5 warga Malaysia terkaya dalam senarai
Forbes
SINGAPURA 28 Feb. - Tahun lepas mungkin merupakan tahun
yang sukar tetapi bilangan rakyat Malaysia yang berjaya memasuki senarai
terbaru bilionaire Forbes telah meningkat kepada lima daripada empat pada
tahun 2001 sungguhpun bilangan orang-orang terkaya dunia telah merosot
daripada 538 kepada 497.
Mengatasi senarai Malaysia sekali lagi ialah Robert Kuok
dengan kekayaan sebanyak AS$4.1 bilion (AS$1 = RM3.8), naik daripada AS$3.7
bilion tahun lepas.
Hartawan berusia 79 tahun itu, yang berpangkalan di Hong
Kong, yang memulakan hari-hari awalnya menjual gula sehingga beliau digelar
`Raja Gula' kini menguasai sebuah empayar perniagaan yang berbagai-bagai.
Empat rakyat Malaysia lain ialah pemilik pusat perjudian
Lim Goh Tong, 84, yang kekayaannya diletakkan sebanyak AS$2 bilion, saudagar
perbankan Quek Leng Chan, 61, AS$1.7 bilion, pemilik syarikat telekomunikasi
Ananda Krishnan, 63, AS$1.3 billion dan saudagar pembinaan Yeoh Tiong Lay, 72,
AS$1 billion.
Kekayaan Kuok meletakkan beliau pada nombor 84 dalam
senarai dunia, naik daripada kedudukan ke 109 pada 2001, dan yang terkaya di
Asia Tenggara yang mempunyai sejumlah 17 bilionaire termasuk lima di
Singapura, empat di Filipina, dua di Thailand dan seorang di Indonesia.
Terkeluar daripada senarai majalah perniagaan dunia itu
hari ini ialah saudagar balak Malaysia Tiong Hiew King yang berkedudukan
sejajar dengan Kuok, Quek dan Krishnan tahun lalu.
Forbes Global berkata bahawa nilai bersih orang-orang
terkaya di dunia, daripada 43 buah negara, telah merosot daripada AS$1.73
trilion kepada AS$1.54 trilion.
Walaupun bilangan mereka telah jatuh daripada 272 kepada
243, bilionaire-bilionaire Amerika terus menguasai senarai itu dengan pengasas
Microsoft Bill Gates masih berada di tempat teratas dengan AS$52.8 bilion.
Asia mempunyai 70 bilionaire dengan nama terkenal Li Ka
Shing di tempat teratas dengan AS$10 bilion menjadikannya yang ke-23 terkaya
di dunia.
Sepertiga daripada 15 nama daripada senarai bilionaire
Asia adalah dari Jepun. Orang Jepun yang terkaya ialah pembuat minuman
Nobutada Saji yang memiliki AS$8.6 bilion. - Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2002&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm