*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
30/11/01
Hassan Ali jawab Khir Toyo 
 
Oleh : WARTAWAN CABARAN

MUQADDIMAH Wawancara Mingguan Malaysia dengan Menteri
Besar Selangor mengenai dakwaan rasuah kepadanya
diharap dapat memberi banyak penjelasan, namun Dato'
Seri Dr Mohd Khir Toyo memilih untuk tidak menjawab
isu-isu asas yang dilaporkan kepada BPR. Sebaliknya
beliau menimbulkan isu-isu yang tidak relevan,
termasuk menyerang secara peribadi Ketua Pembangkang
di DUN Selangor, DATO' DR HASSAN ALI. 

Wakil akhbar Cabaran kemudiannya berjaya mengadakan
temu bual khusus dengan Naib Presiden PAS itu. Berikut
adalah hasil wawancara tersebut. 

CABARAN: Ramai berpendapat, Dr Mohd Khir Toyo, Menteri
Besar Selangor, yang menghadapi dakwaan rasuah cuba
mengalihkan isunya dengan mendakwa Dr meneroka tanah
secara haram pula. Boleh Dr huraikan apa sebenarnya
yang berlaku pada kem motivasi Dr itu. 

DR HASSAN ALI: Saya setuju dengan pendapat itu. Dr
Khir Toyo bukan sahaja mengelak daripada menjawab
secara terperinci tuduhan salah laku dan rasuah yang
dibuat kepada BPR, malah cuba mencari kambing hitam
untuk mengalih pandangan awam mengenai tuduhan skandal
salahlaku dan rasuah beliau itu. 

Mengenai kem motivasi di Sg Lui itu, syarikat saya
iaitu Sabha Total Training Centre Sdn Bhd telah diberi
Permit Penggunaan oleh Pengarah Perhutanan Negeri
Selangor pada 26 Mei 1994 melalui Permit Penggunaan
ST/HS/1/94/PENGGUNAAN. Pengarah Perhutanan Negeri juga
sebelum tarikh itu telah memberi kelulusan menggunakan
kawasan tersebut sebelum permit penggunaan dikeluarkan
melalui surat bertarikh 3 Mac 1993. 

Mulai daripada 26 Mei 1994 permit tersebut
diperbaharui setiap tahun dengan bayaran premium
tahunan sebanyak RM3,500.00 sehingga 31 Disember 1998
dan wang cagaran sebanyak RM5,000.00. 

Permohonan untuk memperbaharui permit telah
dikemukakan pada 30 Disember 1998 ke Jabatan Hutan.
Malangnya jabatan berkenaan telah tidak dapat memberi
maklum balas kepada permohonan itu. Ini berterusan
sehingga tahun 2001. Kami sekali lagi membuat surat
ulangan pada 24 Julai 2001. 

Di samping itu pegawai-pegawai saya telah banyak kali
menemui pegawai di Pejabat Hutan Daerah untuk
mengetahui status permohonan itu. Pihak Jabatan Hutan
Daerah tidak dapat memberi kata putus kerana belum
menerima arahan daripada Pejabat Hutan Negeri. Kami
terus menggunakan kawasan tersebut kerana sehingga
hari ini tiada sebarang arahan untuk melakukan
sebaliknya. 

Apa yang perlu ditekankan di sini ialah bahawa kawasan
tersebut diberiguna secara sah oleh Jabatan Hutan
kepada syarikat saya seawal-awal bulan Mac 1993
melalui surat yang dikeluarkan oleh Pengarah Hutan
Negeri bagi membolehkan kami menjalankan kegiatan
latih lasak. 

Selama lima tahun kami beroperasi tanpa halangan dan
Jabatan Hutan sentiasa prihatin dan sangat bertimbang
rasa di samping terus membimbing kami supaya kawasan
yang diluluskan itu dimanfaatkan sebaik-baiknya. 


Dalam satu kenyataan akhbar, Setiausaha Parlimen
Kementerian Penerangan, Zainuddin Maidin (Zam)
mendakwa Dr pernah satu ketika menjadi kroni kepada
pemerintah apabila mendapat kemudahan dan juga tanah
semasa Muhammad Muhd Taib menjadi MB Selangor. Apa
komen Dr. 

Saya diberi kemudahan oleh Kerajaan Negeri bukan atas
dasar kroni tetapi lebih kepada kemampuan, kebolehan
dan tahap profesionalisme yang saya miliki khususnya
di bidang latihan korporat dan bimbingan keluarga. 

Saya yakin Kerajaan Negeri memberi pertimbangan atas
dasar itu di samping membantu saya sebagai anak watan
Negeri Selangor untuk beroperasi dengan cara yang
lebih teratur. Saya sentiasa berterima kasih kepada
semua pihak yang secara ikhlas membantu saya. 

Saya memilih menyertai parti PAS/ pembangkang atas
dasar keyakinan saya bahawa dalam mana-mana sistem
demokrasi peranan pembangkang amatlah perlu khususnya
untuk tujuan "check and balance". Pimpinan Umno harus
lebih terbuka untuk menerima kritikan membina termasuk
amalan salahlaku dan rasuah Dr Khir Toyo seperti yang
telah dilaporkan kepada BPR. Anehnya apa yang berlaku
ialah pimpinan Umno khususnya Dr Khir Toyo menjadi
gelabah, melatah, hilang pedoman dan cuba mencari
kambing hitam untuk menutup skandal yang serius itu.
Tindakan Dr Khir Toyo mencari-cari kelemahan seseorang
untuk menutup skandalnya itu adalah sebahagian
daripada kegelabahan yang saya maksudkan itu. 

Tanah yang diperolehi dibuat secara prosidur biasa.
Tidak ada "hanky panky". Semuanya berjalan mengikut
tatacara yang sedia ada dan telus. Ketika memohon,
umur saya tidak 20 tahun, nama saya tidak
berulang-ulang timbul untuk dianugerahkan tanah,
syarikat saya memang telah "established", bukan baru
didaftarkan 40 hari dan kemudian diberi tanah, tidak
ada anggota lembaga pengarah syarikat saya yang tidak
tahu bahawa mereka ada memohon tanah, alamat syarikat
tidak menimbulkan tanda tanya dan tidak ada ahli
lembaga pengarah syarikat saya orang berkepentingan
seperti anak Pegawai Daerah. 

Dalam wawancara Khir dengan Mingguan Malaysia Ahad
lalu, beliau mendakwa Dr masuk PAS kerana Umno dan BN
tidak menawarkan jawatan politik kepada Dr. Dan Khir
mendakwa Dr membangkitkan dakwaan rasuah terhadap Khir
di DUN hanya kerana Dr mahu menjadi Menteri Selangor. 

Bagaimana Umno/BN hendak menawarkan saya jawatan
politik? Saya tidak pernah menjadi ahli Umno atau
mana-mana komponen BN. Saya masuk PAS untuk membawa
keadilan kepada rakyat. Saya masuk PAS untuk membawa
sistem pentadbiran negeri/ negara yang telus, amanah
dan penuh bertanggungjawab. 

Saya masuk PAS untuk memerangi rasuah dan salahlaku
pimpinan Umno/BN seperti yang kini sangat menghantui
Dr Khir Toyo. Saya masuk PAS untuk membawa sistem
penerajuan negeri/ negara yang sentiasa mendapat
keberkatan, kerahmatan dan keredhaan Allah s.w.t.. 

Sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri
(DUN) Selangor, salahkah saya menyuarakan salahlaku
dan rasuah Menteri Besar Dr Khir Toyo di persidangan
DUN dan di tempat-tempat lain? Salahkah saya
mengajukan usul tergempar di DUN membincangkan kes
salahlaku dan rasuah itu? Salahkah saya menggesa di
Parlimen supaya BPR bertindak segera menyiasat hingga
keakar umbi salahlaku dan rasuah Menteri Besar itu? 

Salahkah saya sebagai tanda terima kasih kepada apa
yang telah diberi kepada saya untuk terus
memperjuangkan keadilan, ketelusan, keamanahan dan
kepertanggungjawaban? Insya-Allah saya akan terus
melakukan apa yang saya fikirkan benar walaupun ini
bererti pimpinan Umno akan terus mencari helah dan
mengkambing-hitamkan saya. 

Dr Khir juga mendakwa bahawa ketika remaja beliau amat
hormat orang PAS. Tetapi apabila ada orang seperti Dr
dalam PAS, maka PAS kini melalui zaman malapnya. Komen
Dr. 

Saya tak pasti apa yang Dr Khir Toyo hendak katakan.
Beliau kena ingat masyarakat sentiasa berubah.
Pemikiran rakyat pun demikian juga. Dengan pendidikan,
rata-ratanya rakyat Malaysia menjadi rakyat
bermaklumat. Rakyat bermaklumat biasanya lebih
kritikal dan tidak menerima sesuatu secara disuapkan. 

Apa yang terjadi sekarang, pemikiran pimpinan Umno
termasuk yang muda seperti Dr Khir masih terbelenggu.
Budaya ampu, budaya itik seekor turun ke air
menyebabkan yang lain semuanya turun begitu berleluasa
dalam Umno. Dr Khir cuba meletakkan dirinya yang
terbelenggu dalam budaya Umno tersebut dalam
masyarakat yang berkembang, ke hadapan, berdada
lapang, bermaklumat, kritikal dan benci kepada
kronisme, nepotisme, rasuah dan pelbagai salahlaku
yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno. 

Khir juga mendakwa, ada pihak tertentu sanggup
mengupah orang tertentu untuk melaksanakan kerja-kerja
fitnah kepadanya. Walaupun beliau tidak menyebut PAS
secara langsung, dirasakan ia ditujukan kepada PAS.
Apa ulasan Dr. 

Sememangnya saya sedang meneliti tuduhan jahat itu
daripada seorang manusia yang sedang lemas. Orang yang
sedang lemas akan mencapai apa sahaja untuk bergayut.
Dr Khir sedang terkapai-kapai. 

Keadaan bertambah mengerikan bila orang-orang Umno
sendiri tampil mengemukakan pelbagai aduan kepada
aktivis-aktivis masyarakat termasuk pembangkang
mengenai salahlaku/rasuah pemimpin-pemimpin mereka.
Sekali lagi Khir cuba mencari kambing hitam kononnya
PAS terlibat membiayai kerja-kerja fitnah terhadapnya.


Biar saya nyatakan di sini dengan sejelas-jelasnya PAS
tidak pernah membiayai atau mengupah mana-mana orang
melakukan kerja-kerja yang dikatakan fitnah itu. Apa
yang PAS lakukan, sebagai parti bermaruah dan mewakili
majoriti rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam
pilihanraya 1999, PAS bersama-sama dengan siapa sahaja
dalam perjuangan menentang kezaliman, penyalahgunaan
kuasa, kronisme, nepotisme dan sebagainya. 

Alhamdulillah, usaha ini telah mendapat sambutan dan
sokongan yang begitu padu bagi mereka yang cintakan
nilai-nilai murni kehidupan insan itu. 


Dalam satu lagi dakwaannya, Khir berkata bahawa dalam
pilihan raya akan datang PAS tidak akan dapat satu
kerusi pun. Malah beliau berkata: "Saya pasti tentang
hal ini." Dari sudut pandangan Dr pula, bagaimana
harapan PAS dan parti-parti pembangkang lain di negeri
Selangor ini. 

Kenyataan Khir ini memang menggambarkan peribadinya
sombong, angkuh dan bongkak. Mana boleh seorang
manusia kerdil seperti kita mengambil tugas Allah
untuk membuat penentuan terhadap satu-satu perkara.
Kalah menang dalam pilihanraya adalah ketentuan Allah.
Manusia hanya dapat mengusahakannya sahaja. 

Bayangkan dalam umur 36 tahun dan baru menjadi Menteri
Besar selama 14 bulan sudah begitu angkuh dan bongkak.
Apa akan jadi kalau rakyat terus mengizinkan manusia
rakus ini menerajui Selangor lebih lama lagi. Saya
tidak dapat menggambarkan peridahsyatnya tindak tanduk
beliau ketika itu. 

PAS bersama dengan komponen BA sedang berusaha siang,
malam, pagi dan petang untuk mengatur strategi,
meneliti pelbagai taktik, membaca gerak langkah lawan
dan mendekati pengundi dengan gerak kerja-gerak kerja
bersepadu bagi menjamin kemenangan dalam pilihanraya
yang akan datang. 

Syukur Alhamdulillah, rakyat tua muda, bandar dan
desa, kakitangan kerajaan dan swasta, polis dan
tentera sentiasa berada di hadapan, belakang, kiri dan
kanan kita. Walaupun dikenakan pelbagai sekatan,
simpati rakyat terus menerus bersama kita. Makin kami
ditindas makin tajam dan mendalam kebencian rakyat
terhadap Umno/ BN. Inilah yang mengecewakan pemimpin
Umno hingga mereka kelihatan meracau-racau sekarang
ini. 

Secara menyeluruh, apakah jawapan yang Dr Khir berikan
dalam interviu Ahad lalu itu memuaskan Dr. Kalau
tidak, dari aspek mana? 

Seperti rakyat Malaysia yang lain, khasnya rakyat
negeri Selangor, saya begitu kecewa dengan jawapan Dr.
Khir terhadap pelbagai tuduhan salahlaku dan rasuah
yang dihadapkan kepadanya. Liputan yang begitu luas
memakan satu setengah muka surat dalam Mingguan
Malaysia yang diperuntukkan kepadanya sepatutnya
digunakan dengan sepenuhnya untuk menjawab secara
telus tuduhan-tuduhan yang telah disampaikan kepada
BPR itu. Tetapi sebaliknya beliau memilih untuk
bercerita mengenai perkara-perkara yang tidak
berkaitan langsung dengan lebih daripada 10 tuduhan
yang mesti beliau jawab. 

Saya tidak faham langsung mengapa beliau mensia-siakan
kesempatan keemasan yang diberi untuk membersihkan
diri, jawatan Menteri Besar, jentera kerajaan negeri,
individu-individu yang dikaitkan dan yang pentingnya
kewibawaan beliau sebagai ketua eksekutif kerajaan
negeri yang sudah tercemar. Selama mana beliau cuba
mengelak, selagi itulah beliau akan dihantui oleh
tekanan rasa bersalah yang cuba disembunyikannya. 

Sepatutnya beliau menjuruskan wawancara itu untuk
menerangkan secara telus soalan-soalan seperti : 

· Mengapa Meram Holding, syarikat yang diketahui
bermasalah, diberi projek pembinaan jalan Cross Ban 4,
Sg. Panjang yang dipersoalkan? 

· Mengapa harga kontrak begitu mahal mencecah RM 4.5
juta bagi 1km ? Berapakah anggaran JKR? 

· Mengapa projek di beri secara rundingan terus? 

· Mengapa Menteri Besar sendiri mengeluarkan surat
setujuterima kepada kontraktor? 

· Nafikan ahli-ahli lembaga pengarah sub-kontraktor,
Cabaran Wangsa yang menjalankan projek pembinaan itu
tidak ada kaitan langsung dengan diri Dr Khir Toyo? 

· Bagaimana Ahmad Termizi Tajjeury pengarah syarikat
Cabaran Wangsa yang diberi sub-kontrak mendapat tanah
50 ekar di Shah Alam dan 50 ekar lagi di Kuala Langat?
Apakah beliau tidak ada kaitan langsung dengan Dr
Khir? 

· Bagaimana hampir semua ahli lembaga pengarah
syarikat-syarikat yang diberi tanah di Bukit Cherakah
mendapat tanah lebih daripada sekali. Terdapat seorang
lembaga pengarah Samsuri Rahmat namanya hadir pada
keempat-empat syarikat yang setiap satunya
dianugerahkan tanah itu? 

· Mengapa tarikh penubuhan syarikat dan kejayaan
memperoleh tanah menjadi isu? 

· Bagaimana Ahmad Azmir Mohd Yusoff, Noor Ashikin Mohd
dan Mardhiah Mohamad dilantik sebagai pengarah pada
hari yang sama 28 Mei 2001 dan tidak sampai 40 hari
selepas itu iaitu pada 4 Julai 2001, mereka bertiga
mendapat tanah 50 ekar di Kuala Langat? 

· Mengapa timbul persoalan mengenai alamat
syarikat-syarikat yang diberi tanah itu? 

· Mengapa terdapat beberapa orang ahli lembaga
pengarah tidak tahu menahu yang mereka mendapat tanah?


· Mengapa latar belakang sebahagian daripada ahli
lembaga pengarah boleh diragukan untuk membangunkan
tanah yang dianugerahkan kepada mereka? 

· Mengapa hampir semua ahli lembaga pengarah
syarikat-syarikat yang mendapat tanah di Kuala Langat
berumur di antara 20-22 tahun? 

· Bagaimana terdapat anak salah seorang Pegawai Daerah
terlibat sedangkan ayahnya masih bertugas di negeri
Selangor? Tidakkah ini menimbulkan kecurigaan?


Saya tidak berhajat untuk membuat senarai panjang
tentang perkara-perkara penting yang menjadi pokok
kepada kontroversi, keraguan, ketidaktelusan dan
penyembunyian fakta seperti yang disebutkan dalam
laporan kepada BPR. 

Bagi saya inilah di antara persoalan pokok yang mesti
di beri keutamaan oleh Dr Khir dalam wawancaranya.
Kegagalan beliau menjawab soalan-soalan ini
menambahkan lagi syak dan ragu saya terhadap
kewibawaan beliau. 

Cara beliau cuba mencari kambing hitam menampakkan
gelagat beliau yang bertambah menggelabah apatah lagi
di kalangan orang Umno sendiri sudah mula hilang
kepercayaan terhadap kepimpinan beliau. Sejak dari
awal kita di beritahu pemilihan beliau sebagai Menteri
Besar banyak menimbulkan tanda tanya. 

Khir dalam jawapannya bagi menangkis dakwaan rasuah
kepadanya sering mengaitkan bahawa apa saja
keputusannya dalam hal kelulusan tanah adalah
merupakan kelulusan Exco secara kolektif. Maknanya dia
langsung tidak ada kepentingan dalam proses membuat
keputusan itu. 

Saya ingin memetik buku tulisan bekas menteri Tan Sri
Megat Junid bertajuk "Getek" di muka surat 75. Buku
itu menyebut "Cengkaman MB atau KM terhadap rakyat dan
ahli-ahli Umno cukup kuat," kata Megat Junid dalam
bukunya. "… kadang-kadang kelulusan tanah dan balak
tidak pun di bawak ke Mesyuarat Exco. Terutama
kelulusan yang tidak begitu besar. Yang buat keputusan
hanya MB, Pengarah Tanah dan Pengarah Hutan …"

Petikan ini membantu kita memahami keadaan sebenarnya.
Saya mewakili rakyat amat bersedih kalau kata-kata
Megat Junid ini menggambarkan apa yang terjadi di
negeri Selangor. BPR sebagai badan berwibawa sudah
tentu akan menyiasat perkara ini secara yang paling
profesional. Kita harap BPR akan membantu rakyat
mengetahui duduk perkara yang sebenarnya. Kini rakyat
sedang menunggu dan nama Menteri Besar mesti
dibersihkan dengan segera. 

Sepanjang Dr menimbulkan isu rasuah Khir ini, bermula
di sidang DUN dan kemudiannya dalam majlis-majlis
ceramah, apa respons rakyat terhadapnya, terutama
sekali pengundi di sekitar Tanjong Karang. 

Rakyat Selangor adalah rakyat yang faham tentang
perjalanan sistem demokrasi. Rakyat Selangor juga
adalah rakyat yang perihatin, bermaklumat dan
rata-ratanya kritikal. Hal ini menyebabkan mereka
sangat tidak berpuas hati cara isu ini ditangani dan
didedahkan. 

Bayangkan sudah begitu lama timbulnya isu ini, sudah
dilaporkan kepada BPR dibahaskan di Dewan Undangan
Negeri dan juga di Parlimen tetapi tidak dipaparkan di
media massa. Isu ini telah di"blackout" kan daripada
media. Mujurlah ada Harakah, ada Cabaran, ada
laman-laman web rakyat yang prihatin. 

Di sana sini rakyat tertanya-tanya. Rakyat inginkan
penjelasan. Rakyat sayangkan ketelusan, rakyat negeri
Selangor tidak mahu terus menanggung malu akibat
perbuatan menteri-menteri besar yang lalu yang
mencatitkan rekod hitam semasa diberi amanah memegang
kuasa. Rakyat di Tanjong Karang sebagai rakyat yang
paling hampir dengan Dr Khir Toyo sudah tentu
merasakan diri mereka mesti terlibat untuk menentukan
negeri Selangor tidak sekali lagi dilanda malapetaka
akibat kecurangan seorang Menteri Besar. Penduduk
Sabak Bernam, Tanjong Karang dan Kuala Selangor sangat
mengharapkan agar BPR dapat menyelamatkan keadaan.
Taktik yang digunakan akhir-akhir ini untuk mencari
kambing hitam, saya menelahkan akan memakan diri MB
sendiri. 

Pihak Umno menuduh bahawa PAS sengaja menabur fitnah
kepada Khir kerana bimbangkan pengaruh peribadinya
dalam pilihan raya akan datang, yang boleh menyebabkan
PAS kehilangan semua kerusi yang ada. Khir dikatakan
mempunyai reputasi yang baik sekali terutama untuk
menentang PAS. 

Kalau kita masih ingat, pada minggu-minggu pertama Dr.
Khir memegang jawatan beliau memilih untuk
memperkotak-katikkan YAB Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz
dan membuat beberapa cabaran kepada beliau secara
begitu biadap sekali. Kemudian dituruti dengan
tindakan ganas mengharamkan ceramah-ceramah umum. 

Berikutnya beliau mengharamkan ceramah-ceramah di
masjid. Beliau juga mengambil tindakan drastik ke atas
PASTI (institusi pra-sekolah anjuran PAS) dan banyak
lagi yang pelik-pelik yang tidak berlaku sebelum ini.
Isu salahguna kuasa dan rasuah ini benar-benar menjadi
pukulan maut penyudah terhadap karier beliau sebagai
MB. 

Kalau diizinkan beliau terus berkuasa dengan peribadi
dan kewibawaan yang tercemar, saya khuatir akan wujud
keadaan anarki di negeri Selangor. Saya berlindung
kepada Allah supaya ini tidak berlaku. 

Rakyat negeri Selangor amat cerdik. Enam orang
pembangkang yang mereka pilih adalah terdiri daripada
anggota yang berwibawa, berkelulusan tinggi,
berpengalaman luas, komited kepada tugas dan idealisme
perjuangan memertabatkan rakyat dan negeri Selangor. 

Prestasi mereka selama ini di dalam dan di luar Dewan
amat dikagumi. Isu-isu yang mereka pilih adalah
isu-isu yang fundamental, berkait terus dengan rakyat
dan mempunyai kepentingan dan keperluan terkini.
Bandingkan kewibawaan mereka dengan sesetengah ADUN
Umno. 

Pilihan rakyat untuk menerajui negeri Selangor adalah
PAS/ BA. Bayangkan di setengah-setengah kawasan
Parlimen dan DUN negeri Selangor calon-calon Umno
mengalami kemerosotan undi ribuan peratus yang belum
pernah terjadi sebelum ini. Insya-Allah, dengan
sentiasa mengharapkan pertolongan Allah negeri
Selangor akan menjadi selamat bila PAS/ BA dipilih
menjadi kerajaan penyelamat. 
 


__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Buy the perfect holiday gifts at Yahoo! Shopping.
http://shopping.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Harun Aminurrashid <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke