*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau
(hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya);
cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka). [Al-Isra'
: 65]



Iblis Menggoda Nabi Ayub Alaihissalam

    Para malaikat memuji akan sikap dan keperibadian Nabi Ayub as yang suka
beribadah dan mengingat Allah SWT. Hidupnya penuh dengan rasa kesyukuran
yang mendalam atas nikmat yang dibahagikan oleh Allah SWT kepadanya. Iblis
mendengar pujian para Malaikat tersebut yang membuat hatinya menjadi panas
kerana ia telah bersumpah dengan Allah untuk menggoda setiap anak cucu Adam.
Oleh sebab itu ia tidak rela melihat manusia yang berada di permukaan bumi
ini beriman, beribadah dan beramal soleh.

    Kemudian Iblis menjumpai Ayub untuk melihat sendiri tentang apa yang
diperkatakan oleh malaikat itu. Ternyatanya memang benar bahawa Nabi Ayub as
memang patut menerima pujian tersebut. Nabi Ayub hidup dalam keadaan yang
serba mewah dengan harta kekayaan yang banyak, hidup rukun dengan anak dan
isterinya. Namun begitu Nabi Ayub tidak terlena dengan kekayaan dan anak
isterinya itu, siang malam bibirnya tidak lepas dari mengingat Allah SWT
bersujud dan bersyukur kepada Nya, serta memiliki rasa kasih sayang yang
tinggi terhadap sesama makhluk.

    Iblis berusaha untuk menggoda Nabi Ayub as tetapi gagal, namun ia tidak
berputus asa untuk menggoda Nabi Ayub. Kemudian ia pergi menghadap kepada
Allah dan ia berkata: "Wahai Tuhan, sesungguh Ayub menyembah dan bertasbih
kepada Mu bukan lantaran ia ikhlas dan tulus kerana cinta dan taat kepada
Mu. Ia melakukan itu hanya kerana takut kehilangan semua kesenangan duniawi
yang Engkau berikan kepadanya. Di samping itu ia masih mengharapkan agar
kekayaannya bertambah berlipat ganda. Untuk itu ia menyembah Mu, andai kata
ia ditimpa musibah sehingga hartanya menjadi musnah tentu ia akan berpaling
daripadaMu."

    Kemudian Allah berfirman kepada Iblis: "Sesungguhnya Ayub adalah hambaKu
yang sangat taat kepadaKu, ia seorang mukmin sejati, apa yang ia lakukan
untuk mendekatkan diri kepadaKu semata-mata didorong oleh keimanan yang
teguh dan ketaatan kepadaKu. Engkau memang tidak rela melihat anak cucu Adam
berada di jalan yang benar dan lurus. Untuk menguji hati Ayub dan
keimanannya kepadaKu, Aku izinkan engkau untuk mencuba menggodanya serta
memalingkannya daripada Ku."

    Iblis mengumpul para sahabatnya untuk menguji dan memalingkan keimanan
Nabi Ayub. Untuk pertama kali ia berusaha menghancurkan harta benda Nabi
Ayub. Dengan berbagai cara akhirnya Iblis dengan kawan-kawannya para syaitan
itu berhasil memusnahkan binatang ternak, ladang-ladang serta
bangunan-bangunan milik Nabi Ayub. Dengan waktu yang singkat Nabi Ayub yang
kaya raya itu menjadi miskin. Yang ada hanya segumpal hati yang penuh
keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

    Setelah itu Iblis pun datang menemui Nabi Ayub dengan menyamar sebagai
orang tua yang bijaksana, dan berkata: "Sesungguhnya musibah yang menimpa mu
ini sangat mengerikan, dalam waktu yang singkat segala harta mu jadi musnah,
tentu sahabat-sahabat menjadi sedih dan bertanya apa sebabnya Ayub menerima
musibah seburuk ini. Sementara musuh-musuh mu ada yang berkata; musibah ini
datang mungkin Ayub tidak ikhlas dalam beribadah, dan ada lagi yang berkata,
kalau Tuhan Ayub benar-benar berkuasa nescaya Dia dapat menyelamatkan Ayub
dari bencana ini.

    Sebahagian yang lain ada yang berkata, mungkin amal ibadah Ayub tidak
diterima oleh Tuhan sebab dilakukan bukan dengan hati yang bersih, serta
mempunyai sifat riya' dan ingin dipuji. Aku pun merasa berdukacita kepada mu
hai Ayub dengan nasib mu ini." Kemudian Iblis merayu dan memujuk Nabi Ayub
dengan kata-katanya yang manis.
Kemudian Nabi Ayub berkata: "Ketahuilah bahawa apa yang telah aku miliki,
semuanya itu barang pemberian Allah yang dimintanya kembali setelah aku
cukup menikmatinya dan menggunakannya. Segala puji dan kesyukuran hanya
untuk Allah yang telah memberikan kurniaNya kepada ku dan mencabutnya
kembali. Dia Maha Kuasa yang dapat berbuat sesuai dengan kehendakNya.
Sebagai hamba kita harus menerima takdirNya itu." Setelah selesai berbicara
Nabi Ayub pun bersujud kepada Allah SWT.

    Iblis segera meninggalkan rumah Nabi Ayub dengan rasa kecewa dan hampa.
Namun begitu dia masih berhasrat untuk mencelakakan Nabi Ayub as. Kembali ia
menghadap kepada Allah SWT dan meminta izin untuk meneruskan usahanya. Iblis
berkata: "Wahai Tuhan, Ayub tidak mahu menerima hasutan ku, bahkan
sedikitpun tidak goyah imannya kepada Mu, walaupun segala harta dan
kekayaannya telah musnah. Mungkin kerana dia masih memiliki harapan, bahawa
anak-anaknya yang sihat dan kuat akan meneruskan kehidupannya untuk hari
tua.

    Menurut ku Ayub tidak akan sanggup menerima musibah, jika kecelakaan itu
ditimpakan kepada anak-anak yang sangat dicintainya itu. Oleh sebab itu ya
Tuhan, izinkan aku sekali lagi untuk mencuba kesabarannya, dan keteguhan
imannya. Godaan yang ku lakukan ini terhadap keluarganya dan putera-putera
yang sangat disayanginya itu."
Allah mengizinkan permintaan Iblis itu. Iblis pun pergi bersama-sama
kawan-kawannya untuk memusnahkan putera-putera Nabi Ayub. Rumah yang
diduduki oleh putera-putera Nabi Ayub menjadi hancur begitu pula
putera-puteranya meninggal semuanya.

    Kemudian Iblis pun pergi ke rumah Nabi Ayub menyamar sebagai sahabat
Nabi Ayub, untuk mengucapkan rasa dukacita atas musibah yang menimpa Nabi
Ayub serta keluarganya itu.

    Iblis berkata; "Hai Ayub sudah engkau melihat putera-putera mu yang mati
ditimbus oleh bangunan rumah-rumahnya akibat dari gempa bumi itu? Sudah
jelas hai Ayub bahawa Tuhan tidak menerima ibadah mu selama ini dan tidak
menjaga dan melindungi mu sebagai balasan dari amal soleh mu."

    Mendengar ucapan Iblis itu, menangislah Nabi Ayub tersedu-sedan sambil
berkata: "Allah lah yang memberi dan Dia pulalah yang mengambil kembali.
Segala puji bagi-Nya Tuhan Yang Maha Pemberi dan Maha mencabut kembali."

    lblis pergi meninggalkan Nabi Ayub yang sedang dalam keadaan sujud
kepada Allah SWT. Kemudian Iblis kembali mengadap Allah. "Wahai Tuhan, Ayub
telah kehilangan harta benda bahkan putera-puteranya namun ia masih tetap
memiliki keimanan yang kuat. Izinkan aku ya Tuhan untuk menguji sekali lagi
terhadap kesihatan dirinya. Kerana jika sudah sakit dan lumpuh sudah tentu
ia akan malas mengerjakan ibadah kepada Mu."

    Allah mengizinkan kehendak Iblis tersebut. Iblis memerintahkan kepada
pengikut-pengikutnya supaya menaburkan benih-benih penyakit ke dalam tubuh
Nabi Ayub. Sehingga Nabi Ayub menjadi orang yang tidak bermaya, semua orang
menjauhinya disebabkan penyakit yang menimpanya itu dapat berjangkit kepada
orang lain. Hanya isterinya yang setia menjaga dan merawat Ayub.

    Iblis masih melihat walaupun Nabi Ayub dalam keadaan yang tidak berdaya
itu ia masih tetap beribadah kepada Allah SWT bibirnya terus menyebut nama
Allah. Iblis menjadi kesal dengan sikap Nabi Ayub tersebut, sehingga ia
meminta pendapat terhadap teman-temannya bagaimana cara untuk menghancurkan
keimanan Nabi Ayub itu.
Di antara mereka ada yang berkata Engkau telah berhasil mengeluarkan Nabi
Adam dari syurga bagaimana engkau dapat melakukan hal itu?" Iblis baru
teringat hal itu dilakukan dengan jalan menggoda isteri Adam. Mungkin idea
ini dapat dilakukan terhadap isteri Nabi Ayub.

    Pergilah ia menemui isteri Nabi Ayub dengan menyamar sebagai seorang
sahabat Nabi Ayub. Iblis membisikkan rayuannya kepada telinga isteri Nabi
Ayub. Akhirnya isteri Nabi Ayub pergi menemui Nabi Ayub yang sedang
menanggung penderitaan itu dan sedang bertasbih kepada Allah SWT. Kemudian
ia berkata; "Wahai suami ku sampai bilakah engkau diseksa oleh Tuhan mu,
yang mana segala harta dan putera-putera kita telah musnah, begitu juga
sahabat-sahabat mu telah menjauhkan diri. Mohonlah wahai suami ku Ayub
kepada Tuhan mu, supaya kita dibebaskan dari penderitaan yang terus menerus
ini."

    Kemudian Nabi Ayub berkata; "Wahai isteri ku engkau menyesali akan
peristiwa yang terjadi, aku ingin bertanya kepada mu berapa tahunkah kita
menikmati kesenangan dan kemewahan yang diberikan oleh Allah?" Isterinya
menjawab 80 tahun. Kemudian Nabi Ayub bertanya lagi; "Berapa lamakah kita
dicuba oleh Allah seperti ini?" Isterinya menjawab tujuh tahun."

"Aku malu untuk memohon kepadaNya untuk bebas dari cubaan ini, jika
dibanding nikmat yang kita rasakan dengan cubaan yang diberikan oleh Allah
tidak sebanding. Kiranya engkau telah mendengar hasutan Iblis yang durjana
sehingga imanmu menjadi menipis. Tunggulah ganjaran mu nanti, setelah aku
sihat aku akan mencambuk mu sebanyak seratus kali. Tinggalkan aku seorang
diri di sini menunggu takdir Ilahi!"

    Setelah Nabi Ayub hidup sendiri ia bermohon kepada Allah SWT. "Wahai
Tuhan ku, Iblis telah mengganggu ku, dengan berbagai godaan yang
dilakukannya hanya Engkaulah wahai Tuhan ku yang Maha Pengasih dan Maha
Penyayang."

    Kemudian Allah SWT menerima doa Nabi Ayub as kemudian Allah berfirman,
"Hentakkanlah kaki mu ke tanah. Dari situ akan keluar air, dan dengan air
itu engkau akan menjadi senang dan sihat dari penderitaan penyakit mu jika
engkau gunakan untuk minum dan mandi." Dengan kekuasaan Allah, Nabi Ayub
sihat dari penyakitnya, bahkan kelihatan lebih sihat dari ketika ia masih
muda.

    Nabi Ayub telah bersumpah akan memukul isterinya seratus kali apabila ia
telah sembuh, ia merasa wajib untuk melaksanakannya walau timbul rasa
kasihan untuk melakukannya. Sebab isteri beliau sangat setia dan baik hati.
Di dalam keraguan Nabi Ayub tersebut maka turunlah wahyu Allah SWT. "Hai
Ayub ambillah dengan tangan mu seikat rumput dan pukullah isteri mu dengan
rumput itu sebanyak seratus kali sehingga dengan demikian tertebuslah sumpah
mu itu."

    Akhirnya Nabi Ayub as hidup rukun dan damai seperti semula, bahkan Allah
SWT mengganti putera-puteranya sebanyak itu juga. Begitulah bukti dari
kesabaran seorang hamba Allah SWT yang tidak tergoda dengan pujuk rayu
Iblis. (kisah ini dapat dibaca dalam Al-Quran surah Sad ayat 41-44 dan surah
Al Anbiya ayat 83-84).

    Begitulah tipu daya Iblis yang pandai menggoda, membisik sesuatu yang
indah ke dalam setiap hati dan telinga umat manusia. Ia akan merasa cemburu
dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta bersujud hanya
kepada Allah SWT. Sebaliknya ia akan tertawa dan berbangga hati jika
orang-orang yang telah beriman dapat dirayunya dan mengikuti jalan yang
sesat.

Kembali Ke Indek Permusuhan Syaitan





Dipetik Dari Buku. 1001 Memori
Himpunan Kisah
Jin, Iblis & Syaitan

Siri 1

Oleh:
Muhammad Isa Selamat
 Kod buku
 DN217

Bil muka surat
 264

Harga
 $10.00

ISBN
 983-046-141-6


.



---
Outgoing mail is certified Virus Free.
Checked by AVG anti-virus system (http://www.grisoft.com).
Version: 6.0.307 / Virus Database: 168 - Release Date: 12/11/01

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "HISYAMUDIN  MOHD HASNI" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke