*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
mungkin masih ramai rakyat malaysia yg lebih percaya
berita yg dikeluarkan oleh PENTAGON dari berita umat
Islam sendiri. Sebuah akhbar British mendedahkan
penipuan Pentagon.


Sebuah kampung musnah. Amerika berkata " tidak berlaku
apa-apa" 

oleh Richard Lloyd Parry (The Independent)

04 December 2001. Kama Ado, Afghanistan - Kami telah
sampai di sebuah kampung yang kononnya " tidak berlaku
apa-apa " selepas memandu di sebatang jalan yang curam
dan berkerikil selama tiga jam. Sehingga ke tarikh "
tidak berlaku apa-apa " itu ia merupakan sebuah
kampung yang besar dan mempunyai sebuah kawasan
perkuburan yang kecil - bagaimanapun keadaannya kini
terbalik - sebuah kampung kecil dan kawasan kubur yang
besar. Kubur itu kini didiami oleh 40 orang penghuni
baru tanpa nisan tetapi dapat dikenali. Dan kampung
Kama Ado telah lenyap dari muka bumi ini.

Kebanyakan rumah di sini sudah terbenam di dalam
kawah-kawah yang dalam. Sementara bakinya pula
merupakan rumah yang lintang pukang seumpama
kotak-kotak kadbod yang baru dihempap. Ketika kejadian
yang kononnya "tidak berlaku apa-apa" itu, penduduk
kampung Kama Ado sedang bersahur di rumah mereka yang
serba serbi kekurangan bersesuaian dengan cara hidup
mereka yang amat mudah.

Di bahagian dapurnya terdapat sebuah cerek tin yang
bahagian dalamnya hampir tersembul keluar, beberapa
pinggan mangkuk yang rentung serta cebisan mesin
menjahit fesyen lama. Di sebuah bilik lain kelihatan
barang paling mewah yang mampu mereka miliki -enam
ekor lembu yang terbaring kaku dan mulai mereput. 

Pemandangan ini sungguh asing kerana pada pagi Sabtu
itu - bila kapalterbang B-52 Amerika menggugurkan
belasan peluru dan membunuh 115 orang awam, lelaki,
perempuan dan kanak-kanak- kita diberitahu bahawa "
tidak berlaku apa-apa " di situ !

Begitulah kita diberitahu oleh Jabatan Pertahanan
Amerika. Petang Sabtu itu juga, jurucakap Pentagon,
bila ditanya mengenai laporan kemalangan yang menimpa
orang awam di bahagian timur Afghanistan, menyatakan
ianya tidak benar. Mengikutnya Amerika amat teliti
dengan hanya memilih sasaran yang ada kaitan dengan
gerakan al Qa'ida yang diketuai oleh Osama bin Laden
sahaja.

Oleh itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa apa yang
saya saksikan di sepanjang perjalanan dari Jalalabad
melalui jalan gurun ke Kama Ado semalam amat berbeza
dengan apa yang digambarkan oleh Pentagon. Sebaik
sahaja saya keluar dari kenderaan, saya dikejutkan
dengan runtuhan bangunan serta mangsa-mangsa yang
tidak berdosa yang dibunuh dengan menggunakan
teknologi canggih serta bom ribuan paun.

Kami memulakan tinjauan dari rumah Haji Zaman
Gamsharik, seorang komandan anti-Taliban yang
pro-Barat yang secara diam-diam dibiayai dan mendapat
bekalan dari kerajaan Amerika. Sehari sebelum itu saya
telah bertemu dengan beliau ketika menziarahi sebuah
perkuburan di Jalalabad di mana beliau menyaksikan
tujuh mayat tenteranya yang berkecai dikebumikan. Saya
diberitahu kesemua mereka menjadi mangsa bila bom
Amerika digugurkan ke atas bangunan kerajaan dan
meletup sewaktu mereka sedang tidur. Dan hari ini
peristiwa yang sama berulang kembali.

Kini di belakang tiga buah kenderaan pacuan empat roda
- terkapar tujuh lagi mayat tentera anti-Taliban.
Mereka terbunuh ketika sedang tidur di sebuah rumah
tumpangan di kampung Landi Khiel yang telah dibom pada
jam 6.30 pagi semalam.

Komander Zaman adalah seorang yang suka membangga diri
dan angkuh kerana berpengalaman beberapa tahun
memerangi Soviet Union. Bagaimana pun saya tidak
pernah melihat beliau kelihatan begitu hampa seperti
hari ini.

" Aku sendiri yang menghantar mereka semalam,"
kata-katanya tersekat sebentar. " Aku hantar mereka
demi keselamatan."

Bagaimana pun beliau memerintahkan beberapa orang
pengawal peribadi mengiringi kami menurun bukit menuju
ke kampung Landi Khiel. Sebaik tiba di sana kami temui
runtuhan pejabat di mana kumpulan pertama tentera
anti-Taliban terkorban dan seterusnya rumah tumpangan
di mana tentera yang terkapar di atas kenderaan pacuan
empat roda tadi terbunuh. Di celah-celah runtuh rumah
pula kami temui beberapa cebisan logam kecil. Salah
satunya merupakan saki baki ekor sebutir bom. Di atas
nya terukir perkataan "Surface Attack Guided Missile
AGM 114" dengan nombor siri 232687. Ianya separuh
terbenam di atas bumbung sebuah rumah yang runtuh dan
mengorban tiga orang. Mereka ialah Fazil Karim,
adiknya Mahmor Ghulab dan anak saudara bernama Hasiz
Ullah.

" Mereka adalah satu keluarga orang awam," kata Haji
Mohammed Nazir, seorang tua tempatan yang mengiringi
kami.
" Mereka bukan pengganas - pengganas ada di bukit
bukau sana !"

Jadi kami memandu ke arah Pergunungan Putih, di mana
beratus-ratus ahli al-Qa'ida dan mungkin Osama bin
Laden juga sedang bersembunyi di gua-gua Tora Bora.
Ketika itu sebuah kapalterbang B-52 sedang terbang di
langit, kepulan asap hitam di perlembahan pula jelas
kelihatan - sesuatu sudah pasti berlaku di sana.

Kemudian kami sampai di kampung Kama Ado. Tidak ada
sebarang bukti yang kami temui untuk mengesahkan
kampung itu dijadikan pengkalan Taliban. Jika ada pun
senjata merbahaya yang saya jumpa hanyalah sarung
senapang yang telah uzur dibuat daripada kulit serta
talipinggang pengisi peluru. Bagaimanapun agaknya
itulah yang menyebabkan pasukan pengebom Amerika
berfikir bahawa ahli al Qa'ida telah bermalam di situ.

Namun selepas 22 tahun berperang, boleh dikatakan
kesemua orang Afghanistan memiliki sedikit sebanyak
barang ketenteraan. Malah penduduk kampung itu
bersumpah mereka tidak melihat kelibat pejuang
berbangsa Arab atau tentera Taliban lebih dari dua
minggu lalu. Oleh itu tentulah tidak mencukupi bagi
menguburkan pengganas dengan 40 kubur baru di kampung
itu. Salah seorang penduduk memberitahu saya bahawa
ada beberapa kubur itu diisi dengan serpihan badan
manusia yang gagal dikenali dan disatukan semula lagi.

Sebelum kehadiran di situ kami diberi amaran bahawa
penduduk kampung yang tidak " berlaku apa-apa" itu
tidak akan mesra dengan orang Barat seperti kami.
Malangnya amaran itu ternyata hanyalah temberang.
Ketakutan tidak pernah saya rasai ketika bersama
mereka dan anehnya satu-satunya ketika yang saya
takuti ialah bila sebuah pesawat B-52 terbang di atas
kepala kami. Kami memberhentikan konvoi dan melompat
keluar dari kereta, melintas di seberang jalan dan
menunggu penuh debar. 

Pesawat itu membuat putaran dan saya sedar sepasang
mata elektronik di ruang udara sedang memerhatikan
satu-satunya kenderaan darat yang melintas di
bawahnya. Kemudian kami menarik nafas lega bila ia
melencong ke arah lain.

Sebenarnya sebelum kami meninggalkan Jalalabad,
seorang rakan wartawan dari Amerika menghubungi
Pentagon memberitahu rancangan kami membuat tinjauan
di kampung yang "tidak berlaku apa-apa" itu. Kini saya
tidak dapat menggambarkan apa yang akan dilakukan oleh
pesawat B-52 itu jika panggilan telefon itu tidak
dibuat. Mungkin juga " tidak berlaku apa-apa "
terhadap saya.

(Terjemahan bebas dari rencana asal, " A village is
destroyed. And America says nothing happened ") 



__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Send your FREE holiday greetings online!
http://greetings.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Harun Aminurrashid <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke