soal umat Islam seluruhnya yang wajib dicegah dan dihapuskan oleh pihak yang berkuasa yang bertanggungjawab menjalankannya.

Tidak sah perkahwinan orang murtad, sama ada ia sendiri kahwin atau dikahwinkan ataupun mengahwinkan orang lain, bahkan isterinya wajib dipisahkan daripadanya. Sekiranya ia kembali menjadi Islam semula sbelum habis edah, maka kekallah isterinya itu menjadi isteri kepadanya, kalau tidak maka isterinya itu tercerai daripadanya mulai dari saat ia menjadi murtad.

Haram memakan sembelihan orang murtad.

Dia juga tidak boleh menerima pusaka dan tidak boleh pula dipusakai bahkan semua hartanya dimasukkan ke dalam baitulmal. Perkara-perkara yang menyebabkan rosaknya iman dan Islam itu terbahagi kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama

Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam, iaitu:

1. Iktikad bahawa alam ini khodim, tidak ada penciptanya, atau alam ini kekal selamanya.

2. Iktikad bahawa pencipta alam ini baharu, atau penyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu, ataupun mempunyai anak isteri, atau berbilang-bilang atau akan mati.

3. Iktikad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh Rasullullah s.a.w, atau iktikad bahawa Nabi Muhammad s.a.w yang sebenar ialah yang disebutnya Muhammad yang zahir, atau iktikad bahawa kerasulan nabi Muhammad s.a.w hanya untuk orang-orang Arab sahaja, atau iktikad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman, atau iktikad mengingkari mana-mana Rasul, atau iktikad bahawa ada lagi Nabi dan Rasul yang lain yang diutuskan oleh Allah membawa syariat sesudah Nabi Muhammad.

4. Iktikad bahawa tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, tidak ada bangkit hidup semula sesudah mati sesudah mati, tidak ada hari kiamat dan segala perkara yang berlaku padanya.

5. Iktikad bahawa ruh orang-orang mati berpindah dari satu tubuh ke satu tubuh yang lain.

6. Iktikad agama kafir lebih baik dari agama Islam.

7. Perasaan ragu-ragu tehadap mana-mana satu dari perkara-perkara yang tersebut di atas.

8. Berbalik-balik hati di antara hidup menjadi kafir atau tidak, atau bercita-cita menjadi kafir pada masa akan datang.

Bahagian kedua

Perkataan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengecil dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh rasul-Nya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

1. “Hukum apa ini?”

2. “Hukum ini sudah lapuk.”

3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana mnghalangi kemajuan.”

4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wania tak perlu dibungkus-bungkus.”

5. “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”

6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”

7. “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”

8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju.”

9. Berkata: “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w selepas makan: menjilat sisa makanan dijarinya.

10. Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.

11. Berkata: “Si anu dah mulai menyalak” – semasa ia mendengar azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.

14. Kata-kata menggantungkan jadi kafir dengan sesuatu keadaan: Misalnya:

a. Seseorang dituduh melakukan suatu perkara, lalu ia berkata: “Kalau aku lakukan perkara itu jadilah aku kafir”’ sekiranya ia berdusta, yakni ia sebenarnya telah melakukan perkara yang dituduhkan kepadanya itu, maka jadilah ia kafir, kecuali kata-kata itu dituturkan dengan tujuan hanya hendak melepaskan diri dari tuduhan itu sahaja, bukan dengan tujuan redhanya menjadi kafir. Sungguhpun demikian ia telah melakukan dosa besar dengan kata-kata yang tesebut, dan sekiranya ia benar, yakni ia tidak melakukan perkara-perkara yang dituduh orang kepadanya, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa kerana perkataannya itu memberi erti ketiadaan tetap keazamannya berpegang teguh kepada agama Islam.

b. Seseorang diingatkan supaya jangan ia berzina umpamanya, lalu ia berkata: “kalau aku berzina kafirlah aku”, sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan tidak redha mencemarkan dirinya dengan perbuatan zina seperti tidak redhanya menjerumuskan dirinya menjadi kafir, maka tidaklah ia menjadi kafir, tetapi ia berdosa dengan menggunakan perkataan itu dengan alasan yang tersebut, dan sekiranya kata-kata itu dituturkan dengan tujuan redha menjadi kafir kalau ia lakukan perbuatan zina maka jadilah ia kafir dengan kata-katanya yang tersebut, kerana apabila seseorang Islam redhakan kufur, menjadilah ia kafir (murtad).

Bahagian ketiga

Dari segi perbuatan, iaitu:

1. Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walaupun tidak dengan niat untuk menghormatinya sama seperi Tuhan, atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurang rukuk sembahyang dengan tujuan menghormati Allah; kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadikan orang yang melakukan itu murtad, tetapi hukumnya tetap haram.

2. Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhluk yang disembah oleh orang-orang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.

3. Melakukan mana-mana cara ibadat terhadap yang lain dari Allah.

4. Meletakkan ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi, nama-nama Tuhan, Rasul-rasul-Nya, malaikat-Nya dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya; kalau tidak dengan tujuan yang tersebut maka hukuman tetap haram. Demikian juga haramnya menggunakan kertas-kertas yang tertulis padanya ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Allah serta ilmu agama untuk membungkus, mengesat serta menyapu sesuatu; tetapi kalau pebuatan yang dilakukan itu dngan tujuan menghina atau mempersendakannya maka orang yang melakukan itu menjadi murtad.

5. Orang yang meninggalkan sembahyang fardhu, jika ia ingkar wajibnya, jadilah ia kafir murtad keluar dari agama Islam, kerana ia mengingkari satu pekara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah satu perkara yang wajib di atas tiap-tiap orang Islam, selama akalnya sihat.

Perkara-perkara yang telah diterakan satu persatu di atas itu adalah sebahagian contoh yang disebutkan oleh ulamak bahawa orang yang melakukannya menjadi murtad.

Mereka menetapkan hukum yang tesebut dengan berdasarkan ayat 40 surah Yusuf, ayat 65 surah Taubah, ayat 37 surah Fasilat dan ayat-ayat surah al-Kafirun serta hadis Muaaz bin Jabal yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah, dan hadis Khis bin Saad yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Maksud kedua-dua hadis itu: bahawa Rasullullah s.a.w melarang mereka sujud kepada baginda serta menerangkan bahawa tidak harus seseorang sujud kepada yang lain dari Allah.

Dengan keterangan yang tersebut hendaklah diingat bahawa seseorang yang cintakan keselamatan dan kebahagiaan dirinya dan agamanya, jangan sekali-kali mendekati, apa lagi melakukan, sebarang perkara yang hukumnya berkisar di antara menjadi murtad dan berdosa besar. Semoga Allah selamatkan kita dengan taufik dan hidayah-Nya.

--------
Tulisan ini dipetik dari Mustika Hadis, Muqadimah dan Jilid I, diterbitkan Jabatan Perdana Menteri Malaysia

 

Kirim email ke